Friday, September 23, 2011

02: 99-103 Kisah Harut dan Marut



Rupanya Harut dan Marut ni merupakan dua orang malaikat yang dipilih untuk mewakili para Malaikat lainnya, bagi merasa bagaimana keadaannya menjadi anak Adam (manusia la tu..).  Banyak versi dalam Tafsir al-Katsir, antaranya yang diriwayatkan oleh Ibnu Abbas.

Masa kejadian: zaman kerasulan Nabi Idris A.S.  Kisahnya bermula apabila para Malaikat di langit mengutuk anak-anak Adam di bumi yang sentiasa melakukan maksiat dan melanggar perintah Allah.  Para Malaikat pun mengadulah kepada Allah bagaimana sikap makhlukNya yang bernama manusia.  Namun, Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang dan Maha Mengetahui mengatakan, “Sesungguhnya Aku menimpakan cubaan terhadap mereka, barangkali jika Aku timpakan cubaan yang sama terhadap kalian, kalian pun akan bertindak seperti mereka.”  Dengan penuh keyakinan, para Malaikat menjawab, “Tak mungkin.”

Maka Allah pun menyuruh para Malaikat untuk memilih dua orang yang paling utama dari kalangan mereka, untuk dijadikan duta menyertai anak Adam di muka bumi.  Eh…macam eksperimen makmal ni.  Hipotesis: Bila Malaikat diberikan nafsu dan cubaan sebagaimana seorang anak Adam, mereka pun ada kecenderungan untuk melakukan maksiat sebagaimana anak Adam.  Nak tengok betul ker tak sebab Malaikat nafikan sekeras-kerasnya.  Mesyuarat punya mesyuarat, pilih punya pilih, calon-calonnya yang terpilih adalah Harut dan Marut.  Allah Yang Maha Kuasa pun melengkapkan mereka dengan segala nafsu sebagaimana yang dimiliki oleh anak Adam lainnya.  Dan Allah pun jelaskan aturan yang perlu diikuti oleh Harut dan Marut: Hanya menyembah Allah dan jangan menyekutukan Allah, tak boleh membunuh jiwa yang diharamkan, tak boleh makan benda yang haram, tak boleh minum arak, mencuri dan berzina.

Turunlah Harut dan Marut ke bumi, membantu mengadili hukum sesama manusia secara hak, lebih kurang jadi hakim lah kot.  Dengan kehendak Allah, pada masa yang sama, terdapat seorang wanita jelita bernama Zaharah.  Dikatakan, Zaharah adalah wanita tercantik pada tika dan waktu.  Cantiknya Zaharah berbanding wanita lain yang sama waktu dengannya sebagaimana cantiknya planet Zuhal berbanding planet-planet lain.  Namapun wanita cantik…maka Malaikat Harut dan Marut ni pun terpikat dan tertarik dengan Zaharah.

Mula-mula Zaharah meletakkan syarat, kalau benar nak dampingi beliau, mesti sanggup menyembah berhala.  Harut dan Marut pun menolak.  Sebab pesan Allah, tak boleh menyekutukan Allah dengan apa juga pun.  Tak lama selepas tu, Harut dan Marut menemui Zaharah sekali lagi.  Syarat yang sama dikenakan oleh Zaharah, pun mereka dengan tegas menolak.  Kali ketiga, (dah tak ada wanita lain ker masa tu agaknya ataupun Zaharah tu memang teramat cantik la kot…dah dua kali kena reject pun, syarat tak munasabah pulak, pun Harut dan Marut nakkan si Zaharah jugak…nilah namanya kuasa wanita kan), Zaharah pun kenakan syarat yang lain sikit: dia bagi pilihan atau opsyen kata orang sekarang.  Sama ada menyembah berhala, membunuh atau minum arak.  Tergugat iman Harut dan Marut.  Fikir mereka, antara ketiga-tiga tu, yang paling ringan minum arak kot.  So, mereka pun minum arak.  Kesannya, mabuk.  Dalam keadaan mabuk, mereka menggauli Zaharah.  Kemudian, Zaharah dibunuh sebab takut perbuatan mereka diketahui orang.  Jadi, dosa yang mereka lakukan – minum arak, berzina dan membunuh.  Semuanya yang dah dilarang keras oleh Allah.

Bila mereka telah sedar dari mabuk, barulah mereka menyedari perbuatan dosa yang telah mereka lakukan.  Malaikat-malaikat di langit pun menginsafi bagaimana sifat dan dugaan yang Allah jadikan untuk anak Adam.  Sejak itu, para Malaikat sering memohon ampun untuk penduduk bumi sebagaimana yang diceritakan Allah dalam Surah Syura, ayat 5:  “Dan malaikat-malaikat bertasbih dan memuji Tuhannya dan memohonkan ampun untuk penduduk di bumi.” 

Harut dan Marut disuruh memilih untuk di azab di dunia atau di akhirat.  Keduanya memilih untuk diazab di dunia.

Lessons of the day:

1.    Agaknya nilah yang orang putih kata, “ put yourself in the person’s shoes”.  Lebih kuranglah…pepatah nenek moyang sendiri pun tak berapa nak pandai, apalagi pepatah nenek moyang orang lain.  Maksudnya, sebelum suka-suka nak menganalisa perbuatan orang, apalagi mengumpat mengata, letaklah dulu diri sendiri dalam kedudukan orang tu.  Entah kan kalau kita berada dalam situasi yang sama, entah macam manalah gelagat kita kan.  Kita tak akan mampu faham tindakan orang lain selagi kita tak berada di tempatnya atau tak diuji dengan dugaan yang sama.  Macam kata orang, berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Janganlah sesedap hati jer nak buat statement, “kalau aku kan, ….”
2.   Betapa Allah Maha Adil dan Maha Penyayang.  Allah yang menciptakan segala makhluk, baik manusia, jin ataupun malaikat.  Dan Maha Suci Allah melengkapkan ciptaanNya dengan memberikan ganjaran yang sewajarnya dengan sifat setiap makhluk yang dicipta.  Teringat saya pada kisah penciptaan malaikat Jibrail, setelah Allah menciptakan Jibrail, malaikat Jibrail pun menunaikan solat sunat dua rakaat, yang setiap rakaat memakan masa dua puluh ribu tahun.  Selesai solat tersebut, Allah berfirman kepada Jibrail, “Wahai Jibrail, kamu telah menyembah Aku dengan bersungguh-sungguh dan tidak ada seorang pun yang menyembahKu seperti ibadah yang kamu lakukan, tetapi di akhir zaman nanti akan datang seorang nabi yang mulia, yang paling Aku cintai bernama Muhammad. Dia mempunyai umat yang lemah dan sentiasa berdosa.  Seandainya mereka mengerjakan solat dua rakaat, maka demi kemuliaanKu dan ketinggianKu, sesungguhnya solat mereka itu lebih Aku sukai daripada solatmu, kerana mereka telah mengerjakan solat itu atas perintahKu sedangkan solat kamu bukan atas perintahKu”.

No comments:

Post a Comment