Monday, July 29, 2013

To be the best



Semua orang bercita-cita nak jadi yang terbaik…bak kata orang putih, to be the best of the best.  Hari ni saya terjumpa pesanan dari Baginda Rasulullah S.A.W. bagaimana nak jadi the best of the best tu…kan Islam tu menganjurkan cara hidup yang sempurna.  Semua panduan ada.  Tinggal nak ikut atau tak saja.

Kaedah ni…saya dah tahu.  Dah selalu dengar.  Tapi masih tak lekat jadi amalan.  Kenapa ya?  Dosa banyak la ni.  Ingatan untuk diri sendiri, kena cuba cari masa, bagi priority, bukan berterusan memberi alasan sebab ni kisah nak dengan tak nak aja.  Sibuk sampai bila pun sibuk….. Moga Allah kurniakan kekuatan untuk amalkan.  Amin.

Hadis riwayat Muslim:936
Dari Abu Hurairah,
Sabda Rasulullah S.A.W., “Mahukah kalian aku ajarkan sesuatu yang dapat membuat kalian mengejar orang-orang yang mendahului kalian dan yang dapat membuat kalian mendahului orang-orang yang sesudah kalian?  Tidak ada seorang pun antara kalian yang lebih utama kecuali ia melakukan apa yang kalian lakukan.”
Mereka menjawab, “Tentu, ya Rasulullah.”

Rasulullah S.A.W. bersabda, “Kalian baca tasbih (SubhanaAllah), takbir (Allahu Akbar) dan tahmid (Alhamdulillah) setiap kali selepas solat sebanyak tiga puluh tiga kali.”

Mudah pun, tak stress.  Tak perlu labur wang berjuta.  Perlu azam dan doa mohon kekuatan dari Allah S.W.T. semoga diri mampu amalkan.  

Suami Zulaikha vs Isteri Firaun



Al-quran tajwid beserta terjemahan yang sering saya gunakan jadi rebutan.  Selalu hilang dari kamar saya, dan ditemui semula di bilik Harriz Ezham.  Jadi saya pun rasa cukup kuatlah justifikasinya untuk saya beli quran terjemahan tajwid yang baru untuk saya.  Yang sedia ada tu saya letakkan saja dalam bilik Harriz Ezham.  Senang cerita…(konon la…untuk sedapkan hati kenapa perlu beli yang baru).

Ketika membuat keputusan untuk beli yang baru, teringat saya bait ayat yang pernah saya jumpa suatu waktu dulu, dalam al-quran. 
Satu yang menceritakan apa kata pemimpin Mesir kepada isterinya, Zulaikha sewaktu menemui Nabi Yusuf A.S. dan satu yang merakamkan apa yang dibicarakan kepada Asiah, isteri Firaun kepada Firaun tatkala Nabi Musa A.S. ditemui.

Kisah yang pertama, terakam dalam Surah Yusuf, ayat 21.
“Dan orang Mesir yang membelinya berkata kepada isterinya, “berikanlah kepadanya tempat yang baik, mudah-mudahan dia bermanfaat kepada kita atau kita ambil dia sebagai anak……..”

Manakala kisah yang kedua, dalam Surah al-Qasas, ayat 9.
“Dan ketika melihat bayi itu, berkatalah isteri Firaun, “dia adalah cahaya mata bagiku dan bagimu; janganlah kamu membunuhnya.  Mudah-mudahan dia bermanfaat kepada kita atau kita ambil dia sebagai anak….”

Masya Allah, keduanya menuturkan bicara yang sama dalam memujuk pihak yang satu lagi untuk membela bakal Nabi Allah.  Pada saya, apa yang saya faham atau lesson learnt….bila dapat apa-apa atau beli apa-apa, kena mohon pada Allah semoga ianya membawa manfaat.
Kebetulan ketika Allah temukan saya dengan ayat-ayat tu, saya juga sedang membaca sebuah buku tentang “Membaca”.  Tulis pengarang, sebaiknya sewaktu nak membeli buku, niatkanlah semoga buku ni membawa manfaat kepada kita, insya Allah.  Bak kata Ustaz Rasyidi dalam salah satu siri ceramahnya di Fakulti, “Kadang-kadang buku kita beli untuk kita baca, kadang-kadang kita beli sebab nak wariskan kat anak-anak kita.” (Terasa sangat saya dengan ayat ni sebab saya selalu buat kerja tu…suka membeli buku tapi bacanya tak pun).


Applikasi kisah ini pada kehidupan hari ni, semoga Quran baru ni membawa manfaat untuk saya dan keluarga, insya Allah.  Dan kena jadikan amalan sentiasa memohon pada Allah semoga apa yang diperoleh akan membawa manfaat untuk dunia akhirat.  Bukan happy dapat apa yang diidam sampai lupa segalanya.  Moga Allah izinkan. Amin.

Thursday, July 25, 2013

Wanita Cap X


Bila dah buka balik blog semalam, terasa pula nak mencorat-coret balik kat sini, macam dulu-dulu.  Cerita ni dari sessi sembang-sembang sekeluarga sementara nak tunggu waktu berbuka semalam.  Hubby bacakan hadis tentang Ummul Mukminin, Saidatina Aisyah R.A.  Hubby bagitau, tengok betapa hebatnya Aisyah, malaikat Jibril pun datang bagi salam kepada Aisyah.





Saya pun mencelah.  Saya pun ada cerita nak kongsi tentang Aisyah.  Kebetulan saya baru terbaca daripada buku Indahnya Akhlak Rasulullah.  Satu hari, Rasulullah berada di rumah Aisyah.  Para sahabat datang menziarah.  Ummu Salamah, salah seorang dari isteri baginda Rasulullah S.A.W. pulak datang ke rumah Saidatina Aisyah, hantarkan semangkuk makanan.  Maka makanan tersebut pun dinikmati oleh baginda Rasul dan para sahabatnya. 

Saya pun terkejut baca kisah selanjutnya….Aisyah pun terus ke dapur, siapkan makanan untuk dihidangkan kepada baginda Rasul dan para sahabat.  Setelah menghidang makanan yang disediakannnya, dia membawa ke dalam makanan yang dihantar oleh Ummu Salamah dan memecahkan mangkuk tersebut.  Baginda Rasul pun menjemput para sahabatnya makan makanan yang dihidangkan Aisyah sebab sabda baginda, “Ibu kamu sedang cemburu”.

Ehm….wanita namanya kan.  Bila kat rumah sendiri tapi madu datang menghantar makanan.

Hubby kata, ‘pernah dengar cerita ni’….Maksudnya, tak salah kalau madu nak hantar makanan kat rumah madu, kata hubby lagi.

Sambung saya, moral of the story, kalau Aisyah yang malaikat Jibril datang bagi salam pun itu reaksinya, setakat wanita cap X macam saya ni, belum masuk rumah, kat luat pagar lagi mangkuk tu dah pecah kot….

Dalam hubby, Harriz dan Ezham ketawa berdekah-dekah (standard la anak lelaki, mesti la sokong segala bab poligami ni kan), Ezham tambah…”Tak, kalau Mummy kan, Ezham rasa Mummy tengok dulu.  Kalau mangkuk tu mahal, Mummy buang makanannya aja, mangkuk mesti Mummy ambik simpan”. 


Whatever….tapi kisahnya cabaran poligami bukan mudah nak dihadapi oleh wanita walaupun dikatakan ada payung emas menanti di sana..

Wednesday, July 24, 2013

Doa Membaca al-Quran

It has been a looong time.  Alamak, apasal guna bahasa penjajah pulak.  Lamanya, makan tahun tak mencoret apa-apa kat blog ni.  Alasan mesti la sibuk.  Rasa seronok pulak menaip kali ni.  Dah terlanjur taipkan doa sebelum dan selepas membaca al-quran untuk dicetak dan ditampalkan dalam al-quran, teringat pulak nak kepilkan sekali di blog ni.  Pun sebenarnya dah lama dapat dari Puan Fatimah Said, pensyarah dan guru yang banyak mengajar saya tentang al-quran. Tentang betapa al-quran bukan sekadar untuk dibaca tetapi difahami maksudnya, barulah boleh dijadikan panduan hidup.

Doa Sebelum dan Selepas Membaca al-Quran

Doa Sebelum Membaca al-Quran
Ya Allah Ya Tuhan kami, pancarkanlah cahaya kitabMu bagi penglihatan kami, lapangkanlah dengannya dada kami, gunakanlah dengannya badan kami, mudahkanlah sebutan lidah kami, kuatkanlah ingatan kami, segerakanlah dengannya kefahaman kami dan kuatkanlah dengannya azam kami, dengan daya dan kekuatanMu.  Sesungguhnya tiada daya dan upaya melainkan denganMu, wahai Tuhan yang Maha Pengasih.

Ya Allah, tunjukkan kepada kami bahawa yang benar itu benar dan berilah kami kekuatan untuk mengikuti kebenaran itu.  Sebaliknya tunjukkan kepada kami perkara yang batil itu batil dan berikanlah kami kekuatan untuk menjauhi perkara yang batil itu.

Doa Selesai Membaca al-Quran
Wahai Tuhan kami, rahmatilah kami dengan al-quran dan jadikanlah al-quran itu ikutan, cahaya, petunjuk dan rahmat bagi kami.  Wahai Tuhan kami, ingatkanlah kami dengan al-quran ini apa yang kami lupa, ajarkanlah kami apa yang tidak kami ketahui, anugerahkanlah kami akan bacaannya di sepanjang malam dan siang dan jadikanlah al-quran ini sebagai hujah bagi kami, wahai Tuhan sekelian alam.
Ya Tuhan kami, kami adalah hambaMu, anak kepada hamba lelakiMu dan hamba perempuanMu.  Kami berada dalam genggamanMu, dahi kami berada di tanganMu, setiap perintahMu kami junjung, setiap keputusanMu adil dan saksama.  Kami memohon kepadaMu dengan setiap nama yang Engkau pegang, dengan nama yang Engkau panggil diriMu, yang telah Engkau ajarkan makhlukMu, yang telah engkau wahyukan dalam kitab ini atau dengan yang Engkau rahsiakan dari kami.
Jadikanlah al-quran ini kecintaan hati kami, cahaya dada kami, penghapus dukacita kami dan penghapus kebimbangan kami.  Bukakanlah mata kami, jadikanlah kami melihat kebenaran itu sebagai kebenaran dan kesalahan itu sebagai kesalahan.  Rahmatilah hambaMu dengan cahayaMu agar kami nampak jalanMu.  Bantulah kami dalam usaha kami ini, kuatkanlah semangat kami dengan kalamMu.  Berikanlah kami kegembiraan kerana menerima rahmat dan petunjukMu, berikanlah kami petunjuk dalam segala masalah dan ketika kami membuat keputusan.
Berikanlah kami kekuatan melawan hawa nafsu kami, jauhkanlah kami dari sifat pemalas dan lemah, jadikanlah kalamMu menunjukki fikiran dan akhlak kami, kabulkanlah segala keperluan kami, jadikanlah al-quran ini penenang kami ketika kami resah, bantulah kami mempelajari dan memahaminya, dan untuk kami belajar tentang Engkau dan petunjukMu.  Kurniakanlah kami semangat yang jitu dan jangan biarkan kami berhenti sehingga kami berjaya, dan meneruskannya sehingga berjaya.  Jauhilah kami dari sebarang prasangka, berikanlah kami sifat tawaduk, berikanlah kami kekuatan untuk menerima dan patuh dan hidup berpandukan apa yang telah kami pelajari.  Jadikanlah kami dapat memenuhi tugas yang telah diamanahkan al-quran kepada kami.

 Ya Allah kabulkan permintaan kami.