Friday, July 29, 2011

Puasa Orang Umum, Orang Khusus dan Orang khusus Khusus



Saya amat terkesan dengan status Ustaz Zahazan, tajuk kuliah yang akan disampaikan beliau, “Andainya ini Ramadhan yang terakhir, layakkah kita berhari raya?”.  Sempat merasa Ramadhan ke tidak kali ni, pun tak pasti lagi.  Apa yang pasti, budaya sambutan raya yang “over” masih jadi amalan.  Dah siap tempah kuih raya itu dan ini, (justifikasi: hubby dah pesan siap-siap, kalau nak kuih raya, beli aja.  Jangan sia-siakan masa Ramadhan nanti dengan buat biskut itu dan ini.  Masak simple-simple cukup untuk berbuka, jangan habiskan masa Ramadhan banyak kat dapur).  Walhal, mungkin ini Ramadhan terakhir (kalau sempat ketemu Ramadhan).  Macam firman Allah dalam Surah Luqman, sedangkan apa yang akan dikerjakan esok pun tak siapa pun yang tahu dengan pasti.  Apalagi Ramadhan semusim yang akan datang. 

Mengingatkan Ramadhan yang bakal tiba, insya Allah, saya tergerak untuk baca balik sikit-sikit bab Puasa.  Sekadar mengingatkan diri tentang cerita puasa – rukunnya, apa yang sunat dan apa yang menghapuskan pahala puasa sebab teringat pada hadis Baginda Rasulullah S.A.W., “Ramai orang yang berpuasa tetapi tidak memperoleh apa-apa melainkan lapar dan dahaga.”  Dan nampak jugak puasa sunat belum jadi amalan saya, sebab tu bila nak puasa Ramadhan, nak kena “refresh” balik pengetahuan yang ada.

Menurut buku intipati Ihya Ullumiddin, puasa ada tiga peringkat, puasa orang umum, puasa orang khusus dan puasa orang khusus Khusus.  Definisinya adalah seperti berikut:
·         Puasa umum adalah dengan menahan perut dari makan, minum.
·         Puasa khusus juga menahan diri dari makan dan minum, ditambah dengan menahan pendengaran, penglihatan, lidah, tangan, kaki dan anggota badan lain daripada dosa.
·         Puasa yang khusus khusus ialah selain dari melakukan yang di atas, ditambah pula dengan puasa hati, yakni dikawal dari segala perkara remeh, keduniaan dan pendeknya ingat Allah semata-mata.

Seterusnya diterangkan juga rahsia dan syarat puasa batin (puasa khusus):
·         Menahan pandangan dari segala sesuatu yang tercela dan dibenci atau kepada sesuatu yang boleh menyebabkan kelalaian hati serta melupakan dari berzikir kepada Allah.
·         Menjaga lidah dari perkara yang tidak bermanfaat, berdusta, mengumpat (gossip-gossip), mengadu domba, caci maki dan yang sewaktu dengannya (dalam zaman IT ni, kena jaga jari jugak bila menaip kat blog atau Wall FB).
·         Menahan pendengaran dari mendengar segala yang dibenci Allah sebab segala yang haram diucapkan, haram juga didengar.  Kata buku tu, dengar sesuatu yang haram sama statusnya dengan makan sesuatu yan haram.  Err..saya baru tahu ni.
·         Menahan anggota badan yang lain seperti tangan dan kaki dari perbuatan yang berdosa.  Demikian juga menahan perut dari segala yang syubhat pada waktu berbuka. Rasionalnya, buat apa penat berpuasa, tetapi waktu berbuka memasukkan makanan yang haram atau diperoleh dari sumber yang haram.
·         Mengawal nafsu makan di waktu berbuka dan waktu malam.  Huraiannya menyentuh tentang elakkan persediaan berbuka yang melampaui batas.  Termasuklah jangan memborong makanan secara keterlaluan di Pasar Ramadhan.  Sekarang dah macam jadi adat dan budaya, yang dinanti dalam bulan Ramadhan (kata orang putih, looking forward) adalah kewujudan Pasar Ramadhan yang menyediakan pelbagai hidangan dan juadah.  Segala macam air, lauk-pauk, kuih-muih, buah-buah dan segalanya.  Sebut aja hidangan dari pelosok mana tanahair pun ada belaka…Nasi Ulam Utara, Nasi Beriani Gam Johor, Nasi Kerabu Kelantan, Nasi Dagang Trengganu, Nasi Kandar Pulau Pinang, semua ada.  Nak Kek Batik Sarawak pun ada, Murtabak Singapore pun boleh dapat.
·         Yang paling akhir, setelah berbuka puasa, hati mesti mempunyai harapan dan ketakutan.  Sama macam ibadah lain, hati mesti berharap agar amalan puasa diterima dan pada masa yang sama, takut amalan puasa hanya sekadar mendatangkan lapar dan dahaga semata-mata.  Sebab tak siapa pun tahu apakah amalan yang dilakukan diterima Allah.Ohh…saya tak pernah muhasabah diri sebegini selama 37 tahun hidup dan 30 tahun berpuasa. 

Fuh…bukan mudah nak memenuhi syarat puasa sebenarnya.  Sebab itulah, puasa Ramadhan dikatakan satu tempat latihan jiwa dan nafsu yang cukup komprehensif.  Sesiapa yang berpuasa dengan sebenar-benar puasa di bulan Ramadhan akan meninggalkan Ramadhan dengan membawa segala kesan positif dari segi ibadah, akhlak dan tingkah laku.

Semoga Allah kurniakan saya dan keluarga rahmat untuk menunaikan ibadah puasa Ramadhan sebaik mungkin.  Semoga Ramadhan kali ini lebih baik dan sempurna dari sebelumnya.  Lagipun, tak siapa tahu, kalau pun dapat menyalami Ramadhan tahun ini, ia mungkin yang terakhir.  Teringat pulak dengan insan-insan yang saya kenali, yang tahun lalu masih ada di hari raya, Ramadhan kali ni dah pergi menyahut panggilan Ilahi.  Tiada lagi Ramadhan untuk mereka.  Tahun depan, mungkin saya….ehh…tak, mungkin kalau dipanggil sehari dua ini, saya pun tak sempat nak sambut Ramadhan lagi.  Selayaknya saya berazam untuk melakukan yang terbaik sebab hidup hanya sekali, nak mati pulak tak tahu bila… (Kata kawan saya dulu, hidup bukan seperti kartun yang boleh hidup, mati dan hidup semula).  Jadi, macam orang putih kata, it is now or never…

Kejap tadi, dalam sessi usrah, baca tentang keampunan dan istighfar.  Rupanya, istighfar pun ada tarafnya jugak, macam puasa.  Pertama, istighfar orang berdosa, untuk memohon menyucikan diri dari dosa.  Kedua, istighfar orang soleh, untuk menyenangkan hati dari keresahan sebab merasa kurangnya bersyukur.  Tujuannya untuk mencari tambahan pahala.  Yang ketiga, istighfar para Nabi.  Yang ini tujuannya semata-mata memanjatkan kesyukuran kepada Ilahi Rabbi, tanpa mengharapkan balasan pahala.  Tulus kerana cintakan Ilahi Rabbi dan mengharapkan keredhaanNya.

“Ya Allah Ya Tuhanku, berikan aku ilham untuk mensyukuri nikmatMu yang telah Engkau anugerahkan kepadaku dan kedua ibubapaku, dan untuk mengerjakan amal soleh yang Engkau redhai, dan masukkanlah aku dengan rahmatMu ke dalam golongan orang yang soleh”.

Sunday, July 24, 2011

Hawa Nafsu vs Hasutan Syaitan


Dalam mengira-ngira tarikh kedatangan Ramadhan, macam biasa, dah jadi budaya orang Melayu (eh..bangsa jugak yang salah), teringat pasal raya dan persiapannya.  Walhal, Ramadhan pun entah sempat ketemu, entah tidak.  Haish….patutnya yang ditunggu adalah Ramadhan, bulan seribu berkat.  Yang wajar dinanti untuk direbut nikmatNya adalah malam Lailatul Qadar.  Bukan Syawal yang patut dinanti, apalagi siap dengan persiapan melampau kuih muih dan pakaian baru.

Bila teringat pasal persiapan berlebihan ni, teringat pulak kepada perbincangan dalam usrah minggu lalu.  Berkenaan hadis Rasulullah S.A.W., ““Tidak beriman seseorang di antara kalian sehingga hawa nafsunya mengikuti ajaran yang aku bawa.”  Baginda Rasul menggariskan syarat beriman adalah sehingga sanggup menundukkan hawa nafsu untuk menepati apa yang dibawa oleh Baginda, Islam dan al-quran.  Dalam huraian hadis, memastikan hawa nafsu mengikut ajaran Islam adalah bukti cintakan Baginda Rasulullah S.A.W., dan dalam hadis yang lain, Rasulullah juga pernah bersabda sempurnanya iman adalah apabila seseorang mencintai Baginda lebih daripada mencintai diri sendiri.  Jadi, sebagai bukti cintakan Nabi Muhammad S.A.W., tak terletak kepada kesanggupan untuk berarak pada hari Maulidur Rasul.  Bukan jugak pada budaya berselawat setahun sekali pada hari keputeraan Baginda atau melagukan selawat sebagai memenuhi jemputan tahnik dan sebagainya.  Tanda cinta kepada Rasulullah adalah bila hawa nafsu boleh dibentuk supaya selari dengan ajaran Islam dan al-Quran yang dibawa Baginda.  Baru betul berkorban apa saja….

Kata salah seorang rakan sekerja, contoh menurut hawa nafsu ni, bila berbelanja sentiasa nak berlebih-lebihan.  Contoh yang relevan sebab semua ahli usrah adalah Muslimah.  Sama jugak dengan saya.  Kalau pergi pasar, semua nak beli…nampak nangka muda, beli sebab ingat nak buat masak lemak; tengok jagung, beli jugak dengan harapan nak buat jagung bakar; ternampak bunga kantan pun beli sebab rasa macam nak masak asam pedas; ada ulam raja pun beli lagi sebab cita-cita nak tumbuk sambal belacan buat ulam; nanti ada pulak petai, pun beli sebab nanti boleh buat sambal tumis udang.  Lepas seminggu, separuh dari tu tak dimasak apa-apa.  Kadang-kadang buang aja sebab dah tak elok.  Kata seorang rakan sekerja pulak, pergi kedai kain, semua nak borong.  Dah balik, buat baju, pakai dok macam tu lah jugak..tak glamour macam mana pun.

Teringat pulak saya hubby pernah cerita dalam minggu lepas.  Hubby kata, dia tanya ustaz, macamana kita nak tahu sesuatu kesalahan yang kita buat sebab hasutan syaitan atau sebab menurut hawa nafsu.  Kata ustaz, hasutan syaitan menyebabkan kita melakukan perkara yang dilarang a.k.a. haram seperti bercakap bohong, mengumpat dan mencuri.  Manakala menurut hawa nafsu lebih kepada perbuatan yang berlebih-lebihan (over kata orang sekarang).  Misalnya, makan sehingga terlalu kenyang menyebabkan tertidur tanpa solat; membeli barangan dapur terlalu banyak sampai membazir. 

Banyak nak kena analisa amalan dalam hidup ni.  Setakat mana kesanggupan saya menurut ajaran Islam dan al-Quran.  Sejauh mana saya usahakan supaya hawa nafsu menurut landasan yang Islam gariskan.  Berat masalah nak melentur hawa nafsu ni.  Sebab tu kata Baginda Rasul, jihad yang paling utama adalah mengawal hawa nafsu.  Dan Allah janjikan ganjaran yang amat besar untuk mereka yang sanggup memilih untuk mengenepikan hawa nafsu demi mentaatiNya, sebagaimana menurut Hadis Qudsi, Rasulullah SAW bersabda, Allah SWT berfirman: "Demi kemuliaan-Ku, kebesaran-Ku, keagungan-Ku, keperkasaan-Ku, nur-Ku, ketinggian-Ku dan ketinggian tempat-Ku, tak seorang hambapun yang mengutamakan keinginannya (nafsunya) di atas keinginan-Ku, melainkan Aku kacaukan urusannya, Aku kaburkan dunianya dan Aku sibukkan hatinya dengan dunia serta tidak Aku berikan dunia kecuali yang telah kutakar untuknya.  Demi kemulian-Ku, kebesaran-Ku, keagungan-Ku, keperkasaan-Ku, nur-Ku, ketinggian-Ku dan ketinggian tempat-Ku, tak seorang hambapun yang mengutamakan keinginan-Ku di atas keinginan (nafsu) dirinya melainkan Aku suruh malaikat untuk menjaganya, langit dan bumi menjamin rezekinya dan menguntungkan setiap perdagangan yang dilakukannya serta dunia akan datang dan selalu berpihak kepadanya".

Sejujurnya, naluri untuk menunaikan apa yang diperintahkan dalam hadis tu ada.  Tapi saya juga sedar pelaksanaannya sangat sukar untuk saya.  Yang terdaya saya lakukan adalah berazam untuk berusaha sebaik yang terdaya bagi melakukan apa yang diperintahkan, bagi memenuhi kriteria “iman” atau KPI “iman”.  Semoga Allah akan mengurniakan rahmatNya kepada saya sekeluarga untuk mendidik hawa nafsu agar selari dengan ajaran Islam.  Amin.

Untuk Iktibar; Untuk Amalan



Hujung minggu ni, ada Jualan Gudang Payless Books di Subang Avenue.  Entah kenapa sejak dulu, mengunjungi pesta buku, jualan buku atau kedai buku menjadi kegemaran saya.  Rasa macam dapat kepuasan yang amat sangat.  Hukum pulangan marginal bertambah kurang belum berlaku.  Dan sebab harganya memang murah, saya pun memborong novel-novel kegemaran dengan penuh bersemangat.  Apalagi novel  tulisan penulis kegemaran saya, Debbie Macomber dan Susan Mallery pun turut dijual pada harga RM12 untuk 5 buah.  Bila nak baca, tak tahu lagi….

Pembacaan minggu ini menghidangkan saya dengan dua cerita, satu untuk iktibar dan satu untuk dijadikan amalan.  Masih dari buku Di Balik Ketajaman Mata Hati, (lamanya masa yang saya ambil untuk baca buku ni), saya tersua dengan kisah penduduk sebuah desa dalam zaman Nabi Isa A.S.  Suatu hari, Nabi Isa melewati desa tersebut dan mendapati penduduknya semuanya bergelimpangan mati di halaman rumah dan di jalan-jalan.  Lalu, Nabi Isa pun berkata kepada golongan Hawari,  mereka ini pasti mati kerana kutukan (dilaknat).  Kalau tak, tentu mayat-mayat ini dikuburkan.  Golongan Hawari pun bertanyakan cerita mereka kepada Nabi Allah Isa.  Allah yang Maha Mengetahui menurunkan wahyu kepada Isa A.S. supaya menyeru kepada penduduk yang telah meninggal itu pada waktu malam, untuk mengetahui kisah mereka. 

Apabila malam tiba, Nabi Allah Isa pun memanggil penduduk yang telah mati,
Nabi Isa:  Hai, penduduk desa…
Penghuni Desa:  Ya Rasulullah
Nabi Isa:  Ceritakan halmu,  (Lebih kurang cer citer, cer citer…kalau dalam konteks bahasa masyarakat Malaya sekarang).
Penghuni Desa:  Kami bermalam dengan selamat.  Lalu pagi harinya kami terjaga dalam neraka Hawiyah.
Nabi Isa:  Bagaimana boleh terjadi demikian?
Penghuni Desa: Sebab cinta kami kepada dunia dan ketaatan kami kepada orang yang sukakan maksiat.
Nabi Isa: Bagaimana terjadi kecintaan kamu terhadap dunia?
Penghuni Desa: Seperti cinta seorang anak kecil kepada ibunya, kalau dia menghadap, kami akan bergembira bersamanya dan apabila dia mundur, kami akan menangisinya.  (Teringat saya pada konsep analogi.  Cinta dunia ertinya gembira dengan anugerah dan kecewa apabila nikmat ditarik balik.  Takutnya……macam kena sebijik aja atas hidung sendiri.  Kalau dapat barang baru, happy sesangat.  Kalau barang hilang punyalah sedih….)
Nabi isa: Mengapa rakanmu yang lain tidak ikut menjawab pertanyaanku?  (Ha, dalam ramai-ramai penghuni desa tu, cuma seorang saja yang bercerita dengan Nabi Isa.  Kenapa ya…dia ketua kampung ker? Atau dia memang jurucakap kampung tu?
Penghuni Desa: Kerana mereka semua sedang dikendalikan dengan api, oleh tangan para malaikat secara keras dan kasar.  (Jadinya mereka tak mampu lagi nak menjawab atau nak bercerita).
Nabi Isa: Mengapa pula engkau boleh menjawabku?
Penghuni Desa: Kerana aku berada di antara mereka, tetapi bukan dari golongan mereka.  Ketika siksa menimpa mereka, ia menimpa pula kepadaku.  Jadi aku tergantung-gantung di tepi jahannam.  Aku tak tahu apakah aku akan selamat dari Jahannam atau aku pun akan terjerumus ke dalamnya.  (Agaknya inilah yang dikatakan tempias masyarakat atau tempias kawan kan.  Mungkin sebab inilah pentingnya amal makruf dan nahi mungkar.  Macam kisah penghuni desa ni, dia tidak di kalangan jiran sekampungnya yang cintakan dunia dan taat kepada orang yang suka membuat maksiat, tapi dia turut disiksa sebab dia berada di kalangan mereka).   Waalahualam…..

Dalam bab yang lain, saya tersua dengan sabda Nabi Muhammad S.A.W. tentang  pesanan Nabi Nuh A.S. kepada anaknya di saat menjelang kematiannya.  Orang putih kata, on his death bed.  Dari sabda Rasulullah S.A.W., “Sesungguhnya Nabi Nuh A.S. ketika menghadapi wafatnya, memanggil puteranya dan berkata, “Sesungguhnya aku memerintahkan kalian dengan dua perkara, melarang sombong dan memerintahkanmu untuk mengucapkan “Laillahhaillalah”, kerana sesungguhnya langit dan bumi beserta dengan apa yang ada di dalamnya, seandainya diletakkan pada daun timbangan dan kalimah “Laillahhaillalah” pada daun timbangan yang lain, maka kalimah “Laillahhaillalah” lebih berat timbangannya.  Dan seandainya langit dan bumi ini ada dalam satu lingkaran, lalu kalimah “Laillahhaillalah” diletakkan di atasnya, tentu kalimah  “Laillahhaillalah” akan memotongnya.  Dan aku memerintahkan kalian untuk membaca kalimah SubhanaAllah wabihamdihi, kerana dia adalah solat dari segala sesuatu dan segala sesuatu yang dibacanya diberikan rezeki.”

Lessons of the Day:
1.        Takutnya dengan akibat mereka yang cintakan dunia dan taat pula kepada pemimpin yang sukakan maksiat.  Lebih menakutkan, kalaupun tidak termasuk dalam golongan mereka, setakat berada dalam kelompok mereka dah cukup untuk turut serta merasa azab Jahannam. Nilah sebabnya golongan yang ada ilmu agama dan ikhlas perjuangannya, gigih mengamalkan amar makruf, nahi mungkar.
2.       Amalan yang dipesan oleh Nabi Nuh A.S., jangan sombong-sombong.  Segala-gala yang ada pinjaman dari Allah semata-mata.  Milik mutlak Allah Taala.  Sampai masa dan ketika, tak kira macamana cara, semuanya perlu dipulangkan semula.  Malah, Baginda Rasulullah pernah bersabda, “Tiga hal yang membinasakan manusia, setia kepada kekikiran, senang mengikuti hawa nafsu dan orang yang suka membanggakan dirinya.”
3.       Amalan zikir pesanan para Nabi:  Kalimah “Laillahhaillalah” (pesan Nabi Nuh) dan “SubhanaAllah wabihamdihi”(pesan Nabi Muhammad S.A.W.)  Besarnya manfaat mewiridkan kalimah-kalimah ini.  Daripada dok menyiulkan lagu-lagu terkini kan.....Semoga Allah kurniakan saya, hubby dan anak-anak dengan rahmat untuk sentiasa mengingatiNya dan mengamalkan zikir yang dipesan para Nabi.  Amin.
Bercakap tentang zikir, teringat pada cerita Nabi Allah Sulaiman A.S.  Baginda pernah menziarahi umatnya, dengan dinaungi burung-burung manakala jin dan manusia mengiringi di kiri dan kanan Baginda.  Lalu seorang dari rakyatnya berkata, "Sungguh Allah telah anugerahkan kepadamu kerajaan yang besar."  Lalu, jawab Nabi Sulaiman A.S., "Sesungguhnya sebuah bacaan tasbih seorang mukmin lebih utama daripada apa yang diberikan kepadaku kerana apa yang diberikan kepadaku akan hilang musnah sedangkan bacaan tasbih kekal abadi." 

Monday, July 18, 2011

12 Perkara Dalam Solat


Hari ni satu Malaya dikejutkan dengan berita kematian Dr Lo’Lo’ Ghazali.  Seorang serikandi yang pergi saat semangat juang dan baktinya amat diperlukan.  Apapun, Allah Maha Mengetahui.  Pasti ada hikmah yang terselindung di sebalik segala yang berlaku.  Semoga arwah ditempatkan bersama orang-orang yang dilimpahkan rahmat jannahNya, insya Allah.

Saya teringat kepada  status arwah, dalam FB bulan April lalu, “Count your blessing..Do not complain if you have been diagnosed by chronic ILLNESS, for they are others who JUST DIED without a chance to say goodbye.”  Dan arwah benar-benar menterjemahkan pepatah itu kepada kenyataan.  Kagum saya dengan semangat arwah, dalam menderita sakit, arwah memanfaatkan segala waktu yang tersisa untuk memperjuangkan nasib rakyat jelata dan menegakkan syariat Islam di tanahair tercinta.
 Semalam saya menyambung pembacaan buku Di Balik Ketajaman Mata Hati.  Pembacaan saya sampai ke bab Keutamaan Solat.  Menurut Imam al-Ghazali, di dalam solat terdapat 12 ribu hal.  12 ribu hal ini dikumpulkan dalam 12 hal, dan 12 hal ini perlu dipelihara supaya solat diterima.  Banyak kan….bila baca pecahannya lagi takut.  Yang 12 tu terdiri daripada 6 perkara sebelum solat dan 6 perkara selepas solat.
Yang sebelum solat adalah ilmu, wudhu’, pakaian, memelihara waktu, menghadap kiblat dan niat.  Yang 6 lagi takbir, berdiri, membaca al-Fatihah, rukuk, sujud dan duduk antara dua sujud.  Selain daripada 12 perkara tersebut, semua tu mesti disempurnakan dengan ikhlas.

Seterusnya setiap satu daripada perkara tersebut mempunyai syarat kesempurnaannya:
·         Ilmu:
o   Harus mengetahui perkara fardhu dan perkara sunat dalam solat.
o   Harus mengetahui yang sunat dan yang fardhu dalam wudhu’
o   Menyedari wujudnya tipu daya syaitan dan berusaha bersungguh-sungguh menentangnya.
·         Wudhu
o   Harus menyucikan hati dari dendam, dengki dan tipu daya.
o   Niat membersihkan badan daripada dosa.
o   Membasuh anggota wuduk dengan sempurna tanpa berlebihan dalam menggunakan air.
·         Pakaian
o   Sumbernya mestilah halal  (wang beli pakaian).
o   Suci dari najis.
o   Sesuai dengan sunah dan tidak mempunyai perasaan sombong dan bongkak.
·         Memelihara Waktu
o   Sentiasa mengamati peredaran bulan, bintang dan matahari serta mengamati kedatangan waktu.
o   Arahkan pendengaran kepada azan.
o   Hati sentiasa berfikir dan menjaga masa.
·         Menghadap Kiblat
o   Mesti sedar solat apa yang sedang dilakukan.
o   Harus insaf dan sedar sedang berdiri menghadap Ilahi Rabbi, Allah sedang memerhatikan dan mewujudkan perasaan takut.
o   Menginsafi Allah Mengetahui segala isi hati sehingga mendorong untuk mengosongkan hati dan minda daripada kesibukan duniawi.
o   (Aduhai….bunyi macam senang, tapi keperluannya amat berat.  Memerlukan tumpuan jiwa dan minda, bukan sekadar berdiri tegak menghadap kiblat…sebab nilah kena ada ilmu)
·         Takbir
o   Takbir dengan betul dan pasti.
o   Mengangkat kedua tangan sehingga ke batas telinga.
o   Mesti wujud kehadiran hati dalam erti kata mengagungkan Allah secara bermakna.  Teringat dengan kata-kata Tuan Guru Nik Aziz dalam salah satu sessi ceramahnya, lebih kurang maksudnya, (saya tak faham word by word sebab saya betul-betul kalah dengan percakapan berlatarkan slang Kelantan), bila angkat takbir Allah hu Akbar, kena sertai dengan pengakuan di hati, Allah Maha Besar.  Kalau betul akui Allah Maha Besar, jangan ingat apa lagi dah…ingat Allah saja sebab Allah saja yang paling besar. 
·         Berdiri
o   Pandangan di tempat sujud.
o   Hati mesti menghadap Allah.
o   Jangan menoleh ke kiri kanan.
o   (ohh…bab menoleh secara fizikal tu insya Allah.  Yang hati tu….ini betul-betul kes Soalnya Hati???  Kena pastikan hati juga tegak menghadap Allah yang satu.  Sukarnya untuk saya….
·         Membaca al-Fatihah
o   Wajib membaca dengan bacaan yang benar.
o   Harus menyertai pembacaan dengan minda dan hati, merenungi erti apa yang dibaca.  Dengan kata lain bukan setakat baca macam budak Melayu yang bahasa ibundanya Bahasa Melayu, umur 3 tahun, baca al-fatihah.  Tak tahu makna.  Bacaan kena bererti.  Saya ni kadang-kadang, sedar-sedar dah sebut “Amin…”  Astaghfirullah….
o   Mengerjakan apa yang dibaca.  Yang ini lagi menakutkan.  Ini syarat solat yang sempurna.  Nak ditunjukkan ke jalan yang lurus.  Usahanya setakat mana? Mengakui Allah memiliki hari kebangkitan.  Yakin dan takut dengan adanya syurga neraka tergambar tak dalam perlakuan dan amalan seharian?  Aduh…
·         Sujud
o   Letakkan kedua tangan tepat pada arah kedua telinga.
o   Tidak melebarkan kedua siku.
o   Tuma’ninah dan membaca tasbih, mengagungkan Ilahi Rabbi.
·         Duduk
o   Duduk atas kaki kiri dan tegakkan kaki kanan.
o   Tasyahud dengan mengagungkan Allah, dan berdoa untuk diri sendiri dan orang-orang mukmin.
o   Salam dengan sempurna.
·         Ikhlas
o   Mengharapkan redha Allah dan bukan redha manusia.
o   Harus menginsafi keupayaan menunaikan salat adalah taufik dari Allah.
o   Harus memelihara salat sehingga akhir hayat.

Subhana Allah….kalau ikut Imam Ghazali, ini 12 syarat perlu yang wajib dipelihara oleh mereka yang berkehendakkan solat.  Dan sudah tentu semua orang Islam nakkan solat sebab solat adalah amal yang pertama sekali dihisab.  Kalau solat dapat gred gagal, yang lain pun kira out jugak.  Duhai diri, ini kes kursus mandatori.  Bukan elektif.  Nak tak nak, kena usahakan yang terbaik untuk penuhi.  Sekurang-kurangnya kena ada azam dan usaha untuk buat habis baik.

Sesak rasa dada tiap kali baca kisah solat dan khusyuk ni. Teringat cerita yang pernah saya baca di blog seorang sepupu, seorang lelaki pernah bertanya kepada Baginda Rasulullah bagaimana untuk khusyuk solat.  Lalu Rasulullah menyatakan sukar untuk mencapai solat yang khusyuk.  Tapi kata Saidina Ali A.S., beliau boleh solat dengan khusyuk.  Jadi Rasulullah pun menyuruh Saidina Ali solat sunat dua rakaat, dan dijanjikan sekiranya Saidina Ali boleh menunaikan dengan penuh khusyu’, Baginda Rasul akan menghadiahkan serbannya kepada Ali.  Wah…ganjaran serban Baginda Rasul tuh.  Lalu Saidina Ali pun solat.  Selesai solat, dengan jujur Saidina Ali mengakui bahawa dia tak khusyu’ sepenuhnya dalam solat tadi sebab apabila sampai ke tahiyat akhir, beliau mula terbayangkan serban yang dijanjikan oleh Rasulullah.  Aduh, solat saya, kalau dibuat analisa...err....

Dan bab dalam buku ini sendiri dimulakan dengan hadis, “Tidaklah seorang hamba diberikan pemberian yang lebih baik daripada dia diberi izin solat dua rakaat.” Duhai diri, kena sentiasa memohon rahmat dari Ilahi semoga diilhamkan untuk menunaikan segala amal soleh, khususnya solat, sesempurna mungkin. 

Saturday, July 16, 2011

Kualitatif


Seminggu tak jenguk blog.  Hadiri “Bengkel Penyelidikan Kualitatif”.  Motivasi saya mengikuti bengkel, sebab saya nak tahu dan nak belajar bagaimana menjalankan penyelidikan berbentuk kualitatif.  Bila motivasi datang dari diri sendiri, bukan sekadar menurut arahan surat yang ditandatangani majikan, kepuasannya berbeza.  Nilah kot beza menuntut ilmu sebab terpaksa dengan menuntut ilmu dengan sukarela.  Nilah jugak bezanya perasaan siswa bila menduduki kursus saya, yang merupakan kursus wajib berbanding dengan mengikuti kursus elektif pilihan mereka.

Apapun, lepas hadiri bengkel baru saya tahu sukarnya menjalankan proses penyelidikan kualitatif.  Selama ni, ingatkan buat temuduga sikit-sikit, dah kira kualitatif la.  Rupanya wow, sangat komplikated.  Temuduga hanyalah salah satu kaedah pengumpulan data.  Yalah…saya mengenali bidang penyelidikan menerusi lensa penyelidikan kuantitatif.  Penyelidikan mesti ada data empirik, mungkin sebab bidang pengkhususan saya agaknya.  Tapi sejujurnya, selama ini pun saya selalu tertanya-tanya setakat mana kita boleh bergantung kepada segala kaedah statistic yang komplikated dan ujian-ujian “reliability” dalam mengesahkan “angka –angka” benar-benar dapat menerangkan kejadian dalam dunia sebenar.

Terasa ada segmen reality yang tak mungkin dapat diterangkan oleh angka-angka sahaja.  Pemerhatian dan temuduga sama ada lisan atau bertulis, serta penulisan jurnal spontan mungkin merupakan kaedah yang lebih baik untuk menceritakan sesuatu fenomena.  Lebih-lebih lagi untuk kajian yang melibatkan gelagat manusia.  Dan ekonomi adalah bidang yang mengkaji gelagat manusia membuat pilihan.  Jadi, konsep kualitatif masih relevan untuk bidang pengkhususan saya.  Misalnya, seorang sarjana ekonomi yang mengkaji tentang gelagat pembuatan keputusan kewangan isirumah pernah menyatakan, “untuk memastikan sesuatu polisi berkesan, kita mesti memastikan terlebih dahulu yang polisi itu berupaya mempengaruhi gelagat isi rumah.”  Nak memahami gelagat isi rumah, kajian kualitatif diperlukan.

Satu lagi yang saya belajar daripada Dr Aini Hassan, (pemudahcara bengkel) adalah, “Writing is Thinking”.  Lebih kurang dalam bahasa ibunda saya, menulis ertinya berfikir.  Jadi, Dr Aini cadangkan penggunaan buku atau jurnal untuk menuliskan segala idea khususnya tentang penyelidikan yang dijalankan.  Betul jugak, ini main tulis atas kertas waktu meeting atau ada perbincangan, kadang-kadang terus tak tulis.  Lepas tu lupa macam tu…Pengalaman saya sendiri pun, apa yang ditulis tak kiralah secara manual (tulis tangan) atau secara menaip, lebih tinggi kemungkinannya untuk saya ingat, berbanding yang saya sekadar baca sekali lalu.

Saya juga belajar kaedah pengajaran yang lebih efektif.  Kaedah induktif.   Berikan bahan dan suruh pelajar baca sendiri, kemudian buat pembentangan.  Juga pengajaran menerusi contoh.  Pun menerusi proses pengenalpastian sendiri oleh pelajar, dalam sessi kuliah.  Sangat sesuai untuk saya applikasikan bagi kursus Pemikiran Kritikal Dalam Ekonomi.  Cuma, siswa ramai dalam sessi kuliah,  sebab itu kursus wajib.  Mungkin saya boleh cari cara penyesuaian.  Daripada dua jam saya bercakap, dan kebanyakan pelajar tidur, main telefon bimbit dan gossip-gossip, mungkin kalau diselang-seli dengan membaca dan berbincang, siswa akan lebih mengikuti dan menyertai sessi kuliah tu.