Wednesday, November 2, 2011

Mendengar Guruh di Langit

Kebetulan pagi ni semasa layari FB, ternampak status Professor Dr Muhaya lebih kurang bunyinya, "mulai hari ni, kita kena mohon doa kepada Allah supaya dikurniakan kekuatan untuk membaca al-quran hari-hari".  Kena sebijik atas batang hidung saya...jarang benar luangkan masa untuk membaca dan memahami panduan hidup yang Allah turunkan.  Alasan sibuk atau kata orang putih, "busy" tu tak boleh diterima pakai.  Banyak lagi orang lain yang jauh lebih sibuk, jauh lebih tinggi pangkat dan harta, jauh lebih banyak menabur jasa, ada aja masa nak mendalami al-quran.  Ni kes nak seribu daya, tak nak seribu dalih saja.

Kaedah terbaik adalah menyelitkan pembacaan bila saja ada saat terluang.  Kemudian tinggalkan catatan kat blog supaya pembacaan lebih berkesan, macam kata pepatah, "membaca menjadikan kita sempurna, menulis menjadikan kita lengkap dan berbincang menjadikan kita bersedia".  Seterusnya boleh kongsi cerita dengan Harriz dan Ezham.  Insya Allah.

Pagi tadi, sementara menunggu hubby balik dari hantar anak-anak ke sekolah, saya belek-belek Tafsir yang hubby letak atas meja kat ruang tamu.  Entah jilid ke berapa, tapi saya sempat menelaah sebaris dua ayat dari Surah ar-Ra'ad.  Ertinya guruh.  Ting....teringat pada peribahasa Melayu, "Bila mendengar guruh di langit, air tempayan jangan dicurahkan..."  Kot-kot tak jadi hujan, nak cari air kat mana la pulak sebab zaman dulu tak ada paip air dalam rumah.  Dalam betul bahasa nenek moyang sayang.  Biar apa orang kata, saya tetap bangga dengan bahasa nenek moyang saya.

Kebetulan pulak sekarang musim hujan.  Hampir setiap petang hujan, lebat pulak tu, disertai dengan guruh, kilat dan ribut petir.  Yang saya dapat, doa amalan Baginda Rasulullah apabila mendengar guruh di langit, iaitu,
"Ya Allah, janganlah Engkau membunuh kami dengan kemurkaan-Mu dan janganlah kami dibinasakan dengan azab-Mu, dan berilah kesihatan yang baik kepada kami sebelum itu." (Riwayat Bukhari).

Manakala menurut Abu Hurairah,  apabila bertiup angin yang kencang dan guruh yang kuat, Baginda Rasulullah bersabda kepada guruh, "Maha Suci Allah, yang engkau bertasbih kepada-Nya" dan kepada angin, "Ya Allah jadikanlah angin itu pembawa rahmat dan jangan membawa azab."

Yang lebih menakutkan, menurut Imam Ahmad, Abu Hurairah meriwayatkan, Rasulullah S.A.W. pernah bersabda, "Sekiranya hambaKu mentaatiKu, Aku akan menurunkan kepada mereka hujan pada waktu malam dan sinar matahari pada waktu siang, dan tidak akan memperdengarkan kepada mereka bunyi guruh".  Dengan kata lain, guruh dan ribut petir ni adalah tanda kemurkaan Allah kepada hambaNya di bumi.  Dan kata Ibnu Katsir, sebab tu, semakin ke akhir zaman, semakin banyak kejadian ribut petir dan guruh.  Wallahualam.

Tuesday, November 1, 2011

The Power of Istirja’






Lama betul tak jengah blog.  Entry yang lepas pun lepas taip, tak sempat nak upload.  Macam nak tukar nama blog kepada the 15 minutes note la pulak....Hari ni, saya terbaca tentang tafsir surah al-baqarah, ayat 155-157.

Dan sungguh akan Kami berikan cubaan kepada kalian dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan.  Dan berikanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar, iaitu orang-orang yang apabila ditimpa musibah, mengucapkan “innalillah hi wa inna ilaihi rajiun”.  Mereka itulah yang mendapat keberkatan yang sempurna dan rahmat dari Tuhannya, dan mereka itulah orang-orang yang mendapat petunjuk.”

Selama ni ingatkan baca kalimah tu untuk orang mati saja.  Rupanya patut dibaca bila menerima segala musibah.  SubhanaAllah, powernya kalimah istirja’ yang bermaksud, “sesungguhnya kita adalah milik Allah dan kepadaNyalah kita akan kembali.”  Kata Ibnu Katsir, golongan yang sabar adalah mereka yang bila diuji, dengan penuh redha dan menerima ujian tersebut dan menghiburkan hati mereka dengan kalimah istirja’.  Mereka mengakui kekuasaan Allah atas segalanya, segala harta dan jiwa adalah dalam genggaman Allah, mereka merelakan apabila Allah mengambil semula apa yang dipinjamkan buat seketika.  Malah mereka mengakui diri mereka sendiri pun akan kembali kepada Ilahi Rabbi.

Dan selanjutnya Ibnu Katsir mengemukakan hadis Baginda Rasul yang menerangkan hebatnya mereka yang redha menerima segala cubaan Allah dengan mengakui segalanya dari Allah dan kepada Allah semuanya akan dikembalikan.  Menurut hadis Baginda Rasul, “Tidak sekali-kali seorang Muslim yang ditimpa sesuatu musibah, lalu ia membaca istirja’ ketika musibah menimpanya, kemudian mengucapkan, “Ya Allah, berilah daku pahala dalam musibahku ini, dan gantikanlah buatku sesuatu yang lebih baik daripadanya”, melainkan akan diperlakukan kepadanya apa yang diminta itu.”

Satu hadis qudsi, tentang kelebihan istirja’,

Allah berfirman, “Wahai malaikat maut, engkau telah mencabut nyawa anak hambaKu, engkau telah mencabut nyawa penyejuk mata dan buah hatinya”.  Malaikat maut menjawab, “Ya.”  Allah bertanya, “Lalu, apa yang dia lakukan?”  Malaikat maut menjawab, “Dia memuji dan beristijra’ kepadaMu.”  Allah berfirman, “Bangunkanlah buatnya sebuah gedung di dalam syurga dan namakanlah gedung itu dengan sebutan Baitul Hamdi.”

Betapa Allah Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.  Bila diberikan ujian dan dugaan, sekiranya ia dihadapi dengan kesabaran, maka Allah akan iringkan dengan ganjaran yang amat indah.  Bak kata muda mudi hari ni, Allah hilangkan matahari sebab Allah nak bagi pelangi.  Teringat saya pada hadis Baginda Rasul yang lebih kurang bermaksud, Barangsiapa yang Allah mengkehendaki kebaikan baginya, Allah akan mengujinya.

Bila baca ayat-ayat macam ni, rasa sejuk jiwa dan lapang minda.  Yang paling penting, ayat ni menegaskan Allah memang akan turunkan cubaan dan ujian.  Cuma kena sabar dengan ujian Allah sebab Allah dah kata hanya mereka yang menyerah, yang mengakui kekuasaan Allah dan mengakui segalanya akan kembali kepada Allah, akan mendapat rahmat dan nikmat yang sempurna dari ujian yang diberikan.  So, bila Allah uji ertinya Allah nak berikan rahmat dan barakah cuma prasyaratnya, kena sabar banyak-banyak.

Ergh…takut pulak baca ayat ni sebab cakap memang senang tapi kalau berada dalam keadaan diuji tu, baru tahu tinggi rendahnya langit.  Apapun, macam teori kewangan, the higher the risk, the greater the gain.  Lebih tinggi risiko (ujian), lebih besar ujian dan penderitaan, lebih besarlah ganjaran.

Semoga Allah kurniakan saya keupayaan untuk sabar seandainya ditakdirkan ada ujian yang menimpa.  Sejujurnya, saya takut setelah membaca ayat ni…entah apa agaknya rahsia Allah mengirimkan bicara ini pada saya ya…

02: 151-152



Hari ini, Allah kurniakan saya kekuatan dan peluang menelaah Tafsir Ibnu Katsir, masih surah al-Baqarah, ayat 151-152.  Ayatnya menyentuh tentang suruhan Allah kepada umat Islam seluruhnya untuk mengingat nikmatNya dan mensyukuri nikmatNya.  Nikmat dalam ayat ini merujuk khusus kepada pengutusan Baginda Rasulullah S.A.W. kepada umat Islam.  Mendidik dan membimbing umat Islam ke arah kebenaran, dari kegelapan kepada cahaya, membezakan yang haram dan yang halal, membezakan yang batil dengan yang benar.

Teringat saya dua minggu yang lalu, mahasiswa Muslim Fakulti mengadakan Solat Hajat Perdana.  Penceramah jemputan, Ustaz Rasyidi Jamil menyampaikan kuliah bertajuk, “Siapa Idola Anda?”.  Dalam ceramahnya yang sangat menarik, Ustaz mengajak semua menjadikan Baginda Rasulullah sebagai idola.  Sebagai ikutan.  Dan Ustaz selitkan bagaimana seorang pengkaji barat yang menjalankan kajiannya dengan sangat objektif pun menyatakan menurut hasil kajiannya, Baginda Rasulullah mengungguli carta manusia hebat dalam kajian beliau.  Subhana Allah…selain dari pengiktirafan eksplisit dalam al-Quran, manusia bukan Muslim turut mengakui keagungan peribadi Rasul junjungan.  So, seruan untuk diri - nak tunggu apa lagi, nak cari idola mana lagi untuk dijadikan panduan menyusun perjalanan hidup, yang dah tentu objektif akhirnya mengharapkan rahmat Ilahi Rabbi untuk masuk syurga.  Inilah idola terhebat yang menyediakan contoh teladan terbaik, blueprint paling benar dan methodology paling tepat untuk diikuti bagi mencapai matlamat akhir sebuah kehidupan.

Juga dalam pembacaan saya, Samudera al-Fatihah, pengarang menjelaskan antara bukti kasih sayang Allah pada manusia, khususnya umat Islam adalah Allah memberikan manusia petunjuk tentang adanya syurga dan neraka, dosa dan pahala.  Dalam erti kata dunia akademik, Allah bagi skema pemarkahan.  Sedangkan segala makhluk dan alam semesta Allah yang punya, kalau Allah tak nak bagi skema pun, hak Allah lah.  Tapi sebab Allah Maha Pengasih dan Maha Penyayang maka Allah turunkan bimbingan dan panduan supaya manusia boleh membuat pilihan.  Dan bagi umat Islam, baginda Rasullullah S.A.W. adalah utusannya.  Maka, wajiblah bagi umat Islam untuk sentiasa mengingati dan mensyukuri nikmat Allah.

Berbalik kepada ayat 152, menurut Ibnu Katsir, Nabi Musa A.S. pernah bertanya pada Ilahi Rabbi, “Bagaimanakah aku bersyukur kepadaMu?”  Jawab Ilahi Rabbi, “Ingatlah kepadaKu dan jangan lupakan Aku.  Apabila kamu ingat kepadaKu beerti kamu telah bersyukur kepadaKu.  Bila kamu lupakan Aku, ertinya kamu telah engkar kepadaKu”.

Allah yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang menjanjikan ganjaran yang melimpah ruah untuk yang mengingatiNya.  Antaranya, dalam Surah Ibrahim ayat 7, Allah menjanjikan tambahan nikmat kepada mereka yang mensyukuri nikmatNya.  Manakala dalam hadis Baginda Rasul, (Hadis Qudsi) “Hai anak Adam, jika kamu ingat kepadaKu dalam dirimu, nescaya aku ingat pula kepada dirimu dalam diriKu.  Dan jika kamu mengingatKu dalam satu golongan, nescaya Aku ingat pula kepada Kamu dalam golongan yang lebih baik (golongan malaikat). 

Lessons of the day:
1.   Kena sentiasa ingat Allah – waktu senang, susah, sakit, sihat, sendirian atau dalam majlis.
2.   Kena jadikan doa yang dipesan Rasulullah kepada sahabatnya, Muaz bin Jabal sebagai amalan.  The doa, “Ya Allah Ya Tuhanku, limpahkan aku kekuatan untuk sentiasa mengingatiMu, mensyukuri nikmatMu dan sentiasa beribadah dengan baik kepadaMu.”  Pesan Rasulullah, baca doa ini sebanyak tiga kali setiap kali selepas solat fardhu.  Moga Allah kurniakan kekuatan untuk menjadikan doa ini amalan yang kekal; dan memakbulkannya.  Amin.
3.   Wajib sentiasa mensyukuri nikmat Allah, yang paling besar adalah Baginda Rasulullah S.A.W.  Mengangkat Baginda sebagai idola adalah salah satu cara melafazkan kesyukuran kepada Ilahi Rabbi. 

Berkobar-kobar pulak semangat nak cari buku, "Ensiklopedia Akhlak Muhammad".  Kat mana boleh dapat ni?