Friday, April 1, 2011

"Senyum...Tak Perlu Kata Apa-Apa"

Hari ni Jumaat, penghulu segala hari.  Kalau menurut zikir harian amalan al-Ghazali, zikir on Friday adalah “Ya Allah”, 1000 kali.  Hari Jumaat juga disunatkan membaca selawat banyak-banyak kepada Rasul Junjungan khususnya selepas solat Asar.  Kata ustaz, bila kita baca selawat, umpama kita mengutus e-mail peribadi kepada Rasulullah S.A.W. agar nanti di akhirat, kita dapat syafaat.  Tak kan sekadar nak mengaku jer umat Muhammad, tapi cuma jarang-jarang atau kadang-kadang saja selawat.  Kalau mengaku anak Melayu, tabik dada hulur keris, takkan Melayu hilang di dunia.  Mengaku umat Muhammad, kena lebih lagilah semangatnya…Semoga Allah berikan diri hidayah dan kekuatan untuk sentiasa berselawat kepada Rasul Junjungan.  Apa lagi cara mendidik diri menanam rasa kasih pada Nabi, sebab kalau selawat yang sekadar memerlukan pengucapan pun sukar untuk dirutinkan, apa lagi sunnah yang lain yang tentunya lebih berat untuk dijadikan amalan.
Alhamdulillah, saya dikurniakan Ilahi peluang dan kesempatan untuk mengikuti usrah bersama-sama rakan-rakan sekerja di Fakulti.  Hari ni, ahli usrah bertambah seorang lagi sebab Hasni dah balik dari cuti tanpa gaji, 3 tahun – ikut suami ke Sudan.  Menu usrah hari ni macam biasa, baca hadis, baca tafsir dan sessi perkongsian ilmu. 
Panjang hadis hari ni.  Membincangkan tentang asas hubungan kemanusiaan.  Etika dalam pergaulan untuk membentuk masyarakat yang sejahtera.  Apa yang perlu dibuat dan apa yang perlu dielak.  Rasulullah dah berpesan menerusi sabdanya, janganlah berdengki-dengkian, janganlah bertipu-tipuan, janganlah berpaling-palingan dan janganlah menjual di atas penjualan yang lain.  Tak boleh dengki dalam erti kata tak boleh mengharapkan nikmat orang lain terhapus atau lebih buruk lagi, berpindah kepada kita sebab bila dah dengki macam ni, ada kecenderungan untuk individu melakukan apa saja untuk memindahkan nikmat tu kepada dirinya.  Tak boleh juga membenci orang lain sesuka hati dalam konteks menghina orang lain kerana angkuh dan sombong.  Tak boleh menipu dan ini termasuklah menipu dalam jual beli.  Rasulullah S.A.W. juga berpesan supaya jangan berpaling bila bertemu dengan orang lain.  Kalau orang yang kita temui berpaling, ucaplah salam.  Seorang kawan tanya, kalau dia berpaling jugak, kata kawan saya yang sorang lagi, senyumlah…macam bait-bait lagu yang anak saya selalu siulkan, senyum ...tak perlu kata apa-apa.
Dalam hadis ni Rasulullah juga berpesan supaya jangan lakukan perkara seperti membatalkan pembelian semata-mata untuk membeli barang lain yang lebih murah dan jangan juga menawarkan barangan yang nak dijual kepada orang lain yang sanggup membayar harga yang tinggi kalau barangan tu dah ada orang yang menawarkan untuk membeli.  Betullah hak kita, harta kita.  Nak maksimumkan untung, kena pilih pembeli yang tawarkan harga yang lebih tinggi.  Tapi di sinilah pentingnya takwa.  Ini pesan Rasulullah.  Tujuannya untuk elakkan timbulnya perasaan benci-membenci.  Kalau dah janji nak jual pada satu pihak, walaupun ada tawaran harga lebih tinggi kemudiannya, kena tunaikan janji. Rezeki kan di tangan Allah.  Kadang-kadang manusia nak diuji…mampu tak berpegang pada janji dan setakat mana kesanggupan berpegang pada pesannya Nabi.  Mungkin ganjaran yang lebih besar menanti.  SubhanaAllah, Betapa indah dan lengkapnya Islam. 
Rasullullah pesan lagi, sebab orang Islam bersaudara, jadi janganlah menganiaya sesama Islam.  Tak boleh juga membiarkan saudara seagama dalam kehinaan.  Rasulullah pesan, kena tolong saudara yang dizalimi dan juga yang zalim.  Cara menolong yang zalim rupanya adalah dengan larang orang daripada terus melakukan kezaliman.  Kalau semua orang Islam ikut pesan Nabi, indah kan.  Tolong yang dizalimi, larang kezaliman.  Maka tak adalah yang teraniaya sebab yang zalim dah ditegah dan yang dizalimi dah dibantu.  Tapi masyarakat Islam hari ni, buat ker macam tu…
Selain tu, tak boleh mendustai dan tak boleh menghina.  Sebab kata Rasullulah, berdusta adalah satu pengkhianatan.  Lebih-lebih lagi kalau orang yang kita dustai tu sangat-sangat mempercayai kita.  Contohnya, semua orang baca dan percaya akhbar arus perdana, alih-alih tulis cerita tipu pulak..fakta salah, angka salah.  Salah ker segaja disalahkan…tak taulah. Sama jugak dengan berita tv, mati-mati makcik pakcik, atuk nenek kat kampong percaya.  Tiba-tiba bagi laporan yang tak berapa nak tepat.  Kan kesian makcik pakcik dan atuk nenek tuh..Errr…sapa nak jawab?
Baginda Rasul kata takwa terletak di hati.  Bukan dengan cara menunjuk-nunjuk meninggi diri atau peribadi.  Tapi yang berbudi pekerti mulia, sebagaimana digariskan dalam hadis, walaupun orang yang bertakwa mungkin dipandang hina, (ini menurut buku Hadis 40, Mustafa Abdul Rahman).
Akhir sekali, Rasullulah jelaskan, sudah cukup banyak kejahatan seseorang yang merendahkan dan menghina saudara seislamnya dengan cara mencederakannya atau menjatuhkan maruah atau kehormatannya.  Pinjam kata-kata DJ Radio siaran apa entah, selalu kata, “fikir-fikirkanlah.”
Islam dah ada garis panduan lengkap etika hidup bermasyarakat.  Kalau semua umat Islam mampu hidup berlandaskan apa yang disarankan oleh Baginda Rasul, dah tentu sejahtera sebab tak ada yang menipu, tak ada yang dengki-mendengki, tak ada kezaliman, tak ada pengkhianatan dan tak ada penganiayaan.  Paling tidak pun, janganlah mengganggu atau menyusahkan orang lain sepertimana kata al-Razi:
Jika engkau tidak dapat memberi manfaat, janganlah engkau menyusahkan dia. Jika engkau tak mahu menggembirakan dia, janganlah engkau mendukakan dia.  Jika engkau tidak mahu memuji, janganlah engkau mencela dia.”
Dah kalau habis tak nak tolong pun, janganlah susahkan.  Kalau dah tak nak bagi orang lain ceria, jangan kacau, jangan buat dia sedih.  Pergi main jauh-jauh.  Ini dah tak boleh nak gembirakan, saja-saja pulak nak buat orang tu sedih.  Aduhai...dan kalau tak mampu nak memuji orang, janganlah dok pergi mencela, cerita keburukan a.k.a. mengumpat orang tu habis sekampung dan kawasan-kawasan yang sewaktu dengannya...Ini ingatan penting buat diri saya.  Kalau tak mampu nak buat baik pun, sekurang-kurangnya janganlah kacau orang.

Sessi baca tafsir pun menarik.  Menyentuh sikit kisah Nabi Yunus.  Insya Allah, menu bacaan saya esok:  Kisah Nabi Yunus A.S.
Semoga Allah berikan saya kekuatan untuk menghindari segala yang dilarang oleh Baginda Rasul dalam pergaulan sesama manusia.  Pesan untuk diri dan putera-puteri tersayang: tak mau tipu-tipu, jangan hina orang, jangan khianat, jangan aniaya orang, jangan jatuhkan maruah orang lain, jangan zalimi orang dan paling tidak pun, janganlah menyusahkan orang.

No comments:

Post a Comment