Thursday, June 30, 2011

02:06-07


Alhamdulillah, Allah izinkan saya nikmati “hidup” setakat ni.  Kalau mengikut pesan Baginda Rasul, seseorang Muslim bila bangun pagi, kalau dikurniakan kesihatan yang baik, ada bekalan makanan untuk sepanjang hari tu, hatinya senang dan mindanya tenang; seperti dia telah memiliki segala kenikmatan dunia.  Saya kira hari ni saya miliki semuanya, jadi nak apa lagi.  Selayaknya rasa malu dengan Ilahi Rabbi sebab masih nak merungut-rungut, masih nak mintak tambah nikmat duniawi yang dah tentu pun tak kekal lama.  Duhai diri, kena amalkan doa yang Baginda Rasul ajar kepada Zaid, banyak-banyak, “Ya Allah, aku berlindung denganmu dari hati yang tak pernah khusyuk, jiwa yang tak pernah puas, ilmu yang tak bermanfaat dan doa yang tak dimakbulkan.”
Pembacaan saya hari ni, sifat orang kafir yang Allah ceritakan dalam Surah Baqarah, ayat 6 dan 7.  Allah bicarakan, “Sesungguhnya orang-orang kafir, sama saja bagi mereka, kamu beri peringatan atau tidak, mereka tidak juga akan beriman.  Allah telah mengunci mati hati dan pendengaran mereka dan penglihatan mereka ditutup.  Dan bagi mereka siksa yang amat berat.”
Lebih kurang, ala-ala tak makan saman.  Cakaplah apa pun, ceritalah macam mana pun, orang kafir macam tu jugak.  Macam orang tua-tua kata, bagai mencurah air ke daun keladi.  Sebabnya, hati orang kafir telah mati, dah tak dapat nak membezakan yang mana benar, yang mana batil.   Allah kuncikan hati mereka sebab kedegilan dan perbuatan mereka sendiri. 
Qatadah mentafsirkan ayat ini sebagai, orang-orang kafir ini tunduk taat kepada syaitan.  Sebab itu, Allah mengunci hati mereka sehingga mereka tidak dapat melihat cahaya hidayah atau mendengarkannya, memahaminya dan memikirkannya. Istilah “terkunci” dikatakan menggambarkan sesuatu yang amat berat kerana kotoran lebih ringan daripada tertutup rapat (masih boleh dicuci); tetapi tertutup rapat lebih ringan daripada terkunci mati, (sekurang-kurangnya tertutup sahaja, masih ada peluang untuk dibuka semula); dan terkunci mati adalah yang paling berat.  Tahap kritikal, tak boleh nak buat apa-apa lagi.  Teringat saya pada satu petikan dalam majalah Solusi, pesan Imam Ghazali, "Carilah hatimu di tiga tempat... Temui hatimu sewaktu bangun membaca Al Quran. Tetapi jika tidak kau temui, carilah hatimu ketika mengerjakan solat. Jika tidak kau temui juga, kau carilah hatimu ketika duduk tafakkur mengingati mati. Jika kau tidak temui juga, maka berdoalah kepada Allah, pinta hati yang baru kerana hakikatnya pada ketika itu kau tidak mempunyai hati!"
 Ibnu Katsir mengemukakan banyak ayat-ayat al-quran lain untuk menerangkan hati orang kafir dikunci mati disebabkan oleh perbuatan mereka sendiri; mereka menolak seruan para Rasul dan memilih untuk berada dalam kekufuran yang berterusan walaupun telah diberi petunjuk, seperti firman Allah tentang kaum Tsamud dalam Surah al-Fussilat, ayat 17, “Dan adapun kaum Tsamud, mereka telah pun Kami beri petunjuk, tetapi mereka lebih menyukai kesesatan dari petunjuk itu.”
Baginda Rasulullah S.A.W. turut menjelaskan bagaimana hati boleh terkunci mati, menerusi sabdanya, “Sesungguhnya orang mukmin itu apabila melakukan dosa, akan meninggalkan satu detik hitam pada hatinya.  Sekiranya dia benar-benar bertaubat dan menyesali, maka bersepuhlah kembali hatinya (menjadi putih).  Tetapi jika dia berterusan melakukan dosa, akan bertambahlah titik-titik hitam sehingga menutupi hatinya.  Yang demikian itulah yang dimaksudkan dengan ‘ar-ran dalam firman Allah, sekali-kali tidak begitu.  Sebenarnya apa yang selalu mereka usahakan itu yang menutupi mereka.”
Jadi, putih atau hitam hati, terkunci atau tidak, ditentukan oleh amalan atau kebiasaan manusia sendiri.  Cantik analoginya, dosa ibarat tinta hitam yang dititikkan di atas permukaan hati yang asalnya putih.  Kalau dititikkan banyak-banyak, lama-lama hitamlah seluruh hati tu.  Tapi kata Rasulullah, kalau bertaubat dengan sebenar-benarnya,  insya Allah dia akan putih semula.  Lebih menakutkan, mengikut ayat al-quran ni, orang yang hatinya penuh dengan titik hitam akibat perbuatannya sendiri, akan dikunci mati hati tu.  Dan orang yang memiliki hati yang terkunci mati adalah orang kafir.  Nauzubillah.
Pesanan untuk diri sendiri dan putera-puteri tersayang, kena jaga hati supaya tak terkunci.  Caranya jauhkan diri daripada berterusan melakukan dosa, untuk cuba mengurangkan bintik-bintik hitam kat hati.  Juga kena sentiasa bertaubat untuk memutihkan hati yang dah tentu banyak sangat titik hitamnya.  Yang lebih utama, kena banyakkan doa kepada Ilahi Rabbi, memohon agar dikurniakan rahmat untuk melakukan amal soleh yang diredhaiNya dan dipelihara daripada melakukan dosa dan maksiat sebab sesungguhnya tiada daya upaya melainkan dengan keizinan Allah.

Wednesday, June 29, 2011

2:01-07

Alhamdulillah.  Dapat mulakan pembacaan Tafsir Surah al-Baqarah, ayat 1-7. 
Kesimpulan oleh Ibnu Katsir, 15 ayat pertama dalam Surah ini menerangkan tentang tiga kelompok manusia ciptaan Ilahi Rabbi: 4 ayat sifat orang Mukmin (yang bertakwa), 2 ayat tentang sifat orang kafir dan 7 ayat selanjutnya sifat orang munafik. 
Ibnu Katsir membincangkan definisi takwa secara panjang lebar, mengemukakan pendapat pelbagai ulama’.  Turut disertakan hadis Baginda Rasulullah tentang maksud takwa, “Seorang hamba belum mencapai tahap takwa selagi dia belum menghindari hal-hal yang tidak mengapa kerana menghindari hal-hal yang mengandungi dosa”.  Macam sessi mesyuarat tingkap atau sessi perbualan telefon atau sessi chatting, asalnya memang hal yang tak ada apa-apa.  Tapi boleh bertukar kepada sessi gossip a.k.a. mengumpat atau mengadu domba.  Untuk capai taraf takwa, kena hindari sessi perbualan kosong yang tak ada arah tujuan.  Teringat saya dengan satu pepatah, berkata-kata lebih baik daripada diam (sebab kalau diam nanti orang ingat sombong), dengan syarat kata-kata tu berguna, tapi kalau dengan kata-kata tu boleh mengundang keburukan, lebih baiklah diam.  Macam jugak berkawan, berkawan lebih baik daripada daripada sendiri tapi kalau berkawan sekadar membawa kepada dosa, lebih baiklah duduk sendiri.
Berbalik kepada sifat mukmin yang bertakwa, ayat 3-4 menjelaskan yang dimaksudkan dengan takwa, iaitu percaya kepada yang ghaib (yang tak tercapai oleh kekuatan pancaindera seperti adanya hari kebangkitan, syurga, neraka, al-mizan, titian sirat – tak pernah tengok tapi percaya ada semuanya); mendirikan solat dan menafkahkan bahagian rezeki yang diberikan kepada mereka; serta percaya kepada kitab al-quran dan kitab-kitab sebelumnya. Dan dijelaskan jugak dalam tafsir tu, kepercayaan atau iman ni maksudnya mencakupi lafaz atau pengucapan di bibir; iktikad atau pengakuan dalam hati dan penzahiran menerusi perbuatan dan amalan.  Bukan kes pilihan macam pilih mana-mana dua daripada tiga atau satu daripada tiga.  Tapi kes jawab semua soalan.  Lebih kurang maknanya, kalau setakat waktu isi borang aja penuhkan ruangan agama dengan perkataan Islam, belum cukup lagi.
 Kepercayaan kepada perkara ghaib ini amat tinggi kedudukannya di sisi Allah, sebagaimana dijelaskan dalam sebuah hadis Baginda Rasulullah S.A.W. ; Ketika ditanya oleh para sahabat, “Apakah ada di antara makhluk yang lebih baik daripada kami? Kami masuk Islam di tanganmu dan kami berjihad bersamamu.”  Maka sabda Baginda,” Ya, satu umat sesudah kalian.  Mereka beriman kepadaku sedangkan mereka tidak melihatku.” 
Ustazah Fatimah az-Zahra pernah katakan, ayat-ayat 3-5 Surah al-Baqarah ini merupakan alamat (address) jalan yang lurus, yang kita mohonkan kepada Allah dalam solat kita, sekurang-kurangnya 17 kali sehari.  Jalan orang yang mendapat petunjuk Ilahi Rabbi dan jalan orang yang beruntung.  Dan sama macam takrif iman atau percaya yang meliputi tiga perkara untuk satu pembuktian, demikian juga untuk memenuhi definisi mukmin yang bertakwa, mesti buat SEMUA sehabis baik, solat dan menafkahkan harta; percaya kepada perkara ghaib serta percaya, terima dan amalkan segala ajaran kitab al-quran.  
Semoga Allah kurniakan saya dan anak-anak rahmatNya untuk dimasukkan ke dalam golongan mereka yang mendapat petunjuk dan beruntung.  Amin.

Selanjutnya:  Ciri-ciri orang kafir dan munafik,  insya Allah.

Friday, June 24, 2011

Naik Quran

Alhamdulillah, akhirnya, setelah berapa zaman, saya dapat habiskan pembacaan tafsir Juzuk 30, al-quran.  Juzuk tu juzuk terakhir, tapi bagi pembacaan tafsir saya, saya mulakan dengan juzuk terakhir.  Ertinya, ada lagi 29 juzuk yang saya perlu baca.  Harap-harap sebelum mati, dapatlah saya study tafsir barang sekali seterusnya dijadikan amalan.  Semoga Allah kurniakan saya kekuatan dan peluang untuk melaksanakannya.  Amin.  Tu lah…dari dulu, arwah ayah dah pesan dan pesan, zaman belajarlah zaman yang seharusnya digunakan untuk membaca dan mengkaji al-quran; nak menghafaz segala apa yang patut sebab nanti bila dah kerja dan berkeluarga sendiri, hidup akan bertambah sibuk.  Tapi pada saya (masa tu) nanti habis belajar, dah bekerjalah baru saya nak buat semua tu.  Zaman belajar, sibuk sebab banyak homework dan nak kena study.  Orang kerja, balik rumah, rehat aja.  Tak ada homework, tak payah study untuk exam.  Lepas dah kerja, baru saya faham kenapa ayah cakap macam tu dulu dan betul rupanya apa yang ayah cakap.  Kerja lagi stress dari sekolah dan tanggungjawab orang dewasa lebih rumit dan berat.  Tu lah padahnya kalau tak nak dengar cakap orang yang dah dulu makan garam, gula dan lada, dulu daripada kita kan. 

Berbalik kepada pembacaan tafsir, selesai dengan muqaddam, ha..dah naik quran.  Akhirnya…Alhamdulillah.  Surah-surah terakhir dalam muqaddam (Surah An-Nabaa, An-Naaziaat, Abasa, At-Takwir, Al-Infithaar dan Al-Insyiqaaq), semuanya mempunyai tema yang sama.  Menceritakan tentang kebenaran hari kebangkitan, kejadian hari kebangkitan dan bagaimana manusia akan terbahagi kepada dua golongan pada hari kiamat nanti, residen syurga dan residen neraka.  Juga Allah menerangkan tentang tanda-tanda kekuasaan dan keagunganNya serta rahmatNya kepada manusia untuk direnungkan.

Dalam surah al-Infithaar, Allah berikan gambaran hari kiamat, “Bila langit telah pecah, bintang-bintang bertebaran, lautan bergelora dan kubur-kubur terbongkar.”  Dalam surah al-Insyiqaaq, “Apabila langit telah terbelah, apabila bumi diratakan, dilemparkan isinya dan kosonglah ia.”  Dijelaskan selanjutnya dalam Surah at-Takwir, “Apabila matahari telah digulung, bintang-bintang bertebaran, gunung-gunung dipecahkan, unta bunting ditinggalkan, binatang liar dihimpunkan, lautan dipenuhkan iaitu melimpah-limpah, roh-roh dipercampurkan kembali dengan tubuh (dihidupkan).”  Reaksi manusia ketika itu digambarkan dalam Surah at-Takwir, ayat 34-40: “pada hari itu larilah manusia dari saudaranya, dan dari ibu dan bapanya, dan dari isteri dan anaknya, bagi tiap-tiap orang ada urusan yang mencukupinya.  Ada manusia pada hari itu berseri-seri; dan ada pula yang di atasnya ada debu, ditutupi warna hitam.”  Tengok rakaman orang bertempiaran lari semasa tsunami Acheh 2004 dah cukup mengerikan, menakutkan.  Tak tahu macam mana kelam kabutnya saat kiamat yang datangnya tak siapa yang tahu.  Teringat kata Ustaz Ismail Kamus, tu kiamat besar.  Kiamat kecil (mati) pun kena ready jugak.

Selanjutnya, Allah jelaskan bagaimana manusia akan diperlihatkan segala amalan mereka.  Semua manusia akan menerima buku catatan amal masing-masing sama ada dengan tangan kanan, kiri atau daripada belakang (dalam Surah al-insyiqaaq, ayat 7-12).  Sebab semua amalan manusia telah direkodkan oleh para malaikat, (Surah al-Infithaar, ayat 10-12).  Malaikat tak macam manusia atas dunia, boleh dirasuah, boleh ubah fakta, sanggup reka bukti yang tak ada dan tak kurang jugak yang rela menghapuskan bukti.  Jadi, segala yang direkodkan tidak ada yang tidak benar, melainkan yang benar-benar belaka.  Lagipun, akan ada replay dan saksi yang secukupnya, yang terdiri daripada tangan, kaki, mulut dan lidah sendiri.  Cara penerimaan buku amalan akan menjadi indikator halatuju setiap insan.  Sama macam apa yang Allah ceritakan dalam Surah al-Waqiah, (ayat 8-10).  Menurut Surah al-Insyiqaaq, yang menerima dengan tangan kanan akan dihitung dengan perhitungan yang sedikit dan akan kembali ke pangkuan keluarganya dengan gembira.  Yang menerima dari belakang, tempatnya di neraka.  Nauzubillah…Sebab tulah semasa berwuduk, ketika membasuh tangan kanan, kita disunatkan membaca doa, “Ya Allah, semoga aku akan  menerima buku amalanku nanti dengan tangan kanan.” Dan semasa membasuh tangan kiri, doanya, “Ya Allah, aku berlindung denganMu daripada menerima buku amalanku nanti dari tangan kiri ataupun dari belakang.”

Surah-surah akhir ini jugak banyak memberikan gambaran syurga dan neraka.  Surah al-Muthaffifin menjelaskan, orang baik dalam syurga yang penuh nikmat duduk di atas dipan yang indah, melihat pemandangan indah, muka mereka berseri-seri, minumannya arak yang tak memabukkan, campurannya daripada tasnim (kalau tak salah sejenis mata air di syurga…dah tentulah amat sedap).  Masya Allah…Dalam Surah an-Nabaa (ayat 32-35), diceritakan, di syurga disediakan taman dan kebun anggur, perawan yang sebaya dan gelas yang sentiasa penuh, tak ada dusta dan omong kosong dalam syurga.  Keadaan neraka pun diceritakan jugak (ayat 24-25), penghuninya tak merasakan sejuk dan tak pula mendapat minuman kecuali minuman yang amat panas daripada nanah yang mengalir.  Ya Allah, lindungilah kami daripada azab api neraka.

Sebenarnya, menurut buku Samudera al-Fatihah, hakikat yang Allah menerangkan kepada kita tentang hari akhirat, semua amalan dicatatkan dan syurga dan neraka dengan sendirinya menjelaskan bagaimana penyayang dan pengasihnya Allah kepada manusia.  Sebab Allah sayangkan kita, Allah turunkan al-quran untuk menjelaskan apa yang kita lakukan akan dihisab sebab sesungguhnya ada kehidupan selepas mati nanti.  Ada kebangkitan semula.  Pilihan mutakhir nantinya adalah syurga atau neraka.  Dan Allah berikan panduan dalam bentuk amalan mana yang akan membawa ke syurga dan amalan mana yang akan membawa akhiran yang buruk.  Jadi tugas kita mensyukuri rahmat Allah dalam bentuk sentiasa berdoa dan berusaha untuk melakukan amalan yang diredhai Allah agar menerima kesudahan yang baik.  Berdoa supaya kita sentiasa dikurniakan Allah rahmat dalam bentuk kekuatan dan peluang untuk sentiasa melakukan amal soleh yang Allah redhai ( Saya tak pasti sama ada Ibnu Tamiyyah atau Ibnu Qayyim pernah katakan, doa yang paling afdal adalah doa memohon agar Allah kurniakan rahmat untuk mengerjakan amal soleh yang diredahiNya), kerana sesungguhnya tiada daya dan upaya melainkan dengan izin Allah.  Dan memohon rahmatNya agar dengan kasihan belasnya, kita ditempatkan di bawah naungan jannahNya.  Waalahulam.

“Ya Allah, Ya Tuhan kami, kurniakan kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat serta peliharalah kami daripada azab api neraka.”

Wednesday, June 22, 2011

Kesan Dunning-Kruger

Hari ini saya dikejutkan dengan berita Dr Lo’lo Ghazali menghidap kanser.  Semoga Allah kurniakan kesembuhan segera kepada beliau.  Saya amat menghormati peribadi beliau dan kagum dengan semangatnya menabur bakti kepada agama dan negara. 

Saya sedang menjalankan kajian tentang hutang isi rumah yang semakin membimbangkan.  Jadi, pembacaan saya kebelakangan ini berkait dengan pengurusan kewangan isi rumah, faktor dan kedudukan ekonomi yang menyebabkan fenomena ini.  Sesetengah pihak menyatakan antara faktor utama adalah ketiadaan pengetahuan pengurusan kewangan di kalangan masyarakat.  Berikutan itu, cadangan penyelesaian masalah adalah memperkenalkan pendidikan kewangan secara formal kepada orang ramai, atau menjadikan pendidikan pengurusan kewangan satu kursus wajib di peringkat sekolah.   Ini disebabkan berleluasanya masalah bankrupsi khususnya di kalangan golongan muda.  Budaya menggunakan kad kredit atau pembiayaan mudah lain untuk mendapatkan barangan mewah.  Masalah isirumah yang tidak lagi menjadikan tabungan satu kebiasaan atau kemestian. 

Asas kepada cadangan ini adalah kajian menunjukkan:
·         
       1. Wujudnya kesan “Dunning-Kruger”: mereka yang jahil cenderung untuk tidak menyedari kejahilan mereka dan gagal mencari maklumat yang diperlukan.  Dalam kes pengetahuan kewangan, kajian menunjukkan mereka yang tiada pengetahuan cenderung untuk mengabaikan maklumat penting yang perlu untuk sesuatu keputusan kewangan. Sudahnya, keputusan yang dibuat kurang tepat atau tidak sepadan dengan pendapatan atau keupayaan bayar balik.   Ini pelik tapi benar – kajian tunjukkan ramai pembeli rumah yang mengambil pinjaman tanpa mengetahui maklumat asas seperti kadar bunga (atau kadar untung  untuk pembiayaan Islam) dan tempoh pinjaman.  Apalagi syarat-syarat lain yang jauh lebih komplikated seperti adanya moving cost atau tidak. Malah, banyak pihak tidak pun tahu caj kadar bunga yang dikenakan setiap kali berurusniaga menggunakan kad kredit. 

Jadi, pendidikan pengetahuan kewangan dapat menjadikan semua pihak peka dengan maklumat yang diperlukan untuk mempertimbangkan sesuatu keputusan, dan ini akan mendorong mereka untuk mencari maklumat berkenaan dalam membuat keputusan.   Keputusan yang dibuat akan lebih bijak dan bertepatan dengan kemampuan membayar mereka.   Teringat saya pada apa yang seorang rakan saya pernah katakan dulu,” semakin banyak kita belajar, kita akan semakin tahu banyaknya benda yang kita tak tahu.” 

·          2.  Tugas-tugas menganalisis sesuatu keputusan kewangan dilakukan oleh memori jangka pendek.  Memori jangka pendek mempunyai keupayaan yang terhad dari aspek kuantiti maklumat yang boleh disimpan.  Ini berbeza dengan tugas-tugas mengingati nama dan wajah manusia atau tempat.  Semua ini dilakukan oleh memori jangka panjang yang lebih tinggi kapasitinya dan lebih lama tempoh kekalnya maklumat-maklumat ini di ingatan.  Sebab inilah adanya pepatah,” tempat jatuh lagi dikenang…..” sebab memori tu kekal lama dalam kotak fikiran.  Berbalik kepada analisis keputusan kewangan, ia melibatkan banyak maklumat berangka – kalau nak buat pembelian menggunakan kredit kad sekalipun, ia sebenarnya melibatkan pertimbangan tentang harga barang, baki kredit yang masih ada, jumlah ansuran yang perlu dijelaskan, caj yang dikenakan oleh bank.  Kalau barang tu ada diskaun, nak fikir pulak harga selepas diskaun.

Masalahnya, memori jangka pendek tidak membenarkan penyimpanan maklumat yang banyak macam tu.  Nama pun jangka pendek…jadi ia cepat lupa, dalam konteks ia akan mengabaikan sebahagian maklumat penting.  Jadi, keputusan dibuat tanpa analisa menyeluruh.  Misalnya, dalam kes pembelian menggunakan kredit kad, memori jangka pendek akan melupakan atau mengabaikan saja caj bank dan jumlah ansuran bulanan yang perlu dijelaskan.  Keputusan dibuat tanpa mempertimbangkan caj kad kredit yang tinggi atau kemampuan untuk membayar balik setiap bulan dengan pendapatan yang ada dan komitmen kewangan lain.  Tapi, kajian juga menunjukkan memori jangka pendek ini boleh dilatih untuk memilih maklumat yang bertepatan dengan keputusan kewangan yang nak dibuat.  Maka, pendidikan kewangan boleh digunakan untuk melatih memori jangka pendek supaya peka dengan maklumat yang perlu dipertimbangkan sewajarnya dalam membuat keputusan kewangan yang bijak.


Lessons of the Day:
1.        Bertepatan dengan pesan Rasulullah S.A.W., hidup kena berilmu.  Kalau nakkan dunia pun kena cari ilmu, nak akhirat pun kena cari ilmu.  Ilmu adalah syarat perlu untuk kesenangan hidup di dunia dan kebahagiaan hidup di akhirat sana.  Pengurusan kewangan adalah antara ilmu yang perlu dipelajari agar kita berupaya membuat keputusan kewangan yang tepat supaya hidup di dunia tak terbeban dengan corak perbelanjaan yang tak terancang dan jauh melangkaui kemampuan.  Keadaan hidup di akhirat pun akan dipengaruhi oleh baki hutang semasa mati.  Malah, Rasulullah pesan supaya kita merancang untuk tinggalkan tanggungan dalam keadaan yang cukup dan tidak meminta-minta.  Ini semuanya memerlukan pengetahuan pengurusan kewangan.
2.        Zahirnya, apa yang diperdebatkan sebagai kewajaran memperkenalkan pendidikan pengurusan kewangan terhad kepada faedah dunia semata-mata – nak elakkan masalah bankrupsi dan lebih penting lagi bila masyarakat membuat perancangan kewangan yang sempurna khususnya untuk selepas persaraan, kuranglah beban kewangan kerajaan dari segi keperluan menyediakan perlindungan social yang menyeluruh.  Takkan semuanya nak harapkan ehsan kerajaan.  Namun, secara tidak langsung pengetahuan ini juga penting untuk kebahagiaan akhirat.  Errr…teringat balik pada hadis-hadis Baginda Rasulullah S.A.W. terhadap bahaya dan akibat hutang.  Termasuk beli barang guna kad kredit.  Antara yang paling menakutkan, amalan tak akan diterima sehingga hutang langsai dibayar.  Para syuhada pun tak akan masuk syurga kalau mati tanpa selesaikan hutang.  Renung balik hidup hari ini, hutang dah jadi satu budaya.  Perkara biasa.  Macam-macam justifikasi teori, konon untuk melicinkan penggunaan di sepanjang hayatlah, untuk memelihara simpananlah.  Malah, kajian menunjukkan memang telah berlaku perubahan perspektif masyarakat terhadap hutang, daripada sesuatu yang dipandang memalukan kepada satu barang perlu dan normal.  Takutnya…sedangkan Rasululah sendiri amalkan doa memohon supaya dijauhkan daripada belenggu hutang, antara sebabnya kata Rasulullah hutang akan menyebabkan manusia berbohong.   Teringat pada hutang saya yang berderet-deret.  Semoga Allah berikan saya kesempatan untuk melangsaikan segalanya sebelum mati.  Amin.

Satu ketika dulu, sewaktu memandu ke pejabat, saya terdengar dalam radio, doa Saidina Ali A.S. untuk memohon supaya mampu melangsaikan segala hutang, lebih kurang maksudnya, “Ya Allah, cukupkan aku dengan rezekiMu yang halal supaya aku tidak menginginkan kepada yang haram.  Kayakan aku dengan nikmatMu supaya aku tidak berharap kepada yang lain.”

Friday, June 17, 2011

Tunggu Nora Elena Habis Dulu?

Minggu ni saya buat lawatan latihan industri.  Macam biasa, hubby ambil cuti untuk jadi driver saya sebab saya sangat tak cekap memandu sekitar Bandaraya Kuala Lumpur ni, walaupun dah berbelas tahun tinggal di sini.  Saya pun pilih lokasi yang agak mencabar untuk dijadualkan pada hari yang hubby bercuti.  Yang lain, saya gagahkan diri untuk terjah jugaklah….dan lepas memandu ke Jalan Raja Laut, saya baru tahu dekatnya Jalan TAR dengan UM dan senangnya nak ke Jalan TAR dan SOGO daripada UM.  Wowowo….menarik tu.

Pagi sebelum melawat pelajar, singgah minum pagi  dengan kawan hubby.  Dia menceritakan tentang projeknya mengkaji sejarah masjid-masjid tua di Malaysia.  Saya tertarik dengan komen beliau, tentang kepentingan sejarah.  Katanya, kepentingan sejarah dan memahami perjalanan atau kejadian lampau jelas terlihat daripada kandungan al-quran sendiri.  Allah ceritakan balik semua kejadian masa lalu kepada Nabi Muhammad S.A.W. untuk dijadikan iktibar dan panduan hidup masa depan.  Lebih kurang perkataannya, “we need to know what happened in the past; for us to move forward.” Masya Allah, orang yang berfikir dan menghayati al-quran...

Ya tak ya jugak, baru saya terfikir, al-quran sarat dengan kisah sejarah.  Macam kata orang putih, just to name a few….kezaliman Fir’aun dan bagaimana kesudahannya; kesombongan iblis dan akibatnya; keangkuhan Qarun dan kemusnahannya, keengkaran kaum-kaum ‘Ad dan Tsamud dan kesudahan mereka, kesabaran para nabi menghadapi rintangan dalam menyebarkan risalah Ilahi Rabbi; perjuangan Nabi Nuh menghadapi anak dan isteri yang enggan menurut seruannya; kehebatan kerajaan Nabi Allah Sulaiman dan kebijaksanaannya menawan minda, akidah dan jugak hati pemerintah kerajaan Saba’, ketabahan Nabi Ayub A.S. mengharungi penyakit dan bagaimana kesudahan Nabi Allah Yunus setelah memilih untuk melarikan dari daripada kaumnya yang engkar. Tak ketinggalan juga ketinggian akal budi dan keimanan Nabi Allah Yusuf A.S. dalam menghadapi godaan Zulaikha. Semuanya kisah-kisah yang berlaku suatu waktu dulu, zaman purbakala, tetapi sarat dengan pengajaran dan panduan tentang bagaimana seharusnya manusia mengendalikan kehidupan hari ini untuk menuju masa depan.  Kan al-quran pun diturunkan untuk memberikan bimbingan kepada manusia tentang cara menjalani kehidupan secara terpimpin.

Teringat pulak saya dengan cerita hubby, Allah dah bagi contoh yang lengkap dan menyeluruh menerusi utusan-utusanNya, iaitu para nabi.  Tak ada alasan untuk kita hari ini nak kata tak boleh nak mencari bekalan akhirat sebab kekangan anugerah dunia yang berbeza.  Kalau kata sibuk menguruskan negara, Nabi Allah Yusuf A.S. adalah pemimpin hebat dan dah tentulah busy, tapi dia tekun beribadah.  Kalau sebab sakit, Nabi Allah Ayub A.S. pun pernah sakit dan ditinggalkan pulak oleh anak dan isteri, tapi dia tetap dengan amal solehnya. 

Terlampau kaya dan sibuk nak uruskan kekayaan? Nabi Allah Sulaiman diciptakan Allah sebagai insan yang kaya raya.  Tak ada rekod tentang nilai istana atau asetnya, jadi tak tau berapa RMbillion.  Tapi hebat tak hebatnya, bukan sekadar manusia, jin, binatang semua di bawah kuasa baginda.  Pun sempat malah sentiasa menunaikan tanggungjawabnya kepada Rabbnya.  Malah Nabi Sulaiman A.S. dengan penuh keinsafan, mengakui limpahan kekayaannya merupakan ujian Ilahi Rabbi semata-mata.  Dalam surah Shaad, ayat 31-33, diceritakan bagaimana Nabi Allah Sulaiman pernah menghadiri pertunjukan kuda-kudanya yang tangkas.  Sebab asyik memerhatikan kehebatan aksi kuda-kuda tu, Baginda terleka dan terlewat menunaikan solat Asar.  Bila tersedar, Nabi Allah Sulaiman terus memerintahkan supaya kuda-kuda yang melalaikannya tadi disembelihkan dan dagingnya disedekahkan kepada para fakir miskin.  Ya Allah…macamana dengan kita yang tunggu Nora Elena habis baru nak solat Maghrib?  Sanggup ke lemparkan televisyen tu, habis tak pun sanggup tak hentikan aja tengok segala cerita sinetron yang tayangannya pada waktu Maghrib.  Habis Nora Elena, nanti datang pulak cerita baru, yang fungsinya sama aja, melalaikan kita dari solat Maghrib di awal waktu.  Balik kepada cerita para Nabi.  Dan kalau nak jadikan miskin sebagai halangan beribadah, Nabi Allah Isa A.S. adalah insan yang ditakdirkan Allah hidup dalam serba kekurangan, (dari segi nikmat dunia).  Pun Nabi Isa tetap mengingati Allah dan mensyukuri nikmatNya. 

Semua cerita sejarah ni diceritakan Allah dalam al-quran.  Untuk renungan manusia.  Untuk dijadikan pakaian dalam meniti kehidupan.  Allah dah hadiahkan al-quran, cuma terpulang kepada kita, nak guna atau pun tak nak.  Macam software computer, dah siap diinstallkan, siap shortcutnya kat desktop.  Tugas kita, gunakan application tu, kalau tak, tak ada maknanya setakat letak shortcutnya dekat desktop.  Nanti sesekali komputer akan keluarkan window yang tanya, “You have unused applications on your desktop.  Remove its shortcut from your desktop?”  Komputer pun angin kalau setakat ada tapi tak guna.

Apapun, al-quran adalah wadah bicara Ilahi Rabbi; penuh hikmah untuk diteliti; sarat dengan sejarah untuk dihayati, berisi panduan untuk diikuti dan terkandung perintah untuk ditaati.  Semoga Allah kurniakan saya, suami dan anak-anak tersayang kekuatan untuk membaca, memahami, memikirkan, menghayati dan mengamalkan ajaran dan panduan hidup yang Allah sampaikan menerusi kitabNya, sebagaimana lafaz doa sebelum dan sesudah membaca al-quran.  Amin.

Doa Sebelum Membaca al-Quran
Ya Allah ya Tuhan kami, Engkau menurunkan Al-Quran dengan kebenaran dan ia  telah turun dengan kebenaran.Ya Allah ya Tuhan kami, Engkau kuatkanlah keinginanku terhadapnya Dan jadikanlah Al-Quran sebagai cahaya bagi penglihatanku dan penawar bagi hatiku.Ya Allah ya Tuhan Kami, Engkau hiasilah lidahku dengannya dan Engkau serikanlah mukaku dengannya.  Dan Engkau perkuatkanlah jasadku ini dengan Al Quran dan Engkau beratkanlah timbanganku kerananya.  Dan Engkau kurniakanlah aku kemampuan agar dapat membacanya kerana mentaatiMu pada waktu malam dan siang. Dan Engkau himpunkanlah aku di akhirat nanti bersama Nabi Muhammad yang dilimpahi rahmat dan sejahtera oleh Allah Taala ke atas baginda serta keluarga baginda yang sebaik-baiknya.

Doa Selepas Membaca al-Quran
Ya Allah rahmatilah kami dengan al Quran. Jadikan ia imam kami, cahaya, petunjuk dan rahmat bagi kami. Ya Allah ingatkanlah kami apa yang kami lupa dan ajarkan bagi kami apa yang kami jahil. Kurniakanlah kepada kami untuk dapat membacanya sepanjang malam Ya Allah dan sepanjang siangnya. Jadikanlah ia perisai dan hujah bagi kami. Wahai Tuhan sekelian alam."

Monday, June 13, 2011

Tafsir Hamdalah

Sekadar melengkapi tafsir hamdalah dalam buku Samudera al-Fatihah, saya telusuri tafsir ayat yang sama dalam tafsir Fi Zilalil Quran.  Saya temui dengan sabda Baginda Rasulullah S.A.W. yang menceritakan tentang lafaz pujian yang agung untuk dirafakkan kepada Ilahi Rabbi.
Ya Rabbana lakal hamdu kama yan baghi lijala li wajhika wa’adzimi sultanik
Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Segala kepujian itu terpulang kepada-Mu, iaitu kepujian yang layak dengan keagungan zat-Mu dan kebesaran kuasa-Mu."

Menurut sabda Rasulullah S.A.W., bila seorang hamba mengucapkan pujian yang sedemikian, malaikat pencatat amal jadi susah hati, confused…tak tahu macam nak catatkan dalam buku amalan.  Sedangkan ucap Alhamdulillah aja dah dikatakan lebih baik daripada harta dunia seluruhnya.  Lalu mereka pun menghadap Ilahi Rabbi, bertanyakan penyelesaian kepada masalah ini.

Maka firman Allah, "Tulislah ucapan itu sebagaimana yang diucapkan oleh hambaKu sehingga ia menemui Aku dan Akulah sendiri akan membalaskannya."

Subhana Allah…betapa Maha Suci dan Maha Pengasihnya Allah.  Saya dah hafaz ucapan ni, waktu kena paksa hafaz dengan Ustazah Azizah semasa di Tingkatan 1.  Lepas dah hafaz dan lulus depan ustazah, dah tentulah tak amalkan sebab hafaz untuk Ustazah aja.  Bila terjumpa dengan cerita ni, barulah terhegeh-hegeh nak cuba ingatkan balik.  Dan Alhamdulillah, apa yang pernah terdaftar kat memori suatu waktu dulu, tak lah sesusah nak menghafaz benda baru, khususnya dalam usia sebegini.  Terima kasih ustazah sebab paksa hafaz dulu.  Kesyukuran dipanjatkan pada Ilahi Rabbi atas pengurniaan pengetahuan ini dan doa saya panjatkan agar seterusnya saya diberikan kekuatan untuk mengamalkan kalimah ini untuk memanjatkan pujian kepadaNya, dengan penuh keinsafan dan penghayatan.  Amin.

"Ya Allah Ya Tuhan kami, kurniakanlah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan selamatkanlah kami daripada azab api neraka."

Sunday, June 12, 2011

Alhamdulilah Sebab Menang Loteri?


Syukur kepada Allah untuk sebuah hari Sabtu yang indah.  Macam biasa, saya tak terkejar-kejar di waktu pagi untuk pergi “opis”.  Saya dapat luangkan lebih masa dengan putera-puteri kesayangan.  Sara mintak dimandikan, bila saya tanya kenapa hari ni tak boleh mandi sendiri, kata Sara sebab cuma hari cuti saja boleh mintak Mummy mandikan, hari Mummy kerja tak boleh.  Terharunya hari kecil saya….hari bekerja, saya keluar rumah, Sara dan Furqan belum pun bangun.  Sampai rumah dah petang, dia orang dah siap Bibik mandikan dan pakaikan baju tidur.  Dalam sibuk-sibuk antara makan malam, solat Maghrib, tengokkan kerja sekolah Harriz dan Ezham, alih-alih dia orang dah tidur.  Kesiannya…asyik fikri KPI UM, KPI saya dengan anak-anak macam mana….
  
Apapun, semalam banyak jugak yang aktiviti saya dengan famili tersayang.  Hantar Harriz ke sekolah untuk kelas tambahan UPSR, pergi Pasar Tani mengisi peti sejuk dengan bekalan untuk seminggu, membeli-belah kat Jaya Grocer untuk barangan kering bekalan untuk sebulan, dan bila saya bandingkan harga sayur, harga di Jaya Grocer lebih murah, sayurnya pulak lebih segar.  Lepas tu makan tengahari Kari Kepala Ikan dengan Kak Lily sekeluarga di Bangsar.  Hantar Ezham pergi latihan bola, sempat singgah Jualan Gudang Buku (Payless Books) di Kompleks 3K.  Lepas tu, temankan hubby pergi Bangi ambikkan kambing untuk rakannya yang nak buat kenduri dan sediakan hidangan makan malam.  Malam, layan anak-anak lelaki saya tengok bola.  Hubby, Harriz dan Ezham sokong pasukan merah putih, jadi untuk menggamatkan suasana, saya mengisytiharkan saya menyokong pasukan Ganu kita sebab saya suka makan keropok lekor Trengganu.  Kata Harriz, apalah Mummy ni, tak ada orang pun yang sokong Trengganu tu…baru aja dia orang kena belasah dengan Kelantan 3-0. 

Dan Alhamdulillah, hari ni saya sempat jenguk bab 5 buku Samudera al-Fatihah, Tafsir Hamdalah.  Besarnya pengertian yang terkandung di sebalik kalimah yang amat ringan disebut di lidah semua kaum Muslimin, yang tak Muslim pun boleh sebut; tapi terasa sangat kurangnya penghayatan diri, minda mahupun hati terhadap kalimah keramat ni.  Pengarangnya membahagikan kalimah kepada dua bahagian dalam penerangannya, “Segala puji bagi Allah” dan “Rabbil ‘Alamin”.   Sifat kebesaran dan keagungan Allah yang mewajibkan manusia memuji Illahi Rabbi diterangkan menerusi kehebatan ciptaan Allah yang tak ada tandingannya.  Tak ada cacat celanya.  Baik direnung system makro – system cakerawala, pusingan bumi, kejadian malam siang dan kesempurnaan kejadian alam semesta; mahupun bila diteliti dari aspek mikronya – penciptaan manusia sendiri, penciptaan makhluk yang halus seperti nyamuk, kejadian bakteria, virus sampailah kepada atom-atom proton dan electron.

Yang pasti, setelah membaca bab ni, barulah saya teringat nilah sepatutnya tujuan belajar geografi dan sains.  Supaya kita semakin insaf betapa hebatnya dan agungnya Allah.  Menciptakan alam dan isinya dengan amat teratur.  Memelihara susun atur perjalanan segala ciptaanNya.  Satu contoh, tengok macam mana susunan planet dan peredarannya di sekeliling matahari.  Dengan peredaran yang sedemikian, terbentuklah kejadian siang dan malam yang Allah gilirkan kewujudannya supaya manusia mempunyai masa untuk bekerja dan beristirehat.  Subhana Allah. Betapa Allah yang Maha Kaya menjadikan bumi dengan tanah yang berbeza-beza, sesuai untuk tanaman yang berbeza maka manusia dapat menikmati berbagai jenis makanan dan buah-buahan yang berlainan.  Kemudian Allah berikan panduan untuk kapal-kapal belayar dalam kegelapan malam di tengah lautan luas, maka hasil tanaman yang berbeza-beza boleh ditukarkan antara benua, maka manusia boleh menikmati nikmat buah-buahan yang pelbagai tu. 

Tapi saya dulu belajar untuk tujuan lulus peperiksaan.  Hafal nama planet dan kedudukannya bagai nak rak sebab nak dapat A untuk geografi dan sains.  Hasilnya, saya tahu sampai sekarang nama-nama planet dan kedudukan mereka.  Saya masih ingat, planet yang paling cantik adalah planet Zuhal.  Dan itu ajalah yang saya dapat.  Tak pernah terfikir tentang “rantaian” antara ilmu tu dengan keinsafan terhadap keagungan penciptanya.  Aduh….Pun, bukan mak ayah tak pernah didik.  Saya masih ingat, ayah pernah kata dalam salah satu siri usrah malam Sabtu.  Kata ayah, tengok betapa hebatnya Allah.  Buah mangga waktu muda, rasanya masam.  Tapi bila dah tua, jadi manis.  Fikir tu aja dah cukup.  Dan ayah jugak kata, tapi kalau orang yang tak berfikir, main makan sajalah.  Silap silap, bismillah pun tak baca masa nak makan buah tu.  Cuma saya yang tak pernah nak ambil serius benda-benda macam ni.  Zaman kecik-kecik dulu, dengar usrah pun macam terpaksa jer….hari ni baru rasa syukur pada Allah dan terima kasih pada ayah sebab ada usrah mingguan tu.

So, lesson of the day, duhai diri, kena belajar memerhatikan dan memikirkan segala kejadian untuk mendekatkan diri dengan Ilahi Rabbi.  Sebagaimana kata pengarang, " jadi seluruh kejadian apa saja, di samping diambil manfaatnya untuk hidup, pula dijadikan bukti dan tanda-tanda tentang wujud kekuasaan dan kemurahan Allah, untuk mendorong agar kita selamanya hidup dalam mengingat Allah, mensyukuri segala nikmat Allah dan mentaati segala perintah Allah."

Pengarang juga menjelaskan pentingnya menjiwai kalimah hamdalah ni sebab hanya bila sedar keagungan Ilahi Rabbi, barulah pujian jadi beerti, bukan setakat pengucapan di bibir saja.  Bila memuji dengan penuh ikhlas, barulah mampu mewujudkan rasa syukur yang tidak terhingga terhadap Ilahi Rabbi.  Dia yang Maha Agung, dia yang Maha Berkuasa, dengan segala keagungan dan kekuasaanNya, mentadbirkan dan menganugerahkan segala nikmat yang tak terhingga.

Seba itulah, pengucapan kalimah Hamdalah ini besar nilainya, seperti sabda Baginda Rasul,
“Sekiranya dunia dan seluruh harta kekayaan yang berada di atasnya diserahkan ke tangan seorang dari umatku, lalu ia berkata, “alhamdulilah”, sungguh ucapan itu lebih berharga dari seluruh harta kekayaan tadi.”

Dan

“Zikir yang paling utama adalah kalimah tauhid dan doa yang paling utama adalah kalimah hamdalah.”

Saya tertarik dengan pesanan dalam buku ni, "Marilah kita mengucapkan kalimah itu sebanyak-banyaknya dengan syarat kita ucapkan dengan pengertian dan kesedaran.  Jangan kita asal sebut saja apalagi menyebutnya dengan hati yang lalai dan lengah, seakan-akan dalam keadaan bersiul – siul saja."  Jelasnya, ucapan saja tak cukup.  Kena ada penyelarasan antara gerakan lidah, kefahaman minda dan penghayatan hati.  Lidah menyebut; minda terkenang dan hati kena teringat.  Baru ucapan jadi besar maknanya dan tinggi nilainannya.  Semoga Allah mengurniakan saya dan anak-anak hikmah untuk memahami dan menjiwai sepenuhnya kalimah Hamdalah ini.  Amin.

Teringat saya pada ceramah pernah saya dengar satu ketika dulu, semua orang boleh sebut Alhamdulillah tapi tak tahu kesannya sampai mana sebab ada yang sebut Alhamdulillah bila menang loteri. Ada orang ucap alhamdulillah sebab dinobatkan sebagai Ratu Cantik. Waalahualam.


“Ya Allah, Ya Tuhan kami, kurniakanlah kepada kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat; dan jauhkanlah kami daripada azab api neraka.”

Thursday, June 9, 2011

Ular Menjadi Ikan


Perjalanan balik dari pejabat (UM) ke Putra Heights hari ni lebih dua jam.  Sejam dari UM ke simpang NPE, jadi saya ambil keputusan untuk patah balik dan menggunakan Lebuhraya Persekutuan sahaja.  Perancangan nak menikmati Mi Bandung Muar bersama dengan hubby dan anak-anak tak kesampaian sebab sampai rumah dah pukul lapan lebih.  Betullah, manusia merancang tapi Allah yang menentukan.  Nasib baik dah sarapan pagi dan makan tengahari bersama.
Santapan minda terkini, “Samudera al-Fatihah” karya Bey Ariffin.  Buku Di Balik Ketajaman Mata Hati pun belum habis saya baca.  Tapi saya ada objektif sendiri yang mendasari pembacaan buku ni.  Dan saya perlu baca buku ni segera.  Susunannya menarik. Kupasan surah al-fatihah ayat demi ayat termasuk ta’awwudz.
Saya baru selesai membaca sehingga lafaz “Bismillah”.  Kalimah yang biasa dibaca sedari kecil.  Orang tua-tua pesan, buat apa pun kena baca “bismillah”. Kena mulakan dengan lafaz keramat ni.  Saya masih ingat, Mak Cik Shidah, ibu saudara saya ceritakan semasa saya darjah dua dulu.  The Power of Bismillah.  Lebih kuranglah…tak tahulah cerita ni sumbernya dari mana.  Masa kecik dulu, dengar cerita, mana ada nak tanya sumber mana..cerita sahih ke, dongeng ker, legenda ker…asal kata cerita, boleh saja.  Cerita Puteri Gunung Ledang pun boleh percaya sampai pernah bercita-cita nak pergi Johor, nak cari jambatan emas yang kononnya dibina Sultan Melaka untuk sang puteri idaman hati.  Berbalik kepada cerita tadi, once upon a time, ada seorang wanita yang senantiasa membaca kalimah Bismillah sebelum melakukan segala jenis pekerjaan.  Suami wanita ini merasa pelik, entah apalah ada pada kalimah tu sampai si isteri tak pernah meninggalkan amalan membaca kalimah ini.  Lalu, suatu hari, dengan tujuan nak menguji faedah membaca kalimah Bismillah, si suami meletakkan ular di dalam bekas air yang digunakan oleh isterinya untuk membasuh kaki.  (Ada jugak suami yang macam ni…)  Seperti biasa, isterinya membaca Bismillah seterusnya menuangkan air dari bekas tersebut ke atas kakinya.  Ting...dengan kehendak Allah, ular tu bertukar menjadi ikan.  Si isteri pun mengambil ikan tersebut dan di masak sebagai hidangan mereka.  Err…agaknya si suami tu tergamak ke nak santap “ikan” tu ha?  Masa dengar cerita tu, kagumnya saya tak terkira, berkobar-kobarlah nak amalkan ucapan “bismillah” bagi mendahului setiap amalan dan pekerjaan.  Tapi kejap tu ajalah…namapun zaman budak-budak.
Sejujurnya, sampai hari ni, saya belum mampu membiasakan diri dengan ucapan ni walaupun dah 37 tahun hidup. Bila baca buku ni, saya tahu betapa banyaknya perkara yang saya ambil mudah.  Orang putih kata, take for granted.  Sebab ucapan “bismillah” tu dah boleh diucap sejak kecil, maknanya tak saya hayati.  Apalagi keagungan kalimah tu.  Bila-bila teringat baru baca.
Betapa agungnya kalimah Bismillah, sehinggakan menurut sabda Rasulullah S.A.W. (selawat dan salam ke atas Baginda dan ahli keluarga baginda), “Tatkala turun ayat ini, awan-awan lari ke timur, lalu angin menjadi diam, laut bergelombang, semua binatang-binatang memasang telinga mendengarkannya, syaitan-syaitan direjam dari langit, lalu Allah bersumpah, “Demi kegagahan dan kemuliaanNya, apa pun juga yang disebut namaNya atasnya, Allah akan beri berkah padanya.”
SubhanaAllah…Allah janjikan berkah untuk segala yang disebut dengan namaNya.  Sebab ni lah mak ayah, tok dan tok wan semua pesan supaya baca Bismillah sebelum buat apa-apa pun.  Lagipun ini jugak tanda kita sentiasa ingat Allah, sentiasa mohon redha dan berkah dariNya bila nak buat apa pun, tak lah nak tunggu susah atau sakit aja baru nak ingat Allah. 
Lafaz Bismillah jugak akan melemahkan syaitan.  Sebagaimana menurut riwayat Imam Ahmad bin Hanbal, seorang pengawal Baginda Rasul pernah bercerita, Rasulullah S.A.W. pernah tertarung kakinya ketika berjalan, lalu pengawal Baginda berkata, “Celaka syaitan itu.”  Rasulullah bersabda, “Jangan engkau berkata, “Celaka syaitan itu” sebab mendengar itu, syaitan akan menjadi besar dan kuat dan akan bertekad, ‘dengan segenap kekuatanku, aku akan binasakan dia’.  Tetapi bila engkau berkata “Bismillah” syaitan menjadi kecil dan lemah seperti seekor lalat.”
Yang lebih menggerunkan saya adalah sabda Baginda Rasulullah S.A.W., “Setiap pekerjaan yang penting, yang tidak dimulai dengan menyebut Bismillah hir Rahman nir Rahim, maka urusan itu akan pincang.” Duhai diri…ambillah pengajaran dari peringatan ini.  Bacaan ayat Bismillah di permulaan segala amalan dan urusan, dengan menyebut nama Allah, menjanjikan berkah Ilahi dan melemahkan syaitan.  Sedangkan tanpa menyebut nama Allah, urusan tak akan sempurna.  Semoga Allah kurniakan saya kekuatan untuk menjadikan pembacaan Bismillah ni suatu amalan yang berterusan demi memohon keberkatan Ilahi Rabbi untuk setiap urusan.  Amin.

"Ya Allah Ya Tuhanku, kurniakanlah kepada kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan jauhkanlah kami dari azab api neraka."  Amin.

Monday, June 6, 2011

Zikir Iktidal

Alhamdulillah, dapat pulang ke kampung tercinta menjenguk bonda tersayang.  Dah agak lama tak balik Butterworth, kali terakhir balik dan jumpa mak adalah cuti hari raya Cina Februari lepas.  Semoga masih ada peluang dan kesempatan untuk saya jumpa mak di masa akan datang, dalam suasana ceria dan sejahtera.  Amin.  Kali ni, lebih meriah sebab kebetulan adik saya Pani pun dapat balik sekali.  Lan aja yang tak dapat balik sebab ditugaskan untuk buat liputan Muktamar PAS bagi pihak Malaysiakini.  Dapat makan kambing di tengah-tengah lading kambing, hee…terima kasih kepada pihak penaja. 
Macam biasa bila balik rumah mak, selain sembang-sembang dengan mak, pasal perkembangan mutakhir sanak-saudara dan resipi baru yang mudah lagi simple, saya akan sibuk tengok buku-buku baru mak.  Buku resipi masakan dan buku agama.  Terbaru, Mak ada beli buku-buku tulisan Ustaz Zahazan.  Buku koleksi doa para nabi dan buku Koleksi Hadis Pilihan.  Menariknya buku koleksi doa Ustaz Zahazan, ada disertakan fadilat dan hadis Nabi yang menceritakan tentang keutamaan atau kelebihan setiap doa dan zikir yang disertakan.
Doa memang banyak, nak menghafal satu hal.  Nak jadikan amalan yang istiqamah lagi satu hal.  Tapi saya tertarik dengan sebuah zikir, zikir iktidal.  Saya pernah terbaca satu waktu dulu tentang fadilat zikir ni.  Zikirnya:
Maksudnya: Wahai Tuhan Kami, bagiMu segala pujian yang banyak, baik dan yang ada barakah padanya.”
Menurut riwayat Rifa’ah bin Rafi’ al-Zuraqi,
“Suatu hari, kami solat berjemaah bersama baginda Rasulullah S.A.W.  Ketika Baginda mengangkat kepalanya daripada rukuk, Baginda mengucapkan "Sami Allah hu liman hamidah".
Salah seorang makmum membaca zikir iktidal.  Apabila selesai solat, Baginda bertanya, siapakah yang mengucapkan zikir tadi?  Kata orang itu, “Saya, wahai Rasullullah.”
Rasulullah bersabda, “Aku lihat lebih dari tiga puluh malaikat berebut-rebut hendak menulis pahalanya dahulu.”
Saya jarang mempedulikan buku-buku atau risalah-risalah doa.  Sebab utamanya adalah saya sukar nak menghafal doa dalam bahasa Arab.  Satu lagi bab amalan.  Susahnya untuk saya istiqamah dengan doa dan zikir.  Biasanya lepas salam terus lipat sejadah.  Tapi, saat membaca kisah ini, terlintas di hati saya, macam mana pun kena solat, insya Allah.  Zikir iktidal ni dibaca dalam solat.  Sekadar tambah dua tiga patah perkataan saja.  Zikirnya pun taklah panjang macam doa-doa yang lain.  Apa salahnya saya cuba untuk menghafal dan cuba untuk amalkan, memandangkan ganjarannya yang sangat besar.  Lagipun, saya perlu lebih positif dan berusaha untuk melekatkan di minda, zikir-zikir dan doa terpilih untuk menjadi amalan kehidupan.  Doa kan senjata orang mukmin.  Macam kata pepatah orang putih, you never know until you try.  Kalau belum cuba hafal dah kata tak boleh, macam mana nak tahu boleh ingat ke tak.  Never say never.
Semoga Allah kurniakan saya keupayaan untuk melekatkan zikir ini di minda dan menjadikannya amalan yang istiqamah. Amin.