Wednesday, July 24, 2013

Doa Membaca al-Quran

It has been a looong time.  Alamak, apasal guna bahasa penjajah pulak.  Lamanya, makan tahun tak mencoret apa-apa kat blog ni.  Alasan mesti la sibuk.  Rasa seronok pulak menaip kali ni.  Dah terlanjur taipkan doa sebelum dan selepas membaca al-quran untuk dicetak dan ditampalkan dalam al-quran, teringat pulak nak kepilkan sekali di blog ni.  Pun sebenarnya dah lama dapat dari Puan Fatimah Said, pensyarah dan guru yang banyak mengajar saya tentang al-quran. Tentang betapa al-quran bukan sekadar untuk dibaca tetapi difahami maksudnya, barulah boleh dijadikan panduan hidup.

Doa Sebelum dan Selepas Membaca al-Quran

Doa Sebelum Membaca al-Quran
Ya Allah Ya Tuhan kami, pancarkanlah cahaya kitabMu bagi penglihatan kami, lapangkanlah dengannya dada kami, gunakanlah dengannya badan kami, mudahkanlah sebutan lidah kami, kuatkanlah ingatan kami, segerakanlah dengannya kefahaman kami dan kuatkanlah dengannya azam kami, dengan daya dan kekuatanMu.  Sesungguhnya tiada daya dan upaya melainkan denganMu, wahai Tuhan yang Maha Pengasih.

Ya Allah, tunjukkan kepada kami bahawa yang benar itu benar dan berilah kami kekuatan untuk mengikuti kebenaran itu.  Sebaliknya tunjukkan kepada kami perkara yang batil itu batil dan berikanlah kami kekuatan untuk menjauhi perkara yang batil itu.

Doa Selesai Membaca al-Quran
Wahai Tuhan kami, rahmatilah kami dengan al-quran dan jadikanlah al-quran itu ikutan, cahaya, petunjuk dan rahmat bagi kami.  Wahai Tuhan kami, ingatkanlah kami dengan al-quran ini apa yang kami lupa, ajarkanlah kami apa yang tidak kami ketahui, anugerahkanlah kami akan bacaannya di sepanjang malam dan siang dan jadikanlah al-quran ini sebagai hujah bagi kami, wahai Tuhan sekelian alam.
Ya Tuhan kami, kami adalah hambaMu, anak kepada hamba lelakiMu dan hamba perempuanMu.  Kami berada dalam genggamanMu, dahi kami berada di tanganMu, setiap perintahMu kami junjung, setiap keputusanMu adil dan saksama.  Kami memohon kepadaMu dengan setiap nama yang Engkau pegang, dengan nama yang Engkau panggil diriMu, yang telah Engkau ajarkan makhlukMu, yang telah engkau wahyukan dalam kitab ini atau dengan yang Engkau rahsiakan dari kami.
Jadikanlah al-quran ini kecintaan hati kami, cahaya dada kami, penghapus dukacita kami dan penghapus kebimbangan kami.  Bukakanlah mata kami, jadikanlah kami melihat kebenaran itu sebagai kebenaran dan kesalahan itu sebagai kesalahan.  Rahmatilah hambaMu dengan cahayaMu agar kami nampak jalanMu.  Bantulah kami dalam usaha kami ini, kuatkanlah semangat kami dengan kalamMu.  Berikanlah kami kegembiraan kerana menerima rahmat dan petunjukMu, berikanlah kami petunjuk dalam segala masalah dan ketika kami membuat keputusan.
Berikanlah kami kekuatan melawan hawa nafsu kami, jauhkanlah kami dari sifat pemalas dan lemah, jadikanlah kalamMu menunjukki fikiran dan akhlak kami, kabulkanlah segala keperluan kami, jadikanlah al-quran ini penenang kami ketika kami resah, bantulah kami mempelajari dan memahaminya, dan untuk kami belajar tentang Engkau dan petunjukMu.  Kurniakanlah kami semangat yang jitu dan jangan biarkan kami berhenti sehingga kami berjaya, dan meneruskannya sehingga berjaya.  Jauhilah kami dari sebarang prasangka, berikanlah kami sifat tawaduk, berikanlah kami kekuatan untuk menerima dan patuh dan hidup berpandukan apa yang telah kami pelajari.  Jadikanlah kami dapat memenuhi tugas yang telah diamanahkan al-quran kepada kami.

 Ya Allah kabulkan permintaan kami.

No comments:

Post a Comment