Monday, January 31, 2011

FLOM vs PERMATA

Setiba di pejabat pagi tadi, saya memeriksa peti surat.  Atau lebih tepat lagi melihat kalau-kalau ada arahan kerja untuk ditambahkan lagi dalam senarai kerja yang memang sedia panjang. Ada skrip peperiksaan akhir semester lepas yang keputusannya diprotes siswa - dan saya dilantik sebagai pemeriksa kedua untuk melakukan pemarkahan semula.  Sebab ini bukan kursus saya, ertinya saya nak kena ulangkaji sikit sebelum boleh memeriksa.  Selanjutnya, arahan penyediaan soalan peperiksaan akhir, dengan tarikh penyerahan 10 Februari.  Dengan cuti dua hari, Khamis dan Jumaat?  Saya baru berazam hari ini nak membaca draf tesis pelajar PhD  yang dah hampir 2 minggu saya perapkan.  Teringat masa buat PhD dulu, kalau hantar draf pada supervisor, kalau boleh nak komen secepat mungkin supaya pembetulan boleh dibuat segera.  Do unto others what you want others do unto you....kesian pelajar saya.  Alhamdulillah, dengan izin Allah, saya diberikan kekuatan untuk membaca dan memberikan komen walaupun untuk satu bab sahaja, daripada dua bab yang dihantar.  InsyaAllah, hari Rabu nanti saya cuba baca yang satu lagi. 

Mengenangkan minggu depan, jadual amat padat, saya tiada pilihan melainkan membelek-belek fail kuliah untuk mencari ilham membuat soalan peperiksaan akhir.  Senarai tugas yang lain kena dikesampingkan dulu.  Waktu membelek-belek nota, saya teringat apa yang saya bincangkan dalam kuliah lepas....tentang Adam Smith dan teori ekonominya.

Once upon a time, Adam Smith bercerita kalau negara nak kaya, tak boleh ada kerajaan yang besar.  Kerajaan yang besar menelan perbelanjaan yang banyak sebab kerajaan yang besar cenderung membazirkan sumber untuk perbelanjaan yang tak perlu.  Contoh: bila kerajaan besar, kena ada jabatan wanita pertama negara.  Kos operasi dan kos pengendalian majlis seperti majlis minum teh wanita-wanita pertama perlukan peruntukan daripada belanjawan negara.  Atau, nak buat sambutan Hari Wilayah mungkin memerlukan belanja RM5juta, tak tau untuk apa, kat mana produktifnya.  Alasan Adam Smith, sumber negara terhad.  Kalau perbelanjaan kerajaan tinggi, jadi kuranglah yang tinggal untuk sektor yang produktif.  Jadi, secara relatif, lebih rendahlah tahap kekayaan negara yang boleh dicapai.

Tapi, Adam Smith tidaklah menolak secara total keperluan kerajaan.  Menurut Adam Smith, kerajaan diperlukan untuk menyediakan perkhidmatan yang pihak swasta tak berminat nak menyediakannya seperti perkhidmatan keselamatan, kehakiman, perundangan, penyediaan pengangkutan, pendidikan dan kesihatan.  Contoh, Projek PERMATA.  Projek ini untuk memperkasakan pendidikan awal kanak-kanak, antaranya. Tanpa mengambil kira justifikasi peruntukan belanjawan,  pujian patut diberikan kepada kerajaan dalam usaha memberi perhatian kepada sektor pendidikan awal yang selama ini terabai.  Cuma diharapkan projek ini akan dilaksanakan dengan baik dan terancang; serta disebarluaskan ke seluruh pelusuk negara khususnya di luar bandar.  Projek ini jauh lebih bermakna daripada usaha membangunkan industri batik negara, yang sepatutnya boleh diserahkan kepada kuasa pasaran.

Berkait dengan peranan kerajaan, saya teringat tentang peranan ekonomi kerajaan menurut beberapa cendekiawan Islam.  Lagipun, Malaysia kan sebuah negara Islam.  Pemimpin kita pemimpin OIC.  Logik sangat untuk kita konsistenkan peranan kerajaan, amalan kerajaan dan belanjawan kerajaan dengan ajaran Islam.  Al-Mawardi, al-Ghazali dan Ibnu Tamiyah secara umumnya menyimpulkan tugas kerajaan adalah pembasmian kemiskinan, memastikan penyediaan keperluan asas, memastikan agihan pendapatan yang adil dan saksama, memelihara keamanan dan keselamatan, melindungi nyawa dan harta benda, menguruskan kewangan negara, menegakkan keadilan dan membentuk dan menanam nilai kemanusiaan yang baik.  Berbanding dengan cerita Adam Smith, Islam mensyaratkan peranan yang lebih komprehensif selain penyediaan perkhidmatan seperti pendidikan, keadilan, kehakiman dan pengangkutan.  Unsur kemanusiaan untuk kebajikan rakyat turut dipentingkan seperti menanam nilai moral yang baik dan memastikan agihan pendapatan yang lebih seimbang serta memastikan setiap rakyat tidak dinafikan keperluan asas. Yang mengkagumkan, sarjana-sarjana Islam ini menulis jauh lebih awal daripada Smith.

Saya tertarik dengan takrif pemimpin (kerajaan) yang baik oleh Abu Musa al-Ashari;
Kerajaan yang baik adalah kerajaan yang mana rakyatnya bertambah makmur di bawah pemerintahannya manakala pemimpin yang paling lemah adalah yang menyebabkan hidup rakyatnya semakin sukar.

Lessons of the Day:
1.  Hidup ini penuh dengan ketidakpastian.  Nabi Muhammad S.A.W. pesan, ingatlah masa senang sebelum masa sibuk.  Jadi, kena cuba selesaikan segala kerja jika ada ruang waktu sebab tak tahu lagi sama ada esok masih ada; atau esok nak kena buat apa sebenarnya.
2.   Sebenarnya ilham dan kekuatan milik Allah.  Kalau ada izinNya dan pertolonganNya, kerja yang banyak dapat disiapkan dalam masa yang singkat.  Yang penting, selain berusaha, kena istiqamah berdoa dan bergantung kepada Allah banyak-banyak.
3.  Islam dah sediakan blueprint tanggungjawab pemimpin atau kerajaan.  Gunanya - untuk jadi tanda aras kerajaan yang ada.  KPI kerajaan yang sedang memerintah.  Capai KPI ke menyimpang jauh.  Dan juga jadi kriteria untuk pemilihan pemimpin....

Kalau Adam Smith atau Ibnu Tamiyah masih hidup, agaknya apalah komen mereka tentang FLOM. Di universiti, semua fakulti malah jabatan kena ada misi dan visi.  Semua permohonan geran penyelidikan dan permohonan kebenaran mengadakan persidangan perlu ada objektif yang jelas.  Telusnya kerajaan.  Teringin nak tahu visi dan misi FLOM serta justifikasi belanjawan FLOM; tapi laman sesawangnya tak dapat nak diakses.

When The Ladies Take Charge….

Semalam saya tanya Hubby, apa cerita kat Kaherah ni?  Jawab hubby, sebab First Ladylah jugak.  Saya tak ikuti sangat cerita First Lady Mesir.  Lepas Tunisia, kini Mesir.  Teringat  zaman kecik-kecik dulu, saya suka ikuti cerita First Lady Filipina, Imelda Marcos.  Koleksi kasutnya, beg tangannya, pakaiannya.  Cuma dulu tak ada internet sebagai sumber berita.  Masa tu saya masih lagi membaca akhbar arus perdana.  Tapi saya ingat lagi, saya tanya ayah, “dia nak buat apa kasut dan baju sebanyak tu….” Akhirnya, kerajaan Ferdinand Marcos dijatuhkan rakyat disebabkan Imelda.  Ironinya, pemimpin reformasi pun wanita, Mendiang Corazon Aquino. 
Wah…when the ladies are in charge…. .  Nabi Allah Adam A.S. dikatakan makan buah yang dilarang sebab pujukan Hawa.  Firaun yang zalim dan keras tunduk kepada kemahuan isterinya, Asiah untuk mengenepikan undang-undang membunuh semua bayi lelaki.  Itu Firaun – yang jadi sebutan sampai ke hari ini sebab kezalimannya.  Pun tunduk dengan pujuk rayu seorang wanita bergelar isteri.  Betullah, kekuatan lelaki bukan pada kegagahannya, tapi pada keupayaan untuk berlaku adil pada rayuan wanita. Sultan Mahmud sanggup korbankan putera tercinta dan kebajikan rakyat umumnya kerana dambakan Puteri Gunung Ledang.  Hah, Sultan Mahmud gagal dengan ujian Sang Puteri.  Tak macam Raja Sulaiman yang lulus cemerlang ujian dari Ratu Balqis.  Itu beza lelaki hebat dengan lelaki lemah.  Revolusi Physiokrats (anti kerajaan ketika itu) boleh berkembang di Perancis sebab Quesnay (salah seorang pemimpin Revolusi) mendampingi Permaisuri (Madam de Pampador); dan dengan itu menggunakan Ratu untuk mendapatkan kebebasan keluar masuk istana.  Bila Ratu bersuara, Raja pun angguk saja.  Akhirnya, revolusi bermula.  Si Tanggang jadi batu pun sebab wanita.  Kakitangan kerajaan kena pakai batik tiap hari Khamis pun mungkin sebab wanita.  Kesultanan Kelantan bergolak pun kerana Permaisurinya.  Masalah dengan wanita bila mereka berkuasa ni rupanya masalah universal, dari zaman bermulanya sejarah manusia – Adam dan Hawa sampai sekarang; dari barat sampai ke Timur.  Patutlah Rasulullah kata, “Aku tidak tinggal selepasku ujian paling bahaya untuk lelaki selain wanita.”
Tapi tak semua wanita macam tu.  Teringat semasa saya mengikuti perkongsian oleh Saudara Abdul Halim, salah seorang pejuang yang berada dalam kapal Mavi Mavara.   Katanya, semua mereka yang mengikuti konvoi tu menyatakan kesanggupan mereka menyertai perjuangan itu adalah disebabkan sokongan dan dorongan para isteri di rumah.  Dengan kata lain, peranan isteri sangat penting dalam menyuntik semangat juang dan jihad suami.  Rasulullah S.A.W. pun mengakui bagaimana isterinya, Khadijah yang merupakan tulang belakang perjuangan baginda di peringkat awal perkembangan Islam.  Apabila ditanya oleh Aisyah kenapa Baginda masih mengingati Khadijah, jawab Rasulullah, ”Demi Allah! Dia (Khadijah) beriman kepadaku disaat orang-orang mengingkariku. Dia membenarkanku di saat semua orang mendustakanku. Dan dia membantuku dengan menginfakkan segenap hartanya ketika semua orang menahan hartanya dariku dan Allah telah mengurniakan beberapa orang zuriat dari rahimnya yang tidak aku perolehi dari isteri-isteriku yang lain”. [HR Ahmad, Al-Isti’ab karya Ibnu Abdil Ba’ar].
Betullah kata pepatah, tangan yang menghayun buaian boleh menggoncang dunia.   Soalnya, goncangan yang macamana – memporak-porandakan dan merosakkan atau menyedarkan,  membawa pembaharuan dan keadilan.  Betul juga kata pepatah, di sebalik kejayaan lelaki, mesti ada seorang wanita.  Di sebalik kegagalan lelaki pun, ada peranan wanita. 
Cuma yang menakutkan, Rasululllah S.A.W. kata, penghuni neraka majoritinya wanita, dalam sabda Baginda,
 “Wahai kaum perempuan, bersedekah dan banyakkan beristighfar kerana sesungguhnya aku mengetahui (bahawa) kamu golongan yang banyak sekali antara ahli neraka.”
Lalu seorang perempuan yang bijak antara mereka bertanya: “Ya Rasulullah mengapa kami menjadi golongan yang banyak sekali di neraka?” Baginda menjawab: “”(Kerana) kamu selalu mengutuk dan memaki-hamun dan kamu pula tidak mengenang budi suami.  Aku juga tidak melihat golongan yang kurang akal dan kurang pula agamanya tetapi besar pula pengaruhnya kepada orang lelaki sekalipun yang bijak bistari, selain daripada kamu.”
Perempuan itu bertanya lagi katanya: “Ya Rasulullah apa maksudnya: kurang akal dan kurang agama?” Baginda menjawab: “Mengenai kurang akal, Saksi dua perempuan hanya menyamai saksi seorang lelaki; maka inilah kurang akal. Dan seseorang perempuan pula akan tinggal beberapa hari dengan tidak mengerjakan sembahyang (kerana kedatangan haid) dan dia pula ada kalanya tidak berpuasa pada Ramadan (kerana kedatangan haid juga) maka ini menunjukkan kaum perempuan kurang amal agamanya (berbanding dengan kaum lelaki).”  (Hadis riwayat Bukhari dan Ibn Majah)

Lessons of the Day:
1.      Saya seorang wanita dengan status isteri dan ibu.  Ingatan untuk diri, kalaupun tak mampu nak menjadi pendorong atau pemangkin kepada sebuah perjuangan yang hebat, cubalah untuk tidak membawa kebinasaan atau kesusahan kepada sesiapapun dengan kuasa wanita yang ada.
2.      Ramai wanita yang destinasi akhirnya – neraka.  Faktor penyebab: banyak merungut (aktiviti liar lidah) dan mengingkari kebaikan suami.  Ingatan untuk diri: kena selalu jaga lidah dan kena ingat selalu tingginya daulat suami  dalam hidup seorang isteri.  Patutlah Rabiatul Adawiyah tak nak kahwin.  Semoga Allah mudahkan segala urusan dalam melaksanakan tanggungjawab dan tuntutan sebagai seorang isteri.
3.      Kena ikut pesan Rasulullah:  banyak memberi sedekah dan banyakkan beristighfar.  Semoga Allah mudahkan untuk mengikuti petunjuk ini.
4.      Wanita secara relatifnya kurang akal dan agama berbanding lelaki.  Itu kekurangan wanita.  Sebab itu Allah jadikan lelaki sebagai ketua rumahtangga.  Tetapi, Allah Yang Maha Adil kurniakan jugak kelebihan kepada wanita – kemampuan mempengaruhi lelaki walaupun yang bijak bistari.  Sebagai wanita, kena bijak gunakan kelebihan ini untuk mencapai apa yang Allah redhai.

Sunday, January 30, 2011

A Fairy Tale Ending: Ratu Balqis dan Raja Sulaiman

Indah sungguh hari ini.  Allah kurniakan masa dan peluang untuk bersama anak-anak tersayang.  Dari pagi, ke kedai buku sama-sama.  Makan tengahari di luar, meraikan hari lahir Ezham dan Sara.  Sebelah malamnya, it is Mummy’s time with Sara and little Furqan sebab Harriz dan Ezham ada sessi badminton dengan Daddy.  Rancangan seterusnya, insya Allah, budak-budak mintak nak menonton “Ngangkung” di Astro sebagai tayangan larut malam memandangkan esok cuti.

Alhamdulillah, Allah berikan juga sedikit waktu dan kekuatan untuk menyambung menelaah rujukan ulung, kitabNya.  Dah agak lama saya tinggalkan.  Mujur ada penanda yang mengingatkan kat mana saya berhenti.  Surah al-Naml, ayat 15-44.  Kisah Nabi Sulaiman A.S. 

Daripada ayat-ayat awal, doa Nabi Sulaiman mengingatkan saya kepada pelajaran hari semalam.  Kena mohon doa supaya Allah mudahkan untuk melakukan amalan soleh.  Sebab hakikat seorang hamba melakukan ibadah adalah dengan izin dan rahmat Allah semata-mata.  Allah dah berikan susunan doa yang sewajarnya menerusi doa yang diamalkan oleh Nabi Sulaiman A.S.,
”Ya Tuhanku, berilah aku ilham untuk tetap menyukuri nikmatMu yang telah Engkau anugerahkan kepadaku dan kepada dua orang tuaku; dan untuk mengerjakan amal soleh yang Engkau redhai; dan masukkanlah aku dengan rahmatMu ke dalam golongan hamba-hambaMu yang soleh.”

Kisah selanjutnya tentu kebijaksanaan Nabi Allah Sulaiman A.S. mentarbiyah Ratu Baliqis sehingga tunduk mengakui keesaan Allah.  Boleh jadi bedtime story untuk Sara.  Nabi Sulaiman asalnya tidak mengetahui kewujudan kerajaan Saba yang terkenal dan kaya; di bawah pemerintahan raja wanita, Ratu Balqis.  Dengan kehendak Allah, burung hud-hud telah memberitahu baginda tentang kerajaan Ratu Balqis dengan singgahsana yang besar (30 hasta), diperbuat daripada emas dan bertatahkan batu permata.  Sayangnya, mereka ini menyembah matahari.  Dalam zaman yang belum ada e-mail atau SMS, Nabi Sulaiman mengutuskan warkah kepada Ratu Balqis menerusi burung hud-hud tadi.  Kat Hamka, ini juga taktik Nabi Sulaiman untuk menguji kebenaran berita hud-hud...betul ke atau auta semata-mata.  Pemilihan kata dalam warkah Nabi Sulaiman ringkas dan padat.  Orang putih kata short yet concise.   Dimulakan dengan nama Allah, baginda memohon secara hikmah supaya kerajaan Balqis yang besar ini tidak berlaku sombong, sebaliknya menyerah dan menerima ajaran baginda.  Kaedah penulisan Sulaiman menyebabkan Ratu Balqis menilai warkah Baginda sebagai warkah yang mulia.

Ratu Balqis pun bermesyuarat dengan para pembesar negeri, ala-ala menteri kebinet dalam Parlimen negara.  Menurut Hamka, menteri kabinet Balqis seramai 312 orang. Susunan pembentangan warkah oleh Puteri Balqis kepada Parlimennya juga secara hikmah – dinyatakan surat ini surat mulia, dari seorang raja besar dan menggunakan nama Allah yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang.  Terselit segala maklumat yang diperlukan untuk pertimbangan keputusan para menterinya.  Pengirim warkah ini bukan sebarang.  Lalu tindakan terhadapnya juga perlu dipertimbang sebaiknya, dirancang sebijaknya.  Telus dan demokrasi pemerintahan Balqis.

Dengan pemerintah yang sebijak ini, sudah tentu keputusan akhir diserahkan menteri kepada Ratu walaupun ditegaskan mereka bersedia berperang sekiranya itu pilihan Ratu.  Pertimbangan Ratu dalam mengambil kata putus adalah atas dasar keselamatan negara dan maruah rakyat seluruhnya.  Bukan sebab kepentingan diri.  Kata Balqis, sekiranya negara mereka ditakluk Sulaiman, Balqis bimbang negerinya akan rosak binasa dan rakyatnya yang mulia jadi hina setelah dijajah nantinya.

Keputusan Ratu Balqis – menguji dulu keperibadian Nabi Sulaiman.  Raja besar ini, sebesar itukah etika dan peribadi?  Ratu Balqis mengirimkan hadiah kepada Nabi Sulaiman.  Tindakan ini bukan tanpa tujuan.  There is no such thing as free lunch kan.  Helah Ratu Balqis di sini hanya satu – melihat kesan pemberian hadiah kepada Nabi Sulaiman.  Jika pemberian ini diterima, nyatalah dia seorang raja biasa yang lemah jiwanya.  Boleh dibeli dengan harta.  Tapi sekiranya kemewahan percuma ditolak, maka benarlah dia seorang raja berperibadi mulia.  Dari dulu rupanya dah wujud konsep penggadaian maruah kerana material. Apatah lagi dalam dunia hari ini.....

Reaksi Nabi Allah Sulaiman?  Pemberian ini ditolak mentah-mentah.  Kata Sulaiman, dia tak boleh dibeli dengan tawaran harta sebab apa yang Allah berikan jauh lebih baik dari segala harta yang ditawarkan oleh Balqis.  SubhanaAllah….berapa banyaklah pemimpin hari ini yang mampu melakukan perkara sama.  Utusan Balqis disuruh pulang begitu sahaja dengan amaran mereka akan diserang dan ditawan.  Ternyata percubaan untuk membeli jiwa Baginda dengan harta dianggap satu penghinaan yang layak ditangkis dengan peperangan.  Betapa tingginya harga maruah diri kepada Raja Sulaiman.

Ratu Balqis wanita bijak.  Bijak menyusun strategi dan pintar mentafsir apa yang tersirat di sebalik tindakan Nabi Sulaiman.  Ratu Balqis sendiri berangkat menghadap manusia agung ini.  Sebelum meninggalkan negara, dia memerintahkan supaya singgahsananya disimpan ke dalam peti besar tujuh lapis.  Tiada siapa boleh mendekati atau melihat singgahsananya sepeninggalan beliau.  Cuma, Nabi Sulaiman ada pakar risiknya dari jin-jin yang memberikan laporan lengkap kepada Nabi Sulaiman tentang jadual perjalanan Ratu Balqis.  Nabi Sulaiman juga sebijak Balqis dalam menyusun strategi menguji kehebatan saingannya.  Baginda memerintahkan jin untuk membawakan singgahsana Balqis kepadanya.  Diubahkan sedikit dari keadaan asal untuk ditunjukkan kepada Balqis.  Objektif Nabi Sulaiman adalah untuk melihat sama ada Balqis ini wanita yang mampu membezakan kaca dengan permata atau sebaliknya.  Kata Hamka, objektif yang tersirat adalah Nabi Sulaiman mahu memastikan Ratu Balqis menginsafi bahawa dia bukan berhadapan dengan seorang Raja biasa yang objektif penaklukannya untuk memperluaskan jajahan tetapi dia seorang Nabi Allah yang tujuan penjajahan adalah untuk menyebarkan ajaran Allah semata-mata.

Bila Ratu Balqis dihadapkan dengan persoalan tentang persamaan singgahsana, sudah tentu Ratu yang bijak dan tinggi akal budi ini tahu singgahsana ini miliknya.  Pun diplomasinya terserlah....jawabnya seakan-akan sama.  Biarpun yakin itu singgahsananya, Balqis tetap menyusun bicara secara penuh waspada.  Ratu Balqis bijak mentafsir segala.  Penuh insaf, Balqis mengakui menerusi Sulaiman, dia telah diberikan pengetahuan dan petunjuk terhadap kebenaran.  Tentang agama Allah yang benar.   Balqis mengakui tunduk menyerah diri sebagai seorang Mukmin.  Dan dilengkapkan dengan pengakuan keinsafan ini dengan sendirinya menghalang dia daripada menyembah matahari sebagaimana sebelumnya.

Nabi Sulaiman selanjutnya menjemput Ratu Balqis memasuki mahligainya yang indah. Rasionalnya, Ratu Balqis bukan menyerah sebagai tawanan perang sebaliknya dia menyerah kepada kebenaran agama Allah; maka selayaknya dia dilayan sebagai saudara seagama. Lantai mahligai diperbuat daripada cermin.  Sangka Balqis, kolam air yang sedang diredah..  Terkejut Sang Ratu apabila kakinya tidak pun basah tatkala mengatur langkah.  Sekali lagi, Ratu Balqis menyerah kalah.  Kepada Allah, Balqis tunduk mengakui selama ini dia menganiaya diri sendiri dan mengakui pengabdian jiwanya kini kepada Allah.  Juga, Ratu Saba’ ini mengakui penyerahan jiwa raga kepada Nabi Allah Sulaiman A.S. sebagai isteri.  Happy ending ala-ala fairy tale barat Cinderella dan Snow White yang semuanya berakhir dengan perkahwinan diraja.

Lessons of the Day:
1.        Panjangnya coretan hari ni.  Apapun pelajaran untuk saya, jangan gadai maruah kerana hadiah a.k.a. rasuah.  Sebelum menerima pemberian orang khususnya dengan kepentingan tertentu, fikirkan dahulu sebab musababnya.  Kena hipotesiskan dulu apa agaknya di sebalik pemberian tu.  Bukan semua pemberian ikhlas....there is no such thing as free lunch!!  Keperibadian manusia boleh dinilai dengan material – manusia hebat berperibadi mulia takkan mengorbankan amanah dan maruah dengan kemewahan material sebab mereka tahu ganjaran Allah terhadap kejujuran mempertahankan harga diri dan amanah lebih berharga.
2.        Apa yang mendasari kehebatan kisah Sulaiman-Balqis adalah ketinggian akal budi keduanya.  Sang Ratu bijak mengatur strategi, pintar pula mentafsir gerak-geri.  Raja Sulaiman yang mulia dianugerahkan Allah kekuatan berdakwah secara hikmah, juga keupayaan menguji Ratu bistari.  Akhirnya, tunduk Ratu Balqis kepada dakwah Islamiah dan menyerah diri kepada Sulaiman sebagai isteri. Tanpa kekerasan, tanpa peperangan, tidak melibatkan harta material sebagai umpan.  Hanya bersenjatakan ketajaman fikiran dan kebijaksanaan minda.
3.    Kena masukkan doa Nabi Sulaiman dalam menu doa harian.  Mohon kepada Allah supaya Allah mengurniakan rahmat dalam bentuk memudahkan amalan orang soleh sebab hakikatnya, keupayaan diri melakukan amalan soleh adalah dengan izin dan rahmat Allah semata-mata.

Coincidence again??  Balik dari surau, hubby ceritakan, hari ini ustaz cerita Surah al-Naml. Ohhh. Surah semut, yang bermula dengan ThaSin.  Kata hubby, teka-teki...berapakah bilangan huruf Tha dan Sin dalam surah tu?  Say senyum saja...mestilah saya tak tahu.  Kata hubby, Surah tu surah ke 27, dengan 93 ayat.  Jumlah huruf Tha adalah 27, huruf sin pula ada 93.  Masya Allah....lagi kehebatan susunan al-quran yang saya pelajari.

Saturday, January 29, 2011

This is it.....

Dah lama mencari pesanan Rasulullah S.A.W. ini kepada menantu baginda, Saidina Ali R.A.  Alhamdulillah, ketika sedang search internet untuk cari maklumat lain, dapat pesanan ini.  Kisah tentang pesanan ini saya peroleh semasa mak dan ayah bawa saya ke Tanah Suci tahun 1989.  Semasa menaiki bas untuk salah satu acara ziarah, mutawwif (saya dah tak ingat namanya), berkongsi pesanan ini.  Katanya ini buah tangan darinya untuk dibawa balik ke Malaysia.  Bila dah balik, saya lupa.  Dah lama teringat nak cari semula, tapi tak bersungguh-sungguh agaknya.

Yang saya ingat, ustaz tu bercerita, Rasulullah S.A.W. bertanya pada Saidina Ali satu persatu, sanggup atau tidak melakukan perkara-perkara berikut sebelum tidur.  Bermula dengan bersedekah sebelum tidur.  Kata Ali R.A., sanggup.  Kemudian khatam al-quran sebelum tidur.  Saya teringat olahan cerita ustaz.  Masih saya ingat sampai hari ini.  "Beratkan....tapi takkan Ali nak kata tak sanggup.  Bapa mertua yang suruh ni.  Lagi pulak, bapak mertua bukan sebarangan orang.  Rasulullah". Jadi, Ali pun kata sanggup.  Rasulullah S.A.W. pun menyambung lagi dan tiap satunya disanggupi oleh Saidina Ali.  Sampailah kepada amalan yang kelima: menunaikan tawaf di Baitullah sebelum tidur.  Maka Ali R.A. pun menjawab, "Ya Rasulullah, mana mungkin untuk aku lakukan tawaf setiap malam sebelum tidur.  Aku tinggal di Madinah sedangkan Baitullah terletak di Mekah.  Perjalanan sahaja mengambil masa beberapa lama."  Barulah Rasulullah S.A.W. menjelaskan, apa yang aku maksudkan adalah melakukan amalan sebelum tidur yang ganjarannya dan darjatnya sama dengan khatam al-quran, bersedekah, tawaf di Baitullah, menjadikan musuh sebagai sahabat dan membayar harga syurga, (yang kedua terakhir ini yang saya dah tak ingat dan tercari-cari selama ini).

For this, I will let the picture speaks for itself.

Friday, January 28, 2011

Shhh….Think Before You Speak


 Usrah di fakulti hari ini dimulakan dengan majlis makan tengahari, ditaja oleh PM Fatimah Said.  Terima kasih. Alhamdulillah.  Semoga Allah murahkan rezekinya, selalu sangat dia menaja makanan, minuman dan kudap-kudapan dalam sessi usrah.

Hari ini pembacaan hadis ke 29 daripada Himpunan Hadis 40.  Ringkasnya, hadis berkisar kepada pertanyaan seorang sahabat tentang amalan untuk menuju syurga dan mengelakkan azab neraka.  Rasulullah menjelaskan dalam tiga bahagian.  Pertama, tidak menyekutukan Allah dan menunaikan rukun Islam lainnya – solat, zakat, puasa dan haji.  Kedua, melakukan perkara yang bukan wajib tetapi untuk markah bonus.  Kalau KPI Universiti Malaya, bahagian B2 lah.  Puasa, sembahyang dan ibadat pada waktu malam serta sedekah.  Yang ketiga, untuk elakkan daripada neraka adalah menjaga lidah.  Kata Rasulullah S.A.W. manusia dihumbankan ke neraka dalam keadaan terlungkup muka dan hidungnya disebabkan oleh kejahatan lidah – bergossip a.k.a. mengumpat dan bermulut laser tak bertempat, mengadu domba serta berbalah tanpa keperluan. Aduhai....patutlah Luqman berpesan kepada anaknya, jangan bercakap kecuali bila perlu dan janganlah banyakkan perdebatan.  Orang putih pulak kata ”Silence is Golden”.  Nenek moyang saya, orang tua Melayu kata, diam ubi berisi.  Kerana mulut badan binasa.  Semuanya memberi implikasi diam tu lebih baik.

Usrah dilanjutkan dengan penelitian beberapa bait Surah al-Mulk.  Dinyatakan nanti penjaga neraka akan bertanya kepada penghuni neraka, apakah mereka tidak diberi peringatan tentang dosa yang dilakukan?  Sahut penghuni neraka, ada tetapi mereka tidak mengikutinya.  Teringat sendiri tentang dosa lidah – apa lagi, bergossip.  Takutnya..teringat bagaimana Rasulullah menerangkan definisi mengumpat, apa saja yang digossipkan, yang mana kalau terdengar oleh pihak yang digossip, akan menyinggung perasaannya.  Dah diberi peringatan demi peringatan, aktiviti lidah kena jaga.  Kalau tak ikut nanti...Nauzubillah. 

Bicara Allah selanjutnya, Allah beri ganjaran besar untuk mereka yang sentiasa takut kepada Allah walaupun tak nampak Allah.  Tak akan buat apa yang Allah larang sama ada secara terang atau tersembunyi sebab yakin Allah sedang melihat dan mengetahui apa yang dilakukan.  Lagipun, sebagai hamba, rasa sayang kepada Allah boleh dilihat dengan kesanggupan mematuhi suruhan dan laranganNya.  Tak payah tekan i like kat fb group iluvAllah kalau perbuatan tak konsisten dengan pengucapan.  Action speaks louder than words.

Lessons of the Day:
  1. Lidah antara punca utama manusia ke neraka.  Kena jaga aktiviti lidah – bergossip dan yang sewaktu dengannya serta menyakitkan hati orang lain dengan perkataan kena elakkan.  Teringat satu hadis Rasulullah S.A.W. ”Orang Islam itu adalah yang tidak menyakitkan saudaranya dengan tangan ataupun lidah”.  Maksudnya, kalau menyakitkan dengan lidah pun tak tergolong dalam orang Islam. 
  2. Syurga tu rahmat Allah, bukan kerana amal. Jadi, kena berdoa supaya Allah beri petunjuk dan dipermudahkan urusan untuk menuju syurga.  Hanya orang yang Allah izinkan dan mudahkan untuk beramal sahaja yang akan mampu beramal.  Petunjuk sahaja tak cukup.
  3. Bab solat dan ibadat malam ni....dah diingatkan waktu baca tafsir surah al-Furqan.  Hari ni, Allah ingatkan lagi.  Kena mintak doa supaya Allah mudahkan dan beri kekuatan.  Belum buat-buat lagi nih...
  4. Tanda sayang pada Allah, tak sanggup buat apa yang dilarang dan sentiasa cuba untuk buat apa yang disuruh.  Pengucapan sahaja tak cukup.

Moral of the Story:
Kena berubah dengan segera khususnya bab bergossip ni.  Tak ada pilihan.  Allah dah bagi peringatan.  Masalah maklumat tak sempurna tak wujud lagi.  Kalau tak jaga aktiviti lidah, kesannya Allah dah jelaskan menerusi hadis Rasullullah.  Terpulang kepada diri untuk buat keputusan yang bijak untuk jangka pendek dan jangka panjang.  Duhai diri, kena jaga lidah.  Think before you speak sebab macam orang tua kata terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata… Kalau tak perlu lebih baik diam; kalau tak tahu pun lebih baik diam.  Agaknya sebab ni pujangga berkata, “hati orang bodoh adalah di mulutnya tetapi mulut orang pandai adalah di hatinya.”

Hmmm….teringat suatu waktu dulu, sewaktu saya dalam perjalanan nak pergi jumpa mak saudara untuk makan tengahari bersama (lunch date dengan mak saudara); hubby hantar SMS, “ingat, gossip mati seksa”.  Thanks Abang.  Semoga Abang terus membimbing dan mengingatkan Roza.

Wealth Increases With Consumption, Not Savings….

Membaca tentang konsep kekayaan menurut sarjana-sarjana zaman Greek purba, saya kagum dengan keupayaan mereka mentafsirkan “kekayaan” dalam konteks yang luas dan unik.  Kepada mereka, kekayaan dan kemiskinan adalah sesuatu yang subjektif, bukan dilihat kepada jumlah pendapatan atau RM yang seseorang ada, portfolio saham atau “gold bar” yang banyak. Sebaliknya, kena lihat kepada perbezaan antara apa yang ada berbanding keperluan.  Kalau harta sedikit, keperluan lebih sedikit dari itu, maka orang itu kaya.  Kalau RM sangat banyak, tapi keperluan lagi banyak daripada itu, jadi orang yang banyak RM tu sebenarnya miskin.  Ada persamaan dengan definisi kaya menurut Islam.

Lagi, pengiraan kekayaan atau jumlah asset yang ada tidak terhad kepada asset kewangan atau asset monetari.  Definisi harta mereka lebih meluas.  Contoh pemilikan yang termasuk dalam perakaunan harta Greek purba adalah kawan.  Ha….tengok bilangan kawan FB.  Lagi ramai “friends” kat FB, lagi kaya, dengan andaian faktor-faktor lain konstan.  Teringat pulak betapa obsesnya anak-anak yang di bangku sekolah berlawan-lawan siapa mempunyai kawan FB yang lebih ramai.  Justifikasi kawan disenaraikan sebagai harta, sebab kawanlah yang akan mendampingi dan menolong di waktu susah.  Kena tanya diri sendiri: adakah kita kawan yang merupakan harta kepada orang lain? 

Satu lagi, definisi kekayaan Greek yang berbeza dengan definisi kekayaan zaman moden adalah kekayaan hanya beerti kalau ianya berguna contohnya, boleh dijual untuk mendapatkan asset lain atau tahu bagaimana nak digunakan.  Misalnya, kalau ada buku tetapi tak dibaca, buku tu tak dianggap harta.  So, kekayaan bertambah dengan penggunaan.  Sebab tujuan kekayaan adalah untuk melengkapkan kehidupan bukan setakat menerusi pemilikan barangan material tetapi juga dengan keperluan lain seperti ilmu pengetahuan dan kesihatan.  Pun macam ustaz kata, harta atau duit walaupun dalam akaun atau poket kita, kalau kita tak guna, belum tentu jadi hak kita sebab mungkin kalau tiba-tiba sakit, duit tu akan jadi doktor punya.  Lebih menakutkan lagi, kalau kita mati, duit tu jadi waris kita punya.  Jadi, nak pastikan duit tu harta kita, kena belanjakan sebaiknya.  Nak jadikan duit tu harta sementara, belanjakan untuk beli makanan atau pakaian.  Nak jadikan duit tu harta yang kekal, tukarkan kepada currency akhirat seperti sedekah dan derma.

Jadi, takrif kekayaan tidaklah terhad kepada pendapatan dalam bentuk monetari atau pemilikan asset berharga semata-mata, (kalau ikut golongan pemikir mercantilis dulu, kaya tu diukur dengan emas dan perak).  Sebaliknya, takrif kekayaan sangat subjektif – bergantung kepada apa yang kita lihat sebagai kaya.  Lebih tepat lagi, apa yang kita rasa kita nak buat kalau kita kaya.  Ezham, masa berumur 4 tahun dulu pernah tanya kerja apa yang boleh jadikan kita kaya?  Ezham kata, tak nak la jadi macam Mummy atau Daady sebab pensyarah dan jurutera tak kaya.  So, hubby pun tanya pada Ezham, kaya tu macamana?  Ezham kata, kaya tu maksudnya kalau bawak anak pergi Toys’R’Us, anak boleh beli apa saja yang dia orang nak, tak payah tengok tanda harga.  Ha…tu definisi kaya kepada seorang budak berumur 4 tahun yang dunianya adalah toys and toys only. 

Lessons of the Day:
1.    Akaun harta peribadi, subjektif; tak sama dengan akaun harta korporat yang objektif.  Dalam akaun harta peribadi, ada item yang tak ada nilai monetari seperti kawan, anak, ilmu dan sifat cukup dengan apa yang ada.  Orang Greek purba pun boleh faham, kenapalah diri yang hidup zaman moden, ada internet, ada pulak tu Allah bagi al-Quran, tak boleh nak faham.....
2.    Kekayaan boleh diproksikan oleh baki dalam akaun – jika akaun keperluan melebihi akaun pendapatan, maka baki kekayaan adalah negatif.  Tapi kalau akaun keperluan lebih rendah daripada akaun pendapatan, baki kekayaan adalah positif.  Jadi, nak kaya, kena pastikan akaun keperluan sentiasa rendah relative kepada pendapatan.
3.    Kekayaan hakiki berfungsi kepada pola penggunaan; bukan tabungan.  Kalau penggunaan terarah kepada pemilikan material duniawi, kekayaan pun bersifat sementara.  Penggunaan yang cenderung kepada pembelian saham akhirat boleh membina kekayaan bila hidup semula selepas mati, insya Allah.  Tabungan tidak mencerminkan kekayaan sebab belum tentu tabungan itu untuk siapa.  Duit dalam Tabung Haji pun kadang-kadang boleh hilang….

Moral of the Story:
1.   Pendapatan yang tinggi, gold bar yang banyak dan tanah yang berekar-ekar bukan ukuran mutlak kekayaan. 
2.   Pesan untuk diri – kena didik hati supaya selalu cukup dengan apa yang ada. 
3.   Kena cuba untuk susun pola penggunaan supaya konsisten dengan pembinaan kekayaan selepas mati.

Subhana Allah….sebaik saja saya selesai menulis, saya dapati sepotong hadis ini daripada status FB seorang bekas pelajar, Diriwayatkan drpd Abdullah bin Mas’ud RA katanya: “Nabi Muhammad SAW pernah bersabda: ” Janganlah ingin menjadi seperti orang lain kecuali seperti dua orang ini. Pertama, orang yang diberi Allah kekayaan berlimpah ruah dan ia membelanjakannya secara benar (di jalan yang adil & sesuai dgn perintah Allah). Kedua, org yang diberi Allah al-hikmah dan ia berkelakuan sesuai dengannya dan ia mengajarkannya kepada orang lain.  (Al-Bukhari)

Thursday, January 27, 2011

The Older, The Happier?

Betul ker? Makin tua, makin ceria.  Itu dapatan kajian yang mengkaji hubungan umur dan keceriaan a.k.a. kebahagiaan a.k.a. kegembiraan.  Dari makalah "Age and Happiness" yang saya pilih untuk digunakan dalam pengajaran dan pembelajaran kursus Pemikiran Kritikal Dalam Ekonomi.  Mengikut pengarang, hubungan umur dan keceriaan dicirikan oleh keluk berbentuk U, (standard la kalau ekonomi, kena ada graf).  Mula-mula keceriaan berkurangan dengan umur, selepas berumur 46 tahun, semakin tua, semakin happy....

Soalan yang lebih penting, sebab apa orang tua lebih ceria dari orang muda? 
  • Sebab orang tua mempunyai keupayaan mengawal emosi yang lebih baik.  Orang tua lebih bijak mengawal keadaan termasuk tekanan dan lebih sederhana dari segi tindakan. 
  • Orang tua juga lebih toleransi dengan hakikat mereka memang tak mampu gembirakan semua orang pada setiap masa. Jadi mereka kurang rasa kecewa. 
  • Orang tua lebih fokus kepada hidup hari ini sebab mereka tahu mereka lebih dekat dengan kematian.  Atau they know how to enjoy today to the fullest as tomorrow is only a promise.  Ini kajian orang putih.  Orang Islam mana boleh macam ni....kematian tu dekat untuk semua, tak kira tua atau muda. 
  • Akhir sekali orang tua lebih ceria sebab mereka, disebabkan dah lama hidup, telah dapat menerima keadaan dan takdir seadanya. 
Emm, kalau itulah sebabnya, tak payahlah tunggu tua nak ceria.  Boleh "plagiarise" atau "cut and paste" sifat orang tua yang membawa bahagia ni ke dalam diri yang relatif "muda" (muda ker???).  Lagipun, mati tak tahu bila.  Mungkin esok, lusa atau petang ni.  Jadi, tak payahlah tunggu tua untuk ceria kalau betul sikap di atas boleh menambahkan keceriaan - belajar kawal emosi dengan baik, terima hakikat tak boleh puaskan hati semua orang pada satu masa, nikmati dan lalui setiap hari sebaik-baiknya, tak payah nak tunggu nanti dan esok, belum tentu sempat; dan redha dengan takdir seadanya.

(Note: Patterns of excellence are meant to be duplicated.  Jadi dalam kes ini, plagiarism dibenarkan.  Lagipun tak ada copyright.  Dan tak boleh detect pakai software "Turnitin", yes!!! Warga emas jangan saman yer).

Lessons of the Day:
1.  Keceriaan bergantung kepada sifat dalaman insan: kawalan emosi yang baik, tindakan yang sederhana dan kerelaan menerima segala ketentuan seadanya.  So, work for it.
2.  Keceriaan juga bergantung kepada setakat mana kita susun dan lalui hidup hari ini.  Kena nikmati  setiap saat yang ada.  Jangan tunggu nanti bila dah tua, nanti bila dah senang, nanti bila dah pencen...belum tentu lagi esok masih ada, belum tentu lagi esok untuk apa dan tak tahu lagi esok untuk siapa.  Macam lagu Sudirman, "Sampaikan salam buat semua, salam terakhir salam teristimewa, kerna waktu berputaran, bimbang tak berkesempatan..."

"Life is now....enjoy!!"

Al-Furqan’s Criterions of Ultimate Excellence

Sewaktu scrolling (apa scrolling ni dalam bahasa ibunda??) telefon bimbit, saya terlihat maksud al-Furqan diterjemahkan ke dalam bahasa orang putih sebagai “The Criterions”.  Sebab nak tahu kriteria apa, saya pun make an effort untuk membuka dan membaca tafsir surah al-Furqan.  Selama ini dalam pengetahuan, al-Furqan ertinya yang membezakan kebenaran dan kebatilan.

Rupa-rupanya, dalam surah al-Furqan, Allah menjelaskan kriteria hamba Allah yang soleh, (ayat 63 – 74).   Sesetengah mentafsirkan sebagai mereka yang mendapat keredhaan Allah.  Apapun, keredhaan Allah adalah tujuan utama setiap Mukmin.  Pernah terdengar dalam satu usrah yang menyatakan ahli syurga nanti, (dah masuk syurga, dah dapat apa yang nak…) akan ditanya apa lagi yang kalian inginkan.  Ahli syurga ini akan menjawab, Kami mengharapkan redhaMu, ya Allah.  So it is the ultimate of the ultimate…..

Kriteria mereka yang mendapat keredhaan Allah, yang Allah jelaskan dalam surah al-Furqan adalah:
  • Tidak menyekutukan Allah
  • Solat malam dengan tekun (seorang kawan pernah beritahu hanya orang yang terpilih mampu lakukan ini)
  • Amalkan doa yang Allah syariatkan: mohon dijauhkan dari neraka dan mohon dikurniakan keturunan yang menyenangkan hati.
  • Tidak sombong dan takbur.
  • Apabila berhadapan dengan orang yang bodoh atau biadap, elakkan daripada berbahas dan bertengkar. Lebih kurang mengalah bukan bererti kalah dalam situasi macam ni.
  • Tidak membunuh jiwa yang diharamkan oleh Allah.
  • Tidak berzina
  • Tidak hadiri tempat-tempat yang melakukan perkara yang dilarang.  Ada yang mentafsirkan ini sebagai jangan jadi saksi palsu.
  • Elakkan perbuatan yang sia-sia.
  • Mematuhi ayat-ayat Allah, bukan memekakkan telinga dan membutakan mata terhadap bicara Allah dalam al-quran.
  • Mengatur perbelanjaan secara sederhana – tidak boros, tidak kedekut.


Lessons of the Day:
1. Allah Maha Adil lagi Maha Mengasihani.  Allah wujudkan syurga dan neraka, Allah turunkan juga garis panduan untuk ke destinasi tersebut.  Destinasi akhir kita ketentuan Allah semata-mata.  Tidak ada manusia yang masuk syurga kerana amalannya, manusia masuk syurga kerana rahmat Allah semata-mata.  Namun sebagai manusia, perlu berusaha untuk hidup menurut apa yang disyariatkan oleh Allah.   
2. Allah dah gariskan kriteria orang yang akan dikurniakan keredhaanNya: apa yang perlu dibuat, apa yang wajib dielak.  Kriteria yang lengkap, selain hak kepada Allah, Allah jelaskan juga adab pergaulan sesama manusia.  Jadi, pesanan untuk diri sendiri dalam pergaulan:
- jangan sombong.  Kena humble and down to earth.  Apa yang ada pada diri, dari hujung rambut sampai hujung kaki, semua Allah yang punya.  Bila-bila masa Allah boleh tarik kembali nikmat yang diberi.  So, janganlah sombong,  tak ada sebab, tak ada justifikasi.  Allah pun tak redha...
- kalau diuji dengan kebiadaban pihak lain, lebih baik mengalah daripada berbalah.
3.  Kena atur perbelanjaan secara sederhana.  Cuma kena tambah dalam senarai perbelanjaan "belian saham akhirat".  Kena apply "optimization principle" yang pengiraan kos faedahnya mengambilkira dua dunia supaya imbangan duga di dunia seimbang dan imbangan al-Mizan pun seimbang. 
4.  Kena masukkan dua doa yang Allah pesan ini dalam menu doa harian, dah tentu Allah kata mereka yang mendapat keredhaan Allah adalah mereka yang sentiasa berdoa:
"Ya Tuhan kami, hindarkanlah siksa api neraka daripada kami" dan "Ya Tuhan kami, berilah kami beroleh daripada isteri-isteri dan zuriat kami keturunan perkara-perkara yang menyenangkan hati kami dan jadikanlah kami imam ikutan orang-orang yang bertakwa".
5.  Kena usahakan untuk bangun dan solat malam.  Teringat adab tidur Rasulullah S.A.W., sebelum tidur, kena berazam untuk bangun beribadah di waktu malam dan mohon pada Allah semoga dibangunkan dan diberi kekuatan.  Duhai diri, bila agaknya nak dimulakan.  Sedangkan, ajal boleh menjemput bila-bila.....

Semoga Allah anugerahkan nikmat untuk mengamalkan kriteria dalam surah al-Furqan.

Teringat sepotong doa wali Allah, Rabiatul Adawiyah;
“Ya Allah, sesungguhnya aku tak layak masuk syurgaMu, namun aku tak sanggup untuk menghadapi api nerakaMu yang amat dasyat.  Maka terimalah taubatkan dan ampunkanlah dosa-dosaku.  Sesungguhnya Engkaulah sahaja yang mengampunkan segala dosa”.

From Mummy With Love...

Hari ini hari lahir Ezham yang ke 10.  Insya Allah, esok Sara akan menyambut hari lahirnya yang ke 4.  Sungguh ekonomi untuk Mummy Daddy sebab boleh buat sambutan 2 dalam 1 setiap tahun.  Satu kek, satu jamuan makan. Cuma hadiah saja yang kena beli seorang satu.

Salam hari lahir Ezham dan Sara
Sesungguhnya kalian anugerah berharga
Di samping Harriz dan Furqan tercinta
Menjadi penyeri sebuah rumahtangga.

            Doa Mummy sentiasa mengiringi
            Langkah kalian harungi kehidupan
            Semoga sentiasa dirahmati Ilahi
            Dipanjangkan umur dalam kebahagiaan

Juga doa Mummy dan Daddy
Agar menjadi mukmin sejati
Indah akhlak cemerlang peribadi
Membesar sebagai generasi rabbani

            Untuk Ezham secebis pesanan
            Solat lima waktu jangan tinggalkan
            Berhibur tak salah asal tak melalaikan
            Pesanan Luqman kepada anaknya jadikan panduan.
           
Sara Aiesya puteri tercinta
Kerenah manja menghibur jiwa
Moga membesar sebagai wanita
Tinggi akal budi, lembut bicara.

            Kepada Mummy Daddy, kalian amanah
            Untuk dibimbing dengan penuh hikmah
            Agar terdidik peribadi sebagai Muslimin Muslimah
            Semoga Allah memberi hidayah.

Salam Hari Lahir untuk putera-puteri tercinta.  From Mummy with love....

Tuesday, January 25, 2011

Life Manual

Sesungguhnya Allah Maha Pengasih dan Maha Penyayang.  Berterusan Allah menyampaikan pengingatan untuk diri tentang kelalaian, kealpaan dan kesilapan dalam hidup.  Pagi ini, meneliti  status FB seorang kawan, “Kita berbicara dengan Allah menerusi solat; Allah berbicara dengan kita menerusi al-Quran”,  saya tersentak.   Pernyataan ini seperti menyambung kembali apa yang saya pelajari dari bicara Aisyah tentang ibadah malamnya dengan Rasulullah S.A.W.  Allah ulang lagi peringatan untuk diri…Al-Quran adalah wadah bicara Allah dengan manusia.  Allah nyatakan apa yang perlu buat untuk berjaya di dunia dan akhirat.  Allah tegaskan apa yang dilarang keras.  Jelasnya, manual hidup dari Allah.  Jadi, perlu baca dan disebabkan saya tak faham bahasa Arab, saya perlu memahami manual hidup tu dengan meneliti tafsirnya.  Ok, masa untuk saya beri keutamaan kepada pembacaan tafsir, sesuatu yang saya cita-citakan untuk lakukan tetapi asyik menunda-nunda.  Teringat pada satu kata-kata dulu, kalau nak tahu kedudukan kita di sisi Allah, lihatlah bagaimana kita letakkan kedudukan Allah dalam hidup kita….tak ada usaha yang serius dan konsisten untuk cuba memahami bicara Allah.  Kalau zaman bercinta dulu, boyfriend dedikasi lagu, kelam kabut cari lirik.  Lagu apa ya?  Apa Saja (KRU); Dua (KRU) – ohh…nostalgia lama.  Kalau baca novel, lagi tak habis, tak letak-letak.  Sanggup tak tidur malam sebab nak habiskan novel.  Kadang-kadang siap menangis lagi kerana novel.  Ergh…..salah priority betullah.
Seterusnya cerita di meja makan semalam.  Cerita hubby tentang perlunya berfikir untuk menyelesaikan masalah.  Asalnya, Harriz merungut, “Mummy, dalam air ni ada semut”.  Lalu saya membalas, “Dah tu…pergilah buang air tu dan tuang air yang baru”.   Saya tegaskan juga, Abang Harriz dah besar (he is 12 this year).  Hal kecik macam tu fikirlah sendiri apa nak buat. So, hubby pun cerita tentang kisah angkasawan Amerika dan angkasawan Russia.  Mereka bertemu di bulan.  Masalah mereka, tak boleh menulis sebab dakwat pen memerlukan tarikan graviti.  Di bulan tak ada tarikan graviti.  Jadi mereka pulang ke negara masing-masing dengan misi untuk mencipta pen yang boleh digunakan untuk menulis di bulan.  Beberapa lama kemudian, mereka bertemu di bulan dengan alatulis masing-masing.  Orang Amerika menunjukkan pen mereka yang dihasilkan dengan kos yang mahal dan melibatkan proses inovasi yang sangat kompleks.  Ok….masa tu saya terfikir, kalahkah orang Russia?  Dia orang nak pinjam pen angkasawan Amerika?  Rupanya, hubby sambung, orang Rusia keluarkan pensil.  Dia orang tak perlu membelanjakan kos yang tinggi dan membuang masa dan tenaga untuk satu proses yang komplikated tetapi tak perlu.  Penyelesaian mereka lebih mudah dan ekonomi. 
Lessons of the Day:
1.      Kena belajar memahami al-quran sebab itu media komunikasi Allah dengan umat Muhammad S.A.W.   Lagipun, jelas dah benar.  Tak ada keraguan.  Bukan macam media komunikasi zaman siber yang nak kena tapis dulu cerita-ceritanya…logik ke tak, masuk akal ke tak.
2.      Kena berfikir mencari penyelesaian yang mudah dan ekonomi selagi ada alternatif.  Berfikir saja tak cukup, kena berfikir dengan cara yang betul.

Moral of the Story:
1.      Allah bagi banyak-banyak peringatan sebab Allah Maha Penyayang.  Allah ingatkan diri ini supaya jangan abaikan “priority” pemilihan bahan bacaan.  Semoga Allah beri kekuatan untuk saya mula menelaah tafsir al-quran. Amin. Maybe a sentence a day….
2.     Kerja banyak, masalah yang perlukan penyelesaian banyak.  Berfikirlah untuk menyelesaikan kerja secara bijak – sesuatu yang berikan keputusan yang sama tetapi masa dan tenaga yang minima.

Bercakap bab al-quran ni, teringat dulu masa Tingkatan 3, Ustazah Shamsiah (kat mana agaknya Ustazah sekarang? Saya belajar banyak dengan Ustazah…) kata, ada 3 sebab kenapa kita kena belajar Bahasa Arab: sebab itu bahasa ibunda Rasulullah S.A.W. ; sebab itu bahasa al-quran dan sebab itu bahasa ahli syurga. 

Komprehensif Tetapi Tak Komplikated

Dalam menyoroti karya dan rujukan untuk penulisan makalah, "Penggunaan dari Perspektif Ekonomi Islam", terjumpa dua potong hadis yang menarik perhatian:

Sabda Rasululluah S.A.W.
"Jika sesiapa di antara kamu dikurniakan dengan ketenangan minda pada waktu pagi, kesihatan yang baik dan memiliki makanan untuk hari tersebut, umpama ia telah memiliki seluruh dunia."  (Diriwayatkan oleh Ahmad and Tirmizi).

Uthman bin Affan mengatakan, Rasulullah S.A.W. pernah bersabda,
"Seorang anak Adam tidak mempunyai hak ke atas segala sesuatu melainkan sebuah rumah di mana dia tinggal, sepasang pakaian untuk menutup aurat dan roti serta air."(Diriwayatkan oleh Ahmad).

Islam telah pun menggariskan keperluan duniawi manusia: spiritual dan material.  Lengkap, komprehensif tetapi tidak komplikated.  Hidup pasti tak stress kalau ini yang jadi pegangan.  Menerusi hadis yang pertama, Rasulullah (selawat dan salam ke atas keluarga baginda) menyatakan keperluan spiritual untuk hidup bahagia: ketenangan minda dan kesihatan yang sempurna.  Hadis kedua menyenaraikan keperluan asas manusia - tempat tinggal, pakaian dan makanan.  Sama macam belajar Perdagangan waktu Tingkatan 1: Keperluan Asas Manusia.  Terbayang lagi gambar eskimo dengan igloonya dalam buku teks yang digunakan.

Sejujurnya, dalam hati saya terdetik, mungkinkah untuk kita menelusuri hidup dalam zaman yang moden ini; dengan material yang bersepah kat sana-sini; berasaskan kepada hadis kedua - hanya memiliki basic necessities?  Ya Allah, ampunkan dosa hambaMu yang kerdil lagi tidak mengerti ini.  Sungguh, Allah Maha Bijaksana, Maha Mengetahui.  Dan ajaran Islam yang Allah utuskan adalah versatile, sesuai untuk sepanjang zaman.

Tika dan waktu itu juga Allah kurniakan pengajaran.  Meneruskan pencarian makalah yang berkaitan, tersua dengan makalah dari New York Times tentang Money and Happiness.  Kan "orang putih" dan sarjana ekonomi sekarang sedang sibuk mengkaji apa hubungan wang dengan kebahagiaan.  Baru nak sedar wang yang selama ini digunakan sebagai kayu pengukur pencapaian ekonomi tidak semestinya menjanjikan kebahagiaan dan kesejahteraan.  Insya Allah, kalau ada kesempatan saya kongsikan dalam catatan yang lain.

Berbalik kepada isi makalah tadi yang memberi kesan.  Makalah tersebut menceritakan tentang Puan Isobel dan suaminya yang menyedari mereka sangat tertekan dan terperangkap dalam perangkap perbelanjaan-pendapatan.  Pergi kerja pagi sampai lewat petang, dapat gaji bayar hutang.  Tak mampu menikmati kehidupan, tiada masa bersenang-senang dan hutang masih keliling pinggang.  Penyelesaian masalah: mereka tekad untuk berubah: hidup dengan pemilikan barangan material yang minimum.  Berpindah ke rumah yang lebih sederhana. Mereka mengurangkan barangan yang ada kepada 100 barangan sahaja termasuk barangan peribadi seperti ubat gigi dan sabun.  Barangan lain disedekahkan kepada rumah kebajikan.  Yang  paling saya kagumi - Puan Isobel tinggalkan hanya 4 keping pinggan (betul ke penjodoh bilangan untuk pinggan ni?) untuk kegunaan beliau dan suami.  Dan kalau tak salah sebiji periuk.  Haa...terbayang pinggan mangkuk dan periuk belanga kesayangan kat rumah.  Correlle dah berset-set, periuk belanga ada yang sejak beli tak pernah guna.  Dan saya baru berangan-angan nak tambah koleksi lagi.  Berbalik kepada Puan Isobel, lepas 3 tahun, mereka bertambah sejahtera dan bahagia.  Mereka menggunakan basikal sebagai alat pengangkutan, jadi tak perlu kisah kalau pembuat polisi menjadikan hobinya menyelaraskan semula subsidi.  Puan Isobel bekerja dari rumah.  Suaminya sedang melanjutkan pengajian ke peringkat PhD dalam bidang psikologi.  Yang paling membahagiakan mereka, mereka hidup tanpa hutang. Tanpa tekanan. 

Masya Allah, saya terharu dengan urutan ilmu yang Allah berikan.  Soalan yang lebih penting, mampukah diri ini mengapplikasikan apa yang dipelajari?  Dalam lain perkataan, mengambil iktibar dengan apa yang diperlihatkan kepada saya?

Lessons of the Day:
1. Islam dah jelaskan keperluan spiritual dan material untuk hidup sebuah hidup yang sempurna.  Pemilikan material yang banyak bukan syarat perlu.  Aisyah R.A. cuma ada sepasang pakaian harian dan sepasang pakaian yang indah, yang dipinjamkan untuk semua pengantin di Madinah.
2.  Bila direnung matlamat akhir hidup di dunia, betulkan...sekadar sebuah persinggahan untuk mengumpul harta akhirat.  Panduan penggunaan yang dianjurkan oleh Islam sangat konsisten dengan matlamat akhir sebuah kehidupan.  Dah memang hidup sementara.  Kematian akan menjemput bila-bila.  Segala harta tak akan mengiringi kita nanti di sana.  Jadinya, nak buat apa dok membeli koleksi itu, koleksi ini.  Mati nanti tinggal semuanya. Memadailah dengan keperluan asas.
3.  Keperluan spiritual dalam Islam - ketenangan jiwa dan kesihatan yang baik.  Ya kan, kalau badan tak sihat, kaya macam mana pun tak guna jugak.  Samalah jika minda tak tenang.  Bila mintak doa kena utamakan juga mohon dikurniakan kesihatan yang baik dan jiwa yang lapang.  Jangan asyik ingatkan mohon rezeki material yang melimpah ruah.  Doa kena lebih menyeluruh dan komprehensif.  Ingatan untuk diri - paling penting, perlu doa supaya boleh masuk syurga - the ultimate destination.

Moral of the Story:
1.  Sejujurnya, saya masih tak sanggup untuk bertindak macam Puan Isobel.  Saya memilih untuk mendekati anjuran ini secara lebih sederhana.  Insya Allah, nak hentikan pembelian barang yang tak perlu, contohnya pinggan, periuk, tupperware....dah penuh pun kabinet dapur dengan barang-barang tu. 
2.  Kena cuba untuk jadi orang yang kaya menurut definisi Islam - orang yang sentiasa cukup dengan apa yang ada. 

Ingat cerita seorang cousin yang hobinya mengumpul kasut.  Memang banyak sangat kasut yang dia miliki.  Satu hari, ayahnya bertanya, "kaki ada berapa?" Dia pun jawab, "Mestilah dua."  Ayahnya kata lagi, "Kalau macam tu, nak buat apa kasut sampai berpuluh-puluh pasang, waktu mana nak pakai...kan sekali pakai sepasang saja?" 

Monday, January 24, 2011

First Lady


Hari ini hari Ahad.  Pagi-pagi lagi saya dah tanya hubby - macamana nak buat supaya esok pun hari Ahad?  Aduhai, macam dah pasti esok masih ada.  Layarilah dulu hari ini sebaiknya.  Macamanapun, saya suka hari Ahad sebab hari cuti,  yang pastinya tak perlu bergegas ke tempat kerja .  Boleh bersantai dan memasak untuk anak-anak dan suami.

Objektif ilmiah saya hari ini adalah mencari cerita untuk saya jadikan "bedtime stories".  Cerita untuk saya jadikan halwa telinga Sara sebelum tidur.  Sara suka dengar cerita.  Sebelum ini, saya persembahkan cerita "Tim and Topsy" serta "Berenstein Bears" kepada Harriz dan Ezham (zaman mereka kecil dulu).  Saya ceritakan juga cerita klasik Inggeris terpilih yang sesuai untuk budak lelaki seperti Peniup Seruling, Aladdin dan Askar Patung Berkaki Satu.  Dengan Sara, sebab dia perempuan, saya ceritakan kisah-kisah dongeng Cinderella, Snow White, Rapunzel dan cerita-cerita yang seangkatan dengannya.  Baru-baru ini, saya terbaca penulisan seorang wanita mualaf dari barat, yang menceritakan bagaimana dia berusaha memahami cerita-cerita teladan daripada al-quran untuk dijadikan bedtime stories anak-anaknya seperti kisah Nabi Yunus A.S. dan nasihat Luqman kepada anak-anak baginda.  Subhana Allah.  Saya kagum dengan anugerah Allah kepada wanita ini.  Memanfaatkan teks ulung kurniaan Allah dari pelbagai segi.  Ya tak ya jugak.  Daripada membiarkan anak-anak khayal dengan cerita magika barat seperti katak boleh bertukar menjadi putera raja, ada baiknya dididik minda dan sahsiah mereka dengan kisah-kisah anbiya, para sahabat dan juga serikandi-serikandi Islam.

Kebetulan, saya sedang membaca tentang First Lady.  Bukan First Lady Tunisia - Leila Ben Ali.  Bukan juga First Lady Filipina suatu waktu dulu - Imelda.  First Lady ini Ummul Mukminin Sayyidatina Aisyah R.A.  Belum habis-habis lagi saya membaca biografinya.  Namun, membaca dengan objektif yang jelas menjadikan pembacaan lebih terarah. Saya mencari kisah teladan daripada riwayat hidup Ummul Mukminin ini yang boleh diceritakan kepada putera-puteri saya; yang mampu memberikan mereka keinsafan atau yang boleh mereka jadikan panduan kehidupan dari segi akhlak atau ibadah.  Insya Allah, jika diberikan peluang dan kekuatan, akan saya abadikan dalam perkongsian yang lain.

Sebagai Ummul Mukminin, Aisyah digambarkan sebagai memiliki wajah yang bersinar, cantik dan elok dipandang.  Aisyah juga memiliki sifat-sifat terpuji seperti zuhud; tidak memakai pakaian dan perhiasan yang mewah dan mahal, enggan menerima pemberian orang lain, dermawan dan enggan dipuji.  Masya Allah.  Pada saya dialah yang layak digelar First Lady: dulu, kini dan selamanya.

Yang menarik perhatian saya adalah bicara Aisyah tentang ibadah malamnya bersama Rasululllah S.A.W. (selawat dan salam ke atas keluarga baginda):
"Aku pernah melaksanakan solat semalam penuh bersama Rasulullah S.A.W.  Baginda membaca surah al-Baqarah, Ali Imran dan An-Nisa'.  Setiap kali membaca tentang azab, baginda selalu berdoa kepada Allah dan memohon perlindungan. Setiap kali membaca ayat tentang nikmat, baginda selalu berdoa kepada Allah dan memohon anugerahNya."  (HR Ahmad)

Lessons of the Day:
1.  Islam is truly a complete way of life - termasuk kewujudan koleksi bedtime stories yang lengkap untuk mengasuh minda dan jiwa anak-anak.  Sebagai ibu, wajib untuk saya bertukar kepada alternatif yang tersedia dalam Islam.  Perlu menghidangkan kepada anak-anak kisah anbiya, pejuang agung Islam serta serikandi-serikandi Islam untuk santapan jiwa mereka.  Ini bukan bermakna kisah dongeng barat perlu ditolak sepenuhnya, cuma keutamaan perlu disusun semula.
2.  Bicara Aisyah tentang amalan Rasululllah S.A.W. semasa membaca al-quran mengisyaratkan keperluan memahami intipati ayat-ayat yang dibaca.  Dalam satu riwayat lain, Aisyah mendefinisikan pembacaan sahaja sebagai belum memenuhi bacaan. Melagukan dengan indah belum lagi mencukupi.  Perlu cuba memahami apa yang Allah bicarakan dalam al-quran.  Baru boleh ikut sunnah Rasul, berdoa memohon perlindungan daripada azab dan memohon anugerah pada ayat-ayat yang berkenaan dengan nikmat.

Moral of the Story:
1. Allah dah bagi al-quran dan sunnah untuk dijadikan panduan hidup yang lengkap.  Tugas manusia sebagai khalifah ialah memahami dan menggunakan sumber-sumber ini untuk melayari hidup yang sementara, mengumpul bekalan untuk hidup selepas mati.
2.  Al-quran perlu difahami, bukan sekadar dilagukan.  Kalau tak faham, macamana nak jadikan al-quran sebagai panduan hidup.  Ingatan untuk diri - kepercayaan kepada kitab ni sebahagian daripada rukun Iman - tunjang akidah Islam.  Semoga Allah kurniakan kekuatan dan peluang untuk memahami dan mendalami tafsir al-quran.  Amin.

Ingat lagi, dari dulu arwah ayah sering ingatkan supaya membaca juga tafsir al-quran.  Kata ayah, buku lain boleh baca, kenapa tak luangkan sedikit masa untuk membaca tafsir.  Malah ayah pernah berikan tafsir Juz Amma sebagai permulaan.  Setakat sebelum ayah meninggal waktu saya di Tingkatan 4, saya hanya membaca tafsir 3 surah sahaja - itu pun sebab ayah suruh "present" dekat ayah, apa yang saya dah baca.  Alhamdulillah, Allah beri saya petunjuk lagi menerusi rakan sekerja - juga pensyarah saya dulu.  Dia sering mengingatkan saya supaya menghayati tafsir al-quran.  Katanya, kita kena faham apa yang Allah bagitau menerusi al-quran.  Saya juga mendapat tahu dia mendidik sendiri anak-anaknya, bukan sekadar mengaji al-quran tetapi menghayati tafsir beberapa ayat sehari, selepas solat Subuh.  SubhanaAllah.  Semoga Allah kurniakan saya dan suami keupayaan untuk membaca dan memahami al-quran seterusnya berkongsi ilmu dengan putera-puteri yang dikasihi.  Amin.

Saturday, January 22, 2011

Be Cruel in order to be Kind?

Antara anugerah Allah yang tidak terhitung nilainya adalah anak.  Mana ada jual kat mana-mana. Memang setiap satunya Allah jadikan spesifik untuk ibu ayahnya sahaja.  Ragam dan kerenah mereka melengkapkan hidup - adakalanya menceriakan, adakalanya menduga dan ada waktunya menginsafkan.

Tadi, Sara mengingatkan saya apa yang saya tak pernah amalkan.  Dia baru mula bersekolah tadika tahun ini.  Baru belajar doa masuk tandas.  Sewaktu nak menggunakan tandas, selamba Sara tanya, Mummy, tau tak doa masuk tandas?  Saya pun bacakan untuk dia. (Nasib baik tahu, kalau tak.....).  Dia tanya lagi, Mummy baca tak doa ni selalu?  Sara tak pernah nampak pun Mummy baca.  Ooo Oooo.....

Teringat satu episod dulu, waktu Harriz minta saya semak bacaan hafazannya.  Saya pun cakap, ok.  Nanti Mummy ambik Muqaddam untuk rujukan.  Harriz selamba bertanya, Mummy, kenapa kalau Abang Harriz tanya Matematik ke, Bahasa Inggeris ke, Mummy tak payah rujuk buku.  Mummy boleh jawab terus,  tapi bila suruh semak hafazan, Mummy kena rujuk Muqaddam.  Memang lah saya tak mampu nak jawab.  Nak kata apa....I want to be sure?  I don't want to be wrong?  Hubby tergelak besar...kata hubby, jawablah Mummy...pasal diam aja?

Malam tadi, saya berdepan pula dengan ragam Ezham.  Sabtu malam merupakan sessi badminton daddy dan anak-anak lelaki.  Aturannya, ikut daddy ke surau untuk Maghrib dan Isya' kemudian terus ke badminton court.  Sejak dua tiga minggu lepas, Ezham dengan pelbagai alasan, memujuk saya untuk menghantarnya terus ke badminton court selepas Isya'.  (nak elak pergi surau???) Well, kali ini, saya berkeras.  Saya jelaskan pada dia sebab dia dah buat keputusan untuk tak mahu ikut tadi, dia tak boleh pergi.  Saya tak nak hantar.  Ezham ni kuat politik...macam-macam alasan dan beberapa kali dia cuba memujuk saya.  Namun, saya keraskan hati.  Kadang-kadang, macam orang putih kata, we have to be cruel in order to be kind.  Ehh.. apasal saya suka ingat apa orang putih kata.  Pepatah nenek moyang sendiri tak ada?  Sayangkan anak tangan-tangankan boleh digunapakai ke kat sini?  Apapun, saya kena berkeras sebab berat tuntutan untuk lelaki Muslim bersembahyang kat surau atau masjid. Rasulululah S.A.W. (selawat dan salam ke atas baginda) pernah nak bakar rumah orang yang tak pergi bersembahyang di masjid.  Sebagai ibu, yang termampu saya lakukan adalah cuba untuk mendidik putera-putera saya agar mereka mencintai masjid.

Lessons of the Day:
1. Banyak amalan mudah yang ditinggalkan misalnya, bacaan doa untuk masuk tandas.  Bukan tak ada pengetahuan.  Dah hafal pun masa pergi kelas fardhu ain kecik-kecik dulu.  Ilmu kalau tak amal, tak guna.  Takkan setakat takut ustazah marah aja.  Macam apa yang dianjurkan dalam Zahiruddin,net; kena biasakan yang betul dan betulkan yang biasa.
2.  Sesekali, sebagai ibu, kena jugak keraskan hati. Yang penting ia berpaksikan matlamat akhir yang murni.

Teringat pelajar-pelajar Asasi Alam Bina UM.  Saya tolong kendalikan sessi tutorial Makroekonomi.  Sebab majoriti pelajar beragama Islam, kelas dimulakan dengan sessi doa.  Apabila saya minta pelajar lelaki mengimamkan bacaan doa, ada saja yang menawarkan diri tanpa perlu dipanggil.  Dan saya perhatikan susunan doa yang dibaca, menepati adab berdoa yang dianjurkan dalam Islam.  Dimulakan dengan al-fatihah, selawat atas rasul, doa mohon diampunkan dosa untuk diri dan dua ibubapa, kemudian barulah doa penerang hati seterusnya doa mohon kebahagiaan dunia akhirat dan ditutup dengan selawat sekali lagi.  Kagum saya dengan mereka...pelajar asasi UM sudah pasti pelajar terbaik antara yang terbaik.  Dan kecemerlangan akademik mereka disempurnakan dengan pengetahuan agama yang baik.  Alhamdulillah....kurniaan Allah untuk mereka dan saya percaya, pendidikan dan asuhan ibubapa mereka juga memainkan peranan utama.  Semoga Allah memberikan saya dan suami kekuatan untuk mendidik putera puteri tercinta menjadi generasi ulul albab; dan semoga Allah sentiasa menaungi putera-puteri saya dengan rahmatNya sentiasa.  Amin.

Friday, January 21, 2011

Yang Susah Itu Indah...


Hari Jumaat ada pengisian usrah di Fakulti antara jam 1-2.30 petang.  Bersama rakan-rakan sekerja meneliti sejenak teks rujukan utama, Quran dan juga Hadis.  Entah apa agaknya hikmah yang tersirat dengan ilmu yang Allah anugerahkan ataupun ingatan yang Allah sampaikan untuk diri ini, hari ini.  Ada pengulangan dan perkaitan antara apa yang diperoleh dari status FB seorang pelajar waktu pagi  dengan apa yang dibaca sebentar tadi.

Waktu usrah tadi antara perbincangan berkisar tentang sedikit pengajaran dalam Surah al-Fussilat, ayat 30.  Tentang definisi orang yang beriman kepada Allah: mereka akan berlaku lurus dalam amalan mereka (ditafsirkan sebagai tidak syirik dan istiqamah dengan keimanan).  Golongan ini akan sentiasa diiringi oleh malaikat yang akan membisikkan ke dalam hati mereka, janganlah takut dan janganlah berduka-cita.  Selepas mati, mereka tak perlu berduka-cita sebab malaikat akan sentiasa menemani mereka di dalam kubur, apabila dibangkitkan di Mahsyar dan akan menemani mereka menyeberangi titian Sirat sehingga ke syurga.  Di dunia pun, mereka tak akan berduka cita sebab keimanan dan keyakinan terhadap Allah akan menyebabkan mereka "syukur dengan nikmat; redha dan sabar dengan ujian". 

Tapi yang lebih menarik, bila dilanjutkan ke ayat 34-35.  Pandangan automatik menyapa suruhan Allah, "Tidak sama perbuatan yang baik dengan perbuatan yang jahat.  Tolaklah (kejahatan orang) dengan (jalan) yang terbaik, lalu orang yang bermusuhan antara engkau dan dia menjadi sahabat karib.  Tetapi tiadalah yang memperbuatnya (membalas kejahatan dengan kebaikan) kecuali orang-orang yang sabar dan tiadalah memperbuatnya kecuali orang-orang yang mempunyai keberuntungan yang besar."

Terus teringat status FB seorang pelajar pagi tadi:
Akhlak yang paling mulia adalah menyapa mereka yang memutus silaturahim, memberi kepada yang kikir terhadapmu, dan memaafkan mereka yang menyalahimu.”
(HR Ibnu Majah)
Dan saya pun meletakkan komen,
"Susah nak buat tp kena belajar buat sbb Nabi bagitau..."

Subhana Allah.  Entah apa agaknya hikmah atau kenapa Allah ingatkan sampai dua kali dalam sehari, terhadap diri ini tentang keperluan membalas kebaikan dengan kejahatan sebab itu merupakan akhlak yang paling mulia.  Apapun, andainya ditakdirkan berlaku sesuatu yang menuntut diri melakukan apa yang diingatkan, semoga diberi kekuatan oleh Allah untuk melakukan apa yang dianjurkan oleh ayat-ayat Allah ini.

Lesson of the Day:
1.  Kejahatan mesti ditolak dengan kebaikan.  Contoh dari hadis: menyapa mereka yang memutus silaturrahim; memberi kepada yang berkira atau kedekut; memaafkan yang bersalah. 
2.  Islam anjurkan supaya tukar status musuh kepada kawan bukan tukar status kawan kepada musuh.
3.  Nak menjadikan ini amalan bukan satu yang mudah, bukan semua orang boleh buat.  Allah kata hanya orang yang sabar sahaja yang boleh melakukannya.  Dan Allah janji orang yang boleh melakukannya adalah orang yang beruntung.  Duhai diri, sukar memang sukar tapi sebab ini arahan Allah dan kekasihNya, Rasulullah (selawat dan salam atas baginda), kena cuba untuk jadikan amalan yang istiqamah.  InsyaAllah...moga diberi kekuatan.

Moral of the Story:
Membalas kejahatan dengan kebaikan susah, sebab perlu sabar.  Tapi, itu akhlak yang paling mulia.  Sama macam perkara lain, yang susah nak dapat atau nak capai tu lah yang mulia dan indah.

Teringat pulak pada buku "Indahnya Sabar" karya Ustaz Ismail Kamus yang hubby beli kat rumah tapi belum dibaca....