Wednesday, March 30, 2011

If You Have Money and You are Not Happy....

Sedang mencari-cari bahan yang berkaitan dengan penyelidikan, saya tersua dengan makalah, “If You Have Money and You are Not Happy, Consider Time.”  Makalah dalam jurnal ISI tuh…jangan main-main.  Satu daripada makalah yang berkaitan dengan antara bidang kajian ekonomi semasa: mencari ukuran alternative terbaik untuk kebahagiaan dan kemajuan.  Makalah ini menumpukan kepada aspek mikro, kalau kaya dengan duit dan harta tapi masih tak bahagia, cuba lihat pulak cara kita gunakan masa. Dah sekian lama memperhambakan diri pada wang ringgit, baru dia orang nak sedar yang wang bukan penentu kebahagiaan.  Baru sibuk nak cari alternative lain yang boleh membawa kebahagiaan dan ketenangan fikiran.  Teringat saya pada kata-kata generasi Y sekarang, money is not everything, but everything needs money.

 Kalau peringkat makro, sarjana ekonomi cuba mencari alternative kepada GDP atau KDNK sebagai petunjuk mutlak kemajuan.  Setelah sekian lama berkiblatkan kepada GDP, sekarang baru dunia tersedar nilai monetari keluaran barangan dan perkhidmatan sesebuah negara gagal memberikan tanda aras kepada tahap pembangunan sebuah negara.  Apa maknanya negara kaya kalau kadar pencemaran pun tinggi.  Apa ertinya negara maju kalau indeks rasuah dan korupsi pun sama “maju”nya.  Apa gunanya negara kaya kalau indeks gini yang mengukur keseimbangan agihan pendapatan negara menunjukkan jurang antara yang kaya dan miskin semakin melebar.  Salah satu kesibukan penyelidik ekonomi pembangunan hari ni, cari ukuran yang lebih tepat untuk menghakimi tahap pembangunan sesebuah negara.

Berbalik kepada artikel tadi, penulis menggariskan lima prinsip utama penggunaan masa yang boleh meningkatkan tahap kebahagiaan atau macam orang putih kata, happiness. Dalam bahasa orang putihnya, bahasa ibunda orang yang buat makalah ni - time-spending happiness principles:
·         spend time with the right activities;
·         spend time with the right people;
·         expand your time;
·          enjoy the time without spending time and
·          realize that happiness vary over time. 

 Prinsip 1, 2 dan 5 tu saya faham.  Prinsip 3 dan 4 tu saya baca huraiannya sebab saya nak tahu apa yang dimaksudkan oleh penulis.  Expand your time tu rupanya bermaksud cuba buat aktiviti yang memberikan kepuasan seperti membantu orang yang memerlukan walaupun dalam keadaan kita betul-betul sibuk sebab dengan cara tu, masa kita akan terasa lebih bermakna.  Lebih kurang macam dalam kesibukan kita dapat selitkan satu amal kebaikan.  Jadi, walaupun stok masa kita sama, tapi nilai masa kita bertambah.  Enjoy the time without spending time pulak rupanya merujuk kepada layan angan-angan sekali sekala.  Suka membeli-belah tapi tak ada wang sebanyak tu nak membeli-belah, benarkanlah diri menikmati “window-shopping”.  Nak pergi melancong tapi tak mampu, benarkan diri berkhayal seketika dengan merancang pelancongan tu.  Ini menurut artikel tu sebab mengikut kajian dalam bidang nuerosains, bahagian otak yang bertanggungjawab merasa nikmat keseronokan dah teransang dengan memikirkan sahaja, tak perlu menikmati.  Err..saya tak mahir bidang otak ni, jadi saya tak ada komen.

Tapi yang menarik perhatian saya adalah pemilihan faktor masa dan penggunaan masa untuk mencapai kebahagiaan.  Uniknya masa ni adalah kalau direnungkan semua faktor Allah kurniakan kepada manusia berbeza-beza: harta: ada yang sangat kaya, kaya, miskin.  Rupa paras: ada yang sangat cantik, cantik, sederhana.  Pangkat: ada yang sangat tinggi pangkatnya – ketua negara, ada yang jadi first lady, ada yang jadi ketua kampung, ada yang jadi ketua cawangan dan ramai pulak yang hanya boleh ahli biasa.  Tapi siapa pun manusia – kaya ker, miskin ker, cantik ker tidak, handsome ker tak, first lady atau tak, raja atau rakyat jelata, semuanya mempunyai masa yang sama, 24 jam sehari semalam.  Tak lebih, tak kurang. Bill Gates pun ada 24 jam sehari, Gaddafi pun ada 24 jam sehari.  Datuk T ke Datuk K ke, semua cuma ada 24 jam sehari.

Betapa Allah Maha Adil.  Dalam Surah al-Asr, Allah bersumpah, rugi atau tidak manusia bukan sebab dia orang kurang atau lebih dari aspek harta benda, pangkat dan sebagainya tapi manusia rugi atau untung bergantung kepada keupayaan mereka menggunakan masa.  Manusia yang untung adalah yang berupaya memenuhi masa dengan amal soleh, berpesan dengan kebenaran dan berpesan dengan kesabaran.  Bagaimanapun kurniaan Allah dari segi harta dan pangkat tak jadi hal, yang paling penting adalah bagaimana manusia memanfaatkan masa 24 jam sehari yang dikurniakan adil dan saksama kepada semua hambaNya.

Bila saya teliti prinsip yang disarankan oleh penulis, juga sangat konsisten dengan ajaran Islam.  Kenapa orang bukan Islam yang menulis makalah ini? Nilah peranan dan kepentingan berfikir kan.  Saya sendiri pun tak pernah terfikir dalam konteks ini.  Dan dalam konteks, happiness yang dicari juga adalah happiness hakiki, kebahagiaan dunia dan akhirat.

 Saya tertarik dengan prinsip pertama dan kedua, spend time with the right activities and the right people.  Perhatikan penggunaan perkataan “right” bukan “best”.  Sebab “best” mungkin merujuk kepada aktiviti yang kita suka atau orang yang kita suka.  Sedangkan “right” maksudnya orang dan aktiviti yang tepat, yang membawa kebaikan dan faedah.  Kan dalam quran, Allah dah kata, kadang-kadang kita sukakan sesuatu tapi perkara tu amat buruk untuk kita dan kadang-kadang kita bencikan sesuatu tapi ia amat baik untuk kita.  Contoh lebih mudah, mungkin ada orang tak suka solat tapi kena luangkan masa untuk solat sebab Allah suruh.  Jadi, solat tu antara the “right” activity.  Macam tu jugak dengan hakikat nak jadi bijaksana (bijak di akhirat sana), kenalah isi masa dengan the right activity – banyakkan mengumpul bekalan akhirat.

Enjoy time without spending time – kalau orang putih tu cakap, angan-anganlah.  Penulis guna istilah “daydreaming”.  Kalau dalam Islam, panjang angan-angan tak baik.  Tapi boleh applikasikan dalam konteks lain.  Isi masa dengan ibadah secara tak langsung.  Contoh, niatkan segala amalan kerana Allah, walaupun amalan rutin seperti makan dan tidur.  Untuk memelihara kesihatan supaya dapat beribadah kepada Allah.  Insya Allah, dapat dua dalam satu – nikmat dunia dan ganjaran akhirat.  Demikian jugak dengan didik hati supaya sentiasa berzikir sambil berjalan, sambil memandu.  Sama jugak dengan niatkan lakukan sesuatu sebab nak ikut sunnah Rasulullah – contoh mudah, pakai kasut dahulukan kaki kanan.  Kan Allah janjikan ganjaran pahala bila sesuatu perbuatan diasaskan sebagai mematuhi sunnah RasulNya.   Indahnya kalau saya mampu amalkan….semoga Allah beri saya kekuatan.  Amin.

Prinsip seterusnya, expand your time – tambahkan nilai masa yang ada.  Stok masa setiap orang 24 jam tapi nilainya tak sama.  Orang yang pandai isi masa dengan aktiviti terpilih, nilai masanya akan meningkat.  Banyak jugak contoh dalam Islam.   Misalnya, solat Isya berjemaah dijanjikan pahala macam beribadah sepanjang malam.  Kan dah tambah nilai masa, masa tidur pun, insya Allah, ganjaran berjalan.  Puasa 6 hari dalam bulan Syawal dijanjikan ganjaran seumpama puasa sepanjang tahun.  Isteri yang menyediakan segelas minuman untuk suami dijanjikan ganjaran ibarat puasa setahun.  Teringat cerita hubby dari salah satu usrah yang dihadiri, ustaz tu kata, panjang mana usia kita tak penting.  Yang lebih penting bagaimana kita berupaya mengisi usia yang dikurniakan Allah dengan amalan yang memberikan ganjaran berterusan seperti sedekah jariah, mendidik anak-anak soleh yang akan mengirim doa serta mengajar ilmu pengetahuan yang bermanfaat.  Dengan amal-amal ini, insya Allah, tercapailah expand your time sebab walaupun jasad dikandung tanah, tapi ganjarannya mengalir berterusan.

Prinsip terakhir – kena menyedari hakikat kebahagiaan berubah menerusi masa.  Sebab dunia serta isinya semuanya bersifat dinamik, berubah-ubah.  Manusia berubah dari muda kepada tua.  Keadaan kesihatan manusia boleh berubah dalam sekelip mata.  Kesibukan manusia berubah-ubah, hari ni lapang, esok boleh jadi amat sibuk.  Yang ini pun, dah siap terkandung dalam pesan Rasulullah S.A.W., “Ingatlah lima perkara sebelum lima perkara – hidup sebelum mati, sihat sebelum sakit, kaya sebelum miskin, muda sebelum tua dan masa lapang sebelum masa sibuk.”  Bila sedar hakikat yang dunia ini dinamik, maka kita akan menyelaraskan tindakan kita supaya memaksimumkan masa yang ada.  Buat habis baik. Pesanan untuk diri sendiri,  kalau waktu kaya, bersedekahlah setakat mampu. Bila Allah kurniakan waktu lapang, selitkanlah dengan the right activities – apa-apa ibadah yang bermanfaat dunia dan akhirat, sementara masih hidup – taubatlah dan buatlah kebajikan sebanyak mungkin sebab nak mati tak tahu bila.  Lengkap dan menyeluruhnya Islam sebagai satu panduan hidup.  Tinggal kita aja yang nak belajar atau tak nak, nak ikut atau tak nak.

Mampu tak agaknya untuk saya hasilkan pulak makalah, "Time-Spending Happiness Principles: An Islamic Perspective."  

Tuesday, March 29, 2011

Bila "Things To Do...." Panjang Berjela


Saya telah pun menghabiskan sessi kuliah dan tutorial untuk kursus-kursus saya.  Sekarang giliran pensyarah bahagian kedua.  Sebelum ini, fikir saya, nanti bila kelas dah habis, bolehlah saya tumpukan kepada agenda penyelidikan dan penerbitan.  Sebab, nak menyelidik dan membuat penerbitan, kena lakukan pembacaan yang banyak terlebih dahulu.  Alih-alih, banyaklah pulak kerja yang ada, yang dah sedia ada dan yang datang tak diundang.  Betullah…kelapangan pun nikmat Allah.  Tak boleh terlalu yakin akan adanya masa lapang pada hari esok sebab kita tak tahu untuk apa kita perlu peruntukkan masa tu.  Kita mampu merancang tapi Allah Maha Merancang dan Maha Menentukan.  Kadang-kadang, perancangan Allah tak seiring dengan apa yang kita inginkan.  Sebab Allah lebih Mengetahui apa yang terbaik untuk kita.  Kalau tak pernah sibuk, mana nak tahu nikmat lapang.  Kalau tak pernah sibuk, mana nak datang ketekunan dalam menjalankan tugas.  Kalau tak pernah sibuk, mana nak tahu hargai masa.

Saat-saat macam ni, yang memberikan kekuatan dan kesabaran adalah ingatan pada bait-bait ayat dalam al-Quran, Surah an-Insyirah, ayat 7 dan 8.  Maksudnya, “Maka apabila kamu telah selesai melakukan sesuatu urusan, kerjakanlah dengan bersungguh-sungguh urusan yang lain.  Dan hanya kepada RabbMulah hendaknya kamu berharap.”

Kata rakan sekerja saya dalam salah satu sessi usrah, bila kerja banyak dan stress, ingatlah Allah dah pesan, buatlah satu persatu ikut yang termampu.  Selesaikan satu, kemudian buat yang satu lagi dengan bersungguh-sungguh.   Selebihnya, serahkanlah kepada Allah.   Kalau ikut Tafsir Ibnu Katsir, ayat ni bermaksud, bila dah selesai urusan dunia dan segala kesibukan, lakukanlah ibadah kepada Allah dengan penuh semangat dan hati yang tulus kerana Allah.  Sibuk macamana pun dengan urusan dunia yang dah tentunya tak akan selesai, mesti peruntukkan waktu untuk menunaikan hak Allah.  Ingatan kepada pesanan ini amat menenangkan.  Tak macam satu  office quote yang pernah saya jumpa, “When there is so many things to do, nothing gets done.”

Kebetulan, semalam adik saya poskan kata-kata ini kat status FBnya, "Jangan down...sebab tidak semua masalah itu mampu diselesaikan.  Adakalanya kita cuma perlu buat separuh jalan kerana lagi separuh tu Allah yang akan selesaikan." Hidup jadi mudah lagi indah dengan tawakkal dan menyerah kepada Ilahi Rabbi, yang Maha Mencipta dan Maha Menguasai.  Subhana Allah...

Lessons of the Day:
1.      Rasullullah S.A.W. pun pesan, ingatlah, kewajipan lebih banyak dari masa yang ada.  Dan Allah yang Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana dah menggariskan blue print dalam Surah al-Insyirah kaedah nak menangani kewajipan yang Dia pertanggungjawabkan dalam hidup seorang insan.  Allah jelaskan bagaimana setiap satu kesulitan ada hikmahnya, sama ada kita sedar atau tidak.  Mampu lihat dan tafsirkan hikmah yang tersurat tu atau sebaliknya.  Tapi bila Allah dah kata ada, kena yakinlah ada.
2.       Kaedahnya, buatlah satu persatu urusan dunia.  Teringat pada satu kata pepatah nenek moyang orang putih, “We cannot do all the things at one time, but we can do something at one time.”  Susunlah ikut keutamaan.  Lepas habis satu, buat yang lain pulak dengan bersungguh-sungguh.  Yang jauh lebih penting, kena menyerah dan bertawakal kepada Allah.  Yakin segala kekuatan dan keupayaan untuk menyelesaikan urusan adalah dengan izin dan kurnia Allah semata-mata.  Usaha bersungguh-sungguh untuk selesaikan setakat yang terdaya, selebihnya serahkan dan tawakkallah kepada Allah S.W.T.  Ringkasnya, do your best, let Allah do the rest.  Saya amat suka dan yakin dengan pepatah tu.
3.       Ingatan untuk diri, sibuk macamana pun dengan urusan keduniaan, kena luangkan masa untuk Ilahi Rabbi sebab Dialah Rabb kita.  Hakikatnya, jangankan masa, tapi semuanya, kaki, tangan, keringat, akal dan kudrat segalanya milik dan kurniaanNya.  Selayaknyalah diri memperuntukkan masa untuk menunaikan hakNya dengan bersungguh-sungguh selain urusan duniawi. 
Teringat pada status FB seorang kawan, “Start doing what is Necessary....then do what is Possible...n suddenly you are doing the Impossible!”

Sunday, March 27, 2011

Bijak atau Bijaksana?

Sebenarnya hari ni saya sedang cuba memahami apa yang Allah sampaikan menerusi Surah al-Takasur. Surahnya pendek tetapi padat. Dalam untaian ayat yang ringkas, Allah utuskan mesej yang amat bermakna dan amat berguna sebagai panduan melayari hidup di dunia yang sesungguhnya sementara. Allah, Pencipta dan Pemilik seluruh alam, yang amat Mengetahui lagi Maha Bijaksana menjelaskan sifat manusia yang hidupnya suka bermegah-megah dengan harta dunia: rumah mewah, kereta besar, pakaian indah, permata bernilai juga anak-anak yang bijak, kaya dan hebat. Kesibukan mengejar segala harta kemegahan dunia menyebabkan hamba Allah menjadi lalai dalam mencari bekalan untuk penghidupan akhirat yang kekal abadi. Manusia akan terus berkelakuan seperti ini sehinggalah sampainya waktu dan tibanya masa mereka memasuki alam kubur.

Setelah menjelaskan cara hidup manusia yang suka menyibukkan diri dengan memburu kesenangan dunia yang tidak kekal lama, dan meringkaskannya sebagai lalai, Allah pesan supaya jangan berlaku sedemikian. Allah mengulangi dua kali, untuk menunjukkan kepentingan arahan ini. Perlunya diberikan penekanan dan perhatian. Kalau untuk siswa siswi, bila pensyarah ulang banyak-banyak kali, kan memberi implikasi tajuk tu penting, berpotensi besar untuk muncul dalam kertas soalan final.  Jangan biarkan hidup dikuasai atau dipandu oleh keinginan untuk meraih kemewahan dan kemegahan dunia. Dalam erti kata lain, objektif hidup mestilah untuk kesenangan akhirat. Bila objektifnya dah betul, barulah amalan terarah ke jalan yang benar.

Bila merenung ayat ni, takutnya saya. Apa objektif hidup saya selama ini? Setakat mana persediaan saya untuk akhirat? Amalan saya setakat mana yang saya lakukan dengan niat kerana Allah dan bukan untuk memenuhi cita-cita meraih kemewahan dan kemegahan dunia? Takkan saya nak tunggu sampai masuk dalam kubur baru nak sedar?

Allah pesan supaya menghindari cara hidup yang lalai dengan bermegah dengan harta dunia sekiranya yakin dengan bicara Allah, yakin dengan wujudnya neraka Jahim yang Allah sediakan sebagai hukuman untuk orang yang lalai terhadap perintah Allah dalam ayat ni. Yakin ertinya seakan dapat merasai azab kepanasan api neraka? Seterusnya, Allah jelaskan neraka jahim ini pasti akan disaksikan dengan mata kepala sendiri selepas mati. Ya Allah, bila saya hayati ayat ini, terfikir pulak saya, seyakin mana saya dengan kewujudan azab neraka ni?

Allah jelaskan seterusnya segala nikmat yang Allah kurniakan di dunia, yang menjadi kemegahan manusia sebenarnya akan dihisab oleh Allah. Akan ditanya Ilahi Rabbi...bagaimana nikmat diperoleh dan bagaimana nikmat digunakan? Diperoleh secara halal atau sebaliknya? Digunakan menurut apa yang Allah gariskan? Atau diperoleh secara halal tetapi dibelanjakan ke jalan yang haram?

Nikmat apa yang akan dihisab? 
Menurut hadis baginda Rasulullah S.A.W., ketika baginda ditanya oleh sahabatnya tentang nikmat yang akan disoal, sabda Rasulullah S.A.W., "tempat berteduh yang anda jadikan rumah, pokok-pokok dan khemah yang meneduhi anda daripada panas dan sejuk serta air yang sejuk ketika hari yang panas."
Manakala dalam satu hadis lain, Rasulullah S.A.W. bersabda, "tidak berganjak kedua tapak kaki seorang hamba pada hari akhirat kelak sehingga habis disoal siasat berkaitan empat perkara, umurnya di manakah dihabiskan, masa remajanya di manakah dicurahkan, tentang hartanya di manakah dicari dan ke manakah dibelanjakannya serta ilmunya, apakah yang telah diperbuat dengannya?"
Teringat dekat Ustaz Ismail Kamus, ustaz suka tanya, "apa macam? Boleh jawab?" 

Allah dah ingatkan siang-siang dalam surah ni, ironi hidup manusia.  Megah dengan nikmat Allah di dunia yang sementara.  Leka memburu nikmat Allah di dunia.  Sedangkan nikmat inilah kelak yang akan ditanya.  Dahlah nikmat ini berupaya melekakan manusia daripada tujuan hidup yang hakiki, akan diadili dan diperinci pulak di akhirat yang kekal abadi.  Tapi nikmat tulah pulak yang dijadikan sumber inspirasi hidup ini. 

Sedangkan, nikmat yang selalu dipandang ringan pun mampu melalaikan, sebagaimana sabda Rasulullah, "dua nikmat yang sering membuatkan manusia terpedaya dengannya adalah kesihatan dan kelapangan."

Betullah kan...nikmat sihat dan kelapangan sering melalaikan saya. Allah kurniakan sihat, bukan nak ibadat betul-betul seperti banyakkan solat sunat, banyakkan berpuasa sunat. Allah bagi masa terluang, bukan nak guna untuk mendalami bicaranya dalam Al-quran atau mendalami pesan-pesan Baginda Rasulullah. Boleh sibuk dengan baca novel Mills n Boonslah, layari blog resepilah, FB lah.. Ya Allah....jauhnya menyimpang daripada apa yang Allah arahkan walaupun kerapkali tahu pesan Rasulullah, ingatlah, kewajipan lebih banyak daripada waktu yang ada.

Bila merenung surah ni, saya teringat kata rakan sekerja, dalam satu sessi usrah yang dia ikuti, ustaz penceramah kata, hidup di dunia ni kena bijaksana. Bijak saja tak cukup. Beza bijak dan bijaksana? Bijaksana maksudnya bijak di sana...di akhirat. Jadi, hidup disusunatur dalam cara untuk mencari kesenangan di sana: ingat mati selalu, buat apa yang Allah suruh, jauhi apa yang Allah larang, amalkan sunnah Rasul setakat yang mampu. Juga amar makruf, nahi mungkar. Kalau bijak setakat dunia aja tak guna sebab macam cerita dalam Surah Takasur ni, takat sibuk kejar kemewahan dunia saja. Sampai kat dalam kubur baru tahu langit tinggi rendah. Masa tu dah tak sempat nak buat apa-apa lagi. It is too late, kata orang putih. There is no such thing as better late than never lagi dah.  Nenek moyang orang Melayu kata, nasi dah menjadi bubur.  Kan tak guna jadinya kalau sekadar bijak tapi tak bijaksana.

Saturday, March 26, 2011

Amar Ma’ruf, Nahi Mungkar



Hari ni, tajuk usrah fakulti dan topik khutbah jumaat sama: amar ma’ruf, nahi mungkar.  Kebetulan, pembacaan saya, Di balik Ketajaman Mata Hati pun sampai kepada tajuk yang sama.  Sebetulnya, saya amat bimbang bila diingatkan tentang satu-satu perkara berulang-ulang kali. Saya takut antara sebab disusun sedemikian adalah untuk menguji setakat mana saya mampu jadikan ingatan tu amalan dalam melayari kehidupan seharian. 

Sabda Baginda Rasul, “Barangsiapa dari kamu sekelian melihat kemungkaran, maka hendaklah merubahnya dengan tangannya.  Kalau tak mampu, hendaklah dengan lisannya.  Dan kalau tidak mampu hendaklah dengan hatinya.”

Berat sebenarnya tanggungjawab ini, dan mengikut huraian dalam buku Hadis 40 tu, paling tidak pun, wajib untuk seorang Muslim membenci satu amal kejahatan dalam hatinya.  Mengakui perbuatan mungkar itu salah dan tidak diredhai Allah. 

Ganjaran yang Allah janjikan untuk mereka yang menyeru kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran ni amat besar.
Nabi Musa A.S. berkata, “Ya Tuhanku, apakah balasan bagi orang yang memanggil saudaranya, memerintahkan kepada kebaikan dan mencegahnya dari kemungkaran?”  Firman Allah, “Dengan setiap kalimat Aku menulis untuknya ibadah setahun dan aku malu untuk menyiksanya dengan api nerakaKu.”
Dalam sabda Rasulullah kepada Abu Bakar, Baginda menyatakan, “Hai Abu Bakar, Sesunguhnya Allah memiliki hambaNya yang berjihad di muka bumi yang lebih utama daripada syuhada., hidup, diberi rezeki dan berjalan di muka bumi.  Allah membanggakan mereka di hadapan malaikat-malaikat langit.  Dan syurga berhias untuk menyambut mereka.”  Abu Bakar bertanya, “siapakah mereka, ya Rasulullah?”  Sabda Rasulullah S.A.W., “Orang yang memerintahkan kebaikan, mencegah yang mungkar, mencintai dan membenci sesuatu kerana Allah pula.”

Itu bab ganjaran.  Ini suruhan Allah.  Diberi ganjaran untuk yang menunaikan dan dijanjikan azab untuk yang sukarela memilih untuk meninggalkan.  Amat menakutkan, amaran azab Allah kepada mereka yang mendiamkan kemungkaran. 
Ummul Mukminin Aisyah R.A. meriwayatkan, sabda Rasulullah S.A.W.,
 “Allah telah menyiksa penghuni sebuah desa, yang di dalamnya terdapat lapan belas orang.  Amal perbuatan mereka adalah amal perbuatan para Nabi.”  Bila ditanya, mengapa ya Rasulullah, sabda Baginda, “Mereka tidak membenci sesuatu kerana Allah, tidak memerintah kebaikan dan tidak mencegah yang mungkar.
Dalam satu hadis lain, Rasulullah bersabda,
Sungguh engkau harus memerintahkan yang maaruf dan mencegah yang mungkar atau Allah akan memberikan untukmu pemerintah yang zalim, yang tidak menghargai orang tua, tidak menyayangi anak kecil.  Dan apabila orang pilhan darimu berdoa tidak akan dikabulkan, mereka memohon pertolongan, tidak akan ditolong dan mereka memohon ampun, tidak akan diampunkan.”

Berat tuntutan menyeru kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran ni.  Kadang-kadang terasa takut untuk bersuara khususnya tentang amalan agama sebab saya menyedari kerdilnya diri, ceteknya ilmu dan tiada pun amalan.  Namun, hadis yang disertakan dalam penerangan tentang amal makruf, nahi mungkar ini menyedarkan saya, itu bukan alasan yang boleh melepaskan seorang Muslim dari tanggungjawab amar makruf, nahi mungkar. 
Sebab, menurut Anas R.A. bila ditanya, kalau seseorang belum mengerjakan sepenuhnya kebaikan dan meninggalkan sepenuhnya kejahatan, apakah dia tidak perlu melakukan amar makruf, nahi mungkar.  Jawab Baginda, “Tidak, tetapi perintahkanlah perbuatan baik, walaupun engkau belum mengamalkan makruf itu seluruhnya dan cegahlah dari perbuatan mungkar walaupun engkau belum menjauhi mungkar itu sepenuhnya.”

Yang kena dielakkan, melupakan diri sendiri dalam menyeru kepada kebaikan.  Suruh orang buat baik, seru orang meninggalkan kejahatan tapi diri sendiri tak lakukan perkara yang sama. Nauzubillah....
Sebagaimana Allah pernah berfirman dalam sebuah hadis qudsi, Allah memberi amaran supaya jangan menjadi orang yang selalu menunda taubat, memperpanjangkan angan-angan dan kembali ke akhirat tanpa bekal.  Antara ciri orang ini adalah berbicara seperti ahli ibadah tetapi perbuatan seperti orang munafik.  Dia memerintahkan kebaikan tetapi tidak melakukannya dan mencegah kejahatan tetapi tidak berhenti daripada perbuatan jahat itu.
Dan sabda Rasulullah S.A.W.,
“Aku telah melihat pada malam di mana aku diisra’kan ke langit, beberapa lelaki yang dipotong bibirnya dengan gunting dari api.”  Aku pun bertanya, “Siapa mereka hai Jibril?”  Kata Jibril, “Mereka itu adalah para khatib dari umatmu yang memerintahkan manusia dengan kebaikan tetapi mereka lupa kepada diri sendiri.”

Beratnya tuntutan terhadap tanggungjawab ini.  Indahnya ganjaran yang dijanjikan.  Besar juga dugaan untuk menunaikannya.  Sebab Rasulullah S.A.W. pun pernah berkata, “akan datang satu masa di mana bangkai keldai yang busuk lebih disukai manusia daripada seorang mukmin yang memerintah kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran.”  Teringat saya bagaimana seorang ulama besar di Timur Tengah yang dikecam hebat oleh banyak pihak termasuk pemimpin Negara berikutan kenyataannya untuk menghalang kekejaman seorang penguasa Timur Tengah.  Detik dan situasi sebegini yang memerlukan kesabaran dan keikhlasan dalam tindakan serta ketakwaan dan penyerahan mutlak kepada Ilahi Rabbi.  Tanpa semua tu, tak mungkin wujud kesanggupan melakukan amar makruf nahi mungkar.

Semoga Allah mengurniakan kekuatan untuk melakukan amar makruf, nahi mungkar untuk diri sendiri, putera-puteri tersayang dan bila dan ketika masa dan waktu memerlukan, dengan hikmah dan kesabaran, kerana Allah dan harapkan redhaNya.   Amin.

Friday, March 25, 2011

Nak Makan ke Nak Ilmu?

Cerita dari hubby sambil sembang-sembang lepas balik kerja.  Hubby baru lepas baca tulisan saya di blog, kisah Imam al-Ghazali dengan penjual daging.  Saya mintak dia semak balik, betul ker yang saya tulis tu.  Hubby pun cerita lagi, kisah al-Ghazali menuntut ilmu.
Al-Ghazali ni dilahirkan dalam keluarga yang agak susah a.k.a. miskin.  Ditakdirkan pula, bapanya pulang ke rahmatullah pada masa beliau masih kecil.  Ayahnya hanya meninggalkan sedikit wang untuk tujuan pembiayaan pengajian al-Ghazali.  Tak lama selepas itu, wang yang ditinggalkan telah habis dibelanjakan untuk membiayai pengajian beliau.   Lalu, seorang sahabat ayahnya mengusulkan supaya al-Ghazali berguru di sebuah institusi (entah, mungkin pondok atau sekolah dalam konteks hari ni) sebab di situ, makanan disediakan secara percuma untuk pelajar.  Sekurang-kurangnya makan al-Ghazali terjaga.  Jadi, al-Ghazali pun meneruskan pengajian di situ.
Bagaimanapun, prestasi pengajian al-Ghazali merosot.  Ukurannya saya tak tahu.  Teringat dulu ustazah Shamsiah, guru agama masa saya Tingkatan 3 cerita, imam Syafie, biasanya sekali baca ayat al-quran terus lekat di ingatan.  Terus hafallah maksudnya.  Bila tiga kali baca baru boleh ingat, tok gurunya terus suruh muhasabah diri…kat mana buat silap ni.  Semak punya semak, rupanya imam Syafie  makan kambing dan kambing tu (sebelum disembelih la..) ada makan rumput  di padang ternak jirannya tanpa izin.  Jadi, ada bahagian yang haram di bahagian kambing yang dimakan.  Itu yang menjadi halangan untuk imam Syafie menghafal semudah biasa.  Kalau direnungkan dengan  apa yang saya makan, amat logiklah teramat susah sangat untuk saya menghafal ayat-ayat suci al-quran.  Ingatan dan memori pun lemah sekali.  Sumber makanan tak pernah peduli…asal halal dalam konteks tak ada arak, khinzir, dah kira cukup. 
Berbalik kepada cerita al-Ghazali.  Imam-imam ni, makam memang tinggi.  Petunjuk kecil dah cukup untuk mereka duduk meneliti apa silapnya diri.  Tak macam kita hari ni, Allah bagi tsunami pun, masih sibuk dengan fitnah di sana-sini.  Contoh jer… Bila bersungguh mencuba memperbaiki diri, sudah tentu pertolongan Allah menanti.  Cahaya dan petunjuk Allah menerangi.  Insaflah al-Ghazali, niat asalnya yang menjadi penghalang beliau cemerlang.  Niat asalnya, nak dapatkan jaminan makanan.  Bukan memenuhi dada dan minda dengan ilmu pengetahuan.  Penuh tawadhuk, al-Ghazali memohon keampunan kepada Ilahi Rabbi.  Menyerahkan diri penuh rasa kehambaan, memperbetulkan niat yang mendasari amalan.  Dipermudahkanlah segala urusan, segala kefahaman dan segala amalan.
Lessons of the Day:
1.    Betapa pentingnya niat yang mendasari amalan.  Teringat saya pada sabda Baginda Rasul, “hanya segala amal dengan niat dan hanya bagi tiap-tiap seorang apa yang ia niatkan.”  Nilaian amal kepada Allah, yang Maha Mengetahui, adalah bergantung kepada niat.  Wajib untuk saya mendidik diri untul mengikhlaskan diri dalam semua amalan dan perbuatan kerana Allah semata-mata sebab itu ikrar dengan Allah dalam solat.  Amalan dengan niat kerana Allah juga dapat menghindar sifat ria’ yang hakikatnya merupakan syirik khafi.
2.    Nampak macam perkara kecil tetapi hakikatnya niat memberi kesan yang besar.  Sebab niat membezakan ibadat dengan pekerjaan adat.  Contohnya, beriktikaf dalam masjid atau berhenti rehat di masjid, dari segi fizikalnya sama.  Cuma, niat beriktikaf dijanjikan ganjaran manakala berehat tanpa niat adalah sia-sia.  Sama jugak dengan makan dan minum.  Amalan harian manusia dalam kehidupan sehari-hari, tetapi kalau disertakan dengan niat untuk memelihara kesihatan supaya dapat terus beribadat kepada Ilahi Rabbi, insya Allah akan diberikan ganjaran kebaikan.  Atau amalan menziarah sesama saudara.  Jika diniatkan untuk mengikut sunnah Rasulullah dan mentaati perintah Allah untuk mengeratkan silaturrahim, ganjarannya pahala sedangkan ziarah menziarahi adalah amalan adat.  Daripada buat sia-sia, baiklah sertakan niat yang betul.  Dah lah amalan khusus lain pun teramat sikit....

Teringat pada pesan ayah dulu.  Ayah selalu didik kami adik-beradik untuk melakukan segalanya dengan niat yang betul.  Ayah selalu kata, nak baca al-quran, niatkan untuk memohon keredhaan Allah.  Buat sebab Allah suruh, Rasulullah suruh.  Bukan sebab ayah suruh.  Kalau nak pergi sekolah, niatkan sebab nak menuntut ilmu kerana Allah.  Kalau nak pergi ziarah rumah saudara, ayah pesan niatkan kerana Allah, untuk eratkan silaturrahim, bukan sebab nak makan buah kat rumah dia.  Saya aja yang tak mampu nak applikasikan dalam perjalanan hidup....moga Allah kurniakan hidayah dan kekuatan untuk amalkan apa yang ayah dah cuba tanamkan sejak saya kecil.  Amin.

Wednesday, March 23, 2011

Imam Besar dan Penjual Daging


Hubby ceritakan waktu sarapan tadi. Perjalanan seorang imam besar dalam mendalami ilmu agama, ilmu yang bermanfaat.
Suatu hari, imam ini menunaikan solat jemaah bersama adiknya.  Tiba-tiba, adiknya keluar daripada jemaah dan menunaikan solat bersendirian.  Selesai solat, imam tadi pun bertanya pada adiknya, mengapa beliau bertindak sedemikian.  Lalu kata adiknya, dia keluar jemaah dan solat sendirian sebab dia ternampak setompok darah di belakang abangnya.  Imam tadi terkejut.  Cuma orang yang sehebat ini, teguran sedemikian sangat membimbangkan.  Bukan sebab dia imam besar, tetapi memikirkan di mana kecacatan solatnya.  Selepas merenung seketika, dia pun menyedari semasa solat tadi, dia memang tak khusyuk.  Yang difikirkan adalah permasalahan darah wanita.  Masih masalah agama, tetapi hakikatnya tak khusyuk solat.  Teringat saya pada makalah al-Ghazali, antara tipudaya syaitan untuk menyesatkan hamba Allah yang bersolat adalah dengan memikirkan masalah akhirat atau perkara kebaikan…jahat betul syaitan.  Punyalah nak kacau solat orang….habis tak ada, dilalaikan dengan perkara keagamaan.  Insaflah imam besar tadi.
Tapi, ini imam besar.  Tinggi makamnya.  Keinsafan yang diperoleh tidak terhenti di situ sahaja.  Pengetahuan ini menyebabkan dia merasa semakin kerdil, semakin hina.  Keinsafan ini mencambahkan perasaan betapa ilmu yang dimiliki tidak mencukupi untuk mendekatkannya dengan RabbNya.  Dia menginsafi perlunya dia menuntut lebih banyak lagi ilmu untuk memperbaiki amalan.  Masya Allah……kagum saya dengan imam ini.  Petunjuk ilahi Rabbi mampu menjana keinsafan sedalam ini.  Saya yang tersangat daif dan hina ni macamana? Allah turunkan tsunami pun macam tak ada apa-apa.  Aduhai...

Lalu dia meminta adiknya menunjukkan menemukannya dengan tuan guru adiknya.  Pada hematnya, tuan guru ini mesti seorang yang hebat, memiliki pengetahuan dan ilmu yang sangat bermanfaat.  Sehingga muridnya sahaja mampu melihat sama ada yang mengimami solat khusyuk atau pun tidak.  Mulanya, adiknya keberatan.  Kata si adik, mana mungkin imam besar mahu berguru dengan insan tiada kedudukan.  Setelah dipujuk dan dipujuk, adiknya pun membawa imam besar tadi menemui tuan gurunya.
Tuan gurunya seorang penjual daging.  Ketika sampai di pasar, gerai daging tuan guru penuh dengan darah daging-daging yang disiang.  Lalu si imam pun menyatakan hasratnya untuk menuntut ilmu dari tuan guru.  Kata tuan guru, tak mungkin imam besar ni bersungguh nak berguru dengannya.  Jenuhlah si imam tadi memujuk supaya tuan guru sanggup mengajar beliau.  Tekadnya, apapun, dia mesti berguru dengan manusia hebat ini.  Dia pun menyatakan kesediannya untuk mentaati segala arahan tuan guru asalkan dia diberikan ilmu.
Lalu, penjual daging pun memberikan arahan pertama.  Tanggalkan jubah yang dipakai dan gunakan jubah tu untuk membersihkan gerainya yang dipenuhi darah daging.  Tersentak imam dengan arahan penjual daging.  Waktu tu, jubah yang dipakai melambangkan pangkat imam.  Entah, mungkin lain pangkat, lain warna dan lain kualiti kainlah kot, atau lain sikit designnya.  Macam jubah ijazah pertama, ijazah sarjana dan ijazah kedoktoran.  Agaknyalah….Bila dilihat si imam tadi tidak bergerak, maka kata penjual daging, ha kan aku dah kata tadi.  Kau mesti tak sanggup nak berguru dengan aku.  Jubah yang tak ada nilainya di sisi Allah tu pun kau tak sanggup tanggalkan, sebab ada kemegahan di sebalik pemakaian jubah tu, macamana nak menuntut ilmu?  Sedang menuntut ilmu menuntut sifat merendahkan diri kepada Ilahi Rabbi, tanpa ria’, tanpa megah.  Mendengarkan itu, tanpa lengah, si imam lantas menanggalkan jubah dan menggunakannya untuk mengelap segala darah di gerai tuan guru.  Bermula dari detik itu, bermulalah sessi pengajian ilmu sufi dan tasawuf imam besar al-Ghazali dengan gurunya, si penjual daging.  Dan selepas pengajian dengan si penjual daging inilah, imam al-Ghazali menulis kitab-kitab agung seperti Ihya Ulumiddin dan Minhajul Abidin.
Lessons of the Day:
1.     Setelah bergelar imam besar pun, Imam al-Ghazali masih merasakan dirinya kekurangan ilmu yang bermanfaat.  Masih merasakan apa yang ilmu yang dimiliki tidak cukup untuk mendekatkan beliau dengan penciptanya.  Sedangkan saya….err…teringat definisi ilmu bermanfaat yang diterangkan Allah kepada Nabi Allah Daud A.S.  bila Nabi Daud A.S. bertanya, “Ya Allah, apakah ilmu yang bermanfaat itu?”  “Ialah ilmu yang bertujuan untuk mengenali keluhuranKu, keagunganKu, kebesaran dan kesempurnaan kekuasaanKu atas segala sesuatu.  Yang mendekatkan engkau kepadaKu.”  Banyaknya amalan yang perlu diaudit semula, khususnya objektif menuntut ilmu.  Hadis yang satu lagi lebih menakutkan saya, 'Barangsiapa menuntut ilmu yang biasanya ditujukan untuk mencari keredhaan Allah, tiba-tiba ia tidak mempelajarinya, kecuali hanya untuk mendapatkan harta dunia, maka ia tidak akan memperoleh bau harumnya syurga pada hari kiamat' (HR. Abu Dawud).  Soalan untuk dianalisa: saya habiskan masa dengan menuntut ilmu yang macamana? Lebih penting lagi, selama ini saya menuntut ilmu apa objektifnya? 
2.    Betapa berbezanya keinsafan orang hebat, orang yang dikurniakan Allah petunjuk dan hidayah.  Satu petunjuk dari Allah mampu menjana tindakan sejauh itu….petunjuknya, makmum enggan meneruskan jemaah.  Tapi keinsafan yang lahir diterjemahkan dalam bentuk amalan soleh yang amat bererti.  Mendalami ilmu dengan merendahkan diri penuh kerelaan, membuang segala rasa megah dan ria’ dengan kedudukan, semata-mata untuk mendekatkan diri kepada Ilahi Rabbi dan meningkatkan ketakwaan kepadaNya. 

Pesanan Imam besar ini, al-Ghazali untuk ingatan diri sendiri dan putera-puteri tersayang:
"Wahai hamba Allah yang rajin menuntut ilmu. Jika kalian menuntut ilmu, maka niatkanlah dengan ikhlas kerana Allah semata-mata. Di samping itu, niatkan juga sebagai melaksanakan kewajiban kerana menuntut ilmu hukumnya wajib.”

Munajat Dihulur; Doa Bersambut.

Masya Allah.  Saya baru tahu ada satu lagi ayat dalam al-quran yang bila dibaca akan dijawab oleh Allah.  Sama macam tatkala surah al-fatihah dibaca.  Sejak dulu mak suruh amalkan sebab mak kata ayat ni bagus.  Dan saya pun hafal…maknanya atau maksud ayat yang dibaca pulak, antara tahu dengan tidak.  Kalau ambik exam, tak tau lepas ke tak…mungkin cukup-cukup makan je lah.  Saya tersua lagi dengan cerita kelebihan ayat ni bila menyelak-nyelak sebuah buku yang menyatakan, menurut sabda Rasullullah S.A.W., sesiapa yang membaca dua ayat terakhir al-baqarah ini, adalah mencukupi baginya, dan ada yang mentafsirkan sebagai mencukupi sebagai pengganti solat waktu malam.  Malah, sekiranya ayat ini tidak dibaca dalam sesebuah rumah selama tiga hari, syaitan akan menetap di rumah tersebut.  Bila baca tafsir ibnu katsir, tersentak saya dengan keindahan ayat ni, apalagi rahsia di sebaliknya berkait dengan janji Allah bila ayat ini dibaca.
Terjemahan ayat terakhir surah al-baqarah:
“Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya.  Ia mendapat pahala dari kebajikan yang diusahakannya dan ia mendapat siksa dari kejahatan yang dikerjakannya.  Mereka berdoa, Ya Tuhan kami, janganlah Engkau hukum kami jika kami tersalah.  Ya Tuhan kami, janganlah Engkau bebankan kami dengan beban yang berat sebagaimana orang-orang sebelum kami.  Ya Tuhan kami, janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang tak sanggup kami memikulnya.  Beri maaflah kami, ampunilah kami, dan rahmatilah kami.  Engkaulah penolong kami, maka tolonglah kami terhadap kaum yang kafir.”
Ayat ini diturunkan sebagai jawapan kepada para sahabat yang mempersoalkan tentang apa yang Allah beritakan dalam ayat sebelumnya, iaitu ayat 284: surah al-baqarah, yang bermaksud: “Dan jika kamu melahirkan apa yang ada dalam hatimu atau kamu menyembunyikannya, mesacaya Allah akan membuat perhitungan dengan kamu tentang perbuatanmu.”  Para sahabat merasakan betapa beratnya apabila segala yang ada di dalam hati atau amalan tersembunyi pun akan dihisab oleh Allah.  Ooh ohh…itu para sahabat.  Para sahabat susah hati yang amat sangat bila ayat ini diturunkan.  Saya macamana?  Kenapa saya tak rasa apa-apa bila baca ayat ni ha?  Dangkalnya iman, hinanya diri.  Masih teramat banyak yang perlu saya perbaiki.  Kena banyakkan muhasabah diri.  Teringat cerita hubby, waktu dia mengikuti kuliah tafsir di surau, ada ayat yang diturunkan yang mengatakan sesungguhnya segala kebaikan akan dihitung walaupun sebesar zarah.  Demikian juga kejahatan.  Saidina Abu Bakar yang tengah makan bangun dan membasuh tangan sebab dah tak boleh nak makan.  Takut mengenangkan segala amalan walaupun sebesar zarah akan dihitung.  Hubby kata, menurut ustaz, itu Abu Bakar yang dijamin syurga.  Kita ni…sepatutnya dah tak lalu makan sampai bila-bila…tapi ada ka kita rasa macam tu?
Para sahabat pun menemui Rasulullah, menyatakan kegusaran mereka.  Kata mereka, “Ya Rasulullah, kami sudah dibebankan dengan amalan-amalan yang mampu kami lakukan, solat, puasa, jihad, sedekah dan sekarang telah ditunkan ayat ini padahal kami tak sanggup melakukannya.  Nasihat Baginda Rasul kepada sahabatnya, janganlah durhaka kepada ayat-ayat Allah.  Sebaliknya, katakanlah, “Kami dengar dan patuh.  Ya Allah, kami memohon keampunanMu dan kepadaMu lah tempat kami kembali.”  Setelah itu, Allah turunkan ayat 285.  Seterusnya, Allah turunkan ayat 286.
Betapa penyayangnya Allah kepada hambaNya.  Allah melenyapkan kebimbangan para sahabat dengan menjanjikan Dia tidak akan sekali-kali membebankan hambaNya atau menguji hambaNya melebihi kemampuan setiap hambaNya.  Sebagai Pencipta dan pentadbir segala makhluk, sudah pasti Allah mengetahui keupayaan setiap mahklukNya.  Allah menganjurkan kepada hambaNya supaya memohon pertolongan daripadaNya.  Yang lebih indah, Allah berjanji akan menjawab setiap permohonan doa hambaNya, sebagaimana menurut hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah, iaitu:

Ya Tuhan kami, janganlah Engkau hukum kami jika kami tersalah. 
Allah akan menjawab “Ya”
Ya Tuhan kami, janganlah Engkau bebankan kami dengan beban yang berat sebagaimana orang-orang sebelum kami.
Allah akan mengatakan, “Ya”
 Ya Tuhan kami, janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang tak sanggup kami memikulnya. 
Allah akan mengatakan “Ya”
Beri maaflah kami, ampunilah kami, dan rahmatilah kami. 
Allah akan mengatakan “Ya”
Engkaulah penolong kami, maka tolonglah kami terhadap kaum yang kafir.”
Allah akan mengatakan, “Amin”.

SubhanaAllah. Agungnya kasih Ilahi Rabbi pada hambaNya. Al-quran bukan sekadar sebuah kitab yang mengandungi perintah dan larangan mutlakNya. Juga dilengkapi dengan susunan doa indah untuk dijadikan asas munajat kepadaNya.  Disempurnakan pula dengan janji munajat ini akan disambut menerusi sabda kekasihNya.   Alhamdulillah. Atas pengetahuan yang Allah kurniakan. Semoga Allah kurniakan kekuatan dan keizinan untuk mengamalkan doa ini sebagai sumber kekuatan menghadapi segala ujian dalam kehidupan.

Monday, March 21, 2011

The Contract



Yes, hari Ahad datang lagi.  Sibuk jugak sebab Harriz dan Ezham ada agenda berasingan.  Harriz dengan latihan bolasepak di sekolah dan Ezham ada perlawanan bolasepak di tempat lain.  So, mummy daddy kena ambik sorang satu.  Sessi memasak hari minggu, saya belajar buat Wantan dan Sup Wantan dari bibik.  Juga sediakan ikan lemon-garlic butter untuk makan tengahari.

Pengisian jiwa dan minda – sambung membaca buku Di Sebalik Ketajaman Mata Hati.  Entah bila nak habis, sekali baca 5-6 mukasurat paling banyak.  Kali ni, cerita iblis dan Nabi Adam.  Menurut buku tu, renungkan perbezaaan kesalahan Nabi Allah Adam dengan dosa si Iblis.  Nabi Adam, taubatnya diterima Allah sebab kesalahan berpangkalkan kesenangan nafsu.  Kemudiannya,Baginda mengakui kecelaan diri, merendahkan diri pada Ilahi Rabbi, memohon keampunan atas dosa yang dilakukan. Doa yang dibaca oleh Nabi Adam (surah al-'araf, ayat 23), "Ya Tuhan kami, kami telah menganiaya diri kami sendiri.  Dan jika Engkau tidak mengampuni kami dan memberi rahmat kepada kami, nescaya pastilah kami termasuk orang-orang yang rugi."  Berbanding dengan si Iblis, maksiatnya adalah berpangkalkan kesombongan diri.   Takbur.  Enggan mentaati perintah Ilahi.  Renungan untuk diri: Kena banyak membaca dan mencari ilmu.  Dah lama tahu kisah Nabi Adam dan Iblis ni, tapi tak pernah melihat daripada perspektif ini. 

Yang lebih menarik, cerita tentang the contract antara iblis dan Allah.  Selepas dinyahkeluar dari syurga, iblis memohon untuk menyesatkan semua anak Adam.  Alasan iblis: dia diusir dari syurga kerana Adam.  Layaklah dia membalas dendam kepada anak-anak Adam pula agar mereka pun tak boleh masuk syurga.  Jahat sungguh iblis ni.  Iblis pun berunding dengan Allah, memohon supaya dia dibenarkan menguasai anak-anak Adam, dengan izin Allah. 

Maka, Allah katakan, “tidak akan dilahirkan seorang anak baginya kecuali tentu dilahirkan untukmu dua anak baginya.”
 Iblis tak puas hati.  Katanya, tambahkan lagi untukku (kemudahan untuk menguasai manusia). 
Allah kata, “Dada-dada manusia adalah rumahmu, engkau berjalan di sana sejalan dengan peredaran darah.”
Iblis nak lagi ruang untuk menyesatkan manusia.  Geram betul baca kisah iblis ni…Iblis mintak lagi pada Allah, “Tambahkanlah lagi untukku.”
Allah pun kata, “Kerahkanlah terhadap mereka pasukan berkudamu dan pasukanmu yang berjalan kaki.”
Ertinya: gunakanlah bantuan dari pembantu iblis untuk menghadapi manusia.  Pembantu iblis – harta, anak-anak dan janji-janji palsu.  Kata Allah kepada Iblis, bersekutulah dengan harta.  Doronglah mereka untuk mementingkan harta sehingga sanggup mengambil yang haram.  Gunakanlah anak-anak dengan menggalakkan mereka berbuat yang haram, memberi nama buruk.  Gunaknalah juga janji-janji seperti melengahkan taubat dan memperpanjangkan angan-angan.

Mendengarkan propaganda iblis yang mendapat kelulusan Allah, Nabi Adam A.S. pun kata kalau macam ni, tak mungkin manusia mampu menolak gangguan dan tipu daya iblis melainkan dengan pertolongan Allah.  Nabi Allah Adam pula meminta pertolongan Allah untuk anak-anaknya.  
Firman Allah, “tidak akan dilahirkan seorang anak bagimu, kecuali aku serahkan anak itu pada malaikat yang selalu menjaganya.”
Adam mintak lagi, “tambahkanlah untukku”.  Yalah…banyak kan alat polisi iblis.
Allah berfirman, “Kebaikan anak Adam akan mendapat ganjaran sepuluh kali ganda.”
Adam fikir, tak cukup jugak ni.  Adam mintak lagi.  “Tambahkanlah lagi untukku.”
Allah berfirman, “Aku akan ampuni mereka dan Aku tidak peduli.”
Mendengarkan janji keampunan Allah kepada anak-anaknya yang taat dan memohon keampunan, Adam berkata, “Sekarang aku telah cukup.”

Iblis masih tak puas hati.  Iblis minta lagi…kali ni tipu daya iblis lebih halus dan merbahaya.  Apa yang dia mintak?  Si iblis laknat memohon kepada Allah supaya dijadikan utusan-utusannya, di kalangan anak-anak Adam sendiri.  Supaya anak-anak Adam lebih mudah diperdayakan dengan benda-benda yang biasa dalam hidup mereka.  Eee…jahat sejahat-jahatnya.
Berlakulah satu sessi dialog berupa permintaan iblis dan apa yang Allah iktiraf sebagai media iblis:
Utusan iblis: Tukang nujum
Kitab iblis: Tahi lalat buatan
Hadis iblis: Kebohongan
Quran iblis: Nyanyian yang hari ni siang malam berkumandang di radio dan tv, di mana saja, rumah, dalam kereta, kedai makan.
Muazin iblis: Seruling
Masjid iblis: Pasar a.k.a. shopping complex yang berlambak-lambak sekarang ni dan jadi tumpuan manusia.
Rumah iblis: Bilik mandi, err..selalu berangan, kalau ada rezeki nak buat rumah dengan bilik mandi yang ala-ala hotel.  Rumah iblis rupanya.
Makanan iblis: makanan yang tidak disebut padanya nama Allah.
Minuman iblis: yang memabukkan
Perangkap iblis: Perempuan.

Banyaknya senjata iblis yang Allah luluskan dalam kontrak tu.  Apapun, Allah Maha Penyayang dan Maha Pengampun.  Dan lagi, Allah janji iblis hanya boleh mengganggu hambaNya yang tidak mendapat rahmat kasih sayang Allah.  Sebab Allah Maha Penyayang, duhai diri, pohonlah kasih sayang dan rahmat Ilahi Rabbi.  Lagi, Allah janjikan keampunan kepada hambaNya yang dambakan rahmatNya.  Allah tuliskan sepuluh kebaikan untuk setiap satu kebaikan sebab Allah yang Maha Mengetahui dah tahu dengan adanya tipudaya iblis, sukarnya untuk manusia melakukan kebaikan.  Dan Allah juga turunkan surah an-Nas sebagai amalan untuk memohon perlindungan Allah daripada tipudaya dan bisikan iblis.  Semoga diri diberi Allah kekuatan untuk memanfaatkan segala senjata yang Allah sediakan untuk menewaskan si iblis laknatullah nih…dan sentiasa di bawah naungan rahmat keampunan dan kasih sayangNya.  Amin.

Saturday, March 19, 2011

Cerita Pak Tani


Sessi usrah di Fakulti membincangkan tafsir surah al-qalam, ayat 8-33.  Ada cerita teladan yang Allah jelaskan buat sempadan kehidupan.  Tentang sekumpulan petani dengan perancangan mereka untuk mengelakkan zakat pertanian.

Ayat 8-16 mengandungi larangan Allah daripada mengikuti dan mentaati golongan manusia yang mendustakan ayat-ayat Allah sebab mereka menganggap ayat-ayat Allah adalah sekadar satu hikayat orang dahulu kala…pada dia orang, ala-ala hikayat merong mahawangsa lah agaknya.  Sekadar satu elemen untuk dinikmati sebagai hiburan ringan, bukan untuk direnungkan apalagi diamalkan.  Golongan ini bijak dalam rundingcara, menawarkan kompromi kepada umat Islam dengan objektif agar akhirnya orang Islam juga akan cenderung mengikut jalan hidup mereka, yang bercanggah dengan ajaran Islam.  Teringat kepada cerita bagaimana orang kafir menciptakan segala jenis hiburan yang melalaikan dan tujuan utama mereka adalah untuk merosakkan akidah Islamiah.  Allah jugak melarang keras mengikuti orang yang suka bersumpah, suka menabur fitnah, enggan berbuat baik, melampaui batas serta kasar.  Menurut Ibnu Katsir, orang yang suka bersumpah dan kasar adalah orang yang sombong.  Takrif kasar yang sebenar,  adalah yang suka mengumpulkan lagi sangat kikir.  Allah menjelaskan, “kerana dia mempunyai banyak harta dan anak”….betapa kurniaan Allah kepada mereka menyebabkan mereka kufur terhadap ayat-ayat Allah.  Kekayaan dan kemewahan yang dikurniakan menyebabkan mereka menjadi sombong, kasar dan menolak kebaikan.  Ringkasnya, Allah pesan jangan ikut dan tak perlu taat orang kaya yang enggan mentaati suruhan Allah, yang sombong, yang melampaui batas dan suka menabur fitnah.  Kalau nak pilih pemimpin, kenalah juga mengikut garis panduan ayat-ayat ini sebab kalau tak, takut tak beriman dengan ayat al-quran.  Bukan ker beriman kepada kitab Allah tu salah satu rukun iman yang dihafal zaman sekolah dulu….

Allah sertakan perumpamaan kisah golongan yang diberikan nikmat tetapi kufur.   Kalau dalam konteks teknik penulisan pemikiran kritikal, ini kira kaedah penghuraian berasaskan contoh.  Untuk menjelaskan secara lebih terperinci supaya boleh difahami dengan mudah, agar kesannya lebih mendalam.  Allah kisahkan sekumpulan petani yang dilimpahkan nikmat kebun yang amat subur.  Tanam-tanaman menjadi dan menjanjikan hasil tuaian yang banyak.  SubhanaAllah….ingatan untuk diri, tanaman yang subur dan hasil yang banyak semuanya nikmat Allah.  Yang tak boleh dipandang remeh…kalau Allah tak izin, letak baja paling baik pun pokok takkan berbuah. Pengajaran yang sama untuk perkara-perkara lain yang sewaktu dengannya.  Ganjaran monetari yang menyusuli sesuatu usaha adalah dengan izin Allah.  Betulkan, kadang-kadang ada orang kerja tapi tak dapat gaji, sebab Allah belum nak kurniakan rezeki kewangan.

Melihatkan hasil tanaman yang banyak, mereka bersumpah untuk menuai hasilnya di awal pagi esoknya.  Kenapa awal-awal pagi?  Atau pagi-pagi buta, entah mungkin sebelum subuh lah kot…sebab mereka tak mahu fakir miskin atau orang yang suka meminta-minta mendapat sedikit pun hasil tuaian mereka.  Dah siap kira dah, berapa hasil tuaian.  Jual dapat berapa.  Jadi, nak maksimumkan pendapatan.  Tak nak keluarkan zakat kepada yang berhak.  Rasa macam dah bijak lah tu…Dan Allah tekankan, betapa sombongnya mereka.  Mereka merancang tanpa mengucapkan kalimah “Insya Allah”…sumpah pandai, insya Allah lupa pulak.  Sedangkan segalanya hanya boleh berlaku dengan keizinan Allah.  Segala perancangan hanya akan terlaksana sekiranya ia selari dengan perancangan Allah.  Ternyata, Allah mempunyai perancangan yang berbeza untuk mereka.

Allah menimpakan bencana kepada kebun mereka pada waktu malamnya.  Jadilah kebun mereka hitam seperti malam yang gelap gelita yang ditafsirkan sebagai tanaman semuanya menjadi kering kontang.  Awal paginya, mereka pun saling mengajak antara satu sama lain untuk ke kebun, memetik buah.  Allah gunakan perkataan “berbisik” untuk menggambarkan bagaimana mereka berusaha untuk merahsiakan pemergian mereka ke kebun daripada orang lain.  Mereka juga saling membisikkan harapan mereka, “pada hari ini, janganlah ada seorang miskin pun yang masuk ke dalam kebun.”  Allah ceritakan, maka mereka pun pergi ke kebun dengan niat untuk menghalangi.  Menghalangi merujuk kepada niat untuk menghalang orang miskin mendapat hak mereka, iaitu zakat tanaman.  Sesampai di kebun, apabila melihatkan keadaan tanaman yang kering kontang, mulanya mereka rasakan mereka sebenarnya sesat jalan, sampai di kebun yang lain.  Ya lah, baru semalam datang survey, kebun punyalah subur…indah menghijau.  Buah-buahan agaknya bergantungan, menunggu untuk dituai.  Alih-alih, pagi esoknya, dah berubah wajah.  Mana mungkin….

Lama kelamaan, dah tengok betul-betul segala landmark, barulah mereka menyedari betullah itu kebun mereka.  Nasib baiklah di antara mereka ada seorang yang sedar, mengatakan, “bukankah aku telah mengatakan kepadamu, hendaklah kamu bertasbih?”  Ada dua pendapat tentang tasbih dalam konteks ini.  Ada yang mengatakan tasbih yang dimaksudkan adalah “insya Allah”.  Perancangan perlu disusuli dengan ucapan insya Allah, sebagai menginsafi manusia hanya mampu merancang,  pelaksanaan tertakluk kepada keizinan Allah. Pendapat lain mengatakan tasbih merujuk kepada mensyukuri nikmat Allah dan bertasbih kepadaNya.  Lalu mereka segera bertasbih mengucapkan, “Maha Suci Rabb kami, sesungguhnya kami adalah orang-orang yang zalim.”  Pun masih ada di antara mereka yang mulanya saling salah menyalahkan sesame sendiri atas kesalahan berniat untuk menahan hak orang miskin.  Jawapan sebahagian mereka, “Aduhai celakalah kita.  Sesungguhnya kita ini adalah orang yang melampaui batas. Mudah-mudahan Allah akan memberi kita ganti dengan kebun yang lebih baik, sesungguhnya kita amat mengharapkan ampunan daripada Ilahi Rabbi.”

Seterusnya Allah menjelaskan “begitulah azab dunia.”  Bagaimana Allah berkuasa menghilangkan nikmat ke atas mereka yang sombong, melampaui batas, kikir dan mengkufuri nikmat Allah.  Allah tekankan lagi sebagai peringatan, “sesungguhnya, azab di akhirat lebih besar jika mereka mengetahui.”

Lessons of the Day:
1.        Allah dah jelaskan dalam surah ni, apa ciri-ciri manusia yang tak boleh diikuti.  Yang Allah kurniakan kemewahan tapi kufur dengan nikmat, yang sombong, yang kikir, yang melampaui batas dan yang menjadikan fitnah tu mainan.  Paling utama, yang mendustakan ayat-ayat Allah, yang tak nak pegang al-quran sebagai landasan hidup dan sumber hukum.
2.       Bila buat perancangan, kena sertakan dengan ucapan insya Allah.  Menyandarkan segala perancangan kepada keizinan Allah.  Bukan sebab tak ada keyakinan diri, tapi sebab yakin segala yang berlaku adalah dengan ketentuan dan izin dari Allah semata-mata.
3.       Banyak yang boleh dicerap dari cerita petani-petani tu. Pesanan untuk diri sendiri. Allah larang daripada mengkufuri nikmat Allah dengan melakukan kemaksiatan dengan nikmat yang Allah kurnia.  Ini belum dapat nikmat lagi, dah merancang nak kufur, lagilah masalah.  Bila merancang, perancangan mesti konsisten dengan apa yang Allah anjurkan.  Perancangan kewangan mesti melibatkan pembayaran zakat, kalau kena bayar zakat.  Perancangan nak pilih pemimpin mesti ikut panduan yang Allah gariskan.  Perancangan nak buat majlis mesti dengan niat yang betul, bukan untuk riak dan bukan secara yang melampaui batas.  Perancangan jadual harian kat pejabat yang sudah semestinya padat mesti mempunyai ruang masa untuk solat fardhu.
4.       Mesti selalu, selalu dan selalu mensyukuri nikmat Allah dengan bertasbih mengingati Allah.  Jugak syukur perlu diterjemahkan dalam bentuk amalan hidup seharian yang mengikuti suruhan Allah sepertimana yang dijelaskan menerusi ayat-ayatNya.  Semoga Allah kurniakan pertolongan untuk diri ini mensyukuri nikmatNya dan melayari hidup yang sementara di landasan yang diredhaiNya..Amin.

Thursday, March 17, 2011

Warkah Untuk Diri: Secebis Bicara al-Ghazali

Duhai diri,
Dengan izin Allah, kau telah digerakkan untuk membaca buku Intipati Ihya Ulumiddin.  Imam al-Ghazali menjelaskan tatacara menghadirkan hati dalam solat  agar diri bukan penipu sebagaimana sabda baginda Rasulullah, “Sesungguhnya solat itu adalah penetapan hati, merendahkan diri serta jiwa dan engkau meletakkan kedua tanganmu sambil mengucapkan Ya Allah, Ya Allah.  Maka barangsiapa yang tidak melakukan yang sedemikian itu, ia adalah penipu.”
Tatkala berdiri tegak untuk memulakan solat, ambillah masa buat merendahkan diri dengan mengingati betapa dahsyatnya nanti saat diri berdiri di hadapan Ilahi Rabbi semasa hisab dan perhitungan amal.
Sewaktu melafazkan niat, berazamlah untuk menunaikan solat dengan sempurna, beserta pengharapan akan memperoleh ganjaran kebaikan dan takut kepada seksaNya.  Mohonlah agar didekatkan diri kepadaNya, diizinkan untuk terus bermunajat kepadaNya dan insaflah terhadap banyaknya dosa yang telah dilakukan.  Di saat melafazkan takbir, selarikan hati dan lidah.  Usah mendustakan pengucapan lisan dengan hati yang masih membesarkan urusan  selain Allah.
Semasa membaca doa iftitah, pesan Imam besar al-Ghazali, usah berdusta pada awal solat.  Bersungguhlah menumpukan perhatian kepada Allah.  Bila mengakui diri seorang muslim, ingatlah seorang muslim mesti menyelamatkan muslim lain dari bahaya tanganmu dan lidahmu.  Kala mengakui diri tidak termasuk dalam golongan orang musyrik, mohon dijauhkan daripada terjebak dengan syirik khafi seperti ria’ dan mengharapkan pujian manusia.
Mulakanlah bacaan ummul kitab dengan ta’awwudz, mohon perlidungan kepada Allah daripada syaitan yang direjam.  Sebab syaitan adalah musuh yang amat dengki dan akan berusaha sedaya upaya untuk melalaikan hati daripada mengingati Allah.  Sedarlah diri, adakalanya syaitan menghalang daripada memahami makna ucapan yang dibaca dengan membawa diri memikirkan perkara akhirat atau merenung perkara kebaikan.  Jahatnya tipu daya syaitan.
Semasa membaca dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani, niatkan di hati, memohon keberkatan untuk memulakan bicara dengan Ilahi Rabbi.  Bila membaca ayat seterusnya, selitkan keinsafan bahawa semua nikmat datang dari Allah.  Syukur kepada Allah atas nikmat yang paling besar yang dikurniakan,menunaikan solat.  Hakikatnya, keupayaan diri melaksanakan solat juga adalah dengan izin dan rahmat Allah.  Bila membaca ayat seterusnya, hadirkan dalam hati betapa Allah Maha Lembut.  Kau akan sedar betapa besarnya rahmat Allah dan semoga timbullah rasa mengharap kepada Allah, keagungan Allah dan takut kepada Allah.  Selanjutnya diri,  akuilah betapa Allah yang menguasai hari pembalasan.  Takutlah kepadaNya kerana pada hari yang dahsyat itu, hanya Allah yang merajai dan menentukan segalanya. 
Tatkala melafazkan , Engkau sahaja yang kami sembah, akuilah dengan penuh keikhlasan.  Semasa mengucapkan, dan kepada Engkaulah sahaja kami mohon pertolongan sertailah dengan keinsafan lemahnya diri, betapa diri amat bergantung kepada Ilahi Rabbi dan tiada daya dan kekuatan.  Waktu ini, duhai diri, benarkan dalam hati bahawa ketaatan diri menunaikan solat semata-mata kerana pertolonganNya.
Selanjutnya, dengan menginsafi keagungan Allah dan betapa hanya Dia tempat diri memohon segalanya, pohonlah yang teramat penting dalam hidup.  “Tunjukkan kami ke jalan yang lurus.”  Disertakan dengan penjelasan serta penyaksian hati, jalan yang dikehendaki adalah jalan yang diredhai Allah, jalan mereka yang dilimpahi nikmat dan hidayah dari Allah seperti para nabi, siddiqin dan orang soleh.  Dan bukannya jalan mereka yang mendapat kemurkaan Allah seperti orang-orang kafir dan mereka yang menyeleweng daripada petunjuk Allah.

Duhai diri,
Insaflah dengan keperluan kehadiran hati dalam solat.  Bukan sekadar pergerakan fizikal dan penuturan lisan.  Lantaran, sabda Rasul junjungan, ada golongan manusia yang solat tetapi mendapat penat semata-mata.  Dan wujudnya siksa untuk mereka yang lalai dalam solatnya. 
Astaghfirullah…setelah sekian lama dikurniakan Ilahi nikmat  hidup di mukabumi, setakat mana solat yang ditunaikan menepati  apa yang sebenarnya dikehendaki Ilahi Rabbi?  Entah setakat mana solat benar-benar disertai penjiwaan segala yang dilafazkan…mengagungkan, mensyukuri, mengakui kebesaran Ilahi Rabbi?  Diri, berdoalah dan berharaplah semoga Allah kurniakan kekuatan untuk memperbaiki solat sehari-hari.  Agar hidup lebih beerti kerana hanya solat yang sempurna mampu menahan diri daripada segala yang keji.  Dan hanya solat yang sempurna, solat yang bermakna…

“Setiap sesuatu itu tentu ada haknya.  Harapan adalah susulan dari perjanjian, takut adalah susulan dari ancaman, keteguhan adalah susulan dari perintah atau larangan, suka menerima nasihat dan peringatan adalah susulan mendapat nasihat atau peringatan, bersyukur adalah susulan nikmat dan kurnia, suka mengambil ibarat atau teladan adalah susulan dari mendengar sirah nabawiyah dan cerita orang soleh.”

Wednesday, March 16, 2011

Saat al-Fatihah dibaca….



Pemilihan surah al-fatihah sebagai bacaan utama dalam solat menyimpan seribu makna.  Sesungguhnya, solat adalah wadah bicara hamba dengan Rabbnya.  Dan setiap kali al-fatihah dibaca dalam solat, ternyata Allah membalas tiap bait bicara, sepertimana dalam hadis qudsi, sabda Baginda Rasulullah S.A.W., Allah berfirman,
“Aku telah membahagikan solat (al-fatihah) kepada dua bahagian, separuh untukKu dan separuh lagi untuk hambaKu dan untuk hambaKu apa saja yang dipohonkan kepadaKu. 

Apabila hambaKu berkata, “Segala puji untuk Allah Tuhan Sekelian Alam.
Allah menjawab: HambaKu telah memujiKu.

Apabila hambaKu berkata, Yang Maha Penyayang  lagi Maha Pengasih.
Allah menjawab: HambaKu telah memberi sanjungan kepadaKu.

Apabila hambaKu berkata: Yang Menguasai hari pembalasa.
Allah menjawab: HambaKu telah mengagung-agungkanKu.

Apabila hambaKu berkata, Hanya Engkau yang aku sembah dan hanya Engkau tempat aku memohon perlindungan. 
Allah menjawab: Ini di hambaKu dengan Aku dan untuk hambaKu apa sahaja yang dipohonkan kepadaKu

Apabila hambaKu berkata, Tunjukkanlah kami jalan yang lurus.  Jalan orang-orang yang Engkau kurniakan nikmat ke atas mereka. Bukan jalan orang-orang yang Engkau murkai dan bukan pula jalan orang-orang yang sesat. 
Allah menjawab: Ini untuk hambaKu dan untuk hambaKu apa sahaja yang dipohonkan kepadaKu.”

Ingatan untuk diri sendiri: betapa signifikannya bacaan surah al-fatihah dalam solat.  Seakan-akan satu dialog antara hamba dengan Ilahi Rabbi.  Lantaran, pembacaan perlu disertakan dengan kehadiran hati.  Bila baca ayat memuji Allah, puji betul-betul.  Bila baca ayat yang mengagungkan, agungkan betul-betul.  Kena menjiwai  bacaan al-fatihah sepenuhnya.  Bila ayat berdoa, mohon dengan penuh harapan.  Sebab Allah akan jawab setiap bait ayat yang dibaca.  SubhanaAllah….

Teringat pada kata-kata Tuan Guru Nik Aziz, bila lafazkan Allah hu Akbar, dalam takbiratul ihram, maknanya Allah yang Maha Besar, dah tak ada yang lain yang lebih besar.  Jadi, jangan ingat benda lain lagi dalam solat.  Ingat Allah saja. 

Tuesday, March 15, 2011

Indahnya Istighfar



Susah hati melihatkan tugasan siswa-siswi yang belum saya baca dan nilaikan.  Minggu ini, tekad saya akan mula menanda walaupun kerja –kerja lain pun banyak.  Senang banyak siswa-siswi Universiti Malaya hari ni.  Ada markah penilaian berterusan.  Zaman saya belajar dulu, kebanyakan kursus 100% penilaian berdasarkan peperiksaan akhir sahaja.  Tension bukan main bila musim peperiksaan.  Apapun, semoga Allah beri saya keupayaan untuk memberikan penilaian yang adil kepada tugasan-tugasan ni.  Amin.
Take 5 waktu lunch break, cuba fahami surah an-Nasr.  Juga antara surah pendek yang dah dihafaz sejak sekolah rendah.  3 ayat jer pun, tapi saya tak pernah faham cerita ayat yang tiga ni.
Terjemahan ayat:  Apabila tiba pertolongan Allah dan kemenangan (penaklukan Kota Mekah).  Dan engkau lihat manusia masuk ke dalam agama Allah sepuak demi sepuak.  Maka bertasbihlah dengan memuji nama TuhanMu  dan pohonlah keampunan TuhanMu.  Sesungguhnya Dia Maha Menerima taubat.
Menurut tafsir Fi Zilalil Quran, ayat ini diturunkan pertama sebagai arahan Allah supaya  hambaNya bertasbih, bertahmid dan beristighfar.  Keduanya, menceritakan bagaimana puak-puak Arab menyatakan keislaman mereka setelah melihat  kejayaan Baginda Rasul kerana itu tanda kebenaran Nabi. Ketiganya, sebagai petanda bahawa Baginda Rasulullah S.A.W. telah menyempurnakan tugas kenabiannya dan telah hampir saat kewafatan Baginda.
Pengajaran yang terkandung dalam surah ini amat menginsafkan.  Betapa dalam ayat pertama, Allah menyatakan sesungguhnya segala kejayaan adalah dengan pertolongan Allah semata-mata.  Adalah rahmat dariNya semata-mata.  Bukan atas upaya dan kuasa manusia.  Atas kurniaanNya, wajarlah sebagai hambaNya, menzahirkan kesyukuran dengan bertasbih memuji nama Allah dan beristighfar kepadaNya. 
Indahnya susunan bimbingan hidup yang Allah berikan.  Sesungguhnya suruhan beristighfar di saat dianugerahkan kejayaan atau kegembiraan sarat dengan hikmah.  Di saat mengecapi nikmat kejayaan, istighfar dapat mengelakkan daripada perasaan riak, sombong dan bangga diri.  Sedangkan segala kejayaan yang dinikmati adalah dengan izin dan kurnia Allah semata-mata.  Mana mungkin manusia layak untuk merasa bangga dengan kejayaan atau kemenangan yang dicapai.  Selain dari itu, istighfar juga dapat mendidik sifat sabar dalam menanti saat Allah kabulkan permintaan untuk mencapai kejayaan, menanti tibanya pertolongan Allah di saat kesukaran dan kepayahan.  Keindahan beristighfar yang paling nyata adalah ia melengkapkan sifat syukur terhadap rahmat dan nikmat Allah yang sesungguhnya tidak terhitung.  Istighfar dapat melahirkan kesedaran bahawa sebagai insan, kita lemah selemah-lemahnya.  Bergantung sepenuhnya kepada Allah.  Hidup dan menikmati segalanya dengan nikmat Allah….penglihatan, pendengaran, kesihatan, kejayaan.  Semuanya.  Lantaran, syukur sahaja tidak mencukupi.  Perlu disertakan dengan permohonan keampunan yang berpanjangan daripada Ilahi Rabbi.  Supaya dijauhkan rasa sombong dan bangga diri. 
Yang paling utama, kesedaran bahawa kejayaan yang dianugerahkan Ilahi ada sebabnya, ada hikmahnya, ada tujuannya.  Mungkin sekadar satu ujian apakah anugerah akan melalaikan atau menginsafkan.  Sebagaimana pengucapan Nabi Allah Sulaiman A.S. sewaktu menyaksikan keindahan singgahsana Puteri Balqis,
 ‘Ini adalah limpah kurnia daripada Tuhanku untuk mencuba aku adakah aku bersyukur kepada-Nya atau mengingkari ni'mat-Nya." Oleh itu sesiapa yang bersyukur, maka sesungguhnya ia bersyukur untuk kebaikan dirinya dan sesiapa yang mengingkari ni'mat-Nya, maka Tuhanku adalah Maha Kaya dan Maha Pemurah.'

Maka, sewajarnyalah, anugerah yang dinikmati disambut dengan istighfar yang berterusan agar ia tidak melalaikan.  Juga, keinsafan bahawa segalanya milik Allah, semuanya hak Allah akan pasti mengelakkan daripada sifat memandang rendah pada pihak yang lemah atau berlaku zalim kepada pihak yang kalah.  SubhanaAllah.  Indahnya istighfar.  Mulianya akhlak Islamiah.  Cantiknya aturan hidup yang Allah susunkan.  Segalanya terkandung dalam kitab Allah, al-quran. 
Penyerahan dan pengakuan bahawa segala nikmat dan kejayaan adalah ketentuan Allah, berlaku dengan keizinan dan kehendak Allah merupakan amalan para Nabi dan Rasul Allah.  Tafsir ini memberikan contoh pegangan Nabi Yusuf A.S. apabila dikurniakan anugerahkan pertemuan dengan keluarga tercinta.  Penuh tawaduk, mengiktiraf segalanya dengan kehendak dan keizinan Allah.  Ketika dipertemukan semula dengan ayahbonda tercinta, Nabi Yusuf menzahirkan Allah Yang Maha Bijaksana yang mengurniakan kepadanya ilmu tafsir mimpi, mengurniakan kebaikan dan menemukannya dengan ayahabonda dan saudaranya.  Baginda juga tunduk mengakui betapa segalanya kurniaan Ilahi Rabbi dan betapa Baginda bergantung harap kepada Allah supaya dimatikan dalam Islam dan dimasukkan ke dalam golongan orang yang saleh, dalam doa Baginda:
"Ya Tuhanku! Sesungguhnya Engkau telah mengurniakan kepadaku ni'mat kerajaan dan Engkau telah mengajarkan ilmu ta'bir mimpi. Wahai Tuhan Pencipta langit dan bumi! Engkaulah penaungku di dunia dan di Akhirat. Wafatkanlah aku dalam agama Islam dan gabungkanlah aku dengan orang-orang yang salih."

Demikian juga dengan perlakuan Rasul junjungan, Nabi Muhammad S.A.W., tatkala berjaya menakluk semula Kota Mekah.   Baginda meraikan kemenangan dengan melupakan kegembiraan sebab kejayaan itu semata-mata pertolongan dan kehendak Allah.  Sebaliknya, kemenangan dirai dengan bertasbih, bertahmid dan beristighfar sebagai menyatakan kesyukuran kepada Allah beserta pengharapan Allah kurniakan pengampunan yang berterusan.

Lessons of the Day:
1.     Allah telah gariskan dengan jelas tatacara meraikan kejayaan,  kegembiraan atau kemenangan.  Bertasbih dan seterusnya beristighfar memohon keampunan.  Mengakui keagungan Allah atas segala yang dinikmati, menginsafi kelemahan diri dan menyerah kepada hakikat sesungguhnya segalanya daripada Allah semata-mata.  Manusia tak layak pun merasa bangga jauh sekali sombong diri.  Istighfar untuk menyucikan diri daripada segala rasa megah dan bangga dengan kejayaan yang dikecapi sebab itu adalah kurniaan Ilahi Rabbi.
2.    Betapa jauhnya penyimpangan “motivasi” hidup hari ini.  Kejayaan acapkali dikaitkan dengan kehebatan manusia dan keagungan individu.  Lalu ia mengarahkan kepada rasa bangga tidak menentu, memandang rendah kepada insan lain yang kurang bernasib baik dan sebagainya.  Padahal setiap manusia tak punya apa-apa.  Semuanya anugerah Allah semata-mata yang sebenarnya bertujuan untuk menguji manusia, bersyukur atau engkar dengan nikmatNya.
3.    Nabi Allah Yusuf A.S. pun memanjatkan doa kepada Allah agar diwafatkan dalam Islam.  Dikumpulkan bersama orang-orang soleh.  Apalagi diri ini yang kerdil lagi hina.

Menurut Aisyah, Rasulullah SAW di akhir-akhir kegiatannya banyak berzikir dengan: subha nallahi wabihamdihi, astagh firullaha wa atubu ilaih. Dan baginda telah bersabda; "Tuhanku telah memberitahu kepadaku bahawa aku akan melihat satu alamat pada umatku dan Ia memerintah kepadaku apabila aku melihat alamat itu supaya aku bertasbih, bertahmid dan beristighfar kepadaNya. Sesungguhnya Allah itu Maha Penerima Taubat," dan aku telah pun melihat alamat itu iaitu: Iza ja asnasrullahi wal fath ...hingga akhir surah. (Riwayat Muslim)

Teringat sewaktu saya menghadiri majlis penganugerahan Professor Ulung Negara 2010 di Hotel Equatorial, Bangi.  Professor Tan Sri Dr Muhammad Kamal Hassan yang dinobatkan sebagai Professor Ulung, dalam mukadimah syarahannya mengucapkan istighfar dan mendoakan supaya beliau dijauhkan daripada perasaan ria dan ujub kerana kejayaannya adalah kurniaan Allah semata-mata.  Betapa Allah kurniakan insan muslim professional ini dengan akhlak yang cukup berhemah, peribadi yang indah dan akalbudi yang penuh hikmah.