Wednesday, November 2, 2011

Mendengar Guruh di Langit

Kebetulan pagi ni semasa layari FB, ternampak status Professor Dr Muhaya lebih kurang bunyinya, "mulai hari ni, kita kena mohon doa kepada Allah supaya dikurniakan kekuatan untuk membaca al-quran hari-hari".  Kena sebijik atas batang hidung saya...jarang benar luangkan masa untuk membaca dan memahami panduan hidup yang Allah turunkan.  Alasan sibuk atau kata orang putih, "busy" tu tak boleh diterima pakai.  Banyak lagi orang lain yang jauh lebih sibuk, jauh lebih tinggi pangkat dan harta, jauh lebih banyak menabur jasa, ada aja masa nak mendalami al-quran.  Ni kes nak seribu daya, tak nak seribu dalih saja.

Kaedah terbaik adalah menyelitkan pembacaan bila saja ada saat terluang.  Kemudian tinggalkan catatan kat blog supaya pembacaan lebih berkesan, macam kata pepatah, "membaca menjadikan kita sempurna, menulis menjadikan kita lengkap dan berbincang menjadikan kita bersedia".  Seterusnya boleh kongsi cerita dengan Harriz dan Ezham.  Insya Allah.

Pagi tadi, sementara menunggu hubby balik dari hantar anak-anak ke sekolah, saya belek-belek Tafsir yang hubby letak atas meja kat ruang tamu.  Entah jilid ke berapa, tapi saya sempat menelaah sebaris dua ayat dari Surah ar-Ra'ad.  Ertinya guruh.  Ting....teringat pada peribahasa Melayu, "Bila mendengar guruh di langit, air tempayan jangan dicurahkan..."  Kot-kot tak jadi hujan, nak cari air kat mana la pulak sebab zaman dulu tak ada paip air dalam rumah.  Dalam betul bahasa nenek moyang sayang.  Biar apa orang kata, saya tetap bangga dengan bahasa nenek moyang saya.

Kebetulan pulak sekarang musim hujan.  Hampir setiap petang hujan, lebat pulak tu, disertai dengan guruh, kilat dan ribut petir.  Yang saya dapat, doa amalan Baginda Rasulullah apabila mendengar guruh di langit, iaitu,
"Ya Allah, janganlah Engkau membunuh kami dengan kemurkaan-Mu dan janganlah kami dibinasakan dengan azab-Mu, dan berilah kesihatan yang baik kepada kami sebelum itu." (Riwayat Bukhari).

Manakala menurut Abu Hurairah,  apabila bertiup angin yang kencang dan guruh yang kuat, Baginda Rasulullah bersabda kepada guruh, "Maha Suci Allah, yang engkau bertasbih kepada-Nya" dan kepada angin, "Ya Allah jadikanlah angin itu pembawa rahmat dan jangan membawa azab."

Yang lebih menakutkan, menurut Imam Ahmad, Abu Hurairah meriwayatkan, Rasulullah S.A.W. pernah bersabda, "Sekiranya hambaKu mentaatiKu, Aku akan menurunkan kepada mereka hujan pada waktu malam dan sinar matahari pada waktu siang, dan tidak akan memperdengarkan kepada mereka bunyi guruh".  Dengan kata lain, guruh dan ribut petir ni adalah tanda kemurkaan Allah kepada hambaNya di bumi.  Dan kata Ibnu Katsir, sebab tu, semakin ke akhir zaman, semakin banyak kejadian ribut petir dan guruh.  Wallahualam.

No comments:

Post a Comment