Tuesday, May 31, 2011

Sifat Orang Berakal....

Semalam seorang pelajar Sarjana menemui saya.  Nak survey tajuk untuk buat kertas penyelidikan beliau.  Saya dah kenal calon ni sebab saya pernah jadi pembaca soalan untuknya dalam salah satu peperiksaan akhir tak lama dulu.  Kagumnya saya dengan semangat juang yang dimiliki.  Ujian Allah untuknya berat sekali saya rasakan.  Cacat penglihatan dan kini menghadapi masalah kesihatan.  Dia menceritakan pada saya proses penyelidikannya mungkin agak lambat.  Sebab dia terpaksa menjalani dialysis seminggu sekali.  Pada masa yang sama dia juga perlu mengikuti pembedahan berkala untuk mengurangkan kesakitan pada matanya.  Saya hanya mampu mendoakan agar Allah memudahkan segala urusannya dan mengurniakan insan ini ketabahan dan kekuatan untuk menghadapi segalanya.  Saya mohonkan juga semoga Allah berikan saya kekuatan dan keupayaan untuk membantu pelajar ini setakat yang mampu dalam melengkapkan kertas penyelidikannya.

Pertemuan dan sembang-sembang dengan pelajar ini menginsafkan saya, betapa besarnya nikmat dan kesenangan ”dunia”  yang Allah kurniakan pada saya.  Tak ada lagi sebab untuk saya merungut atau mengeluh dengan hal yang amat remeh temeh.  Yang perlu saya lakukan adalah memanfaatkan sebaiknya anugerah Allah untuk kebaikan dunia dan akhirat.  Sebab kesenangan dunia yang Allah kurniakan pun sebenarnya adalah ujian.  Macam firman Allah dalam Surah Az-Zumar, ayat 50: “Maka apabila manusia ditimpa bahaya ia menyeru Kami, kemudian apabila Kami berikan kepadanya nikmat dari Kami, ia berkata, “Sesungguhnya aku diberi nikmat kerana kepintaranku.”  Sebenarnya itu adalah ujian, tetapi kebanyakan mereka tidak mengetahui.”

Saya masih teringatkan tafsir Surah al-A’la, surah kegemaran Baginda Rasul.  Antara bait akhir ayat bermaksud, “Tetapi kamu memilih kehidupan duniawi.  Sedang kehidupan akhirat lebih baik dan kekal.  Sesungguhnya ini benar-benar terdapat dalam kitab-kitab yang terdahulu.  Iaitu kitab-kitab Ibrahim dan Musa.”

Tafsir al-Munir menjelaskan dengan agak terperinci tentang apa yang terdapat dalam Suhuf Ibrahim dan Suhuf Musa berkenaan sifat manusia yang pentingkan dunia berbanding akhirat.  Mula-mula membaca, saya tertanya jugak, masih relevankan kandungan suhuf Ibrahim dan Musa setelah datangnya al-quran?  Di akhir penjelasan, disertakan pertanyaan yang sama dari Abu Dzar kepada Baginda Rasul tentang kewujudan pegangan umat Muhammad terhadap kitab Musa dan Ibrahim.  Maka jawab Baginda Rasul, “Ya, bacalah wahai Abi Dzar firman Allah, Surah al-A’la, ayat 14-19.”

Abu Dzar pernah bertanya tentang kandungan suhuf Ibrahim.  Sabda Rasulullah S.A.W. (selawat dan salam ke atas Baginda dan keluarga),”Kesemuanya adalah nasihat.  Antaranya, “Wahai raja yang terpedaya, sesungguhnya Allah tidak melantik engkau untuk mengumpulkan harta dunia tetapi aku melantik engkau untuk mendengar dakwaan orang yang dizalimi.  Sesungguhnya Allah tidak akan menolak doa orang yang dizalimi walaupun dari mulut orang yang kafir.”

Di dalamnya juga terdapat kata-kata, “orang yang berakal itu hendaklah memperuntukkan bagi dirinya tiga masa: pertama masa untuk bermunajat kepada Allah, kedua adalah masa untuk muhasabah dirinya dan memikirkan ciptaan dan pemberian Allah kepadanya dan yang ketiganya adalah masa untuk makan minumnya dan hajat-hajat lain.”  “Dan orang yang berakal mestilah mengusahakan tiga perkara iaitu menambahkan bekalan akhirat, mengatur urusan kehidupan dan mengecapi kelazatan yang tidak haram.  Orang yang berakal perlu arif tentang zamannya, bersedia menghadapi masa depan dan menjaga lidahnya.  Sesiapa yang menghitung perkataannya berbanding amalannya nescaya kuranglah ia bercakap melainkan dalam urusan yang penting sahaja.”

Abu Dzar bertanya pula tentang inti pati suhuf Musa A.S.  Sabda Baginda, “Kesemuanya adalah pengajaran.  Aku hairan bagaimana seseorang yang yakin dengan mati tetapi dia masih boleh bergembira.  Aku hairan bagaimana seorang yang yakin dengan qadar tetapi masih bersusah payah.  Aku hairan dengan orang yang telah melihat dunia dan orang yang bergelumang di dalamnya tetapi dia boleh tenang dengan dunia itu dan aku juga hairan dengan orang yang yakin dengan hari hisab tetapi dia masih lagi tidak beramal.”

Lessons of the Day:
1.       Bila berhadapan dengan pelajar tu, saya teringat pada kata-kata, jangan mengeluh kalau tak berkasut, lihatlah kepada orang yang tak berkaki.  Sekurang-kurangnya, dari segi kemudahan dunia, setakat ini Allah kurniakan saya nikmat sihat dan nikmat penglihatan.  Betapa saya tak pernah mensyukuri dan take for granted saja apa yang Allah kurniakan percuma ni.
2.       Suhuf Nabi Ibrahim menjelaskan pengurusan masa orang yang berakal.  Ha…selama ni yang saya tahu cuma “First Things First” karangan Stephen Covey dan “See You At The Top” karya Zig Ziglar saja.  Menurut suhuf Ibrahim, kena peruntukkan masa kepada tiga bahagian: masa untuk bermunajat kepada Allah; masa untuk berfikir – tentang ciptaan Allah dan nikmat pemberianNya juga untuk analisis diri; masa untuk aktiviti keduniaan – makan, minum, bekerja dan bersosial.
3.       Juga penjelasan tentang aktiviti orang berakal – kena usahakan amal untuk bekalan akhirat; mengatur urusan hidup dan menikmati apa saja yang indah dalam hidup asalkan tidak haram – boleh makan yang sedap-sedap asalkan halal makanannya juga sumber perolehannya.  Boleh pakai baju yang cantik-cantik asalkan menutup aurat. 
4.       Suhuf Ibrahim pun menekankan tentang keperluan menjaga lidah.  Sahlah penangan lidah ni amat besar dan bahaya.  Sebab tu jugak pujangga kata, “mata pena lebih tajam daripada mata pedang.”  Lidah ni seertilah dengan mata pena atau keyboard dalam zaman sekarang.  Perkembangan teknologi membolehkan manusia berkomunikasi bukan saja “face to face” (dengan lidah) tapi juga menggunakan pena dan sekarang ni, keyboard menerusi macam-macam wadah – surat (dah ketinggalan zaman jugak), buku, SMS dan jugak FB.  Maka, duhai diri, seiring dengan pesanan supaya menjaga lidah dalam al-quran, hadis Baginda Rasul dan juga Suhuf Ibrahim, perlu juga menjaga segala tutur kata yang ditaipkan dalam blog atau status dan komen FB.  Agar tak ada pihak yang disakiti secara tak sengaja, apa lagi kalau dengan sengajanya disengajakan.
"Ya Allah Ya Tuhan kami, kurniakanlah kepada kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat.  Dan jauhkanlah kami daripada azab api neraka.  Amin."


Monday, May 30, 2011

"Allah Gives Us The Quran to Guide Us Live on Earth"






Illustrasi daripada: owhsomuslim.com
Hari Ahad.  Alhamdulillah, seronoknya anak-anak murid sudi datang rumah.  Sembang-sembang.  Seorang siswi tanya, “Dr, students cuti, pensyarah pun cuti kan?”  Rupanya students ingat bila cuti semester, pensyarah pun turut bercuti.  Macam cikgu-cikgu, cuti bila sekolah cuti. Mana ada sayang oi….pensyarah, kalau nak cuti, kena ambik cuti tahunan.  Kalaulah waktu students cuti, pensyarah pun cuti, bahagianya.  Bayangkan cuti dari bulan Mei sehingga Julai…(tahun ni, semester buka balik bulan September).
Pengisian minda dari tafsir Ibnu Kathir, Surah at-Tariq. Ayat 13-14 menerangkan tentang al-quran, “Sesungguhnya al-quran itu benar-benar firman yang memisahkan antara yang hak dan yang batil. Dan sekali-kali bukanlah dia senda gurau.”  Dalam penerangan tafsirnya, Ibnu Kathir memasukkan hadis Baginda Rasul tentang al-quran yang lengkap tentang kandungannya, fadilatnya dan padah pada yang memilih untuk buat endah tak endah dengan al-quran.
Al-Tarmizi dan al-Darimi meriwayatkan dari Saidina Ali katanya,
“Aku mendengar Rasulullah S.A.W. bersabda: “Sesungguhnya akan berlaku fitnah.” 
Apakah penyelesaiannya wahai Rasulullah?
Beliau bersabda, “Kitab Allah Tabaraka Wa Taala.”
“Di dalamnya terdapat cerita umat sebelum kamu dan khabar tentang apa yang akan berlaku selepas kamu, ia adalah pengadil di antara kamu, juga sebagai pembeza (di antara kebaikan dan keburukan) dan bukannya satu senda gurau.
Barangsiapa dari kalangan yang angkuh yang mengabaikan hukumannya nescaya akan dibinasakan oleh Allah dan sesiapa yang menuntut hidayah dari selainNya nescaya Allah akan menyesatkannya.
Ia adalah tali Allah yang kukuh, cahayanya terang dan peringatan yang bijaksana.  Ia adalah jalan yang lurus yang mana dengan hidayahNya, hawa nafsu tidak akan terseleweng, lidah tidak akan terkeliru dan perbezaan pandangan tidak akan berlaku.
Al-Quran adalah sebuah kitab yang mana golongan ulama’ tidak akan pernah kenyang dengan pengajarannya dan golongan yang bertakwa tidak akan jemu terhadapnya.  Ia tidak akan luput walaupun banyak penolakan terhadapnya dan sama sekali tidak akan pudar keajaibannya; bahkan golongan jin bila mana mendengarnya akan sentiasa mengungkapkan ungkapan mereka, “Sesungguhnya kami telah mendengarkan al-Quran yang menakjubkan, yang memberi petunjuk kepada jalan yang benar.” 
Sesiapa yang mengetahui ilmu yang terkandung dalam al-Quran akan maju, sesiapa yang berkata-kata dengannya adalah benar, menghukum berpandukannya akan adil, beramal dengan saranannya akan diberi ganjaran dan sesiapa yang menyeru ke arahnya akan diberi petunjuk ke jalan yang benar.””
Lengkap penjelasan Rasulullah tentang kitab al-Quran yang Allah turunkan.
Dan semalam semasa membaca Surah Shaad, di permulaan surah tu Allah bersumpah dengan al-Quran yang penuh keagungan.  Dan, saya tersua dengan satu lagi keterangan Allah tentang al-Quran, “Ini adalah sebuah kitab yang Kami turunkan kepadamu penuh dengan berkah supaya mereka memperhatikan ayat-ayatnya dan supaya mendapat pelajaran bagi orang-orang yang mempunyai fikiran.”

Teringat pada bait-bait nasyid,
Allah gives us the Quran,
The Quran, the Quran,
Allah gives us the Quran,
To guide us live on earth.
Why?  Because,
Allah loves us so he does,
so he does, do he does,
Allah loves us so he does
and we do love Him too…

"Ya Allah, Ya Tuhan  kami, berikanlah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan jauhkanlah kami daripada azab api neraka."

Friday, May 27, 2011

Peraturan vs Kemanusiaan


Episod pemarkahan ujian akhir baru selesai. Saya agak fobia dengan semester kedua setiap tahun pengajian. Sebabnya, kursus yang saya kendalikan merupakan kursus wajib tahun akhir. Maknanya kebanyakan siswa yang mengambil kursus tu berada dalam semester akhir, dengan syarat mereka lulus kursus saya, selain beberapa kursus wajib lain. Setiap semester saya akan menghadapi masalah dengan siswa yang tak lulus, tapi mohon dibantu untuk diluluskan supaya dapat konvo. Tak nak ulang lagi kursus ni. Jadi stress dengan ayat-ayat rayuan seperti, “Dr, kerana paper Dr ni aja, saya tak boleh konvo sama dengan kawan-kawan lain.” Setiap semester dua, lepas keputusan keluar, saya pulak jadi tertekan. Sampai hubby kata, "Setiap semester Roza hadapi benda yang sama. Takkan tak tau lagi macamana nak handle". Betul…tapi bila siswa-siswi datang merayu dengan air mata pulak, kadang-kadang tersentuh jugak hati saya. Paling tak tahan, ada yang gunakan ayat, “Dr, tak ada ke belas kasihan Dr terhadap saya?” Teringat pada hadis Baginda Rasul, “kasihanilah pada mereka yang ada di bumi, nescaya kamu akan dikasihani oleh yang ada di langit.” Dan saya amat terkesan dengan komen seorang siswa, Dr terlalu ikut rule dan ketepikan humanity. 

Tapi, pada masa yang sama, saya juga memegang amanah. Saya percaya kalau semua siswa berikan jawapan gred A, maka saya perlu bagi semua siswa gred A. Kalau semua siswa layak lulus, saya mesti luluskan mereka. Tak boleh ada kuota. Sama jugak, kalau bagi jawapan yang tak layak lulus, maka saya tak boleh luluskan. Sebab, kalau bagi jawapan dan buat assignment yang macam mana pun lulus, baik lah tak payah buat exam. Tak payah susah-susah buat peperiksaan dan pemarkahan. Bak kata kawan saya, kalau tak kisah jawapan macam mana pun nak diluluskan, lelong ajalah Ijazah Sarjana Muda Ekonomi tu dekat Pasar Tani.

Dilemma kan. Bukan tak nak tolong. Sebab nak tolonglah dan atas dasar humanity, saya bagi tugasan yang pemarkahannya sangat fleksibel.  Siswa yang jawab ikut kehendak hati pun saya bagi markah.  Contoh mudah, soalan tanya pilih seorang sarjana ekonomi klasik dan jelaskan sumbangannya kepada pembangunan teori ekonomi,   siswa-siswi tulis tentang latar belakang sarjana ekonomi dari mula dia lahir, di mana, siapa mak bapaknya, berapa orang anaknya, kat mana dia bersekolah sampai kepada tarikh dia meninggal dunia.  Yang bab sumbangan tak ada....pun saya bagi markah, agak tinggi pulak tu.  Sebab nak tolonglah.. sebab dah tahu kalau assignment pun buat macam ni, jawapan peperiksaan akhir, tak usah ceritalah.  Atas dasar nak mudahkan pelajar lulus jugak, saya keluarkan balik soalan tutorial dalam peperiksaan akhir. Yang dah dibincangkan dalam kelas. Yang jawapannya dah saya jelaskan satu persatu. Tapi standardlah siswa-siswi zaman sekarang, (saya taklah borong semua, ada yang tekun, tapi kebanyakannya) masuk tutorial atau kuliah macam masuk panggung wayang. Lenggang kangkung. Soalan tutorial pun tak tau apa. Tajuk yang dibincangkan pun tak ambil tahu. Kawan bentang, yang lain sembang. Yang tidur pun ada (macam saya bila tengok wayang..tidur). Yang bergosip pun ada. Yang sibuk menekan-nekan telefon bimbit pun ada. Kadang-kadang, yang membentang pun tak tahu apa yang dibentang. Soalan tanya pasal negara China, boleh cerita pasal negara India. Itu yang fizikalnya. Minda lagilah entah kat mana. Kalau kawan bentang salah, yang terang dan nyata macam 1+3=10 pun, angguk saja. Waktu saya bagi ulasan dan jawapan, yang mencatat adalah seorang dua. Yang lain, entah buat apa.

Sedangkan mencatatkan sebahagian daripada proses pembelajaran. Untuk buat rujukan nanti sebab minda mungkin tak mampu nak merakamkan semua maklumat. Hubby pernah cerita dulu, masa Imam Syafie menuntut ilmu. Rakan-rakannya tidak mencatit, kena marah dengan guru. Mereka menyuarakan rasa tak puas hati sebab Imam Syafie pun tak mencatit tapi tak kena marah. Lalu guru tu pun menyuruh Imam Syafie mengulang semula apa yang telah dikuliahkan. Satu point pun tak tertinggal….itu Imam Syafie, apa saja yang dikuliahkan terakam seratus peratus. Jadi, ustaz tu pun kata, yang mana datang kuliah tak catat apa-apa ni, setara Imam Syafie lah mungkin…dah tak perlu catatan kertas, cukup catatan minda aja. Bila saya perhatikan gelagat selamba-lewa siswa dalam kelas, teringat saya pada cerita ni.

Berbalik kepada cerita dilemma saya. Saya mintak hubby tanyakan ustaz ada tak apa-apa dalil yang boleh menyedapkan hati saya. Kejamkah saya ni sebab ada masanya terngiang-ngiang kata siswa, “Dr, dengan satu semester tambahan ni, saya terpaksa tanggung kos sewa rumah dan sebagainya. Keluarga saya orang susah Dr.” Saya mohon pada Allah semoga saya diberikan petunjuk dan bimbingan untuk berlaku seadilnya dalam menunaikan amanah yang saya pegang.

Alhamdulillah, dua hari lepas, saya tergerak untuk meneliti Surah Shaad dan tafsirnya. Ada cerita Nabi Daud A.S. Allah ceritakan bagaimana Nabi Allah Daud dihadapkan dengan masalah pertengkaran dua saudara. Seorang yang kaya, memiliki 99 ekor kambing manakala seorang yang hanya memiliki seekor kambing. Yang kaya seterusnya meminta si miskin memberikan kambing yang seekor kepadanya. Mengadulah si miskin kepada Nabi Daud. Nabi Allah Daud menyatakan betapa yang kaya telah melakukan penganiayaan kepada saudaranya. Nabi Daud A.S. menyedari ini merupakan satu ujian Allah kepadanya, untuk melihat keupayaannya berlaku adil, sebagaimana cerita Allah, “Dan Daud mengetahui Kami mengujinya, maka ia meminta ampun kepada Tuhannya lalu menyungkur sujud dan bertaubat.” Lalu, Nabi Daud A.S. diampunkan Allah dan Allah perintahkan Daud A.S. untuk berlaku adil sebagaimana firmanNya, “Hai Daud, sesungguhnya kami menjadikan kamu pemerintah di muka bumi, maka berilah keputusan di antara manusia dengan adil dan janganlah kamu mengikuti hawa nafsu, kerana ia akan menyesatkan kamu dari jalan Allah. Sesungguhnya orang yang sesat dari jalan Allah akan mendapat azab yang berat kerana mereka melupakan hari perhitungan.''

Selanjutnya, dalam Tafsir Ibnu Kathir, huraian ayat ini disertakan dengan beberapa potong hadis, menjelaskan tentang tuntutan untuk berlaku adil dalam menjalankan tanggungjawab. Tafsir Hamka seterusnya menjelaskan, adil ertinya membuat keputusan secara hak. Membuat keputusan mengikut hawa nafsu adalah membuat keputusan dengan dipengaruhi oleh rasa simpati, belas kasihan ataupun pilih kasih. Saya merasa tenang selepas membaca tafsir ayat ini. Rasa hilang segala dilemma yang menghantui saya. Mesti wujud keadilan dalam menunaikan tanggungjawab. Tolong mesti dengan cara yang betul. Sebab kegagalan berlaku adil ertinya ada pihak yang dizalimi.

Alhamdulilah. Terasa sangat nikmat kemanisan menelaah bait-bait bicara Ilahi Rabbi.  Teringat pada kata-kata, “Hamba berbicara dengan Allah menerusi solat; Allah berbicara dengan hambaNya menerusi al-Quran”. Duhai diri, lain kali, kalau ada masalah, bacalah al-Quran sebab sebagaimana sabda Rasulullah S.A.W., “Sesiapa yang mengetahui ilmu yang terkandung dalam al-Quran akan maju, sesiapa yang berkata-kata dengannya adalah benar, menghukum berpandukannya akan adil, beramal dengan saranannya akan diberi ganjaran dan sesiapa yang menyeru ke arahnya akan diberi petunjuk ke jalan yang benar.” 

Dan pagi tadi, status Prof Muhaya, "Setiap kali kita dgr tazkirah bayangkan itu mesej Allah pada kita. Begitu juga tafsir yang kita baca".

Tuesday, May 24, 2011

Bila Nak Naik Quran?

Tafsir Juz Amma yang saya baca (atau zaman budak-budak dulu panggil Muqaddam), sampai ke surah al-‘Ala.  Teringat zaman kecik-kecik dulu, soalan yang popular, dah naik quran?  Dah habis Muqaddam?  Maka bersungguh-sungguhlah bersaing nak habiskan Muqaddam dan nak naik quran.  Soalan yang sama patut saya tanya pada diri saya sekarang, “Bila nak naik quran ni?  Muqaddam pun belum habis-habis study”.  Macam lambat lagi aja, ni baru Surah al-A'la.
Saya baru tahu menerusi Tafsir fi Zilalil Quran, rupanya ini merupakan surah kegemaran Rasulullah S.A.W.  Memetik ayat dalam tafsir, “Rasullullah kasihkan surah ini.”  Surah ini dibaca oleh Baginda dalam solat Jumaat dan juga solat hari raya.  Malah, jika hari raya jatuh pada hari Jumaat, Baginda masih membaca surah ini dalam kedua-dua solat tu.  Saidina Aisyah R.A. pula menyatakan ini merupakan surah yang dibaca oleh Baginda dalam solat witirnya di samping surah al-ikhlas, al-falaq dan an-nas.  Imam Ahmad juga ada meriwayatkan, Saidina Ali A.S. pernah berkata Rasullullah S.A.W. sukakan surah ini. Sebabnya, surah ini mengandungi khabar gembira untuk Baginda Rasulullah S.A.W. dan juga semua para muslimin.
Ayat pertama dalam Surah ini merupakan asas kepada pembacaan semasa sujud.  Apabila Allah mewahyukan surah ini kepada Baginda Rasulullah, ayat yang pertama, “Bertasbihlah dengan nama Tuhanmu Yang Maha Tinggi.”  Rasulullah pun menyahut dengan bacaan yang kita baca sewaktu sujud.  Dan Baginda bersabda, “Jadikanlah bacaan ini dalam sujud kamu.”
Seterusnya, Allah jelaskan sifat kemuliaan dan ketinggianNya, di mana Allah telah menciptakan alam ini dan menyusun atur segala kejadian dengan sempurna dan seimbang.  Allah juga menentukan segala perancangan kepada makhluk dan Allah jelaskan, Dia juga memberikan bimbingan kepada setiap makhlukNya.  SubhanaAllah, betapa Allah Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.  Allah berkuasa mengatur segalanya tetapi Allah dengan sifat Penyayangnya memastikan setiap makhluk dibimbing untuk menghadapi segala perancanganNya.  Ayat selanjutnya menerangkan Allahlah juga yang menciptakan tumbuh-tumbuhan, bagaimana mulanya Allah jadikan ia hijau segar kemudiannya kering layu kekuningan lalu mati. 
Selanjutnya Allah menerangkan berita gembira, iaitu Allah menjamin Rasulullah diwahyukan dengan al-Quran dan ia akan sentiasa terpelihara dalam ingatan Baginda, kecuali apa yang dikehendaki Allah.  Dengan santun Allah ingatkan apapun yang berlaku tertakluk kepada keizinan dan kehendakNya.  Ini diikuti dengan penerangan sebab sesungguhnya hanya Allah yang mengetahui segala yang nyata dan segala yang tersembunyi.  Dalam ayat al-quran untuk Baginda Rasul pun Allah ingatkan, wajar sangatlah untuk saya mengingatkan diri, sentiasa iringkan perancangan dengan ungkapan Insya Allah, untuk menginsafkan diri segalanya tertakluk kepada kehendak dan izin Ilahi Rabbi.  Dan perlu sentiasa meredhai ketentuan Allah sebab Dia lebih mengetahui apa yang terbaik untuk semua, dalam jangka pendek dan jangka panjang.  Walaupun sarjana ekonomi Keynesian menyatakan tak payah bimbang pasal jangka panjang sebab dalam jangka panjang kita semua dah mati, tapi hakikatnya sebagai Muslim yang mempercayai dengan yakinnya kehidupan selepas kematian, maka keputusan jangka panjang menjadi sangat penting.
Satu lagi berita gembira untuk Baginda adalah Allah akan memberikan pertolongan kepada Baginda dalam menyebarkan peringatan yang berguna.  Peringatan ini akan diterima oleh orang yang bertakwa dan akan dijauhi oleh mereka yang celaka.  Orang yang celaka ini akan kelak memasuki neraka di mana mereka akan diseksa tetapi tidak akan mati dan tidak pula dapat hidup senang.  Semoga Allah jauhkan kita daripada menjadi sebahagian daripada golongan ini.  Allah jelaskan juga orang yang beruntung adalah mereka yang sentiasa membersihkan dirinya, sentiasa mengingati Allah dan mendirikan solat.  Semoga Allah masukkan kita ke dalam golongan mereka yang beruntung ini, dengan rahmat dan kasih sayangNya.
Seterusnya, Allah berikan peringatan betapa manusia amat mengutamakan kehidupan dunia sedangkan kehidupan akhirat lebih baik dan lebih kekal.  Baca ayat ni, teringat waktu hubby bagitau saya, “Yang, Abang dah mohon untuk kita pergi haji tahun ni.”  Jawab saya, “Abang, tahun depanlah….Sara kecik lagi.”  Hubby terus bacakan ayat ni, fuh..tersentak saya.  Dalam minda masa tu spontan terlintas, woit…berhujah dengan ayat al-quran? Dan hubby kata, “Kalau Roza nak tunggu anak, tunggulah.  Abang, kalau dapat, abang nak pergi tahun ni jugak.” 
Awal-awal lagi Allah dah ceritakan dalam ayat-ayatNya.  Fitrah manusia, walaupun dah diingatkan tentang kepentingan akhirat, manusia masih sibuk untuk mengejar dunia yang ternyata sementara.  Bukan tak tahu boleh mati bila-bila, dan bila dah mati tu, habis semua tinggal macam tu aja, anak-anak, harta-benda, semuanya tak boleh dibawa sama.  Dan saya rasa, pengukur aras adalah bila diberi pilihan antara dunia dan akhirat, yang mana satu pilihan manusia.  Antara pergi masjid dengan pergi kompleks membeli-belah; antara nak beli rantai emas sebagai perhiasan dengan nak sedekahkan kepada yang memerlukan dan antara nak tunggu anak besar dulu dengan nak tunaikan haji secepat mungkin. 
Sedangkan pilihan dunia atau akhirat ni sangat indah dalam erti kata kesudahan yang ditawarkan Allah tidak rumit, tidak ada konflik.  Keindahan dalam membuat pilihan antara dunia akhirat ni tergambar dalam pesanan  Allah dalam ayat-ayatNya, juga menerusi pesanan kekasihNya, Muhammad S.A.W., iaitu apa keputusan akhir atau akibat setiap pilihan, tak ada pertindihan antara yang indah dengan yang buruk - sama ada syurga yang indah atau neraka yang amat menggerunkan.  Ingat pada Ustazah Shamsiah, guru Pendidikan Islam di tingkatan 3, masa bercerita tentang keperluan menutup aurat, cuma ada dua keputusan akhir berbentuk "sama ada" bukan "dan".  Keputusannya, sama ada syurga atau neraka, tak ada sikit syurga, sikit neraka.  Jadi, kata ustazah, tak ada kisah-kisah seperti, "aku ni, walaupun tak pakai tudung, tapi aku sembahyang tak tinggal".  Atau, "aku ni walaupun tak solat tapi aku tak kacau orang tau...".  Jadi, pilihan yang kita hadapi antara dunia dan akhirat bukanlah sesuatu yang mewujudkan dilemma macam pilihan lain atas dunia ni, yang sangat komplikated.  Misalnya, kalau beli rumah kat kawasan A, harganya murah tetapi amatlah jauh dari tempat kerja.  Kalau nak beli kat kawasan B pulak, lebih dekat dengan tempat kerja tetapi harganya amatlah mahal.  Kan memeningkan...tapi kita sibuk buat analisis, analisis SWOT lah, analisis kos-faedah lah.  Perkara dunia yang rumit ni.  Pilihan akhirat yang sama ada syurga atau neraka, jadi perkara kedua...

Monday, May 23, 2011

Yang Terbaik di Kalangan Yang Baik-Baik


Hari Sabtu malam Ahad, malam Badminton untuk hubby, Harriz dan Ezham.  Tinggal saya melayan Sara.  Sara mintak temankan dia menonton cerita Utusan Ilahi kat TV.  Tanya Sara, Mummy, Ehsan dah tukar nama?  Dulu dalam Awan Dania, nama dia Ehsan sekarang dah jadi Iskandar? Iskandar dalam cerita tu adalah seorang lelaki liar asalnya kemudiannya berubah setelah Allah kurniakan hidayah selepas sebuah kemalangan jalanraya.  Apapun, cerita tu mengingatkan saya kepada doa Prof Muhaya.  Kena sentiasa memohon supaya diberikan pengakhiran yang baik.  Supaya amal terbaik adalah di penghujung usia.  Supaya hari terbaik adalah hari dijemput Izrail.  Dan cerita tu jugak menginsafkan saya tentang bagaimana sebagai insan, saya perlu sentiasa memohon agar senantiasa berada ditunjukkan jalan yang lurus, dikurniakan rahmat dan hidayah untuk melakukan amalan soleh sebab Allah berkuasa membalikkan hati manusia.  Teringat saya bagaimana iblis yang dulunya makhluk Ilahi yang kuat beribadah kemudiannya mendapat murka Allah kerana kesombongannya.  Juga kepada cerita ahli ibadah yang dimurkai Allah sebab menghina seorang pelacur.

Semasa menonton cerita tu jugak, sekejap sekejap cerita dihentikan untuk disiarkan berita terkini tentang kejadian tanah runtuh di Ulu Langat.  Pun satu lagi ingatan Ilahi Rabbi tentang tak ada yang pasti dalam hidup ini.  Segalanya tertakluk kepada ketentuanNya.  Tengah berlatih nasyid pun boleh dijemput Ilahi.  Sebab tu sibuk macamana pun dengan dunia, pengumpulan bekal akhirat tak boleh ditangguhkan bila nanti tua, nak mati tak tau bila.  Yang meninggal dunia dalam tanah runtuh tu semua masih  muda. Kena usahakan untuk akhirat macam nak mati esok lusa dan dalam masa yang sama kena kerja mencari rezeki dunia sebagaimana nak hidup selama-lamanya.

Bila menyebut tentang keperluan untuk mencari rezeki dunia seolah-olah akan hidup selama-lamanya ni, kebetulan pembacaan saya melewati kisah Ibrahim bin Adham dan Syaqiq al-Balkhi.  Kisah ini menerangkan kepentingan bagi setiap Mukmin untuk mengusahakan yang terbaik dalam segala urusan yang dilakukan dan menyandarkan kesudahannya kepada ketentuan Ilahi Rabbi.  Syaqiq menceritakan kepada Ibrahim, dia pernah melalui sebuah padang yang luas.  Dia terpandangkan seekor burung yang patah sayapnya.  Dia pun tertanya-tanya, dari manalah agaknya burung ni nanti akan makan.  Lalu dia pun duduk untuk memerhatikan nasib burung tu.  Tiba-tiba, datang seekor burung lain dengan seekor belalang di paruhnya.  Belalang tu diberikan kepada burung yang sakit.  Setelah memerhatikan keadaan itu, Syaqiq pun menginsafi rezekinya di tangan Allah.  Dia meninggalkan segala urusan dunia dan menumpukan kepada ibadah semata-mata.  Komen Ibrahim kepada Syaqiq, kenapa tak nak memilih untuk menjadi burung yang sihat, memberi makan kepada burung yang sakit?  Dengan kata lain, menjadi yang terbaik di kalangan yang baik-baik.  Sebab kata Ibrahim, Rasulullah S.A.W. pernah bersabda, "Tangan yang di atas lebih baik dari tangan yang di bawah."  Juga, kata Rasulullah S.A.W., " Antara tanda orang mukmin adalah mencari yang lebih tinggi dari dua buah tingkatan dalam segala urusannya sehingga mencapai tingkatan orang yang membuat kebajikan."

Ringkasnya, Islam menyuruh umatnya berusaha mencapai yang terbaik untuk urusan akhirat juga dunia.  Berusaha mengikut asbab yang telah ditetapkan Allah.  Hasilnya, tertakluk kepada keizinan dan kehendak Allah.  Jadi, berusaha mencapai yang terbaik setakat yang termampu.  Selebihnya,  tawakkal kepada Allah.  Setelah berusaha sebaiknya, redha dengan ketentuanNya: sabar kalau ditakdirkan gagal dan bersyukur jika dianugerahkan kejayaan.  Bak kata pepatah, pantang kalah sebelum berjuang (betul ke peribahasa ni, apasal macam pelik pulak bunyinya..)  Usaha tetap kena usaha, setekun mungkin; sehabis baik.   Kena sentiasa tekun meningkatkan pencapaian dalam urusan - kena usahakan untuk menjadi pemberi zakat daripada menjadi penerima zakat; kena bekerja kuat untuk menjadi pihak yang membantu mereka yang memerlukan daripada sentiasa menjadi pihak yang memerlukan. 

Macam seruan azan yang diseru lima kali sehari semalam, Islam mendidik umatnya supaya mendirikan solat (untuk akhirat) dan pada masa yang sama, mengajak umatnya menuju ke arah kejayaan, dunia dan akhirat.



Saturday, May 21, 2011

Ingat Mati


 Saya sangat suka hari Jumaat malam Sabtu sebab esok cuti.  Yahoo...tapi kan teringat pulak pada satu pesanan daripada Abdullah bin Umar, “apabila kamu memasuki pagi, janganlah kamu fikirkan tentang petangnya dan apabila kamu memasuki petang, janganlah kamu fikirkan tentang esok paginya.  Ambillah sesuatu dari hidupmu sebelum matimu dan dari sihatmu sebelum sakitmu kerana kamu tidak mengetahui apa namamu esok pagi”.  Nasihat yang baik untuk saya yang sibuk fikir pasal esok, apa nak buat, apa nak masak, apa nak beli dan entah apa-apa lagi.  Sedangkan saya pun tak tahu apakah esok saya masih hidup dan kalau masih hidup, apakah saya masih dikurniakan nikmat sihat.  Kena ikut pesan tadi, ni ala-ala optimization principle la jugak, buatlah yang terbaik sementara boleh.  Jangan tangguh-tangguh ke pagi esok atau petang nanti sebab tak tahu lagi apa cerita esok pagi atau petang nanti….

Kebetulan pembacaan saya melewati tajuk Ingat Mati.  Macam sambungan cantik aja daripada peringatan yang saya peroleh dari status FB Prof Dr Muhaya. 

Rasulullah S.A.W. sendiri berpesan supaya umatnya sentiasa ingat mati, iaitu hal yang dapat menghancurkan segala macam kelazatan. Sabda Rasulullah S.A.W., “Perbanyakkanlah mengingati mati kerana ia dapat membersihkan dosa dan mendorong sikap zuhud terhadap dunia.” Dan “cukuplah kematian sebagai nasihat.”  Sebab kalau kita sentiasa sedar yang kita akan mati, akan masuk liang lahad, dan saat tu pulak akan tiba tanpa ada apa-apa notis sebulan sebelum atau sehari sebelum, dah tentu tak siapa pun berani nak buat ingat-ingat lupa pada suruhan dan tegahan Ilahi Rabbi. 

Rasulullah S.A.W. juga pernah menerangkan kepentingan mengingati mati sekiranya mendambakan syurga Allah.  Kata Baginda kepada para sahabat, jika inginkan syurga, maka sederhanakanlah angan-angan dan malulah kepada Allah dengan sepenuh rasa malu.  Dan malu kepada Allah adalah mengingati kuburan dan kematian; menjaga perut beserta isinya dan kepala beserta yang difikirkannya. 

Selain dari itu, mengingat mati boleh menjadi terapi hati yang berkesan.  Menurut Safiyah R.A., pernah seorang wanita mengadu dengan Aisyah tentang kekerasan hatinya.  Aisyah menasihatkan wanita tersebut untuk memperbanyakkan mengingati kematian untuk melembutkan hatinya.  Tidak lama kemudian wanita tadi menemui Aisyah semula, menyatakan terima kasihnya atas nasihat Aisyah kerana setelah dia memperbanyakkan mengingati mati, hatinya menjadi lembut.  Hmm…saya pun termasuk golongan yang keras hati.  Memang kena sangat kisah ni untuk saya teladani.  Eloklah juga saya mulakan terapi hati ni…banyakkan mengingat mati untuk lembutkan hati.  Semoga Allah kurniakan saya hidayah dan keinsafan yang berterusan terhadap kematian yang pasti akan datang dan semoga Allah kurniakan saya kekuatan dan ketekunan untuk melakukan persediaan menghadapi kematian.

Dalam satu hadis yang lain, Baginda Rasul, (selawat dan salam ke atas Baginda dan keluarga Baginda) menyatakan orang yang paling bijaksana dan mulia di antara manusia adalah yang paling banyak mengingat mati dan paling tekun pula mengadakan persiapan menghadapinya.  Kata Baginda, mereka adalah bijaksana sebab mereka pergi dengan membawa keagungan dunia dan kemuliaan akhirat.  Yang bijak bukan yang dapat berpuluh-puluh A dalam SPM.  Yang bijak bukan yang ada ijazah atas kertas yang berderet-deret.  Kita hari ni tersalah letak pengiktirafan, tersilaplah jugak pilih ikon atau idola untuk dijadikan asas ikutan dan teladan.  Kesannya, kita mencorakkan perlakuan dan matlamat hidup berdasarkan paksi yang hanya berteraskan kejayaan duniawi.  Kerapkali kita abaikan objektif akhirat.  Justifikasi yang kita pegang untuk sedapkan hati, Allah suruh bekerja untuk dunia seolah-olah akan hidup selama-lamanya.  Tapi kita selalu lupa ayat yang melengkapi suruhan tu, “bekerjalah untuk akhirat seolah-olah akan mati esok lusa”. 

Besarnya ganjaran mereka yang sentiasa mengingat mati seperti mana kata Baginda Rasul, bila Aisyah bertanya, “Ya Rasulullah, apakah ada seseorang yang akan dikumpulkan bersama orang yang mati syahid?”  Sabda Baginda, “Ada, orang yang mengingat mati dua puluh kali sehari semalam”.

Teringat saya tak lama dulu, hubby kirimkan e-mel dengan tajuk “Rumah Kita Nanti”.  Wah, berkobar-kobar saya bukak e-mel tu.  Dalam hati, eh, hubby tengah tengok rumah baru ker?  Dalam masa dua tiga minit nak tunggu e-mel tu dibuka sebab banyak gambar, saya sempat berangan, kat kawasan mana agaknya? Macamanalah rumah tu?  Jeng jeng jeng….gambar-gambar pun keluar.  Ohhh…bermula dengan gambar orang mandikan jenazah, kafankan sampailah ke liang lahad.  Err….betullah nilah rumah kita nanti.  Memang saya ni masih asyik gagal dengan ujian-ujian macam ni.  Asyik terbayang dunia, dunia, dunia.  Betul, dunia tak boleh tinggal tapi hakikatnya akhirat kena lebihkan.  Ini memang dah terang lagi bersuluh, ingat dunia aja.  Akhirat main ambik syarat aja.  Aduh…banyaknya nak kena semak dan baiki. 


“Ya Allah, berikanlah kami kebaikan dunia dan kebaikan akhirat.  Jauhkanlah kami daripada azab api neraka.”

Friday, May 20, 2011

Noktahkan dengan Yang Terbaik

Semalam, sewaktu menelaah status FB, saya peroleh doa Baginda Rasulullah S.A.W.  dari status Dr Muhaya, "Ya Allah..jadikanlah sebaik-baik umurku di penghujungnya..dan sebaik-baik amalku di penamatnya..dan jadikanlah sebaik-baik hariku..adalah hari bertemuMu Ya Allah..."
Alhamdulilllah, terima kasih pada Ilahi Rabbi untuk peringatan ini.  Sewajarnya doa ini dijadikan amalan harian setiap nak mati tak tahu bila.  Yang lebih menakutkan, kematian boleh datang bila-bila masa.  Mungkin sekejap lagi, mungkin petang nanti atau mungkin malam ini.  Mungkin jugak sepuluh tahun lagi.  Macam janji Ilahi Rabbi, dalam Surah Luqman, “…Dan tiada seorang pun yang dapat mengetahui dengan pasti apa yang akan diusahakannya esok.  Dan tiada seorang pun yang dapat mengetahui di bumi dia akan mati  Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal”.  Tak siapa tahu kat mana nak mati dan tak siapa tahu esok apa yang akan terjadi dan apa yang akan dilakukan.  Duhai diri, kena panjatkan doa dengan penuh pengharapan supaya Allah rahmati dengan hari ini yang lebih baik dari semalam dan hari esok yang lebih baik dari hari ini.  Seterusnya, semoga Allah rahmati diri dengan amal kebaikan yang terbaik di penghujung usia, agar hidup ini dinoktahkan dengan amalan terbaik di sisi Ilahi Rabbi.  Sebab saya tak tahu bila dan di mana Malaikat Izrail akan menamatkan kontrak hidup saya di dunia ni. 
Baginda Rasulullah S.A.W. pun pesan sewajarnya kita mengingati mati sekurang-kurangnya dua puluh kali sehari (lebih kurang sejam sekali).  Teringat pulak pada Ustaz Ismail Kamus waktu menceritakan hadis ni.  Kata ustaz, ingat mati ni bukanlah maksudnya zikirkan mati, mati, mati dua puluh kali sehari.  Ingat mati ni ertinya insaf akan hakikat kita boleh mati bila-bila masa.  Jadi, kena bersegera untuk melakukan apa yang wajib khususnya solat.  Perlu segera dan berlumba-lumba melakukan kebaikan seperti bersedekah sebab takut kalau asyik bertangguh-tangguh, sempat kumpulkan harta saja, bila mati tak sempat nak tukarkan harta kepada ganjaran yang boleh digunapakai untuk alam akhirat.  Bak kata Tuan Guru Nik Aziz, pahala converter ala-ala matawang asing jugak.  Harta dunia…emas, RM, USD, Yen Jepun semua tu tak laku di akhirat kelak.  Jadi, sementara masih bernafas, tukarkan siap-siap semua matawang tu dalam bentuk “pahala” (insya Allah) supaya boleh digunakan di akhirat kelak.
Pagi ni, Prof Dr Muhaya pesankan, “Sama-sama ingat kita adalah milik Allah dan apa kita akan bawa bila berjumpa Allah”.  Lagi ingatan untuk diri, kena sentiasa sedar diri.  Diri kita adalah milik Allah sepenuhnya, dari milikan fizikal – mata, telinga, tangan, kaki, gigi, sehinggalah kepada deria dan keupayaan yang Allah kurniakan – penglihatan ( bukan semua orang yang ada mata boleh melihat), pendengaran, suara, kesihatan, minda, nyawa – semuanya Allah yang punya.  Tak ada sebab nak ria’, tak ada justifikasi nak sombong, tak ada kes nak bangga diri.  Bila-bila masa Allah boleh tarik balik, sedikit-sedikit atau sekaligus.  Duhai diri, kena menginsafi hakikat diri ini milik Allah, lantaran itu kena sentiasa mensyukuri nikmat Allah, macam pesan Luqman kepada anaknya yang Allah ceritakan dalam al-quran, “Bersyukurlah kepada Allah.  Dan barangsiapa yang bersyukur maka sesungguhnya ia bersyukur untuk dirinya sendiri; dan barangsiapa yang tidak bersyukur sesungguhnya Allah Maha Kaya lagi Maha Terpuji.”
Juga, kena sentiasa audit diri apa yang akan dibawa bila jumpa Allah.  Sebab diri milik Allah, suka hati Allahlah bila Dia nak kita datang menghadap.  Sewajarnya mesti bersedia bila-bila masa dengan bekalan secukupnya.  Tapi hakikatnya….untuk saya, terlalu sibuk dengan merancang persiapan hari tua ala-ala tagline KWSP, lupa mengumpul bekalan untuk perjalanan hakiki yang mungkin akan bermula sekejap saja lagi…Pelik saya dengan diri saya sendiri, tua (er…dah tua sebenarnya), silap…”bersara” belum tentu lagi saya akan sempat lalui; lama lagi pulak tu, tapi sibuk merancang nanti bila dah pencen….Yang satu lagi, mati, dah pasti akan saya lalui.  Kenapa saya tak sibuk menyiapkan apa yang patut.  Kalau esok saya mati, apa yang saya ada untuk saya bawa jumpa Allah? Semoga Allah ilhamkan saya, suami dan anak-anak dengan ketakwaan dan kurniakan kami kekuatan untuk mengisi segala ruang waktu yang masih tersisa dalam hidup ini dengan amalan soleh yang diredhai dan boleh dijadikan bekalan menghadap Ilahi Rabbi.  Amin.

 "Ya Allah..berikanlah kebaikan kepada kami di dunia dan kebaikan di akhirat..dan selamatkanlah kami dari azab api nerakamu Ya Allah.."

Wednesday, May 18, 2011

Ikut Hati Mati?

Semalam cuti Hari Wesak.  Bertuah jadi rakyat Malaysia sebab Malaysia merupakan antara negara yang paling banyak cuti umum.  Rahmat Allah jugak tu.  Alhamdulillah untuk satu lagi hari yang indah.  Pagi, sessi dating bersama hubby ke tempat kegemaran kami berdua, Pustaka Mukmin.  Mencari sebuah dua bahan bacaan sebagai santapan minda, moga Allah kurniakan kami kekuatan dan peluang untuk membaca.  Saya tersua dengan buku penulisan Yusuf Qardawi, satu tentang pengurusan masa mengikut perspektif Islam dan satu lagi tentang penyusunan keutamaan dalam Islam.  Pergh…saya cuma tahu karya Zig Ziglar sebelum ni bila menyentuh tentang penyusunan keutamaan dan perihal penggunaan masa.  Kenapa sebagai Muslim saya tak pernah tahu kewujudan buku cara melayari kehidupan yang ditulis oleh Yusuf Qardawi ni?  Sudah pasti ianya lebih konsisten dengan apa yang diperintahkan oleh Ilahi Rabbi.  Sessi petang bawak anak-anak bersantai kat Subang Parade, singgah kedai buku jugak..ikut tradisi arwah ayah, sekurang-kurangnya sebulan sekali bawak anak ke kedai buku dan belikan mereka buku kegemaran masing-masing.  Sara sakan memilih buku-buku warna pink dan dengan tema cerita “Barbie”.  Jenuh saya terangkan bagaimana kita tak boleh beli semua sekaligus.  Boleh beli paling banyak pun empat buah sahaja.  Dan sudah pasti kena jugak tengok harga…sesetengah buku kanak-kanak kat MPH tu mencecah RM50 sebuah, kan cedera parah purse Mummy kalau Sara ambik buku sesuka hati sesedap rasa.
Minggu lepas, saya jadi friend Prof Dr Muhaya kat FB.  Alhamdulillah, hari-hari ada saja kata-kata motivasi yang menjadi status Prof. Muhaya.   Antara yang menarik perhatian saya adalah, “Kita mudah tertarik dengan tawaran syaitan tetapi kita tidak pula tertarik dengan tawaran syurga Allah”.  Betapa betulnya pengamatan tu.  Kalau bergosip, sibuk kita nak tambah point untuk isu yang dibincangkan.  Mukadimah pulak punyalah innocent, contoh, “Bukanlah nak kata kan, tapi…..” dan “saya ni pun bukanlah baik sangat, jahat jugak tapi kan dia ni…..”.  Sedangkan Allah janjikan ganjaran yang baik untuk mereka yang menahan diri daripada melakukan apa yang Allah larang.  Lagi-lagi kalau dapat menamatkan sessi gossip tu dengan baik.
Berbalik kepada ayat-ayat motivasi.  Dari dulu sampai sekarang, saya memang sukakan kata-kata motivasi. Dari zaman sekolah, fail-fail dan buku-buku saya penuh dengan coretan kata-kata motivasi.  Sesetengah ayat-ayat motivasi ni melekat kuat di minda saya dan memang sedikit sebanyak mempengaruhi saya.  Antaranya, “Everything is hard before it becomes easy”; “Do your best, Allah will do the rest”; “Di sebalik setiap kesulitan, ada kemudahan”; “There is silver lining behind every cloud” dan antara yang terbaru, “Hadapi kejahatan dengan kebaikan” serta “Bila berhadapan dengan mereka yang biadap atau kasar, berkatalah dengan selamat dan tinggalkanlah mereka”.  Jadi, salah satu sebab saya suka melayari FB adalah bila saya dapat selalu mengingatkan diri saya dengan pesanan-pesanan daripada status rakan-rakan FB, berbentuk petikan ayat al-quran, hadis serta mutiara kata lainnya.  Sedikit sebanyak, saya belajar dari kawan-kawan FB, termasuk daripada pelajar-pelajar saya.  Terima kasih semua.
Dari sessi pembacaan saya yang sangat terhad, saya peroleh cerita wasiat Nabi Adam kepada anaknya, Syits a.s.  Saya dah pernah terbaca tentang ini dalam salah satu syarah Hadis 40 tapi yang dinyatakan dalam syarah tu hanya tiga yang terakhir.  Dah lama juga saya bercita-cita nak cari, tapi tak tercari-cari.  Nilah baru terjumpa.  Apapun, syukur dengan pengetahuan yang Allah kurniakan.  Ada lima wasiat Adam kepada anaknya dan Adam juga berpesan supaya Syits menurunkan wasiat ini kepada keturunannya pula.  Lima perkara dalam wasiat Nabi Adam A.S. tu adalah:
·         Katakanlah kepada anak-anakmu, janganlah merasa tenteram dengan dunia, kerana aku (Adam) pernah merasa tenang dengan syurga yang abadi tetapi Allah mengeluarkan aku dari sana.
·         Katakanlah kepada anak-anakmu, janganlah bertindak menurut kehendak perempuan-perempuan, kerana aku pernah bertindak menurut perintah isteriku dan aku makan syajarah, lalu penyesalan menyusulku. 
·         Katakan kepada anak-anakmu, setiap perbuatan yang hendak dilakukan, fikirkan dahulu akibatnya kerana seandainya dulu aku berfikir dengan teliti, tentu tidak terjadi apa yang menimpaku ini.
·         Apabila hatimu bergoncang atau merasa tidak sedap menghadapi sesuatu, maka jauhilah ia.  Kerana ketika aku makan syajarah, hatiku bergoncang tetapi aku tidak mahu kembali.
·         Musyawarahlah dalam memutuskan segala urusan kerana sekiranya aku bermusyawarah dengan malaikat tentu tidak terjadi apa yang telah menimpaku.
Lessons of the Day:
1.       Nabi Adam A.S. dah pesan jangan sesekali berasa tenteram dengan apa yang ada sebab semuanya tak kekal lama, boleh berubah bila-bila masa menurut kehendak Ilahi Rabbi.  Ingatan untuk diri, kena sentiasa bersedia menerima ketentuan Ilahi dan kena sentiasa takut dan berharap kepada rahmat Allah.  Kena sentiasa memohon supaya Allah limpahkan kasih sayang dan rahmatNya kepada diri dan keluarga.  Sebab sebagai hamba, kita tertakluk kepada belas ihsan dan kehendak Ilahi Rabbi.  Takutnya mengenang cerita bagaimana Iblis dulu merupakan seorang ahli ibadat yang amat taat tetapi mendapat murka Allah semata-mata kerana kesombongannya.  Malaikat Jibril dan Mikail lagikan menangis dengan peristiwa ini, mengenangkan bagaimana kehendak Allah boleh mengubah kemuliaan kepada kebinasaan, lagikan pulak saya yang amat hina dan kerdil.
2.       Pentingnya berfikir dengan mendalam khususnya tentang kesan dan akibat sesuatu perbuatan.  Nabi Adam awal-awal lagi dah pesan.  Sebab pilihan tindakan hari ni akan menentukan kesan ke atas hidup masa depan.  Seorang kawan pernah tulis pada status FBnya, kena hati-hati membuat pilihan sebab kita akan jadi hamba kepada kesan pilihan yang kita buat.  Kita kena hidup dengan kesan pilihan tu mungkin selamanya. Misalnya, banyak tempat dalam al-quran, Allah jelaskan, manusia boleh pilih nak ikut apa yang Allah suruh atau pun tak nak.  Allah jugak ceritakan kesannya, golongan yang ikut apa yang Allah suruh, tempatnya kelak di syurga.  Pilihlah nak ikut ke tak.  Semoga Allah ilhamkan ke dalam jiwa saya dan anak-anak saya dengan ilham ketakwaan, supaya saya dan anak-anak, dengan izinNya berupaya untuk memilih yang Allah redhai.  Amin.
3.       Walaupun orang Melayu kata ikut hati mati.  Dan orang putih pulak kata, let your head rule your heart…lebih kurang biar minda mengurus hati. Tapi, Nabi Allah Adam kata, isyarat hati penting.  Kalau hati rasa tak sedap, besar kemungkinan perkara yang nak dilakukan tu sesuatu yang salah.  Jadi jangan buat.  Sebab minda ni dia main ikut logik akal…tu yang kadang-kadang pandai-pandai aja iktiraf matlamat menghalalkan cara.  Boleh pergi bersedekah guna duit yang tak tahu hujung pangkal sumbernya…sebab minda kata boleh.
4.       Nabi Allah Adam A.S. dah berikan tips pembuatan keputusan…musyawarah.  Berbincanglah dengan orang keliling, yang boleh dipercayai, yang ada ilmu sebelum membuat keputusan sebab berkait dengan pesanan ketiga tadi, keputusan hari ini menentukan hidup hari esok.  Juga menentukan keadaan hidup di akhirat.

Saturday, May 14, 2011

Mud Cake vs Cake from Mud



Alhamdulillah, syukur kepada Allah untuk sebuah hari Sabtu yang indah.  Tak payah pergi ke tempat bekerja.  Sehari suntuk sibuk melayan kerenah anak-anak tersayang, khususnya Sara dan Furqan.  Letih-letih layan kerenah anak, masih ada masa untuk jenguk blog, lepas gian mencorat-coret sedikit pengisian hidup hari ni.

Dari sedikit masa yang saya luangkan untuk membaca buku Dibalik Ketajaman Mata Hati karya Imam al-Ghazali, saya temui satu bicara Rasulullah S.A.W. kepada kaum Muhajirin, tentang kesan perilaku umat akhir zaman dan kesannya ke atas kehidupan mereka.  Kata Baginda, “Wahai sahabat Muhajirin, lima hal kalau kamu sampai menemukannya (sempat melaluinya):
  • Tidak akan muncul perzinaan pada sekelompok kaum sama sekali sehingga menampakkannya, kecuali akan tersebar penyakit-penyakit yang tidak pernah ditemukan pada masa-masa lain.
  •  Mereka tidak mengurangi takaran atau timbangan kecuali ditimpa dengan bahaya-bahaya kelaparan, beratnya biaya hidup dan penyelewengan penguasa.
  • Mereka tidak menentang untuk membayar zakat harta, kecuali akan dihalangi turunnya hujan dan seandainya tiada binatang ternak, tentu mereka tidak diberi hujan.
  • Tidaklah mereka membatalkan perjanjian dengan Allah dan perjanjian dengan utusanNya, kecuali mereka akan dikuasai oleh musuh dari kalangan lain yang mengambil alih sebahagian yang ada di tangan mereka.
  •  Dan selagi pemimpin-pemimpin mereka tidak memutuskan hukum dengan kitab Allah, kecuali Allah akan menciptakan kesusahan kepada mereka.

Bila baca hadis Baginda Rasul, saya terfikir tentang apa yang sedang umat manusia lalui masa kini.  Satu persatu masalah sosial dan ekonomi yang berleluasa sekarang semuanya telah pun diterangkan sebab-musababnya dalam hadis ini.  Penyakit-penyakit zaman baru, SARS, H1N1, dan entah apa-apa lagi disabitkan dengan kesalahan zina yang berleluasa.  Masalah kebuluran yang berleluasa, mungkin bukan di Malaysia sebab Malaysia makmur; masalah kos hidup yang semakin meningkat dan masalah pemimpin yang tiada integrity atau korup akan berlaku apabila segala urusan diselitkan dengan unsur penipuan.  Cerita tentang segelintir penduduk dunia yang terpaksa makan “mudcake” (bukan mudcake yang sedap macam Anna Olson buat tu; bukan jugak Missisippi Mud Cake, resipi Chef Wan yang pernah saya cuba buat); ini  yang betul-betul diperbuat daripada “mud”,  menerpa fikiran saya.   Begitu juga dengan kisah kanak-kanak yang bekerja di kilang memproses ikan untuk dijadikan makanan haiwan (pet food) sedangkan kanak-kanak tu hanya mampu mengutip tulang ikan untuk dibawa balik dan dijadikan sup tulang ikan (bukan sup tulang lembu yang jadi kegemaran semua) untuk dimakan bersama keluarga mereka.  Ironinya, haiwan peliharaan dapat makan ikan, sedangkan pekerja yang memproses ikan jadi makanan haiwan hanya makan tulang ikan.

Tapi bab beratnya biaya hidup ni sebijik macam yang sering dibincangkan oleh semua hari ni.  Daripada pihak organisasi seperti CUEPACS yang cuba mendesak kenaikan gaji sampailah kepada yang selalu mengikuti sessi T.T. (teh tarik) di kedai mamak.  Saya tak pasti apakah pak menteri yang sentiasa mendahulukan rakyat turut sibuk membincangkan isu ini dan kalut memikirkan apakah yang perlu mereka lakukan untuk meringankan beban hidup rakyat jelata yang tentunya tak mewah macam mereka.  Hakikatnya, harga barangan kian meningkat dari hari ke hari.  Jenuh pihak pemerintak nak beri justifikasi sebab pihak pembangkang cuba mainkan isu kenaikan kos hidup.  Sebahagiannya betullah, sebab kenaikan harga di peringkat global khususnya bahan makanan asas berikutan gangguan penawaran disebabkan oleh iklim yang semakin tidak menentu.  Malah, Rasulullah S.A.W. dulu pernah menolak apabila diminta untuk menetapkan harga (kawal harga) sebab kata Baginda, Baginda takut pihak pengeluar akan menuntut hak mereka dari Baginda di hari akhirat kelak.  Kata Ibnu Tamiyah pula, kalau harga meningkat disebabkan faktor semulajadi, bukan sebab manipulasi manusia, maka itu adalah ujian Allah ke atas manusia dalam bentuk kesukaran mendapatkan keperluan.  Jadi, harga barangan sewajarnya diserahkan kepada kuasa pasaran bebas.
  
Apapun, Rasulullah telah jelaskan awal-awal lagi fenomena ini merupakan antara bala yang Allah timpakan kepada masyarakat yang tidak berlaku adil dalam perniagaan atau urusan dunia.  Selain itu, Rasulullah juga menjelaskan masyarakat dengan amalan buruk ini juga akan menghadapi bala dalam bentuk pemerintah yang menyeleweng atau dalam bahasa orang sekarang, tak berintegriti lah…asal ada ruang, rasuah.  Asal ada ruang, menipu.  Asal ada ruang, pecah amanah.  Dah tentulah negara akan bermasalah sebab harapkan pagar, pagar makan padi. 

Selanjutnya masalah kemarau.  Pun Baginda Rasul dah cerita, fenomena ini akan berlaku bila masyarakat tak lagi menjalankan kewajipan membayar zakat harta.  Nasib baik ada binatang ternak, kalau tak memang Allah tak akan turunkan hujan langsung.  Lebih kurang macam hidup menumpang nikmat haiwan lah jadinya.  Sebabnya,  Allah kurniakan harta melimpah ruah, boleh lupa nak keluar zakat.  Sedangkan zakat cumalah 2.5%.  Bukan progresif pun kadarnya.  Kaya macam manapun, berjuta-juta pun pendapatan, itulah jugak kadar zakatnya.  Resam manusialah kan, kalau nak beli barang, diskaun 25% rasa teramat sedikit.  Kalau boleh nak 70%.  Lagi baik kalau dapat yang beli satu, percuma satu.  Tapi kalau bab zakat. 2.5% tu rasa macam teramat banyak.  Semoga Allah lindungi diri saya daripada sifat kikir dan bakhil dalam mengeluarkan zakat yang wajib atas saya.  Amin.

Yang keempat tu saya pun tak berapa nak faham.  Nanti tanya Mr Hubby kot-kot dia pernah dengar huraian hadis ni dalam sessi kuliah yang diikuti.  Yang saya faham, apabila umat engkar terhadap suruhan Allah dan RasulNya, mereka akan ditimpakan bala berupa mereka akan dikuasai oleh musuh yang akan mengambil hak-hak mereka.  Macam sabit politik ni.  Tapi ini pun masalah masyarakat dunia hari ni kan.

Yang terakhir kata Rasulullah, sekiranya pemimpin memutuskan hubungan dengan kitab Allah, maka Allah akan turunkan kesusahan kepada masyarakat.  Maksudnya, bila pemimpin buat nak tak nak aja dengan hukum yang tertulis dalam kitab Allah. Contohnya, contoh aja tak ada kena mengena dengan yang hidup, mati atau sedang koma. ….  Allah kata kena sebat sebab minum arak, pemimpin gantikan dengan khidmat masyarakat.  Sebab  tu kena berhati-hati pilih pemimpin.  Kalau yang dipilih adalah yang memang buat “ada aku kisah” aja dengan blue print yang Allah dah bagi, buat purple print sendiri, habis seantero jajahan yang akan susah.  

Lessons of the Day:
Islam adalah cara hidup yang lengkap dan sempurna.  Mencakupi segenap aspek kehidupan, sosial, ekonomi mahupun politik.  Versatile dan applicable sepanjang zaman.  Masalah negara sekarang, baik sosial seperti kesihatan; ekonomi seperti kenaikan kos sara hidup mahupun politik semuanya dah diterangkan sebab musababnya dalam hadis Baginda Rasulullah S.A.W.  Tinggal kita aja lagi yang nak muhasabah diri atau tidak.  Nak lakukan anjakan paradigma dan penghijrahan kepada sesuatu yang lebih baik dalam erti kata selari dengan apa yang Allah gariskan dalam kitabNya ataupun tidak.