Thursday, September 29, 2011

02: 112

Pagi-pagi layari laman muka buku, antara yang akan saya cari adalah pesanan dari Taufik Zakaria.  Kadang-kadang berguna untuk memandu tindakan sepanjang hari.  Macam yang Taufik tulis dua hari lepas, “some heavy thoughts for chewing before breakfast”…..cuma saya breakfast dulu sebelum bukak muka buku ni…(macam terdengar-dengar suara Sara nyanyi..”kita berkenalan dalam laman bukak buku..”, jenuh Harriz betulkan mukabuku, tapi Sara tetap kata “bukak buku” jugak).
‎"When we are offended at any man's fault, turn to yourself & study your own failings. Then you will forget your anger."
Taufik ni suka guna bahasa penjajah.  Lebih kurang dalam bahasa mak saya, “Di kala terasa terganggu dengan kesalahan orang lain, lihatlah kepada diri dan fikirkanlah kesalahan sendiri.  Hanya dengan itu, (menyedari kesalahan sendiri), kita akan mampu melupakan kesalahan orang lain”.
Betullah kan…semua pun manusia.  Tak ada manusia yang sempurna. Kadang-kadang manusia melakukan kesalahan sama ada secara sengaja, tak sengaja atau terlupa.  Dan yang lebih penting, kita kena sentiasa ingat kita pun manusia.  Sama macam manusia lain, kita pun buat salah.  Kalau kita marah orang dengan kesalahan mereka, pasti ada orang lain pun yang tak senang dengan kesalahan kita.  Jadi, daripada asyik memikirkan kesalahan orang, baik juga kalau direnungkan pulak kesalahan sendiri…semoga timbul kesedaran untuk memohon keampunan dari Allah dan manusia lain serta memperbaiki kesalahan yang pernah dilakukan, insya Allah. 
Dan pelajaran untuk saya hari ni, ohh, sebelum tu, alhamdulillah, syukur sangat sebab saya diberi peluang untuk meneliti sehalaman dua lagi bait-bait bicara Ibnu Katsir.  Surah al-Baqarah, ayat 112.
“..dan barangsiapa yang berserah diri kepada Allah, sedangkan dia berbuat kebajikan, maka baginya pahala pada sisi Tuhannya, dan tidak ada kekhuatiran terhadap mereka dan tidak pula mereka bersedih hati.”
Antara penerangan yang mengikuti ayat tu adalah syarat untuk sesuatu amalan itu diterima ada dua.  Yang pertama, mesti ikhlas kerana Allah dan kedua, amal tersebut mestilah mengikut landasan syariat Islam. 
Contoh amal ikut syariat tapi tanpa keikhlasan, huraian dalam teks, dari Surah An-Nisa, ayat 142:
Dan apabila mereka berdiri untuk bersolat, mereka berdiri dengan malas.  Mereka bermaksud riya’ di hadapan manusia. Dan tidaklah mereka menyebut Allah kecuali sedikit sekali.”
Teringat dulu ayah selalu pesan, kena solat sebab Allah suruh, bukan sebab takut ayah marah.  Bila baca huraian ni, terfikir pulak saya, kalau dianalisa sedalam-dalamnya, setakat manalah agaknya amalan saya didasari dengan keikhlasan kerana Allah.
Huraian untuk syarat kedua, agak panjang lebar.  Amal bukan semua amal termasuk amal yang diterima.  Teringat pulak saya dengan majlis-majlis seperti “Konsert Amal” dan majlis lain yang sama waktu dengannya.  Tak ada salahnya nak buat apa amal pun, cuma memandangkan objektif utama setiap amalan adalah mengharapkan redha Ilahi Rabbi, maka sewajarnya diusahakan sebaik mungkin untuk memastikan amal selari dengan syariat sebab, mengikut hadis yang diriwayatkan oleh Saidina Aisyah, sabda Baginda Rasulullah S.A.W., “Barangsiapa yang mengerjakan sesuatu amal yang bukan termasuk dalam urusan kami, maka amal iti ditolak”.  Manakala dalam Surah al-Furqan ayat 23, Allah katakan amal yang tidak mengikut syariat akan dijadikan debu yang berterbangan.  Tak bawa apa-apa faedah pun di sisiNya.  Sekadar membuang tenaga dan waktu yang tersisa.
Semoga Allah kurniakan saya kekuatan untuk melakukan penyelarasan amalan yang terbaik, dengan memanfaatkan bicaraNya yang disampaikan pada saya hari ini.  Amin.
Eh, sebut istilah “penyelarasan”, teringat saya dengan konsep penyelarasan ke arah keseimbangan yang selalu muncul dalam teori-teori ekonomi.  Ya jugak kan, dalam konteks sebuah kehidupan.  Hidup bukan statik tapi dinamik.  Akhlak dan ibadah perlu sentiasa diselaraskan dengan ilmu yang Allah kurniakan.  Sebaiknya, bila dapat ilmu baru, maka akhlak dan ibadah perlu disesuaikan dengan menyelaraskan segala aspek kehidupan supaya lebih selari dengan apa yang Allah syariatkan dan supaya semakin menghampiri Ilahi Rabbi.  (Macam firma menyelaraskan paras output bila harga berubah untuk memaksimumkan keuntungan).  Agar kedudukan keseimbangan akhir yang dicapai adalah yang pertama terbaik, atau yang dikenali sebagai the first best.”

Friday, September 23, 2011

02: 99-103 Kisah Harut dan Marut



Rupanya Harut dan Marut ni merupakan dua orang malaikat yang dipilih untuk mewakili para Malaikat lainnya, bagi merasa bagaimana keadaannya menjadi anak Adam (manusia la tu..).  Banyak versi dalam Tafsir al-Katsir, antaranya yang diriwayatkan oleh Ibnu Abbas.

Masa kejadian: zaman kerasulan Nabi Idris A.S.  Kisahnya bermula apabila para Malaikat di langit mengutuk anak-anak Adam di bumi yang sentiasa melakukan maksiat dan melanggar perintah Allah.  Para Malaikat pun mengadulah kepada Allah bagaimana sikap makhlukNya yang bernama manusia.  Namun, Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang dan Maha Mengetahui mengatakan, “Sesungguhnya Aku menimpakan cubaan terhadap mereka, barangkali jika Aku timpakan cubaan yang sama terhadap kalian, kalian pun akan bertindak seperti mereka.”  Dengan penuh keyakinan, para Malaikat menjawab, “Tak mungkin.”

Maka Allah pun menyuruh para Malaikat untuk memilih dua orang yang paling utama dari kalangan mereka, untuk dijadikan duta menyertai anak Adam di muka bumi.  Eh…macam eksperimen makmal ni.  Hipotesis: Bila Malaikat diberikan nafsu dan cubaan sebagaimana seorang anak Adam, mereka pun ada kecenderungan untuk melakukan maksiat sebagaimana anak Adam.  Nak tengok betul ker tak sebab Malaikat nafikan sekeras-kerasnya.  Mesyuarat punya mesyuarat, pilih punya pilih, calon-calonnya yang terpilih adalah Harut dan Marut.  Allah Yang Maha Kuasa pun melengkapkan mereka dengan segala nafsu sebagaimana yang dimiliki oleh anak Adam lainnya.  Dan Allah pun jelaskan aturan yang perlu diikuti oleh Harut dan Marut: Hanya menyembah Allah dan jangan menyekutukan Allah, tak boleh membunuh jiwa yang diharamkan, tak boleh makan benda yang haram, tak boleh minum arak, mencuri dan berzina.

Turunlah Harut dan Marut ke bumi, membantu mengadili hukum sesama manusia secara hak, lebih kurang jadi hakim lah kot.  Dengan kehendak Allah, pada masa yang sama, terdapat seorang wanita jelita bernama Zaharah.  Dikatakan, Zaharah adalah wanita tercantik pada tika dan waktu.  Cantiknya Zaharah berbanding wanita lain yang sama waktu dengannya sebagaimana cantiknya planet Zuhal berbanding planet-planet lain.  Namapun wanita cantik…maka Malaikat Harut dan Marut ni pun terpikat dan tertarik dengan Zaharah.

Mula-mula Zaharah meletakkan syarat, kalau benar nak dampingi beliau, mesti sanggup menyembah berhala.  Harut dan Marut pun menolak.  Sebab pesan Allah, tak boleh menyekutukan Allah dengan apa juga pun.  Tak lama selepas tu, Harut dan Marut menemui Zaharah sekali lagi.  Syarat yang sama dikenakan oleh Zaharah, pun mereka dengan tegas menolak.  Kali ketiga, (dah tak ada wanita lain ker masa tu agaknya ataupun Zaharah tu memang teramat cantik la kot…dah dua kali kena reject pun, syarat tak munasabah pulak, pun Harut dan Marut nakkan si Zaharah jugak…nilah namanya kuasa wanita kan), Zaharah pun kenakan syarat yang lain sikit: dia bagi pilihan atau opsyen kata orang sekarang.  Sama ada menyembah berhala, membunuh atau minum arak.  Tergugat iman Harut dan Marut.  Fikir mereka, antara ketiga-tiga tu, yang paling ringan minum arak kot.  So, mereka pun minum arak.  Kesannya, mabuk.  Dalam keadaan mabuk, mereka menggauli Zaharah.  Kemudian, Zaharah dibunuh sebab takut perbuatan mereka diketahui orang.  Jadi, dosa yang mereka lakukan – minum arak, berzina dan membunuh.  Semuanya yang dah dilarang keras oleh Allah.

Bila mereka telah sedar dari mabuk, barulah mereka menyedari perbuatan dosa yang telah mereka lakukan.  Malaikat-malaikat di langit pun menginsafi bagaimana sifat dan dugaan yang Allah jadikan untuk anak Adam.  Sejak itu, para Malaikat sering memohon ampun untuk penduduk bumi sebagaimana yang diceritakan Allah dalam Surah Syura, ayat 5:  “Dan malaikat-malaikat bertasbih dan memuji Tuhannya dan memohonkan ampun untuk penduduk di bumi.” 

Harut dan Marut disuruh memilih untuk di azab di dunia atau di akhirat.  Keduanya memilih untuk diazab di dunia.

Lessons of the day:

1.    Agaknya nilah yang orang putih kata, “ put yourself in the person’s shoes”.  Lebih kuranglah…pepatah nenek moyang sendiri pun tak berapa nak pandai, apalagi pepatah nenek moyang orang lain.  Maksudnya, sebelum suka-suka nak menganalisa perbuatan orang, apalagi mengumpat mengata, letaklah dulu diri sendiri dalam kedudukan orang tu.  Entah kan kalau kita berada dalam situasi yang sama, entah macam manalah gelagat kita kan.  Kita tak akan mampu faham tindakan orang lain selagi kita tak berada di tempatnya atau tak diuji dengan dugaan yang sama.  Macam kata orang, berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Janganlah sesedap hati jer nak buat statement, “kalau aku kan, ….”
2.   Betapa Allah Maha Adil dan Maha Penyayang.  Allah yang menciptakan segala makhluk, baik manusia, jin ataupun malaikat.  Dan Maha Suci Allah melengkapkan ciptaanNya dengan memberikan ganjaran yang sewajarnya dengan sifat setiap makhluk yang dicipta.  Teringat saya pada kisah penciptaan malaikat Jibrail, setelah Allah menciptakan Jibrail, malaikat Jibrail pun menunaikan solat sunat dua rakaat, yang setiap rakaat memakan masa dua puluh ribu tahun.  Selesai solat tersebut, Allah berfirman kepada Jibrail, “Wahai Jibrail, kamu telah menyembah Aku dengan bersungguh-sungguh dan tidak ada seorang pun yang menyembahKu seperti ibadah yang kamu lakukan, tetapi di akhir zaman nanti akan datang seorang nabi yang mulia, yang paling Aku cintai bernama Muhammad. Dia mempunyai umat yang lemah dan sentiasa berdosa.  Seandainya mereka mengerjakan solat dua rakaat, maka demi kemuliaanKu dan ketinggianKu, sesungguhnya solat mereka itu lebih Aku sukai daripada solatmu, kerana mereka telah mengerjakan solat itu atas perintahKu sedangkan solat kamu bukan atas perintahKu”.

02: 99-103

Lamanya tak menelaah manual yang Allah bagi.  Cuma disebabkan saya selalu gunakan versi elektronik, (muatturun percuma Tafsir Ibnu Katsir) maka taklah bersawang.  Kalau format buku, agaknya jenuh nak kena bersihkan debu dan habuk sebelum boleh baca semula.

Hari ni, pembacaan saya sampai kepada ayat 99-103, yang menceritakan tentang asal-usul segala macam sihir a.k.a. black magic yang ada sampai sekarang.  Masya Allah, macam-macam yang terkandung dalam al-quran tapi sebab tak pernah kisah nak baca tafsirnya, manalah nak tahu kan. 

Seperti biasa, tafsir Ibnu Katsir menerangkan beberapa versi pentafsiran dan hikayat di sebalik ayat-ayat tu.  Intipatinya, ilmu sihir dan meramal atau menilik masa depan ni berasal daripada gelagat syaitan yang suka mencuri dengar bicara para malaikat tentang perkara yang bakal berlaku di bumi seperti kematian, (orang putih kata eavesdropping).  Namapun syaitan…dah tentu ini pun dijadikan senjata untuk mengumpulkan umatnya di kalangan manusia.  Dengan bijaknya, syaitan-syaitan membisikkan rahsia ini kepada the so called ahli nujum atau tukang tilik.  Tu nama zaman dulula…zaman internet, golongan ini pakai nama yang sesuai dengan peredaran zaman, contohnya, “Feng Shui Master” dan “Pakar Horoskop”. 

Kononnya, disebabkan bisikan syaitan tu benar, maka ahli nujum and the gang semakin percayalah kepada bisikan syaitan.  Bila dah berjaya “earn the trust”, syaitan mula menambah-nambah segala bentuk dusta dan nista ke dalam bisikan mereka untuk menyedapkan lagi resipi sihirnya.  Licik sungguh strategi syaitan kan….mula-mula dapatkan dulu kepercayaan, lepas tu bila orang dah percaya, baru mula taburkan dan selitkan yang karut marut.  Dah tu, segala resipi sihir ni dibukukan pulak untuk rujukan ramai.  Komuniti syaitan pun ada system dokumentasi rupanya.

Peristiwa ini terjadi zaman pemerintahan Nabi Allah Sulaiman A.S.  Bila Baginda mengetahui, semua fail-fail kursus sihir ni dirampas dan dimasukkan ke dalam sebuah peti.  Peti tu dikuburkan di bawah singgahsana beliau sendiri.  Dikatakan, tak ada syaitan pun yang boleh mendekati singgahsana tu melainkan akan terbakar.  Selepas kewafatan Nabi Allah Sulaiman, syaitan memerintahkan manusia untuk menggali segala khazanah sihir itu semula tetapi dengan membuat cerita bahawa khazanah sihir tersebut merupakan apa yang digunakan oleh Nabi Allah Sulaiman untuk mencapai kekuasannya seperti keupayaan menguasai segala binatang-binatang dan menguasai arah perjalanan angin.  Ini menyebabkan Bani Israil kemudiannya menganggap Nabi Sulaiman merupakan seorang ahli sihir.  Sebab itulah dalam al-Quran, surah al-Baqarah, ayat 102, Allah menerangkan sesungguhnya Nabi Sulaiman bukan ahli sihir sebagaimana yang didakwa.  Sebaliknya, syaitanlah yang mengajarkan ilmu sihir kepada manusia.

Dalam ayat yang sama, Allah sebutkan juga nama dua orang malaikat, Harut dan Marut.  Dan bila saya scroll ke bawah, ada bahagian yang bertajuk “Hadis tentang Harut dan Marut.”  Ok, sambung lagi bacaan nanti….

Monday, September 19, 2011

Kenapa Isi Rumah Berhutang: My Research Output



Sebagai ahli akademik, menjalankan penyelidikan adalah wajib.  Maka, dalam kapasiti saya sebagai seorang ahli akademik, saya pun mencari-cari tajuk untuk diselidiki.  Isu yang menarik perhatian saya adalah kadar keberhutangan isi rumah yang relative tinggi di Malaysia.  Dari segi statistik, pada tahun 2010, nisbah hutang isi rumah kepada  KDNK negara adalah pada 138.2% (sumber: Kementerian Kewangan Malaysia).  Untuk memperlihatkan makna angka sebanyak ini, kita bandingkan prestasi negara lain dalam aspek hutang isi rumah – Thailand (52.7%), Singapura (105.3%) dan Amerika Syarikat (123.3%).  Kira juaralah Malaysia ni bab hutang.  Manakala nisbah bayaran hutang berbanding pendapatan boleh guna di Malaysia adalah 49% (2009) sedangkan nisbah yang dianjurkan adalah 30%.

Objektif asal kajian saya adalah untuk melihat apakah kedudukan hutang isi rumah negara merupakan satu ancaman kepada kestabilan ekonomi.  Wow…kononlah.  Selidik punya selidik, data tak mengizinkan.  Yalah…kalau nak buat inferens yang makro macam tu, datanya kena menyeluruh.  Hampir semua penyelidikan yang serupa di negara maju menggunakan data banci isi rumah.  Maknanya, dalam banci tu kena ada maklumat tentang harta dan juga tanggungan hutang isi rumah.  Mana ada data macam tu dalam banci negara.  Nak buat survey, jenuh jugak.  Saiz sample kena memadai, boleh mewakili satu negara.  Enumerator kena ramai dan dananya pun kenalah banyak.  (Apapun, saya amat berterima kasih kepada pembayar cukai negara yang membiayai penyelidikan saya).

Fikir punya fikir dan setelah berbulan-bulan mendampingi karya-karya berkaitan, saya pun buat keputusan untuk cuba kaji dulu peringkat mikro, memahami kenapa isi rumah berhutang.  Dalam bahasa lain, memahami gelagat isi rumah dalam membuat keputusan untuk berhutang.  Walaupun tajuk tak gempar macam perancangan awal, pada saya memahami gelagat isi rumah menggunakan data mikro juga adalah penting untuk mendapatkan gambaran sebenar kenapa isi rumah berhutang, supaya boleh dijadikan panduan dalam membentuk polisi yang bersesuaian.  Memetik kata-kata Elizabeth Warren, seorang sarjana ekonomi yang pakar bab hutang isi rumah, “polisi yang berkesan mesti bermula dengan memahami gelagat isi rumah.”  Betul jugak kan, kalau buat polisi sesedap rasa macam tanam pokok depan rumah, itu yang kadang-kadang polisi wujud, kesannya tak ada.

Proses biasa dalam penyelidikan….menjalankan survey untuk mendapatkan data dan menganalisis data, pun macam biasa menuntut masa dan ketekunan serta kesabaran.  Ini antara sebab utama yang menyebabkan saya meninggalkan blog tanpa nafkah beberapa lama.  Apapun, yang penting, banyak perkara yang saya belajar dari proses penyelidikan ni.  Antaranya, ketelitian adalah pra syarat dalam penyelidikan, bermula daripada penyediaan borang soalselidik sampai kepada proses pemprosesan data sehinggalah kepada penulisan laporan. 

Teori yang saya gunakan untuk memahami kenapa isi rumah berhutang adalah teori ekonomi konvensional juga teori ekonomi heterodoks.  Kata sarjana ekonomi konvensional, memandangkan mereka mengandaikan manusia adalah rasional (manusia sentiasa membuat keputusan secara waras dan berasas)  maka isi rumah berhutang untuk menampung perbelanjaan penggunaan ataupun untuk membiayai pembelian asset seperti rumah dan kereta, atau untuk menampung perbelanjaan kecemasan.  Jumlah hutang pulak, kata orang macam patut padanlah dengan pendapatan dan anggaran pendapatan masa depan.  Kalau rasa sepuluh tahun lagi, pendapatan bulanan boleh mencecah lima angka, maka banyaklah hutang isi rumah tu sebab yakin ada keupayaan membayar balik.

Teori ekonomi heterodoks pulak kata, (heterodoks ni yang tak setuju dengan teori konvensional, tak percaya manusia sentiasa waras dalam membuat keputusan) manusia berhutang sebab manusia bukan berbelanja mengikut pendapatan.  Apa yang menentukan pola perbelanjaan isi rumah sebenarnya adalah pendapatan relative atau pendapatan orang lain yang berada di kawasan persekitaran.  Jiran, kawan, rakan sekerja, saudara-mara dan jugak orang yang kita tengok dalam televisyen.  Tu laras bahasa ekonomi, laras bahasa basahan, isi rumah berhutang sebab pantang tengok apa orang ada, kita pun nak jugak.  Fenomena biasa kan dalam masyarakat kita.  Jiran beli langsir baru, kita pun nak jugak tukar langsir.  Rakan sekerja beli beg tangan baru jenama sekian sekian, kita pun nak jugak pakai beg tangan jenama antarabangsa yang harganya mencecah lima angka.  Apa orang makan, kita pun nak jugak rasa.  Perfume apa orang pakai pun kita nak ikut pakai.  Masalah yang lebih rumit adalah mengikut teori, yang akan meletakkan tanda aras atau menjadi “trendsetter” kepada penggunaan sesebuah masyarakat, dah tentulah yang berpendapatan relative tinggi.  Atau paling koman, golongan menengah dalam sesebuah masyarakat.  Kalau tak, isi rumah akan merasa ketinggalan sebab menggunakan barangan yang tidak standard.  Logiklah kan…mana ada orang teringin nak ikut amalan atau mengidam nak mendapatkan barangan yang dimiliki oleh golongan bawahan, mesti sentiasa nak ikut golongan atasan.  Itu dah resam manusia.  Bila pendapatan rendah, nak berbelanja ikut pola perbelanjaan orang yang berpendapatan tinggi, dah tentulah kena berhutang.  Lebih-lebih lagilah dalam era teknologi sangat canggih dan komunikasi sangat maju, sosialisasi sangat luas.  Tengok dalam majalah, tengok dalam tv, tengok dalam FB.  Lagilah pengaruh sosial dari segi “nak jugak apa orang lain” menular dan berjangkit dengan jayanya.

Kajian saya memfokuskan kepada isi rumah bandar.  Dapatan kajian saya menyokong kedua-dua teori ekonomi.  Dari satu segi, isi rumah yang berhutang kebanyakannya merupakan golongan muda yang baru nak memulakan kehidupan, dalam erti kata baru bekerja, baru nak membeli rumah dan kereta pertama jadi perlu berhutang.  Pendapatan yang rendah bukan sebab utama orang berhutang.  Pada masa yang sama, golongan yang berhutang juga merupakan mereka yang amat peka kepada status sosial.  Ertinya, sangat peka kepada kedudukan mereka berbanding orang sekeliling – khususnya jiran dan rakan sekerja.    Ini memberi indikasi kemungkinan besar, keputusan untuk berhutang dipengaruhi oleh keperluan untuk berbelanja mengikut pola penggunaan yang dirasakan diiktiraf oleh masyarakat.  Sama jugak bila dianalisa golongan yang mempunyai hutang yang relative tinggi (nisbah bayar balik bulanan lebih 30% daripada pendapatan).  Yang signifikan adalah kepekaan terhadap status sosial.


Fikir-fikir, mungkin jugak ada kebenarannya.  Contoh mudah, saya perhatikan diri saya sendiri – jugak salah seorang penghuni bandar dalam kelas pekerja.  Kalau saya berbelanja sebagaimana saya dibesarkan oleh mak dan ayah, sentiasa pastikan perbelanjaan lebih rendah daripada pendapatan, dan sentiasa bersederhana, hutang mungkin boleh dihadkan kepada pembiayaan rumah dan kereta.  Tak ada hutang kad kredit.  Tapi disebabkan dengan corak hidup zaman sekarang….minum kopi kat Coffee Beans.  Makan kat luar agak selalu...Pizza la, itulah, inilah.  Barang penggunaan pulak….mudahnya coklat.  Mana nak makan coklat “Van Houten”, saja-saja pi beli coklat entah apa nama yang ada cap “Made in Switzerland”.  Makan aiskrim, nak yang nama “Haagen Dazs” atau “Baskin Robbin”.  Fikir-fikir balik, dulu makan aiskrim entah apa aja, ok jugak pun.  Belum lagi bab mainan anak-anak, kalau beli nak yang ada tulis “Fisher Price” ….padahal lama-lama buang jugak.  Kasut pun, yang nama “Bata” tak mau, nak yang kurang-kurang pun ada tulis, “Clark”, walhal lama-lama koyak jugak.  Ergh….mana ada rasional dalam proses pembuatan keputusan berhubung hal-ehwal kewangan ni.

Jadi, dalam keadaan ini, kalau kerajaan nak kurangkan hutang isi rumah, yang perlu dilakukan adalah mendidik masyarakat tentang pentingnya membuat keputusan penggunaan berlandaskan pendapatan.  Bantuan dalam bentuk subsidi tak akan dapat menyelesaikan masalah beban kewangan isi rumah sebab kalau keputusan kewangan disebabkan oleh perbandingan sosial, subsidi banyak mana pun tak akan cukup.

Yalah, mungkin ada golongan yang akan membantah, mengatakan isi rumah sebenarnya berhutang untuk menampung kos sara hidup yang tinggi.  Saya tak nafikan ini benar untuk sesetengah kes.  Tapi, definisi sara hidup pun memerlukan pentafsiran kan.  Makanan asas adalah nasi dan lauk yang sewajarnya ikut paras pendapatan. Bukan KFC, McD dan makanan yang orang kaya makan.  Pakaian asas pun ertinya pakaian sekadarnya.  Bukan kena beli tudung baru sentiasa ikut perkembangan fesyen terkini.  Teringat zaman saya belajar dulu, bising siswa-siswi merungut biasiswa tak cukup.  Mana nak cukup, dapat aja duit biasiswa, ziarah Jalan Tar.  Baju kena baru, kasut nak baru, tudung nak baru…walhal kalau pakai baju lama, pensyarah halau dari dewan kuliah ker?  Makan dah tentu KFC.  Nak pergi majlis makan malam pulak, wajib beli baju baru dan kasut baru yang mencecah ratusan ringgit. Tapi buku rujukan tak pernah beli sebab biasiswa kerajaan bagi tak cukup….

Sebagai seorang Muslim, saya pun amat takut dengan hutang sebab saya tahu hutang memang dibawa mati.  Malah banyaknya hadis baginda Rasul yang menceritakan bagaimana buruknya akibat kalau mati sebelum hutang sempat dilangsaikan.  Antaranya tak bermakna segala amalan kalau hutang tak selesai.  Baginda Rasulullah sendiri pun sentiasa bermohon supaya Allah lindung daripada jenayah “hutang” ni.  Duhai diri…..boleh tak ingat dan insaf dengan kenyataan ni?  Bila la nak faham….

Teringat berbual dengan seorang sahabat, Hanira Hanafi suatu waktu dulu.  Kita orang cakap, sebaiknya ditulis di atas resit kredit kad, sebelum tempat tanda tangan tu, hadis-hadis akibat berhutang ni, supaya kita fikir dua kali sebelum “sign”.


Friday, September 16, 2011

Pensyarah Dulu vs Pensyarah Sekarang

Lamanya tak mencorat-coret kat blog ni atau pun blog resipi.  Sibuk beraya. Sibuk dengan penyelidikan dan penyediaan kertas seminar.  Ditambah pulak dengan semester yang baru bermula.  Jadi, bertambah sibuk dengan kerja-kerja persediaan kelas dan pengisian borang berkaitan pengajaran yang semakin bertambah.  Tapi orang kata, nak seribu daya, tak nak seribu dalih.  Komen Taufik dan message dari seorang bekas student mengingatkan saya lamanya saya mengabaikan blog tanpa nafkah. 

Dalam kesibukan melengkapkan segala macam borang ni, teringat saya bagaimana suatu waktu dulu, saya amat teruja dengan kerjaya sebagai seorang pensyarah.  Masa tu selalu pi rumah Mak Su, adik bongsu mak, seorang pensyarah di UKM.  Selalu ikut menyibuk kat pejabat dia.  Wah, tulah sumber inspirasi saya.  Bestnya jadi pensyarah.  Bilik seorang satu…senang nak duduk buat kerja senyap-senyap.  Nak solat.  Nak membaca.  Nak berfikir dan mencari ilham…(ye lah tu…).  Jadual waktu kerja, sangat fleksibel.  Boleh balik awal, masak dan tunggu suami balik kerja.  Sangat ideal untuk yang bercita-cita nak jadi isteri solehah.  Ringkasnya, masa tu, bila saya tengok Mak Su, berkobar-kobarlah cita-cita saya nak jadi pensyarah walaupun jauh di sudut hati, macam tak confident nak sambung belajar sampai ke peringkat PhD. 

Iklan sekejap: teringat dulu, seorang rakan seangkatan di UM, Ashraf, pernah kata, “saya rasa nanti Roza mesti jadi pensyarah kat sini (FEAUM)”.  Tapi masa tu, saya tengah bosan sangat dengan FEAUM dan tak nak sangat duduk kat KL.  Saya cakap saya tak ada minat langsung nak kerja kat UM.  Nak cepat-cepat tinggalkan FEAUM.  Tak sedikit pun pernah terlintas di minda, akan bermastautin di Universiti Malaya.

Sayangnya, zaman sekarang kerjaya pensyarah tak lagi seindah tu.  Sebagai permulaan, Sara, puteri tunggal saya yang baru berumur 4 tahun komen, “Mummy, kakak nanti tak mau kerja.  Nak duduk rumah saja.  Biar suami akak saja kerja.  Kalau kerja nanti, takut kakak jadi busy macam Mummy.” 

Apapun, perkembangan mutakhir dunia akademik pada saya amat menyedihkan.  Saya tak nak komen apa-apa tentang cerita nak naikkan ranking ker manking ker.  Tak ada kelayakan pun untuk saya debatkan topic tu.  Tu bidang bicara pihak pengurusan.  Yang saya nak cerita cuma tentang perbezaan tugas pensyarah dulu dan hari ni. 

Zaman saya bergelar mahasiswi dulu…lama dulu la.  Cerita hikayat.  Tak wujud istilah fail kursus zaman tu.  Istilah PDCA pensyarah tak kenal.  Tersebutlah kisah pensyarah masuk kuliah, tajuk apa dia nak cakap, cuma dia yang tau.  Suka hati dia.  Mana ada LO (nama glamer)…nama kampungnya, objektif pembelajaran atau hasil pembelajaran.  Pensyarah bersyarah atau bacalah apa dia orang rasa nak ajar untuk kursus tu.  Siswa-siswi tak ada profroma, tak diberi maklumat semasa.  Yang ada sekadar buku panduan warna hijau yang menyenaraikan senarai rujukan dan kandungan dan synopsis kursus.  Adalah dalam lima enam baris cerita pasal kursus tu.  Masuk kuliahlah baru tahu apa tajuknya, apa ceritanya.  Tupun takat tahu saja, faham err….kawan-kawan lain saya tak tahu.  Tapi saya, rasanya paling banyak saya faham 10% kot dari kuliah.  Sebab sibuk dok menyalin apa yang pensyarah kata atau ada jugak pensyarah yang baca saja.  Salinlah semuanya…kadang-kadang tak tau kat mana nak titik, kat mana nak koma.  Belasah saja dulu.  Kalau pensyarah yang baca tu, kadang-kadang tak tau pun mana tajuk, mana sub-tajuk, mana isi kandungan.  Sebab pensyarah baca tak ada intonasi, tak ada thoma’ninah.  Salin dulu, lepas tu balik baca dan asingkan dan baru cuba fahamkan.  Sesetengah kursus, habis kuliah dua jam, rasa nak tercabut tangan sebab menulis tanpa henti.  Saya ingat lagi, kuliah-kuliah Ekonomi Kebajikan, Ekonomi Pembangunan, Ekonomi Monetari, Teori Perdagangan Antarabangsa adalah kuliah yang saya tak sanggup nak ponteng sebab kalau ponteng jenuh nak salin balik nota. 

Assignment?  Tak banyak sebab kebanyakan kursus tak wujud penilaian berterusan macam zaman sekarang.  Semuanya seratus peratus peperiksaan akhir.  Skema? Tak pernah berani tanya.  Tahu-tahu dapat gred akhir.  Tak pernah tahu pun macamana boleh dapat A atau sebab apa dapat B.  Kadang-kadang ada kursus yang rasa macam boleh dapat A, tengok-tengok dapat B.  Ada pulak yang rasa macam cara jawab tu, dapat F, alih-alih dapat A, (kursus statistik la ni…)  Nasib assignment lagi tak tahu….kat mana silap, betul tak format.  Isi cukup ke tak.  Mana pernah dapat feedback.


Apapun, Alhamdulillah, saya dan rakan-rakan survive aja.  Walaupun taklah pandai, tapi rasanya tak lah teruk sangat kot….

Zaman sekarang, zaman saya jadi pensyarah.  Ish…borang segala macam borang nak kena isi, kena Plan, lepas tu Deliver, lepas tu Check, kemudian Assess.  Senarai borang yang perlu diisi (baru senarai) untuk setiap kursus yang diajar tak cukup satu muka surat kertas A4.  Nak isi borangnya pulak…dah tentu bukan sejam dua, bukan sehari dua waktu bekerja.  Kuliah tutorial mana boleh batal sesuka hati pensyarah macam dulu, walaupun ada hal.  Kalau cuti sebab sakit ker, sebab pergi persidangan ker, semuanya kena ganti.  Ada pulak penilaian berterusan.  Sepanjang semester kena bagi tugasan, buat penilaian dan bagi maklumbalas kepada siswa-siswi.  Macam saya yang setiap semester mengajar dua kursus wajib ni...bila kursus wajib, pelajarnya dah tentulah ramai.  Maka banyaklah pulak tugasan dan kertas ujian yang perlu saya tanda sepanjang semester. Belum lagi dengan kerja-kerja penyelidikan, penerbitan, penyeliaan calon sarjana dan doktor falsafah.

Sebagai seorang ahli akademik, saya taklah menolak usaha penambahbaikan kualiti pengajian tinggi negara.    Cuma pada saya, pembinaan kerjaya pensyarah, dalam erti kata membina kepakaran dalam sesuatu bidang pengkhususan adalah satu proses yang memerlukan masa dan ruang yang secukupnya.  Bukan satu yang boleh tercipta sekelip mata, atau dalam masa semalaman.  Sebab ia melibatkan proses pembelajaran, penyelidikan dan penerbitan yang dilakukan dengan penuh minat, ketekunan dan kesabaran.  Barulah ilmu dapat ditimba seterusnya dihadamkan dengan sebaiknya, untuk dimanfaatkan pula dalam bentuk pengajaran dan penyelidikan sebagai sumbangan kepada pembangunan nusa bangsa.  Beban yang keterlaluan akan memaksa segalanya dilakukan secara tergesa-gesa.  Takut hasilnya nanti pun taklah setakat mana.

Agaknya, boleh tak tengok-tengokkan beban kerja pensyarah?