Monday, April 25, 2011

Ilham Jiwa

Alhamdulillah, saya berpeluang meneliti tafsir Surah As-Syams (Matahari).  Subhana Allah, indahnya susunan ayat-ayatnya.  Allah jelaskan segalanya secara berpasang-pasangan:

Demi matahari dan cahayanya di pagi hari, dan bulan apabila mengiringinya.  Dan siang apabila menampakkannya, dan malam apabila menutupinya.  Dan langit serta pembinaannya; dan bumi serta penghamparannya.  Dan jiwa serta penyempurnaannya, maka Allah mengilhamkan kepada jiwa itu kefasikan dan ketakwaan.  Sesungguhnya beruntunglah orang yang mensucikan jiwa itu dan sesungguhnya merugilah orang yang mengotorinya.” (Tafsir Ibnu Katsir, Jilid 10).

Allah nyatakan bagaimana Dia akan mengilhamkan kepada setiap jiwa sama ada jalan ketakwaan atau kefasikan.  Kebanyakan ahli tafsir menerangkam ini sebagai, Allah menjelaskan yang baik dan yang buruk kepada setiap jiwa.  Jadi, beruntunglah mereka yang memilih untuk membersihkan jiwa dengan mengingati Allah dan menunaikan solat, sepertimana firman Allah dalam Surah al-A’la, ayat 14-15.  Sebaliknya, rugilah mereka yang memilh untuk tidak mentaati Allah.

Dalam satu hadis yang lain, Rasulullah menjelaskan Allah akan menjadikan setiap manusia kecenderungan amalan yang sesuai dengan ketetapanNya  ke atas setiap seorang.  Sejajar dengan itu, setiap manusia wajar beramal dan berdoa supaya dimasukkan ke dalam golongan mereka yang beramal saleh, dengan rahmat Allah. 

Untuk itu, Zaid mengajarkan satu doa yang diajarkan oleh Rasullullah S.A.W. kepada para sahabat,
Ya Allah, sesunguhnya aku berlindung kepadaMu dari kelemahan dan kemalasan, juga kenyanyukan, pengecut, kikir dan azab kubur.  Ya Allah, berikanlah ketakwaan pada jiwaku dan sucikanlah jiwaku, sesungguhnya Engkau sebaik-baik Rabb yang menyucikannya, Engkaulah Pelindung sekaligus Penguasanya.  Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung kepadaMu dari hati yang tidak pernah khusyuk dan dari jiwa yang tidak pernah merasa puas, juga ilmu yang tidak bermanfaat serta doa yang tidak dikabulkan.”

Lessons of the Day:
1.       Allah war-warkan secara jelas yang untung adalah yang menyucikan jiwa dengan solat dan mengingati Allah.  Dan manusia yang rugi adalah yang berpaling daripada mematuhi segala suruhan dan larangan Ilahi Rabbi.  Tinggal nak pilih aja yang mana nak…macam lagu ada mata lihat, ada telinga dengar, ada otak pakai....
2.      
Berdasarkan kepada hadis baginda Rasul, betapa nasib manusia amat bergantung kepada rahmat dan belas kasihan Ilahi Rabbi.  Kena sentiasa memohon dan berdoa kepada Allah supaya jiwa diilhamkan dengan ketakwaan.  Kena sentiasa sedar segala amal yang dilakukan adalah dengan kekuatan dan keizinan Allah semata-mata.  Kena sentiasa mensyukuri kurniaan Allah dan sentiasa menginsafi bahawa setiap jiwa adalah lemah dan tidak berdaya, melainkan dengan izin Allah sahaja.  Jadi, tak perlu bangga atau perasan bagus dengan apa pun pencapaian atau amalan sebab sesungguhnya semua tu anugerah Allah, yang sementara, yang tujuannya untuk menguji sejauh mana ketakwaan jiwa, setakat mana keinsafan terhadap penguasaan Yang Maha Esa.
3.       
 Cantiknya susunan doa yang diajar oleh baginda Rasul.  Lengkap untuk kesenangan hidup di dunia, alam barzakh dan juga akhirat.  Mohon dielakkan dari kelemahan, kemalasan supaya boleh berusaha secukupnya; mohon dijauhkan dari kenyanyukan di hari tua dan dari sifat bakhil yang boleh menghalang amalan bersedekah untuk mencari saham akhirat.  Mohon dijauhkan dari azab kubur yang amat dahsyat.  Paling penting, mohon Allah kurniakan ketakwaan dan kesucian jiwa keran dah tentu Allahlah  yang menguasai dan berkuasa melindungi setiap jiwa.  Mohon dikurniakan perlindungan daripada hati yang tidak khusyuk yang dah tentu akan menggangu pelaksanaan solat yang sempurna; mohon dilindungi daripada jiwa yang tak pernah cukup dengan apa yang ada, mohon dijauhkan dari mempunyai ilmu tapi tidak bermanfaat dalam erti kata ada ilmu tapi tak mampu memimpin diri ke arah melakukan amal saleh dan membawa jiwa lebih dekat dengan Allah.  Dan akhirnya memohon supaya dijauhkan daripada berdoa tetapi tidak dimakbulkan.  Logiklah…kalau doa dah tak dimakbulkan, dengan apa lagi nak disandarkan harapan sebab doalah senjata orang Mukmin.  Semoga diri mampu mengamalkan doa ini secara konsisten sebab Allah suka dengan orang yang berdoa dan janji Allah, “Berdoalah kepadaKu, nescaya akan Aku kabulkan.”  Lagipun, antara adab doa yang baik adalah berdoa dengan doa para Rasul atau menggunakan doa-doa yang diceritakan Allah dalam al-Quran.

Saturday, April 23, 2011

Cinta Teja vs Cinta Tuah

Hari Jumaat lepas, sebab saya berkursus, jadi terlepaslah usrah kat fakulti.  Minggu ni usrah memang dibatalkan sebab ramai yang tak ada - kursus, cuti, terlibat dengan penilaian kertas Matrikulasi dan macam-macam.  Saya dah tertinggallah satu hadis - hadis ke 36.  Jadi, saya baca sendiri....

Rupanya, hadis tu ada dua bahagian.  Bahagian kedua tu, merupakan hadis tentang ganjaran menuntut ilmu yang saya baca semalam.  Bertalu-talu Allah ingatkan saya tentang ganjaran menuntut ilmu minggu ni.  Penerangan unik dalam buku Hadis 40 tentang ilmu adalah tentang kategori ilmu - ilmu di hati dan ilmu di lidah.  Ilmu di hati adalah yang berkaitan dengan ilmu untuk mengenali Allah dan sifat-sifatnya dengan lebih dekat.  Dengan kata lain, macam definisi ilmu bermanfaat yang Allah firmankan kepada Nabi Daud A.S., ilmu yang meningkatkan ketakwaan makhluk kepada Ilahi Rabbi.  Ilmu ini akan mengarahkan kepada amalan yang baik dalam seluruh kehidupan. 

Ilmu yang di lidah pula adalah ilmu yang dipelajari sebagai satu matapelajaran tetapi tak sampai ke lubuk hati.  Objektifnya hanya untuk membuktikan kepandaian, tidak difahami hakikatnya dan tidak menjadi amalan sepenuhnya.  Ooohoh...macam kena sebijik kat batang hidung.  Dari kecik pergi sekolah sampai masuk universiti, belajar memang sebab nak lulus exam.  Faham...antara faham dengan tidak aja.  Objektif akhir sebab nak dapatkan kertas yang orang panggil ijazah.  Macam kata penulis, ilmu di lidah tidak berdaya memimpin seorang ke arah amalan yang nyata lagi berguna.

Ala-ala cinta jugak...cinta di lidah vs cinta di hati.  Senang aja nak cakap cinta tapi kalau setakat kat lidah tak bawa maksud apa-apa.  Cinta yang bererti, yang orang panggil "true love" cuma cinta di hati.  Yang sanggup berkorban apa saja, macam cinta Tun Teja kepada Hang Tuah, sanggup ikut dari Pahang ke Melaka, tinggalkan tunang, tinggalkan keluarga.  Tapi cinta Tuah kepada Teja cuma cinta di lidah, sekadar pengucapan untuk kepentingan sendiri, nak penuhi KPI untuk Sultan Melaka.


Bahagian hadis yang pertama menyentuh tentang tanggungjawab sesama manusia:
"Barangsiapa yang melapangkan dari orang mukmin kedukaan dunia, nescaya Allah akan melapangkan dia dari satu kedukaan akhirat; barangsiapa yang memudahkan atas orang yang susah, nescaya Allah akan memudahkan atasnya di dunia dan akhirat.  Dan barangsiapa yang menutupi rahsia seorang Islam, Allah akan menutupinya dunia dan akhirat.  Dan Allah selalu menolong hambaNya selama hambaNya dalam usaha menolong orang lain."

Lessons of the Day:
1. Ilmu yang akan memudahkan jalan ke syurga adalah ilmu di hati; yang diamalkan dengan niat yang baik, bukan untuk merebut faedah keduniaan semata-mata.  Sebab ilmu ni ada banyak jenis kan - pada sesetengah orang, belajar menari pocho-pocho pun ilmu, belajar menari ala-ala barat tanpa menutp aurat pun ilmu jugak.  Lagi masalah, banyak orang ada ilmu tapi ambil keputusan untuk tak amalkan ilmu yang ada sebab nak mengejar imbuhan dunia.  Takutnya saya dengan pernyataan ni.  Banyak kan orang pandai lagi bijak sekarang yang dilantik sebagai penasihat tertentu disebabkan kebijaksanaan dan kepakaran mereka, tetapi sanggup aja melakukan keputusan yang bertentangan dengan peraturan yang sepatutnya, tak kiralah dalam bidang agama, undang-undang atau polisi.  Sebabnya, nak kekalkan status dunia dan pastikan elaun atau yuran perundingan yang banyak kekal mengalir ke poket.  Ada ilmu tentang apa itu amanah, apa itu keadilan, tapi tak amalkan sebab nak jaga KPI jabatan dan KPI sendiri. 

2.  Besarnya ganjaran yang Allah janjikan untuk Mukmin yang membantu saudaranya - melapangkan mereka yang di dalam kedukaan; menolong mereka yang susah, menutup aib orang lain.  Ingatan untuk diri, bila dihadapkan dengan orang yang memerlukan pertolongan, ertinya Allah nak bagi peluang untuk rebut ganjaran yang dijanjikan - bantuan dunia dan akhirat.  Cubalah tolong setakat yang terdaya kerana Allah suruh. Janganlah nak merungut, nak berkira-kira.  Penat, semua orang penat.  Banyak kerja, semua orang pun banyak kerja.  Tak ada masa - semua orang pun cuma ada 24 jam sehari.  Sebab sesusah mana pun kita, ada orang lain yang lebih susah.  Lagipun, Rasulullah dah kata, Allah akan sentiasa membantu mereka yang sentiasa dalam usaha untuk membantu orang lain.  Itu jaminan Allah....jadi jangan terlalu berkira dengan perancangan sendiri.  Kadang-kadang, tanpa kita ketahui, Allah mudahkan urusan kita dalam banyak cara sebab kita sentiasa membantu memudahkan urusan orang lain.

3.  Pesanan Rasulullah S.A.W., jangan aibkan sesama manusia khususnya jika ia berasaskan prasangka semata-mata.  Ini pun peringatan yang sangat penting untuk saya.  Hidup bermasyarakat hari ni penuh dengan gosip.  Di pejabat, tempat bekerja pun dengan gosip politik ofis.  Banyaknya berasaskan andaian sendiri..."rasanya", "agaknya", "nampak macam".  Sedangkan Nabi Allah Muhammad S.A.W. pesan suruh tutup keaiban orang lain.  Bukan bersusah payah pergi cari maklumat dan sebarkan pada semua orang.  Sedangkan saya sendiri pun banyak buat salah, banyak khilaf dan banyak dosa.  Macam kata nenek moyang orang putih, "do unto others what you want others to do unto you...".  Kita tak suka orang cakap keburukan kita, kita pun janganlah suka bicara kesilapan orang kan.....Lagipun, Allah akan tutup keaiban sesiapa yang menyembunyikan keburukan saudaranya.  So, there is nothing to lose kalau jaga lidah daripada ceritakan keaiban orang.  Banyak lagi kerja lidah...zikir, baca quran. Paling tak pun, rehatkan aja lidah.

Thursday, April 21, 2011

PRIORITIZING


Minggu ni, hubby pun kena hadiri latihan di MidValley..kalau tak silap, kursus Certified IP Engineer.  Lebih kuranglah…Yang menariknya, sebab sejalan…Wisma R&D UM dan Mid Valley tu kan dekat-dekat, saya pun bersupir lah minggu ni.  Pergi dihantar, balik dijemput.  Dah lama tak rasa nikmat tak payah memandu sendiri. Banyaklah jugak celoteh dalam kereta.  Hari ni hubby ceritakan pasal apa yang dia belajar dalam sessi usrah di surau semalam.  Bab keutamaan menuntut ilmu.  Dari segi keutamaan dari segi relatif dengan ibadah langsung lain seperti membaca al-quran dan solat sunat.  Juga dari segi limpahan ganjaran yang Allah janjikan. 

Betapa tingginya keutamaan menuntut ilmu boleh difahami daripada jawapan Baginda Rasul terhadap pertanyaan seorang Ansar, “Wahai Rasulullah, jika ada orang yang meninggal dunia bertepatan dengan acara majlis ilmu, manakah yang lebih berhak mendapat perhatian? Baginda  Rasulullah S.A.W. bersabda,  , “Jika telah ada orang untuk menghantar dan menguburkan jenazah, maka menghadiri majlis ulama lebih utama daripada melawat seribu jenazah. Bahkan ia lebih utama daripada menjenguk seribu orang sakit, atau solat seribu hari seribu malam, atau sedekah seribu dirham pada faqir miskin, atau pun seribu kali berhaji; bahkan lebih utama daripada seribu kali berperang di jalan Allah dengan jiwa dan hartamu!  Tahukah engkau bahwa Allah dipatuhi dengan ilmu, dan disembah dengan ilmu pula? Tahukah engkau bahawa kebaikan dunia dan akhirat adalah dengan ilmu, sedangkan keburukan dunia dan akhirat adalah dengan kebodohan?”

Manakala ganjaran yang Allah janjikan untuk yang menuntut ilmu, subhana Allah.  Antara sabda kekasih Allah berkenaan ganjaran menuntut ilmu adalah:
"Barangsiapa menempuh suatu jalan yang padanya dia mencari ilmu, maka Allah akan mudahkan dia menempuh jalan dari jalan-jalan (menuju) syurga, dan sesungguhnya para malaikat benar-benar akan meletakkan sayap-sayapnya untuk penuntut ilmu, dan sesungguhnya seorang penuntut ilmu akan dimintakan ampun untuknya oleh makhluk-makhluk Allah yang di langit dan yang di bumi, sampai ikan yang ada di tengah lautan pun memintakan ampun untuknya.”

 Tidaklah suatu kaum berkumpul di salah satu dari rumah Allah swt lalu membaca kitab Allah SWT, mempelajarinya diantara mereka kecuali akan turun kepada mereka ketenangan, mereka diliputi dengan rahmat dan dikelilingi para malaikat dan mereka pun disebut-sebut Allah di hadapan hamba-hamba yang ada di sisi-Nya.” (HR. Tirmidzi)

“Barangsiapa keluar mencari ilmu maka ia sebenarnya berjihad di jalan Allah sehingga di kembali.”

“Barangsiapa mencari ilmu maka yang demikian itu akan menghapuskan dosa-dosanya yang lalu”.

Dari satu segi yang lain, Saidina Ali R.A. menggariskan keutamaan ilmu ke atas harta:
” Ilmu lebih utama daripada harta, Ilmu adalah pusaka para Nabi, sedang harta adalah pusaka Karun, Sadad, Fir’aun, dan lain-lain.”
” Ilmu lebih utama daripada harta, karena ilmu itu menjagamu sedangkan harta malah engkau yang harus menjaganya.”
” Harta itu bila engkau tasarrufkan (berikan) menjadi berkurang, sebaliknya ilmu jika engkau tasarrufkan malahan bertambah.”
” Pemilik harta disebut dengan nama bakhil dan buruk, tetapi pemilik ilmu disebut dengan nama keagungan dan kemuliaan.
” Pemilik harta itu musuhnya banyak, sedangkan pemilik ilmu temannya banyak.”
” Ilmu lebih utama daripada harta, kerana di akhirat nanti pemilik harta akan dihisab, sedangkan orang berilmu akan memperoleh safa’at.”
” Harta akan hancur bila lama ditimbun zaman, tetapi ilmu tidak akan rosak dan musnah walau ditimbun zaman.”
” Harta membuat hati seseorang menjadi keras, sedang ilmu malah membuat hati menjadi bercahaya.”
” Ilmu lebih utama daripada harta, karena pemilik harta mampu mengaku menjadi Tuhan akibat harta yang dimilikinya, sedang orang yang berilmu akan mengaku sebagai hamba kerana ilmunya.”

Saya pernah terbaca salah seorang sarjana Islam pernah menulis tentang keunikan ilmu.  Ilmu adalah antara perkara yang menyalahi hukum penawaran.  Kalau dalam ekonomi, semakin banyak stok sesuatu barangan, semakin rendahlah nilainya.  Tetapi ilmu tak macam tu.  Semakin tinggi stok ilmu seseorang, semakin tinggi nilai seseorang, bukan saja dari segi kedudukan dalam masyarakat tetapi lebih penting lagi janji Allah terhadap kedudukan orang berilmu, "Allah meningkatkan darjat orang yang beriman di antara kamu dan juga orang yang dikurniakan pengetahuan dengan kelebihan beberapa darjat."  (Surah al-Mujadalah:11)


Lessons of the Day:
1.       Rasulullah wariskan satu panduan penting untuk menyusun atur keutamaan aktiviti atau kata orang putih, “prioritizing”.   Dalam dunia yang serba sibuk hari ini, panduan untuk menyusun keutamaan atau, “prioritizing” amat penting.  Zig Ziglar pun kata macam tu.  Sejajar dengan kepentingan ilmu untuk pengurusan hidup dunia dan akhirat, Islam meletakkan keutamaan yang tinggi kepada aktiviti menuntut ilmu.  Sehinggakan jika telah ada orang untuk menguruskan jenazah dan ada ruang untuk kita menghadiri majlis ilmu, maka lebih utama untuk kita menghadiri majlis ilmu tersebut.  Ini satu garis panduan yang boleh digunakan untuk menyusun keutamaan aktiviti dalam hidup seharian; apalagi dalam dunia yang mana seribu satu kerja perlu dibuat dan seribu satu aktiviti perlu dihadiri.  

2.       Pentingnya ilmu sebab menurut hadis Baginda Rasul, ilmu adalah faktor yang menentukan kebaikan atau keburukan bukan saja dunia malahan di akhirat.  Bukan cerita remeh-temeh.  Dengan kata lain, kalau nak yang baik, pilihlah untuk berilmu.  Sebaliknya, kalau redha jadi jahil, tak menuntut ilmu menempah keburukan dunia akhirat.  Selalu orang pening nak buat pilihan sebab tak pasti kesan akhir pilihan yang dibuat sedangkan kita akan hidup dengan kesan pilihan yang dibuat. Jadi, kena muzakarah dan istikharah.  Tapi dalam kes ni, Rasulullah dah jelaskan pilihan dan kesan: nak berilmu atau nak jadi jahil.  Kesannya, kalau berilmu dapat kebaikan dunia akhirat.  Sebaliknya, menempah keburukan dunia akhirat.  Tinggal nak pilih saja….macam orang tua kata, tepuk dada tanya selera.

3.       Menuntut ilmu atau menghadiri majlis-majlis ilmu besar faedahnya.  Allah janjikan ganjaran yang teramat banyak, dipermudahkan jalan menuju jannah, ganjaran jihad serta permohonan diampunkan dosa oleh makhluk Allah di darat dan di bumi.   Besarnya hadiah yang Allah nak bagi – antara nak rebut dengan tidak aja.  Ini pun masalah pilihan jugak.  Aktiviti pilihan sangat banyak – baca novel, window-shopping, layan tv dan duduk sembang-sembang.  Semoga peringatan tentang ganjaran yang Allah kurniakan untuk mereka yang menghadiri majlis ilmu mampu memotivasi diri untuk membuat pilihan yang bijaksana.  Semoga Allah memberi kekuatan dan peluang kepada saya untuk menyertai majlis-majlis ilmu. Amin.

Sunday, April 17, 2011

Plan A dan Plan B



Seminggu tak mencoret apa-apa kat sini.  Rindu serindu-rindunya nak menulis. Pertama sebab menulis dalam blog ni bebas.  Medan menulis sebagai “saya” yang sebenarnya.  Tak ada skema, taka ada penilai yang nak hantar komen, suruh betulkan itu dan ini.  Suka hati saya aja.  Kedua, sebab saya amat yakin pada kata pujangga, “membaca menjadikan kita sempurna, menulis menjadikan kita  lengkap dan berbincang menjadikan kita bersedia.   Cuma tak sempat.  Menghadiri kursus ni, letih rasanya minda bila terpaksa fokus pada kuliah lebih kurang enam jam sehari. Tak tergamak nak buat kerja lain waktu penceramah berceramah.   Minda pulak rasa terbeban fikirkan tugasan-tugasan yang menanti.  Ujian lagi.  Mungkin sebab dah T.U.A.  Fikir-fikir, nasib baik jugak dulu fakulti paksa saya mengaji cepat-cepat.  Kalau sekarang nilah baru saya nak ambil kursus Mikroekonomi Lanjutan peringkat phd…macamanalah agaknya.  Mau MC berderet-deret kot…Betullah macam pesan Baginda Rasul, kena rebut dan gunakan sepenuhnya lima perkara sebelum lima perkara antaranya, waktu lapang sebelum masa sibuk dan waktu muda sebelum tua. 

Dalam sibuk-sibuk, minggu ni sempat jugak saya sertai dua webpage memasak….Koleksi 1001 Resipi dan Dapur Kak Zu.  Ala..bukan susah pun, tekan butang “like” kat FB tu.  Tapi tak sempat lagi nak betul-betul melayari pages tu.  Cuma saya tengok ada satu komen kat Dapur Kak Zu tu berbunyi, “dah masuk dapur Kak Zu ni, tak reti nak keluar sebab resipinya semua menarik.”  Sempat intai resipi Kek Karamel, nampak menarik.  Macam boleh diletak dalam senarai “To Be Tried”.

Yang sempat saya jengah cuma satu dua mukasurat buku “Di Balik Ketajaman Matahati” yang tak habis-habis lagi saya baca.  Kalau novel cinta agaknya dah lama saya khatam.  Pembacaan saya yang perlahan macam kura-kura ni melewati tentang gangguan syaitan.  Wajib untuk menolak gangguan syaitan yang dah tentunya jahat.  Antara cara untuk menghalang gangguan syaitan adalah dengan mengetahui cara syaitan mengganggu manusia.  Macam kata bijak pandai, nak kalahkan musuh, kena tahu dulu kelemahan dan kekuatan musuh.  Atau dalam bahasa orang putih, he who knows his enemy, wins the battle.  Dan rupanya strategi syaitan licik sekali…dia menerobosi manusia menerusi sifat manusia sendiri.

Rupanya, syaitan nak masuk jiwa manusia ada banyak laluan…macam kalau dari rumah saya, Putra Heights nak ke KL.  Boleh guna LDP, boleh guna KESAS, boleh guna NPE, boleh guna Federal Highway, boleh guna PLUS.  Antara sifat yang manusia yang menjadi lebuhraya tanpa tol untuk syaitan memasuki diri manusia adalah kemarahan dan kegembiraan atau kesenangan.  Bila manusia marah, akalnya lemah.  Waktu tu, syaitan akan menyerang dan mempermainkan manusia sebagaimana anak kecil bermain bola. Mungkin bila tengah marah ni, dia boleh tekan satu lapan walaupun had laju 120.  Ker dia jadi Mat Rempit.. 

Yang kedua adalah sifat dengki dan rakus.  Ini diceritakan oleh syaitan kepada Nabi Nuh A.S. ketika syaitan menaiki bahtera Nabi Nuh dengan tujuan untuk mengganggu pengikut baginda di atas bahtera.  Kata Syaitan kepada Nabi Allah Nuh A.S., “Ada lima cara aku membinasakan manusia.  Aku akan ceritakan dua sahaja.”  Cis…sempat lagi nak berahsia dengan Nabi Nuh si syaitan ni.  Kata Syaitan, “Dua hal ini tidak pernah membohongiku.  Dengan keduanyalah aku mencelakan manusia, iaitu kerakusan dan kedengkian.  Dengan kedengkian itulah aku dilaknat Allah dan menjadi orang terkutuk.  Adapun mengenai kerakusan, sesungguhnya syurga diperuntukkan kepada Adam kecuali syajarah (buah yang dilarang), lalu aku celakakan Adam kerana kerakusan.”

Seterusnya, saat kekenyangan, walaupun makanan itu halal dan bersih.  Sebab kekenyangan akan meneguhkan kesenangan nafsu dan kesenangan adalah pedang syaitan.  Ini diakui syaitan kepada Nabi Allah Yahya A.S.  Syaitan pernah muncul di hadapan Nabi Yahya dengan membawa pengait dan dijelaskan kepada Baginda, pengait-pengait itu adalah kesenangan nafsu untuk menangkap anak-anak Adam.  Nabi Yahya pun tanya, adakah dia akan turut diperangkap dengan pengait tersebut?  Kata Syaitan, “Kadang-kadang engkau kenyang lalu kami buat engkau lalai terhadap solat dan zikir.”  Nabi Yahya pun kata, “Bagi Allah wajib atas aku, aku tidak akan memenuhi lagi perutku dengan makanan selama-lamanya.”  Syaitan pun berkata, “Dan bagi Allah atas aku, tidak akan aku nasihati lagi seorang muslim untuk selama-lamanya”.  Syaitan macam frust teramat sangat sebab dah bocorkan rahsia ini kepada Nabi Yahya dan baginda bertindak sewajarnya untuk mengelak gangguan puak-puak syaitan nih.  Takutnya….saya hari ni makan memang senarai teratas carta aktiviti.  Kadang-kadang di meja sarapan, dah siap bincang nak makan apa lunch nanti.  Sedangkan ini salah satu highway syaitan laknatullah.

Satu highway lagi…pun saya takut bila baca.  Cinta bermewah-mewah dengan perabot rumah, pakaian dan rumah.  Ringkasnya, keinginan untuk memiliki apa saja yang melebihi keperluan.  Apabila wujud cinta di hati terhadap semua ni, syaitan akan bertelur di sana-sini dalam jiwa manusia.  Tak henti-hentilah dia akan menyeru manusia untuk terus renovate rumah, beli pakaian yang lagi cantik…dah ada warna hitam, beli yang biru pulak.  Dah ada tudung bawal, beli lagi entah apa jenis lagilah yang ada di pasaran.  Menurut buku tu, bila syaitan dah berjaya membuatkan manusia cinta dunia, dia dah tak perlu bekerja keras lagi dengan manusia ini.  Automatik cinta dunia tu akan berjalan memastikan manusia sesat.  Err….banyak nak kena renung dan fikir balik nih.  Ini berkaitan dengan resolusi syaitan selepas kedatangan Nabi Muhammad S.A.W.  Apabila Allah mengutus kekasihNya, Muhammad, syaitan mengutus tenteranya kepada para sahabat Rasulullah.  Tentera syaitan kembali dengan hampa dan berkata, “Tak pernah kami menjumpai seperti mereka. Kami mendapatkan mereka, kemudian mereka berdiri melakukan solat dan menghapuskan semua tentera syaitan.”  Jadi, general syaitan pun berkata, “Tangguhkan sebentar mereka. Mungkin Allah akan membuka keduniaan kepada mereka dan kita dapat menguasai mereka.”  Liciknya syaitan ni.  Siap ada perancangan rapi…gagal plan A, guna plan B. Menurut Hassan R.A., syaitan pernah berkata, “Aku telah menghiasi umat Muhammad beberapa maksiat tetapi mereka mematahkan tulang punggungku dengan istighfar.  Lalu aku hiasi mereka dengan dosa-dosa yang mereka tidak akan memohon ampun dari Allah, iaitu kesenangan-kesenangan.”  Tak dapat hasut dengan maksiat, senyap-senyap lekakan dengan nikmat kesenangan seperti kekenyangan dan keghairahan bershopping-shopping….aduhai.

Rasa macam dah banyak sangat laluan syaitan ni.  Rupanya ada lagi.  Ketergesaan dan penundaan dalam menyelesaikan segala urusan.  Tergesa-gesa pun tak boleh.  Menunda-nunda pun tak boleh.  Apalagi ibadat wajib macam solat, puasa, zakat dan haji.  Kalau solat, masuk waktu kena tunaikan.  Macam tu jugak puasa.  Selalu nak tunggu dekat-dekat Ramadhan sekali lagi, baru nak selesaikan apa yang patut.  Ini resolusi syaitan sewaktu Nabi Isa dilahirkan.

Highway seterusnya…rasa kikir dan takut jatuh miskin.  Dengan ini syaitan akan menghalang orang bersedekah sebaliknya gigih mengumpul harta dan mencintai pasar atau sector korporat.  Selain itu, fanatik dengan pendapat sendiri, berdendam dengan pihak lawan. Dan ini termasuklah menghina alim ulama’ serta berburuk sangka sesama  muslim.

Lessons of the Day:
1.       Banyaknya highway syaitan.  Semuanya tak bertol nih.   Syaitan ni memang sangat licik dan sangat rapi perancangannya.  Betul-betul tak mengenal erti menyerah.  Never say never…tak boleh macam tu, attack macam ni.  Gagal kaedah A, amal pulak kaedah B.  Pesan untuk diri, kena semak balik segala amalan.    Apapun,yang paling utama, kena mohon banyak-banyak pertolongan dan rahmat dari Allah supaya dilindungi daripada gangguan syaitan durjana sebab syaitan pun makhluk Allah, tertakluk kepada kekuasaan Allah.

Sunday, April 10, 2011

Suruh Makan Saya Makan, Suruh Solat Saya Tak Mahu

Ambil masa sikit untuk meneliti cerita dalam Kitabullah yang dah agak lama saya tinggalkan.  Kali ini pembacaan saya melewati Surah Saba’.  Takutnya saya bila baca apa yang Allah sampaikan dalam kitabnya tentang perihal penduduk Saba’ suatu waktu dahulu.  Kisah sebuah negara yang Allah kurniakan dengan kenikmatan dan kemakmuran; dan dibinasakan akhirnya disebabkan kesombongan dan kekufuran.

Once upon a time, di selatan Yaman, tinggal sebuah kaum yang digelar Saba’.  Kota Saba’ terletak di sebuah lembah permai yang diapit di kiri kanannya oleh dua buah gunung. .  Allah jelaskan, sesungguhnya terdapat tanda kekuasaan Allah bagi kaum Saba’ di tempat kediaman mereka.   Mereka telah dilimpahi nikmat dan rezeki oleh Allah S.W.T. yang tidak terhingga.  Selain dikurniakan Allah tanah yang subur untuk aktiviti pertanian, Allah turut mengurniakan mereka ilmu membina empangan bagi mengairkan kawasan pertanian mereka dengan baik.  Empangan ini terkenal sebagai Empangan Ma’rib.  Dengan empangan ini, mereka dapat mengurus bekalan air dengan baik.  Sewaktu hujan, air dialirkan ke empangan untuk digunakan bagi mengairi kebun-kebun juga untuk kegunaan harian. 

Kemakmuran yang Allah kurniakan kepada mereka menyebabkan mereka tidak pernah kekurangan makanan, malahan berlebihan.  Menurut Tafsir Hamka, Qatadah menceritakan jika seorang wanita pergi ke kebun membawa bakul dan menjunjungnya di atas kepala, buah-buahan yang masak ranum akan jatuh dengan sendirinya ke dalam bakul tanpa perlu dipetik dan apabila ia keluar dari kebun, bakulnya itu penuh berisi buah-buahan.  Wow…tak dapat nak bayangkan.  Sehingga begitu rezeki yang Allah anugerahkan kepada penduduk Saba’.

Allah menyeru kepada mereka supaya menikmati rahmatNya, iaitu “Makanlah olehmu dari rezeki yang dianugerahkan Rabbmu.”  Dalam masa yang sama, Allah juga berpesan, “dan bersyukurlah kamu kepadaNya.  Negerimu adalah negeri yang baik dan Rabbmu adalah Maha Pengampun.”  Sayangnya, mereka enggan mensyukuri nikmat yang Allah kurniakan sebaliknya mereka berpaling daripada akidah tauhid.  Mereka merupakan kaum yang meyembah matahari, sebagaimana yang diceritakan oleh hud-hud kepada Nabi Sulaiman.  Ini ala-ala suruh makan saya makan, suruh sembahyang saya tak mahu…

Disebabkan kekufuran mereka, Allah memusnahkan kebun-kebun mereka yang subur dengan menurunkan banjir besar.  Indah dan teratur perancangan Allah.  Allah mengirimkan tikus-tikus besar yang masuk ke dalam empangan dan membuat lubang-lubang yang menyebabkan empangan itu bocor dan pecah.  Limpahan air empangan Ma’rib inilah yang menenggelamkan kebun-kebun mereka.  Akibat banjir besar tersebut, musnahlah pohon-pohon buah yang subur.  Allah gantikan kebun-kebun mereka dengan pohon-pohon Khamt (berduri) dan Athl (berduri besar, berbuah sedikit) serta sedikit buat bidara.  Allah jelaskan bala yang ditimpakan kepada mereka adalah disebabkan oleh kekufuran mereka semata-mata.

Seterusnya Allah jelaskan satu lagi penganiayaan mereka terhadap diri mereka sendiri.  Allah kurniakan kepada mereka kemudahan perjalanan, dalam erti kata kota Saba’ mempunyai perhubungan yang dekat dengan negeri lain yang diberkati Allah, iaitu Mekkah di Tanah Arab dan Baitul Maqdis di Syam.  Menurut tafsir Fi Zilalil Quran, para musafir pada ketika itu keluar dari satu negeri dan akan sampai ke satu negeri lain sebelum gelap.  Manakala menurut Tafsir Ibnu Katsir, para musafir tidak menghadapi masalah bekalan, di mana saja mereka singgah mereka boleh mendapatkan keperluan seperti minuman dan makanan.  Mereka juga boleh berehat siang di daerah yang lain dan malam di daerah yang lain pula.  Ringkasnya, mereka boleh bermusafir dalam keadaan selesa.  Macam kat Malaysia, kalau dari selatan, Johor Bahru nak ke utara, (Perlis), sehari dah boleh sampai sebab ada Lebuhraya Utara Selatan.  Itu pun nikmat Allah yang perlu disyukuri dan dimanfaatkan sebaiknya.

Sayangnya, mereka berdoa, “Ya Rabb,  jauhkanlah jarak perjalanan kami.”  Mereka lebih menyenangi perjalanan yang sukar seperti menempuh padang pasir dan gurun yang panas, kesukaran mendapatkan bekalan minuman dan sebagainya.  Pelik tapi benar kan..ada jugak rupanya manusia macam ni.  Ini sama kes dengan kaum Nabi Musa yang dah dikurniakan Allah makanan berupa manna dan salwa serta makanan, minuman dan pakain mewah; tapi masih lagi tak puas hati.  Mohon pulak pada Allah supaya dikurniakan tanam-tanaman yang ditumbuhkan bumi seperti sayur-sayuran, mentimun, bawang dan kacang.  Mereka ditempelak Allah dengan pertanyaan, “Apakah kamu mengambil sesuatu yang rendah sebagai pengganti yang baik?”  Dah Allah bagi yang terbaik, nak mintak ganti pulak dengan yang relatively of lower standard..apahal lah…

Kata Allah, kaum Saba’ ini menganiaya diri mereka sendiri dengan kekufuran mereka terhadap nikmat yang Allah kurniakan.  “Maka Kami jadikan mereka buah mulut dan Kami hancurkan mereka sehancur-hancurnya.”  Kisah mereka ini dijadikan Allah sebagai sebutan dan rujukan manusia sehingga bila-bila, dengan tercatatnya kisah ini dalam al-quran.  Malah, kisah Saba’ ini telah menjadi pepatah Arab, iaitu “bercerai-berai laksana tangan orang Saba’” untuk menggambarkan penduduk sesebuah negeri yang telah berpecah belah dan kucar-kacir.  Kota Saba’ dihancurkan sehingga tiada lagi keupayaan untuk membangunkannya semula dab penduduknya berpindah ke daerah lain.  Antaranya, puak Ghassan berpindah ke Bushra, puak Aus dan Khazraj berhijrah ke Yatsrib (Madinah) dan Bani Azad berkampung di Suraat.

Seterusnya Allah nyatakan “sesungguhnya pada yang demikian terdapat tanda-tanda bagi orang yang sabar dan bersyukur.”  Allah nyatakan keseluruhan kisah kota Saba’ ini, bermula daripada saat kegemilangannya dengan pertumbuhan sector pertaniannya yang memberangsangkan dan pembangunan empangan yang hebat sehinggalah kepada saat kehancurannya yang bermula dengan kerosakan empangan seterusnya dilanda bencana banjir; semuanya mempunyai pengajaran bagi orang yang sabar apabila ditimpa musibah dan sentiasa bersyukur apabila dikurniakan nikmat. 

Lessons of the Day:
1.       Apa yang Allah anugerahkan adalah untuk dinikmati dan disyukuri, dengan sebutan juga dengan amalan.  Macam kaum Saba’, Allah suruh mereka nikmati rezeki yang dikurniakan dan Allah juga perintahkan mereka supaya bersyukur.
2.       Allah  jelaskan bala yang dtimpakan ke atas kaum Saba’ adalah disebabkan sikap penduduknya yang tidak mensyukuri nikmat Allah dan menzalimi diri sendiri.  Dah Allah bagi kesenangan, lupa diri…enggan sembah Allah, berpaling dari suruhan Allah.  Sedangkan Allah dah tegaskan, Dia Maha Pengampun.  Jadi, mohonlah keampunan dariNya dan bersyukurlah dengan nikmatNya.
3.       Allah berkuasa menukarkan kenikmatan kepada musibah dalam cara apa sekalipun, dengan perancanganNya yang tersendiri.  Macam kisah kota Saba’ ni.  Renung-renung balik, takutnya. Bencana dalam dunia hari ni yang tek henti-henti ni, mungkinkah disebabkan oleh kealpaan manusia mensyukuri nikmatNya yang tak bertepi?    Tengok macamana Aceh berubah menjadi padang jarak padang tekukur dalam sekelip mata.  Lihat bagaimana nasib daerah di Jepun yang dilanda tsunami dan gempa.  Itu bencana fizikal.  Begitu jugak dengan Greece yang dibadai masalah ekonomi. 
4.       Apapun, garis panduan Allah untuk orang Mukmin jelas – kena didik diri supaya sentiasa syukur dan sabar.  Macam sabda Rasulullah S.A.W., “Sungguh menakjubkan perihal orang Mukmin itu.  Tidak ada satu ketentuan yang telah ditetapkan Allah baginya, melainkan hal itu pasti menjadi sebuah kebaikan.  Jika dia mendapat kesenangan, dia pun bersyukur, maka itu baik baginya.  Dan jika dia mendapat kesulitan dia pun bersabar, maka itu baik baginya.  Dan itu semua hanya dimiliki oleh orang Mukmin.”



Saturday, April 9, 2011

Bohong Sunat?

Hari ni saya tersua dengan wasiat Rasulullah S.A.W. kepada Abu Dzar r.a.  Kata Abu Dzar, Baginda Rasulullah telah berpesan kepadanya tentang beberapa hal kebajikan, iaitu:
  • jangan memandang orang yang di atas,  tetapi memandang orang yang di bawah.
  • mencintai dan mendekati orang-orang miskin
  • menyambung silaturrahim walaupun dengan orang yang menolak
  • tidak takut dalam menegakkan perintah Allah dan tidak takut pada cercaan manusia
  • berkata benar walaupun pahit
  • memperbanyakkan "La haula wa la quwwata illa billah...." kerana sesungguhnya bacaan itu merupakan sebuah simpanan dari simpanan kekayaan syurga.
 Lessons of the Day:
1.  Rasullullah pun dah pesan rupanya antara kebaikan adalah dengan selalu melihat ke bawah.  Lihat dan renung orang yang kurang bernasib baik dari kita dalam segala segi - pangkat, harta dan nikmat seperti kesihatan.  Fikir-fikir, kalau melihat mereka barulah kita sedar beruntungnya diri, banyaknya nikmat Allah ke atas diri dan barulah mampu mensyukuri.  Kalau asyik tengok kat atas, tak habis-habislah envy dan admire orang kaya dan orang berpangkat.  Takut asyik nak mengejar apa yang mereka ada, jadi terlalu cinta dunia dan lupa akhirat, lupa dosa serta lupa hisab. Sebab psikologi manusia memang macam tu, sentiasa mendambakan harta material yang lebih baik, lebih elok, lebih mahal. Pengalaman saya sendiri pun, bila tengok Bersamamu di TV3, rasa insaf dengan nikmat yang Allah kurniakan. Tengok macam mana daifnya rumah orang lain, makanan mereka dan kesihatan mereka.  Baru sedar betapa bertuahnya saya.  Tapi bila tengok Astro Channel, rancangan seperti "Teen Cribs" dan yang menunjukkan kemewahan hidup artis barat, rumah mereka, kereta mereka...rasa nak jugak apa yang mereka ada.
2.  Wasiat keempat mengingatkan saya kepada amar makruf, nahi mungkar.  Dalam lain perkataan, kena sentiasa menyeru kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran.  Pada masa yang sama, Baginda Rasul pesan, jangan takut kepada celaan manusia.  Memang susah nak tegakkan suruhan Allah.  Fikir-fikir balik sebabnya takut manusia marah.  Mesyuarat putuskan dinner dimulakan pada jam 7 petang.  Tak siapa yang berani bersuara mintak mula pukul 8 supaya semua pihak boleh solat Maghrib dulu.  Lagi-lagilah yang perempuan sebab nanti kalau dah bersolek cantik-cantik, macamana nak ambil wuduk?  Takut nak bersuara dah tentu sebab takut Boss marah walaupun Boss pun Islam jugak...
3.  Bercakap benar pun satu kebaikan yang dituntut dalam wasiat Rasulullah.  Dalam masyarakat Melayu, betapa berleluasanya amalan tak bercakap benar ni sampai wujud istilah "bohong sunat".  Macam wujud satu kebenaran untuk bercakap bohong pulak walaupun Rasullullah dah kata tak boleh.  Ada lagi hadis yang kata cakap bohong ni sifat munafik.  Malah Rasulullah kata, kalau keadaan betul-betul tak mengizinkan kita bercakap benar, lebih baik diam daripada berdusta.  Saya teringat hubby pernah cerita, dia pernah dengar satu ceramah.  Ustaz kata, bohong dibenarkan dalam keadaan tertentu.  Contohnya, kalau isteri tanya, "Bang, sedap tak saya masak hari ni?".  Kalau jawab tak sedap nanti, takut mogok tak masak lagi.  Jadi, kata ustaz, boleh jawab "sedap Yang...", sambil menggelengkan kepala.  Saya tak tahu betul ker boleh....Rasulullah kata, kalau pahit pun kena cakap benar.  Lagipun, logik la sikit, kalau tak sedap, cakap aja tak sedap.  Lain kali tak buat lagi.  Ini kalau dah tipu, tak sedap tapi kata sedap, isteri ingat betul sedap, standard masakan dia pun setakat tu aja lah.  Bak lirik lagu Yusry KRU, "andai tersalah arah, berikan ku tanda, agar kau terima yang sebaiknya..."  Rasulullah S.A.W. pun bila masakan isteri masin, dia suapkan ke dalam mulut isterinya supaya isterinya tahu macam mana rasa masakan tuh...
4.  Bila baca wasiat yang terakhir, teringat saya pada Ustaz Ismail Kamus.  Dari kuliah ustazlah saya tahu yang kalimah ini merupakan perbendaharaan syurga.  Semoga saya mampu menjadikan kalimah ini sebagai zikir harian saya secara istiqamah,,,Amin.

Kuliah Prof Abe

Hari Jumaat tiba lagi.  Hebatnya hari Jumaat ni, selain daripada diiktiraf Islam sebagai penghulu segala hari, orang putih buat satu restoran abadikan keistimewaan Jumaat…TGI Friday (Thank God it is Friday).  Warga kerja macam saya lagilah suka hari Jumaat sebab esok cuti.  Dari university lagi budaya suka hari Jumaat ni dah tumbuh subur…siswa-siswi universiti memang tak nak kuliah atau tutorial hari Jumaat.  Secara rasmi, Jumaat tu hari cuti untuk mereka.

Kunci bilik pejabat saya ditukar sebab ada cubaan menceroboh.   Yang menakutkan, kata saksi kejadian, penceroboh tu ada kunci bilik.  Memandangkan tak ada barang yang hilang, yalah, saya pun bukan simpan apa-apa barang berharga dalam bilik pejabat, hipotesis dari fakulti, students nak dapatkan soalan final.  Tah apa-apa students hari ni, dua semester lepas ada cubaan membakar bangunan peperiksaan dengan harapan universiti akan tangguhkan peperiksaan akhir.  Daring betul... dulu zaman belajar, saya dan kawan-kawan pun takut jugak dengan final exam.  Apa lagi asas penilaian UM masa tu, 100% peperiksaan akhir.  Kalau tak boleh buat final, memang gone.  Tapi tak lah sampai nak pecah bilik lecturer cari soalan.  Rasa macam nak tukar soalan dan buat soalan yang  susah aja.
Apapun, pagi tadi ada kuliah di Fakulti, disampaikan oleh Professor Abe dari Jepun.  Saya sangat bersyukur sebab Allah beri saya kekuatan dan peluang untuk menghadiri kuliah tu. Professor Abe seorang sarjana ekonomi yang sangat berpengalaman dan sangat arif.  Tabik spring saya dengan analisis yang beliau buat serta kaedah penyampaian kuliahnya.  Isu yang dibincangkan adalah isu polisi.  Prof Abe mengkritik dasar pembangunan berasaskan eksport yang diamalkan oleh negara Jepun.  Kata beliau, Jepun menghadapi masalah pertumbuhan ekonomi yang suram kini sebab kerajaan Jepun terus bersandar kepada strategi pembangunan berasaskan eksport.  Asas perbahasannya, kesungguhan untuk meningkatkan eksport mengakibatkan Jepun berusaha mengekang sepenuhnya kos pengeluaran.  Ini termasuklah kepada mengekalkan paras upah ke tahap yang rendah.  Jadi, upah yang rendah menyebabkan penggunaan dalam ekonomi Jepun juga terhad.  Sedangkan, eksport hanya menyumbang kepada 10% daripada GDP Jepun.  Dengan polisi ini, kerajaan mengabaikan sektor lain yang lebih penting seperti sektor perkhidmatan.
Cara penyampaiannya – Prof Abe menerangkan hujahnya lengkap dengan teori dan contoh, tetapi dalam cara yang mudah difahami.  Siap diselitkan dengan jenaka ringan.  Walaupun isu yang dibincangkan agak berat dan mengambil masa lebih kurang sejam, tetapi saya trasa macam sekejap sangat.    Malah, saya rasa kecewa bila pengerusi menghulurkan nota pendek memberitahu Prof Abe masa hampir tamat.
Prof Abe menggabungjalinkan faktor sejarah dan politik dalam menceritakan pembentukan polisi ekonomi Jepun.  Ini satu aspek yang sering dilupakan atau jarang dilakukan oleh sarjana ekonomi yang relative “baru”.  Prof Jomo KS adalah antara ahli ekonomi yang mampu melakukan analisis sebegini bila membincangkan isu ekonomi.  Saya benar-benar kagum dengan keupayaan mereka membincangkan ekonomi dalam gambaran yang menyeluruh, bukan ekonomi sebagai satu isu yang berasingan daripada perkembangan lainnya khususnya politik dan sejarah.  Sebab sudah tentu polisi ekonomi digubal berdasarkan perkembangan semasa.
Yang amat saya kagumi, kejujuran Prof Abe.  Bila bercerita tentang keadaan ekonomi Jepun, dengan terbuka dia menjelaskan sebenarnya pertumbuhan ekonomi Jepun adalah suram sejak sebelum gempa dan tsunami lagi.  Terfikir saya, selain dari Professor Jomo KS dulu, ada tak lagi sarjana ekonomi negara yang jujur macam tu dalam memperkatakan tentang pertumbuhan atau masalah ekonomi negara.
Tesis Prof Abe, kesuraman ekonomi Jepun adalah disebabkan oleh kesalahan polisi kerajaan, mengundang persoalan daripada professor-profesor ekonomi negara – Prof Tan Eu Chye dan Prof Norma Mansur.  Kedua-duanya orang MTEN.  Itukah saja faktor kesuraman ekonomi?  Macamana dengan faktor-faktor lain.  Pun dengan jujur Prof Abe menjawab, masalah politik dan pentadbiran selain masalah deficit belanjawan yang terlalu besar.  Pentadbiran kerajaan Jepun sekarang lemah, banyak masalah seperti kroni dan sebagainya.  Jentera pentadbiran tidak effisen.  Pada masa yang sama, kejayaan Jepun masa lalu mengaburi pandangan pembuat polisi.  Kerajaan Jepun tidak teragak-agak meningkatkan deficit dengan harapan ia mampu menjana pertumbuhan ekonomi seterusnya, jadi pendapatan cukai akan meningkat untuk digunakan bagi mengatasi deficit tadi.  Apabila perbelanjaan kerajaan gagal menjana pertumbuhan sebagaimana yang diharapkan, negara menghadapi masalah.  Kalau dilihat dalam konteks negara Malaysia hari ni, emm…macam sama dengan pengalaman Jepun.  Mungkinkah kita pun akan menghadapi masalah macam Jepun, prospek pertumbuhan ekonomi yang suram kalau kita tidak segera menangani masalah ketidakcekapan pentadbiran negara dan belanjawan deficit sekarang?
Satu soalan lagi datangnya daripada salah seorang pegawai Kementerian Perdagangan Antarabangsa, kalau tak silap saya.  Pendapat Prof Abe tentang prospek ekonomi negara sepuluh tahun lagi.  Kata Prof Abe, Malaysia juga bergantung kepada strategi pertumbuhan berasaskan eksport.  Masalahnya, eksport Malaysia bergantung lagi kepada syarikat multinasional.  Syarikat-syarikat ini beroperasi berasaskan kepada pertimbangan kos semata-mata.  Bila ada lokasi lain mampu menawarkan sumber dengan kos yang lebih rendah, mereka akan memindahkan operasi.  Ini merupakan fenomena semasa.  Jadi, kedudukan ekonomi Malaysia agak terancam.  Untuk mengekalkan pertumbuhan, Malaysia perlu mengorak langkah mencari atau membangunkan bidang-bidang yang unik dan tersendiri yang mampu menjana pendapatan negara yang stabil.

Lessons of the Day:

1.  Rasulullah S.A.W. pesan kena sentiasa menuntut ilmu.  Sampai ke liang lahad, sampai ke negeri China.  Jadi, saya kena selalu menghadiri kuliah-kuliah professor ternama, belajar cara penyampaian kuliah yang menarik, informatif dan tak membosankan.  Lebih penting, kena belajar cara mereka menganalisis. Keupayaan mereka melihat sesuatu isu mengkagumkan saya...saya tak pernah terfikir pun macam tu. Kelebihan yang Allah anugerahkan untuk mereka....
2.  Soalan exam jangan simpan dalam komputer kat pejabat,  saya ingat pejabat saya selamat dan students semua baik-baik belaka.  Tak sangka pulak nak jadi macam ni..sepatutnya lepas serahkan ke pejabat, delete semua dokumen berkaitan.

Friday, April 8, 2011

Bila-bila Pun Kena Bersyukur….

Saya teringat pada sebuah puisi Inggeris  semasa baca status Dr Lo’lo tentang say thank you Allah, tapi tak ada masa nak tinggalkan coretan di blog.  Jadual minggu ni agak padat.
Puisi “Be Thankful” ini cukup indah pada saya.  Menginspirasikan bagaimana untuk menterjemahkan kesukaran atau kesulitan kepada satu anugerah.  Macam kata bijakpandai, nilai segala perkara yang berlaku dalam hidup kita berfungsikan kepada bagaimana kita melihat atau mentafsirkannya.  Atau lebih tepat lagi, macam bicara Allah dalam Surah al-Insyirah…”setiap kesulitan itu ada kemudahan.”  Dan ayat yang sama diulang dua kali untuk menekankan kepentingannya oleh manusia.
Terjemahan puisi:

Bersyukurlah jika belum memiliki segala yang diingini;
Kerana jika semuanya telah dimiliki, apa lagi sandaran dan harapan hidup ini..

Bersyukurlah bila ada persoalan yang belum difahami,
Kerana ia membuka ruang untuk mempelajari.

Bersyukurlah saat menghadapi kesukaran,
Kerana pengalaman itu akan mematangkan.

Bersyukurlah dengan kekurangan yang ada,
Kerana ia menyediakan peluang untuk penambahbaikan.

Bersyukurlah pada setiap cabaran yang didatangkan,
Kerana ia mampu membina ketinggian akal budi dan kekuatan.


Bersyukurlah dengan kekhilafan yang pernah dilakukan,
Kerana darinya timbul pengajaran dan keinsafan.

Bersyukurlah saat-saat lemah dan letih dirasa,
Kerana itu petunjuk diri menyumbang kepada perubahan bermakna.

Sesungguhnya bersyukur adalah mudah
bila yang didatangkan
adalah limpahan kebaikan dan kenikmatan
Namun kehidupan yang lebih cerah
Dan keinsafan yang lebih indah
hanya dinikmati oleh yang mampu menghargai saat-saat jerih dan payah

Belajarlah mensyukuri…
Sesungguhnya kepuasan hidup dikecapi
bila sentiasa mampu mensyukuri
Kerana kesyukuran berupaya menterjemah
Yang susah kepada indah
Musibah kepada anugerah.

Lessons of the Day:
1.   Ini amalan yang sesungguhnya easier said than done.  Bersyukur di saat susah dan payah.  Bersyukur di saat diuji dengan kesukaran dan keperitan.  Lumrah manusia, bila yang dianugerahkan adalah nikmat, senang mengucapkan syukur.  Saat Allah anugerahkan kejayaan, harta yang melimpah, kasih sayang dan segalanya yang menggembirakan.  Kesenangan pun sebenarnya ujian, tapi tu ujian implicit.  Ujian yang hanya mampu diinsafi dengan mata hati.
2.   Namun yang benar-benar menjadi ukuran keperibadian seseorang insan adalah saat diuji dengan kesusahan.  Setakat mana masih mampu melempar senyuman bila dilemparkan kejian.  Sejauh mana masih mampu melafazkan kesyukuran saat ditimpa kesakitan…teringat pulak saya pada salah satu pesan yang saya peroleh dari buku Imam al-Ghazali, bila sakit Allah janjikan ganjaran yang amat besar untuk mereka yang ucapkan “Alhamdulillah” ketika sakit.  Islam pun didik supaya bersyukur dengan kesakitan.
3.   Pesanan untuk diri, kena belajar mensyukuri segalanya yang dikurnia Ilahi; baik nikmat atau musibah; baik kesenangan atau kesukaran; baik keindahan atau keburukan.   Sebab Allah dah janji di sebalik kesusahan ada kesenangan.  Dan ini bergantung kepada sejauh mana mata hati mampu melihat segala kesusahan dan kepayahan yang datang, secara positif.  Paling tidak, mengenang ganjaran pahala yang Allah janjikan untuk kesabaran menempuh kesakitan atau keperitan.  Bukan senang nak jadi macam Saidina Ali R.A., kalau dalam sehari tak diuji dengan kesusahan, dah sedih sangat sebab takut Allah dah tak sayang pada Baginda.  Padahal, dah pun dijamin syurga.
4.   Selain membandingkan diri dengan orang lain yang lebih susah, saat ditimpa kesusahan, kaedah alternative untuk mendidik diri agar  tetap bersyukur kepada Ilahi Rabbi adalah dengan cuba meneliti hikmah yang terselindung di sebalik dugaan tu.  Macam kata pepatah mat saleh, there is silver lining behind every cloud.  Semoga ingatan ini mampu saya laksanakan sekiranya ditakdirkan menghadapi sebarang kesukaran atau kesusahan.  Amin.