Tuesday, November 1, 2011

02: 151-152



Hari ini, Allah kurniakan saya kekuatan dan peluang menelaah Tafsir Ibnu Katsir, masih surah al-Baqarah, ayat 151-152.  Ayatnya menyentuh tentang suruhan Allah kepada umat Islam seluruhnya untuk mengingat nikmatNya dan mensyukuri nikmatNya.  Nikmat dalam ayat ini merujuk khusus kepada pengutusan Baginda Rasulullah S.A.W. kepada umat Islam.  Mendidik dan membimbing umat Islam ke arah kebenaran, dari kegelapan kepada cahaya, membezakan yang haram dan yang halal, membezakan yang batil dengan yang benar.

Teringat saya dua minggu yang lalu, mahasiswa Muslim Fakulti mengadakan Solat Hajat Perdana.  Penceramah jemputan, Ustaz Rasyidi Jamil menyampaikan kuliah bertajuk, “Siapa Idola Anda?”.  Dalam ceramahnya yang sangat menarik, Ustaz mengajak semua menjadikan Baginda Rasulullah sebagai idola.  Sebagai ikutan.  Dan Ustaz selitkan bagaimana seorang pengkaji barat yang menjalankan kajiannya dengan sangat objektif pun menyatakan menurut hasil kajiannya, Baginda Rasulullah mengungguli carta manusia hebat dalam kajian beliau.  Subhana Allah…selain dari pengiktirafan eksplisit dalam al-Quran, manusia bukan Muslim turut mengakui keagungan peribadi Rasul junjungan.  So, seruan untuk diri - nak tunggu apa lagi, nak cari idola mana lagi untuk dijadikan panduan menyusun perjalanan hidup, yang dah tentu objektif akhirnya mengharapkan rahmat Ilahi Rabbi untuk masuk syurga.  Inilah idola terhebat yang menyediakan contoh teladan terbaik, blueprint paling benar dan methodology paling tepat untuk diikuti bagi mencapai matlamat akhir sebuah kehidupan.

Juga dalam pembacaan saya, Samudera al-Fatihah, pengarang menjelaskan antara bukti kasih sayang Allah pada manusia, khususnya umat Islam adalah Allah memberikan manusia petunjuk tentang adanya syurga dan neraka, dosa dan pahala.  Dalam erti kata dunia akademik, Allah bagi skema pemarkahan.  Sedangkan segala makhluk dan alam semesta Allah yang punya, kalau Allah tak nak bagi skema pun, hak Allah lah.  Tapi sebab Allah Maha Pengasih dan Maha Penyayang maka Allah turunkan bimbingan dan panduan supaya manusia boleh membuat pilihan.  Dan bagi umat Islam, baginda Rasullullah S.A.W. adalah utusannya.  Maka, wajiblah bagi umat Islam untuk sentiasa mengingati dan mensyukuri nikmat Allah.

Berbalik kepada ayat 152, menurut Ibnu Katsir, Nabi Musa A.S. pernah bertanya pada Ilahi Rabbi, “Bagaimanakah aku bersyukur kepadaMu?”  Jawab Ilahi Rabbi, “Ingatlah kepadaKu dan jangan lupakan Aku.  Apabila kamu ingat kepadaKu beerti kamu telah bersyukur kepadaKu.  Bila kamu lupakan Aku, ertinya kamu telah engkar kepadaKu”.

Allah yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang menjanjikan ganjaran yang melimpah ruah untuk yang mengingatiNya.  Antaranya, dalam Surah Ibrahim ayat 7, Allah menjanjikan tambahan nikmat kepada mereka yang mensyukuri nikmatNya.  Manakala dalam hadis Baginda Rasul, (Hadis Qudsi) “Hai anak Adam, jika kamu ingat kepadaKu dalam dirimu, nescaya aku ingat pula kepada dirimu dalam diriKu.  Dan jika kamu mengingatKu dalam satu golongan, nescaya Aku ingat pula kepada Kamu dalam golongan yang lebih baik (golongan malaikat). 

Lessons of the day:
1.   Kena sentiasa ingat Allah – waktu senang, susah, sakit, sihat, sendirian atau dalam majlis.
2.   Kena jadikan doa yang dipesan Rasulullah kepada sahabatnya, Muaz bin Jabal sebagai amalan.  The doa, “Ya Allah Ya Tuhanku, limpahkan aku kekuatan untuk sentiasa mengingatiMu, mensyukuri nikmatMu dan sentiasa beribadah dengan baik kepadaMu.”  Pesan Rasulullah, baca doa ini sebanyak tiga kali setiap kali selepas solat fardhu.  Moga Allah kurniakan kekuatan untuk menjadikan doa ini amalan yang kekal; dan memakbulkannya.  Amin.
3.   Wajib sentiasa mensyukuri nikmat Allah, yang paling besar adalah Baginda Rasulullah S.A.W.  Mengangkat Baginda sebagai idola adalah salah satu cara melafazkan kesyukuran kepada Ilahi Rabbi. 

Berkobar-kobar pulak semangat nak cari buku, "Ensiklopedia Akhlak Muhammad".  Kat mana boleh dapat ni?

No comments:

Post a Comment