Monday, February 28, 2011

Love Astigmatisme


Along,
Kak Long faham situasi Along.  Bila kita sayangkan seseorang, segala yang dia buat betul semua.  Kita tak nampak apa salahnya dengan dia.  Yang salah pun macam betul aja….hihi, pakai cermin mata pun tak boleh nak tolong nampakkan yang sebenarnya.  Mata hati saja yang boleh nampak dan mata hati tu pulak dah jadi rabun sikit dengan “cinta”…..Love Astigmatisme.  Tinggi pulak tu indeksnya.  Jadi, nak baiki balik mata hati pun kena guna high-indeks punya kanta la…lagi tinggi power kanta, lagi mahal harganya.  Macam cermin mata Kak Long, dah la kena special order…kena tunggu lama pulak tu, orang lain buat sehari siap, cermin mata Kak Long paling cepat seminggu.  Sebab power tinggi sangat, kata optometris tu, orang tak simpan stok la..kena order khas.  Dah tu, mahal pulak….abang Ezuan garu kepala bila Kak Long kena buat cermin mata baru.
Ini pendapat peribadi Kak Long.  Pada Kak Long, kalau orang tu betul-betul sayangkan kita, dia akan sanggup berada dengan kita walau dalam situasi apa pun.  Macam nasyid isteri solehah, silap kita dia betulkan, kita lupa dia mengingatkan.  Memang ya, ada gaduh-gaduh.  Ada merajuk-rajuk.  Sikit-sikit atau pun banyak-banyak.  Tapi takkan dia sanggup break-up.  Takkan sampai sanggup lepaskan dengan sukarela, kalau betul sayang.  Ini baru zaman cinta-cinta.  Belum lagi alam rumahtangga.  Lagi banyak dugaan, lagi banyak ujian.  Kalau zaman bercinta dah tak boleh bertahan, maybe berpisah adalah jalan yang terbaik.  Kalau dah kahwin kan lagi susah…. Tak payah tengok yang jauh, cuba Along tengok macamana kasihnya ibu Along pada ayah.  Subhana Allah….so, mohon pada Allah diberikan orang yang sayang Along macam ibu sayang ayah.  Teringat pulak pada lagu Alleycats dulu, “aku menyintainya seperti ayah menyinta ibu dan dia mencintaiku seperti kau cintakan ayah….”
Tanda sayang pun bukan dengan kata-kata.  Bukan dengan harta benda.  Tanda sayang ni adalah bila kita akan sentiasa jaga hati orang yang kita sayang, selagi ia tak bertentangan dengan hukum agama, of course.  Kalau kita sayang orang, kita tak nak tengok dia terluka, kita tak nak tengok dia susah, kita tak sanggup tengok dia terbeban dengan masalah, betul tak?  Pada Kak Long, tu lah tanda sayang.  Sentiasa cuba untuk memudahkan, menyenangkan, membantu dan menghiburkan.  Bukan menyusahkan menyukarkan dan menyakitkan, bukan mintak itu ini; harap itu ini.
Kadang-kadang, eloklah Allah bagi petunjuk awal-awal ni.  Kalau dah sampai bertunang lagi susah kan.  Sakit memang sakit, perit semestinya perit sebab Along sayang betul-betul, bukan main-main.  Tapi kalau betul Along sayang dia, lepaskanlah dia.  Dah dia anggap Along tak mampu nak bahagiakan dia…buat apa nak tahan dia lagi.  Jangan paksa diri untuk melupakan sebab kita manusia biasa.  Sampai bila pun Along takkan lupa.  Tapi Along jangan layan perasaan sangat.  Mula-mula memang susah, ambik masa, tapi sabarlah.  Bagi diri Along sedikit masa.  Zikir banyak-banyak.  Hati yang terluka dan disembuhkan melalui zikir kepada Allah tu kan lebih bersih dari hati yang dipenuhi cinta tetapi lalai mengingati Allah.  Memang betul Along kecewa, tapi insya Allah, selepas kecewa tu sembuh, Along akan jadi insan yang lebih kuat dan yakin serta insan yang jauh lebih baik….Along dah mintak maaf dengan dia, cukuplah tu.  Kira 0-0 dah.  Tak payah dah dok buat analisa…salah siapa.  Pergi buat analisa data untuk lab test Along lagi baik kot.
Last but not least, doakan semoga Allah akan berikan yang terbaik untuk Along.  Kalau dia jodoh Along, macam mana pun, dia akan balik kepada Along.  Tapi kalau sebaliknya kena redha dengan hakikat dia lahir bukan untuk Along dan Along pun tercipta bukan untuk dia.   
“Dan kamu tidak akan dapat melepaskan diri daripada kekuasaan Allah di bumi dan tidak juga di langit, dan kamu tidak akan mendapat sebarang pelindung dan penolong selain dari Allah.”  (Al-Ankabut:22)

No comments:

Post a Comment